Check this out

Monday, June 6, 2016

SALAM RAMADHAN DARI BUMI SEOUL

Entri 146

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Assalamualaykum. Alhamdulillah dapat lagi saya menulis di sini pada hari ini, 1 Ramadhan 1437H dari bumi Seoul ini.

Cuaca hari ini agak mendung, tetapi masih boleh terasa bahang musim panasnya.

Anak-anak kebetulan tidak bersekolah pada hari ini kerana cuti umum Memorial Day di Korea.

Daniel bangun sahur hari ini, semangat dari semalam lagi hendak berpuasa. Kerana terlalu banyak minum air, dia sepertinya kekenyangan walaupun hanya makan sedikit nasi dan telur dadar dan sambal bilis.

Batuk sedikit, dia muntah semua makanan sahurnya. Tetapi sehingga kini, dia masih lagi berpuasa. 9 jam sudah berlalu. Harapnya, dia masih bertahan sehingga berbuka nanti.

Puasa di sini hampir 17 jam. Agak lama berbanding dengan Malaysia. Tetapi ini merupakan tahun ketiga kami berpuasa di sini, jadi kami sudah terbiasa.

Ramadhan tahun ini, setiap orang pasti ada azam baru. Begitu juga saya.

Selain dari azam  untuk makanan rohani, saya juga berazam untuk 'menggerakkan' studio tinicraft.

Saya berazam untuk menjahit sekurang-kurangnya dua produk sehari dalam bulan ramadhan ini tanpa menganggu urusan rohani dan jasmani yang lain, in shaa Allah.

Semoga berjumpa lagi. Saya sempat buka laptop ini sebentar  untuk membeli beras online. Kalau tidak, agak jarang saya dapat mencuri waktu buka laptop pada waktu tengahari sebegini.

Selamat berpuasa dari kami sekeluarga. Semoga Ramadhan tahun ini adalah lebih dari sebelumnya.

Aamiinn.. 

Nota: Ini adalah gambar saya bersama-sama kanak-kanak Malaysia di sini sewaktu rakaman hari raya RTM  yang lepas.

Thursday, June 2, 2016

PERSONAL SHOPPER DI KOREA

   
Entri 145

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN 

Alhamdulillah barang ini sudah selamat sampai kepada tuannya. Kali ketiga menjadi personal shopper dengan pembeli yang sama ini dan sangat senang berurusan. 

Beg "playnomore" ini sudah tidak asing kepada orang Malaysia. Tetapi kualiti yang dijual di sini in shaa Allah sangat tiptop.

Hanaa ada dua beg sebegini, dan dia sangat lasak menggunakannya ke sana sini. Alhamdulillah masih elok cantik dan kukuh. Saya suka design ini kerana talinya boleh laras untuk kegunaan orang dewasa dan kanak-kanak juga.

Pembeli ini juga memesan untuk saya beli losyen tangan kecil ini yang amat sesuai untuk dimasukkan ke dalam handbag wanita.

Selain itu, dia juga memsan MASK untuk kosmetik ini yang menjadi belian wajib pengunjung ke Korea.

Semoga dapat berurusan lagi dengan pembeli ini di masa hadapan.


 

Ini, matanya lebih besar. Saya terpaksa simpul talinya untuk Hanaa kerana terlalu panjang, sesuai untuk kegunaan orang dewasa.
 

MALAYSIA SPRING BAZAR IN SEOUL

Entri 144

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Masih tidak terlambat untuk saya kongsikan pengalaman pertama saya menyertai Malaysia Spring Bazaar 2016 di bumi Seoul ini. Kami bergerak atas kapasiti persatuan isteri-isteri di sini.

Penat, tapi seronok. Tambahan lagi sambutan adalah diluar jangkaan. Sangat meriah!

Pengunjung terdiri dari pelbagai negara yang merupakan penduduk yang tinggal di sekitar , penduduk tempatan, rakyat Malaysia bermastautin di sini untuk pelbagai urusan seperti bekerja, kursus dan tidak ketinggalan juga pelajar-pelajar Malaysia. 

