Check this out

Monday, June 6, 2016

SALAM RAMADHAN DARI BUMI SEOUL

Entri 146

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Assalamualaykum. Alhamdulillah dapat lagi saya menulis di sini pada hari ini, 1 Ramadhan 1437H dari bumi Seoul ini.

Cuaca hari ini agak mendung, tetapi masih boleh terasa bahang musim panasnya.

Anak-anak kebetulan tidak bersekolah pada hari ini kerana cuti umum Memorial Day di Korea.

Daniel bangun sahur hari ini, semangat dari semalam lagi hendak berpuasa. Kerana terlalu banyak minum air, dia sepertinya kekenyangan walaupun hanya makan sedikit nasi dan telur dadar dan sambal bilis.

Batuk sedikit, dia muntah semua makanan sahurnya. Tetapi sehingga kini, dia masih lagi berpuasa. 9 jam sudah berlalu. Harapnya, dia masih bertahan sehingga berbuka nanti.

Puasa di sini hampir 17 jam. Agak lama berbanding dengan Malaysia. Tetapi ini merupakan tahun ketiga kami berpuasa di sini, jadi kami sudah terbiasa.

Ramadhan tahun ini, setiap orang pasti ada azam baru. Begitu juga saya.

Selain dari azam  untuk makanan rohani, saya juga berazam untuk 'menggerakkan' studio tinicraft.

Saya berazam untuk menjahit sekurang-kurangnya dua produk sehari dalam bulan ramadhan ini tanpa menganggu urusan rohani dan jasmani yang lain, in shaa Allah.

Semoga berjumpa lagi. Saya sempat buka laptop ini sebentar  untuk membeli beras online. Kalau tidak, agak jarang saya dapat mencuri waktu buka laptop pada waktu tengahari sebegini.

Selamat berpuasa dari kami sekeluarga. Semoga Ramadhan tahun ini adalah lebih dari sebelumnya.

Aamiinn.. 

Nota: Ini adalah gambar saya bersama-sama kanak-kanak Malaysia di sini sewaktu rakaman hari raya RTM  yang lepas.

Thursday, June 2, 2016

PERSONAL SHOPPER DI KOREA

   
Entri 145

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN 

Alhamdulillah barang ini sudah selamat sampai kepada tuannya. Kali ketiga menjadi personal shopper dengan pembeli yang sama ini dan sangat senang berurusan. 

Beg "playnomore" ini sudah tidak asing kepada orang Malaysia. Tetapi kualiti yang dijual di sini in shaa Allah sangat tiptop.

Hanaa ada dua beg sebegini, dan dia sangat lasak menggunakannya ke sana sini. Alhamdulillah masih elok cantik dan kukuh. Saya suka design ini kerana talinya boleh laras untuk kegunaan orang dewasa dan kanak-kanak juga.

Pembeli ini juga memesan untuk saya beli losyen tangan kecil ini yang amat sesuai untuk dimasukkan ke dalam handbag wanita.

Selain itu, dia juga memsan MASK untuk kosmetik ini yang menjadi belian wajib pengunjung ke Korea.

Semoga dapat berurusan lagi dengan pembeli ini di masa hadapan.


 

Ini, matanya lebih besar. Saya terpaksa simpul talinya untuk Hanaa kerana terlalu panjang, sesuai untuk kegunaan orang dewasa.
 

MALAYSIA SPRING BAZAR IN SEOUL

Entri 144

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Masih tidak terlambat untuk saya kongsikan pengalaman pertama saya menyertai Malaysia Spring Bazaar 2016 di bumi Seoul ini. Kami bergerak atas kapasiti persatuan isteri-isteri di sini.

Penat, tapi seronok. Tambahan lagi sambutan adalah diluar jangkaan. Sangat meriah!

Pengunjung terdiri dari pelbagai negara yang merupakan penduduk yang tinggal di sekitar , penduduk tempatan, rakyat Malaysia bermastautin di sini untuk pelbagai urusan seperti bekerja, kursus dan tidak ketinggalan juga pelajar-pelajar Malaysia. 

Paling mengejutkan juga, rakyat Malaysia yang sedang melancong beberapa hari di sini juga tidak ketinggalan memeriahkan bazar tersebut. Kalau namanya rakyat Malaysia, beberapa sahaja tidak merasa makanan Malaysia, tidak sah! 

Pelbagai juadah yang kami sediakan seperti pulut kuning & rendang daging, nasi lemak dan nasi putih dengan pilihan lauk kari daging, ayam sambal, rendang dan udang sambal. 

Kami terpaksa memasak nasi tambahan sebanyak 6 kali periuk besar bagi menampung permintaan pelanggan yang tidak putus-putus beratur panjang. Ada satu tahap, kami terpaksa mengambil tempahan dahulu dek nasi yg masih belum masak. 

Makanan lain juga terdiri dari laksa utara, mee kari, roti canai (menebar di situ), bihun sup, roti jala dan pelbagai jenis kuih tradisional Malaysia juga tidak kalah kerana semuanya habis terjual sebelum masa bazar tamat.

Pelajar-pelajar Malaysia yang tinggal di sini juga ada dua booth menjual sate dan mee rojak ayam yang mana kami sendiri tidak sempat pun melihat jualan mereka dek diserbu pengunjung dan jualan habis sekejap sahaja.

Terdapat juga persembahan tarian kebudayaan dari pelajar-pelajar Malaysia di sini dan juga booth Tourism Malaysia yang menyediakan pelbagai informasi pelancongan serta memberi peluang pengunjung mencuba pakaian tradisional Malaysia.

Ada kisah menarik yang saya ingin kongsikan berkenaan makanan Malaysia ini. Sewaktu saya menjual pulut kuning, ada seorang wanita Jerman yang datang bersama keluarganya. Dia memesan satu pulut kuning dan rendang.

Tidak lama kemudian, dia datang sekali lagi dan membeli satu lagi set pulut kuning dan rendang. "It was delicious!" katanya. Saya seronok menjual dan bangga pulut kuning dan rendang kita menambat selera orang asing.

Tanpa disangka, dia datang sekali lagi dan membeli satu set lagi untuk anaknya. Saya sangat teruja sambil menceritakan padanya makanan ini susah untuk dibuat. Tindakan dia membeli pada kali ini amat tepat. Dia tersengih, gembira kerana masih dapat bahagiannya.

Set pulut kuning dan rendang adalah makanan yang habis paling awal. Saya sendiri tidak sanggup untuk memasak set ini jika hanya untuk dimakan bersama suami dan anak-anak. Selain mengambil masa yang lama, ia juga berbaloi jika dibuat dengan kuantiti yang banyak.

Di sini saya beli satu set untuk dibawa pulang kepada suami yang menjaga anak-anak di rumah, tetapi terpaksa dijual kembali kemudiannya dek kesiannya seorang pelajar Malaysia yang tiba agak lewat untuk membeli pulut kuning yang sudah lama kehabisan.

Ada seorang rakyat Cina Malaysia yang datang membeli dua set rendang sahaja. Untuk disejukbekukan katanya untuk dimakan kemudian. Begitu sekali kerinduan pada juadah tanahair.

Itulah asam garam merantau. Sejauh mana  kita pergi, selama mana kita meninggalkan bumi kelahiran kita, sudah tentu kita rindukan masakan Malaysia. 

Jom, saya kongsikan beberapa gambar sepanjang bazar tersebut tempohari.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...