Paling mengejutkan juga, rakyat Malaysia yang sedang melancong beberapa hari di sini juga tidak ketinggalan memeriahkan bazar tersebut. Kalau namanya rakyat Malaysia, beberapa sahaja tidak merasa makanan Malaysia, tidak sah! 

Pelbagai juadah yang kami sediakan seperti pulut kuning & rendang daging, nasi lemak dan nasi putih dengan pilihan lauk kari daging, ayam sambal, rendang dan udang sambal. 

Kami terpaksa memasak nasi tambahan sebanyak 6 kali periuk besar bagi menampung permintaan pelanggan yang tidak putus-putus beratur panjang. Ada satu tahap, kami terpaksa mengambil tempahan dahulu dek nasi yg masih belum masak. 

Makanan lain juga terdiri dari laksa utara, mee kari, roti canai (menebar di situ), bihun sup, roti jala dan pelbagai jenis kuih tradisional Malaysia juga tidak kalah kerana semuanya habis terjual sebelum masa bazar tamat.

Pelajar-pelajar Malaysia yang tinggal di sini juga ada dua booth menjual sate dan mee rojak ayam yang mana kami sendiri tidak sempat pun melihat jualan mereka dek diserbu pengunjung dan jualan habis sekejap sahaja.

Terdapat juga persembahan tarian kebudayaan dari pelajar-pelajar Malaysia di sini dan juga booth Tourism Malaysia yang menyediakan pelbagai informasi pelancongan serta memberi peluang pengunjung mencuba pakaian tradisional Malaysia.

Ada kisah menarik yang saya ingin kongsikan berkenaan makanan Malaysia ini. Sewaktu saya menjual pulut kuning, ada seorang wanita Jerman yang datang bersama keluarganya. Dia memesan satu pulut kuning dan rendang.

Tidak lama kemudian, dia datang sekali lagi dan membeli satu lagi set pulut kuning dan rendang. "It was delicious!" katanya. Saya seronok menjual dan bangga pulut kuning dan rendang kita menambat selera orang asing.

Tanpa disangka, dia datang sekali lagi dan membeli satu set lagi untuk anaknya. Saya sangat teruja sambil menceritakan padanya makanan ini susah untuk dibuat. Tindakan dia membeli pada kali ini amat tepat. Dia tersengih, gembira kerana masih dapat bahagiannya.

Set pulut kuning dan rendang adalah makanan yang habis paling awal. Saya sendiri tidak sanggup untuk memasak set ini jika hanya untuk dimakan bersama suami dan anak-anak. Selain mengambil masa yang lama, ia juga berbaloi jika dibuat dengan kuantiti yang banyak.

Di sini saya beli satu set untuk dibawa pulang kepada suami yang menjaga anak-anak di rumah, tetapi terpaksa dijual kembali kemudiannya dek kesiannya seorang pelajar Malaysia yang tiba agak lewat untuk membeli pulut kuning yang sudah lama kehabisan.

Ada seorang rakyat Cina Malaysia yang datang membeli dua set rendang sahaja. Untuk disejukbekukan katanya untuk dimakan kemudian. Begitu sekali kerinduan pada juadah tanahair.

Itulah asam garam merantau. Sejauh mana  kita pergi, selama mana kita meninggalkan bumi kelahiran kita, sudah tentu kita rindukan masakan Malaysia. 

Jom, saya kongsikan beberapa gambar sepanjang bazar tersebut tempohari.



Tuesday, May 10, 2016

PENTINGNYA "PUSH FACTOR" UNTUK BERMULA

Entri 143
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN 

Saya sudah mendapat aura untuk menjahit kembali kerana saya tahu saya perlu menjahit baju raya tahun ini. 

Kebiasaannya saya akan siapkan baju tersebut sebelum bulan puasa tiba. Saya akan kongsikan entri baju raya dalam entri akan datang.

Saya telah siapkan baju raya tersebut dan momentum untuk menjahit tiba-tiba hilang. Mungkin sudah terasa tidak ada apa yang perlu untuk dijahit untuk masa terdekat.

Padahal, fabrik masih banyak dan pelbagai projek telah dirancang dan difikirkan (berangan sendiri).

Tiba-tiba saya mendapat tahu bahawa Fahmi yang sememangnya akan membawa watak Captain Hook untuk persembahan teater musim panas sekolahnya nanti, perlu menyediakan kostum sendiri.

Jadi, saya memulakan pencarian online untuk membeli pakaian tersebut di sini. Namun, saya hampa kerana harganya yang sangat mahal sehingga RM250. Sudahlah tiada hook nya, harga tersebut bertambah mahal pada fikiran saya.

Saya kemudiannya mengambil peluang untuk mencari bersama suami di Gwanjang Market. Terdapat kedai alatan permainan dan parti di situ, namun agak menghampakan. Kami hanya jumpa topi, pedang dan hook nya sahaja.

Saya sudah jangkakan, inilah push factor untuk saya menjahit. Saya terus mencadangkan kepada suami untuk membeli fabrik berkenaan untuk menjahit kostum itu.

Suami pada mulanya agak was-was kerana dia tahu yang saya tidak pernah menjahit kostum sebelum ini. 

Tetapi setelah meyakinkannya, dia bersetuju. Saya tersenyum, namun ada detik berdebar-debar di situ.

Alhamdulillah, dengan sedikit carian imej sebenar di Google, saya berjaya siapkan kostum Captain Hook. 

Fahmi amat teruja dan agak terkejut dengan hasilnya. Dia lebih bersemangat apabila melihat semuanya sudah lengkap untuk persembahannya nanti.

Beberapa hari kemudian, Cikgu Fahmi mengatakan bahawa semua pelajar perlu memakai kostum tersebut lebih awal sempena sambutan hari kanak-kanak di Korea ini. Alhamdulillah, kami sudah bersedia.

Saya terfikir, jika tidak kerana acara sekolah ini, saya mungkin masih dalam mood suam-suam untuk menjahit kembali. Syukur saya mendapat kembali momentum untuk menjahit begini. 

Begitulah apabila bekerja sendiri di rumah. Jika tiada push factor untuk memberi tekanan kepada kita membuat sesuatu, kita mungkin akan selesa dengan sesuatu situasi tersebut.

Ingatan untuk diri saya sendiri juga, ambillah peluang yang ada. Cuba jadikan sesuatu sebagai "pembakar" untuk kita bermula. Jangan tunggu keadaan meruncing baru hendak bertatih.

Bermula dengan perlahan, dapatkan kayuhan yang stabil dan in shaa Allah minda kita akan sentiasa bersedia.
 

Sunday, May 8, 2016

PERSONAL SHOPPER : BELI BROOCH NAMDAEMUN MARKET

Entri 142
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN 

Sejak hendak balik ini, ada banyak permintaan untuk saya beli barang dari sini.

Brooch adalah barang yang paling popular yang orang kirimkan selain dari kain cotton dan barang kraft jahitan.

Ini adalah contoh gambar saya ketika membeli brooch. Kadang-kadang saya pergi seorang jika suami tidak bekerja di hujung minggu dan boleh menjaga anak-anak.

Tapi kebiasaanya saya akan ke sana bersama Hanaa apabila Abang dan Kakaknya ke sekolah.

Orang di Namdaemun sentiasa ramai, apatah lagi orang Malaysia. Seperti tidak berada di bumi asing, terjumpa orang Malaysia di sana sini.

Kebiasaanya saya hanya kenakan caj sedikit untuk nilai pertukaran wang asing,  kos pengangkutan pergi dan balik, kos upah serta kos packaging dan shipping.


Gambar di atas adalah ketika pergi sendiri untuk membeli brooch.



Ini pula salah satu keadaan apabila pergi dengan Hanaa. Kalau Mama memilih terlalu lama, dia akan tertidur di situ.

Ini lebih parah apabila tuan kedai di kawasan itu menawarkan diri untuk mendokong Hanaa yang berat itu! Dek kerana Hanaa sudah biasa dengan mereka, mereka tidak keberatan menolong saya tatkala saya sibuk memilih barangan jualan mereka.

Bukan senang untuk saya keluar dan membuat belian, sebab itulah saya tidak boleh terima permintaan yang hendak cepat dan sebagainya. 

Ada pelbagai faktor saya perlu pertimbangkan seperti keadaan cuaca, keadaan kesihatan anak-anak dan sebagainya. 

Hanaa banyak berkorban untuk saya. Dia sudah bosan mengikut saya ke Namdaemun, tetapi kadang-kadang kita kena kreatif untuk membuatkan dia rasa seronok untuk keluar. 

Nanti saya akan kongsikan sedikit tips untuk membuatkan anak-anak fokus apabila keluar ke mana-mana tanpa perlu menggunakan gajet-gajet zaman sekarang ini.

Oh ya, sebelum terlupa. Bagi yang ingin mendapatkan sesuatu dari sini, boleh emailkan saya di tinicraft@gmail.com untuk sebarang pertanyaan.

 

TEMPAT JATUH LAGI DIKENANG, INIKAN PULA TEMPAT MENIMBA PENGALAMAN HIDUP

Entri 141

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN


In shaa Allah, jika tiada aral, kami akan pulang ke Malaysia pada hujung tahun ini.

Maka akan bermulalah kembali episod lain dalam perjalanan hidup kami setelah tiga tahun merantau di Seoul, Korea ini.
Anak-anak sudah teruja dari sekarang apabila diberitahu akan kepulangan ke Malaysia. Fahmi, perkara pertama dalam fikirannya, nanti kita boleh makan banyak makanan halal! 
Saya tersenyum mendengarnya.
Mana taknya, di sini makanan kami agak terhad. Makanan halal di restoren halal di Itaewon agak mahal dan tiada banyak pilihan.
Yang lainnya makan di rumah. Kadang-kadang kami kehabisan stok bahan mentah Malaysia seperti santan, cili padi dan sebagainya.

Mujur ada kawan-kawan yang memahami dan baik hati menawarkan untuk membawa barang-barang tersebut apabila mereka berkunjung ke sini atas urusan kerja ataupun urusan lawatan peribadi.

Secara jujurnya, perlahan-lahan saya mula rasakan yang saya akan merindui tempat ini. Walaupun keinginan untuk dekat dengan orang tua di tanah air mengatasi segalanya, tetapi perasaan rindu itu pasti menjengah tiba.

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menimba pengalaman hidup dan tempat anak-anak membesar serta mengenal erti persekolahan.

Saya tahu, akan ada perbezaan besar apabila pulang ke Malaysia nanti terutamanya untuk anak-anak.

Contoh terdekat adalah Hanaa. Sewaktu kami tiba di sini dulu, dia adalah seorang anak kecil yang baru sahaja berusia setahun setengah.

Sekarang umurnya kurang dari dua minggu lagi untuk mencecah 4 tahun. Apabila tiba saat untuk pulang nanti dia akan berumur empat tahun setengah.

Pada waktu mula datang dulu, dia hanya bertutur beberapa patah perkataan.




Sekarang, dia sudah besar panjang. Petah berbicara membuat ayat lengkap.

Akalnya juga sudah panjang. Pandai juga mengambil hati Mama. Selalu tolong Mama kemas rumah.

"I don't like our house in mess," ayat yang kerap dituturkan sekarang.

Hanaa, Hannamdong, Seoul, Spring 2016.

Yongsan Family Park, Seoul, Spring 2016
Namsangol Hanok Village, Seoul, Winter 2016

In shaa Allah saya akan bercerita lagi berkenaan persiapan untuk kami pulang ke Malaysia nanti.

Semoga Allah memberkati kalian semua. Terima kasih.


DUA KERJA, SAYA SUKA

Entri 140

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN 

Perihal dua kerja ini sudah lama terjadi kepada mana-mana surirumah yang duduk di rumah. 

Yang penting, perkara pertama yang kita kena fikirkan adalah keutamaan.

Kalau kita jenis yang rajin, bertenaga, berbakat apatah lagi, kita boleh lakukan bukan setakat dua kerja, malah tiga, empat dan seterusnya.

Cuma, kita perlu pandai susun keutaaman kerja yang mana harus didahulukan.

Untuk pengalaman saya sendiri, sejak melahirkan anak ketiga dan berhenti kerja di pejabat, urusan anak-anak dan keluarga adalah keutamaan saya kerana itu jugalah niat asal saya berhenti kerja.

Memandangkan saya juga sudah lama berhobi menjahit, maka saya juga menjahit jika ada kelapangan dalam menguruskan hal keluarga.

Ini adalah gambar terbaru saya menjahit setelah sekian lama "berehat" atas urusan tertentu. 

Ini juga adalah kali pertama saya menggunakan fabrik Korean Viscose Cotton yang menjadi pilihan ramai orang Malaysia yang melancong ke Korea. Kain ini terdapat di Gwanjang Market yang menjadi tempat wajib dikunjungi untuk membeli belah di sini.

Saya cuba menjahit sehelai jubah moden untuk kegunaan sendiri. Sambil menjahit, saya melayan Hanaa membuat buku kerjanya.

Saya akui, sejak awal tahun ini, Hanaa memang menunjukkan minat untuk ke sekolah. Namun atas sebab tertentu, saya hanya 'mengajar'nya di rumah sahaja. 

Walaupun umurnya akan mencecah 4 tahun tidak lama lagi, tetapi dia sudah habiskan beberapa buku kerja latihan untuk kanak-kanak berumur 4-5 tahun.

Keutamaan saya di sini adalah Hanaa dan sambil-sambil itu saya menjahit untuk mengisi masa terluang. 

Buatlah beberapa kerja sekali pun, jika kita pandai uruskan keutamaan, in shaa Allah semuanya akan "on track".

Apa yang sangat penting adalah keberkatan kerja itu sendiri. Jangan hanya kerana ingin kejarkan duit, kita mencuri masa yang tidak sepatutnya untuk membuat kerja lain. Nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Kita yang rugi.

 

 

Monday, April 25, 2016

APABILA SAKIT DI NEGARA ORANG

Entri 139

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Alhamdulillah atas segala nikmat yang Allah berikan. 

Alhamdulillah dapat kembali lagi bersua bersama "teman bicara" saya. Setelah berhari-hari berehat, saya sudah semakin "gagah" untuk meneruskan rutin seperti biasa.

Ceritanya bermula apabila Tasnim tidak sihat pada hari Ahad lepas. Batuknya yang sudah beberapa hari berpanjangan menunjukkan tanda-tanda dia akan demam. 

Naluri ibu sememangnya betul. Pada hari Isnin, suhu badannya sedikit panas. Saya buat keputusan untuk bawanya ke hospital dan tidak ke sekolah.

Hanaalah orang yang paling gembira apabila Kakak tidak ke sekolah. Dia senyum sepanjang hari dan moodnya dalam keadaan ceria.

Alhamdulillah orang tidak ramai di hospital, kami terus berjumpa doktor. Syukur, Tasnim hanya demam batuk biasa dan paru-parunya juga clear. 

Waktu menunggu ubat agak mengambil masa, saya pula tidak mahu bertanya kerana sudah tahu tindakan saya itu tidak akan membantu.
Hanaa dan Tasnim ralit membaca sebuah buku berkenaan binatang-binatang yang mana buku tersebut sentiasa menjadi pilihan mereka apabila ke hospital. Tidak pernah bosan.

Sesekali telatah si Hanaa mencuri perhatian orang lain kerana dia akan "mengambil gambar" orang dia jumpa. Bermula dari dalam lif lagi, jururawat di kaunter, doktor yang memeriksa Kakak dan juga pesakit yang sedang menunggu giliran. Beberapa orang jururawat mengambil kesempatan menyuruh Hanaa "mengambil gambar" mereka.

Kelihatan dalam gambar di bawah ini kamera pink Hanaa dengan kartun terkenal Korea iaitu Pororo. Apabila dia tekan kameranya, terdengar bunyi "Smile...Kimchiiii".
 


Kakak Tasnim berehat dua hari di rumah, tidak ke sekolah. Saya kasihan setiap kali melihat anak-anak tidak sihat. Ibu-ibu lain pun sama kan. Hati sentiasa rasa tidak senang, risau jika suhu naik. Setiap kali bersolat, saya berdoa, biarlah saya menanggung semua sakit itu, bukan anak-anak.

Alhamdulillah, keesokan harinya Kakak sudah boleh ke sekolah seperti biasa dan saya pula mula rasa tidak sihat pada awal pagi itu. Saya ingat hanya batuk-batuk kecil. Saya sudah berniat tidak mahu ke hospital kerana saya tidak suka makan ubat. Kebiasaannya saya hanya makan madu dan minum honey lemon tea suam.

Jam 10 pagi, suami saya telefon dan menyuruh saya ke hospital kerana dia takut saya melarat dan akan berjangkit kepada Hanaa pula. Saya siapkan Hanaa dan memujuknya untuk ke hospital. Dia tidak berada dalam mood yang baik kerana Kakak sudah ke sekolah sewaktu dia belum bangun, dan sekali lagi dia perlu ke hospital menemani saya.

Hanaa kata, "I don't like going to the hospital, it is soooo boring".

Ya, mama tahu sayang, tetapi mama tiada pilihan. Tiada orang di rumah untuk tinggalkan kamu.

Pada saat saya keluar rumah, saya sudah rasa sejuk yang lain macam. Badan seolah-olah menggigil. Angin agak kuat di luar, menusuk ke tulang sum-sum. Mujur saya pakaikan Hanaa jaket tebal. Oh ya, dia sempat lagi mengambil gambar bunga Azalea di hadapan hospital. Saya layankan sahaja karenahnya kerana tidak mahu dia berubah mood.
 

Alhamdulillah rezeki saya lagi, walaupun tiada temujanji, saya terus dapat berjumpa dengan doktor. Alhamdulillah, Allah senangkan kerja saya. Setelah berjumpa doktor, saya dapat stok ubat. Demam, selsema, batuk, tonsil dan sakit kepala semua pakej sakit saya ada. Memang patut pun saya kena berjumpa doktor.

Sampai di rumah, saya agak pelik kerana ubat saya hanya untuk dimakan selepas sarapan dan makan malam. Namun saya fikir, mungkin ubat ini sudah agak "kuat". 

Selesai makan ubat, saya berbaring. Tiba waktu untuk anak pulang dari sekolah, saya hanya boleh bangun memasak ayam panggang dan nasi putih berulam timun. Hendak sahaja pesan makanan halal online, tetapi makanan berunsur biryani, saya tiada selera.

Apabila waktu petang, saya menggigil disebabkan suhu badan panas. Anak-anak selimutkan saya dan Fahmi basahkan tuala kecil untuk diletakkan di dahi saya. Kemudian mereka memicit-micit badan saya yang diselimuti tebal. Tasnim bawa air suam untuk saya minum berserta ubat yang saya minta. Hanaa memakaikan stokin kaki saya.

Demam kebah sekejap. Jam 12 malam, demam suhu panas itu datang lagi. Kepala saya berdengung. Seluruh badan sakit. Ya Allah peritnya demam kali ini. Paling teruk saya lalui sepanjang berada di Korea.

Setelah dua hari keadaan yang sama masih berlarutan, saya ke hospital kembali pada hari ketiga. Berjumpa doktor yang lain kerana doktor sebelum ini tidak bertugas. Rupa-rupanya ubat demam yang saya dapat sebelum ini tidak mencukupi, sepatutnya saya diberi 3-4 kali, bukannya 2 kali.

'Ala kullihal, semuanya aturan Allah. Perkara yang lainnya itu adalah penyebabnya sahaja. Saya belajar banyak perkara di atas kesakitan sementara pada kali ini.

Alhamdulillah setelah empat hari saya beransur sihat, hanya tinggal kesan sakit tonsil dan batuk-batuk kecil.


Saya kagum dengan anak-anak yang cuba sedaya upaya untuk menjaga saya dan mahu saya sembuh. Mereka tidak mahu saya sakit lagi.

Semalam, Hanaa pula tidak sihat. Selsema dan batuk serta badannya sedikit suam. Kasihan Hanaa, dia tidak suka ubat. Jadi, saya hanya suapkan dia madu. Semoga sakitnya tidak melarat dan Hanaa cepat sembuh, Aamiinn.

Doakan kami semua sihat-sihat sahaja ya? Saya juga doakan kalian semua sihat selalu!






Monday, April 18, 2016

KOMUNIKASI GERAK HATI, RANCANGAN PENCIPTA

Entri 138


Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN


Saya telah berkomunikasi dengan rakan dari Malaysia melalui Whatsapp dua hari lepas.  Dia baru tiba dari Malaysia pada hari Jumaat dan akan pulang pada hari Selasa.

Jadualnya bersama kumpulan syarikat mereka agak padat sehinggakan saya tidak tahu bila saya akan berjumpa dengannya. Apabila dia keluar dari hotel, saya tidak dapat berkomunikasi dengannya kerana tiada WIFI.

Saya sudah beberapa hari tidak keluar kerana Tasnim tidak sihat. Batuk dan selsema. Cuaca di luar agak berangin dan hujan beberapa hari kebelakangan ini.

Namun semalam, kami keluar sekejap kerana ingin mencari kasut sekolah Tasnim yang sudah rosak. Kami ke Dongdaemun Shoe City dan Toys Street untuk mencari beberapa barangan persembahan Fahmi di sekolah nanti.

Setelah selesai urusan, kami berehat sebentar kerana anak-anak ingin makan bekalan dan minuman. Beberapa orang pelancong Muslim dari China berhenti di tempat kami sambil bercakap sesama sendiri sambil menunjuk kearah anak-anak kami.

Tasnim dan Fahmi yang tahu berbahasa Mandarin sedikit menegur mereka. Agak terkejut, mereka mula bercakap lebih banyak dan memeluk Hanaa, si kecil.

Kemudian, kami minta izin untuk berlalu dan menahan teksi untuk pulang. Beberapa minit di dalam teksi, suami beritahu ramainya orang Malaysia di seberang jalan. Mungkin kawan saya ada di situ dia mengagak kosong.

Saya kata, kawan saya sepatutnya mengikuti program indoor skating pada waktu itu, jadi tidak mungkin mereka akan berada di situ. 

Tetapi dalam hati saya terdetik dan berdoa "Ya, Allah. Permudahkanlah urusanku untuk bertemu kawanku di Korea ini."

Tiba-tiba suami saya teruja memberitahu bahawa nama syarikat kawan saya itu terpapar di depan bas pelancong yang di letak di bahu jalan. 

Secara automatik tangan suami mengarahkan pemandu teksi berhenti.

Meter belum bergerak lagi, pemandu itu membebel seorang. Setelah membayar dan keluar dari teksi, kami cepat-cepat berlalu kepada kumpulan orang Malaysia di situ.

Setelah bertanya beberapa orang, mereka memberitahu nama kawan saya itu berada di dalam bas kumpulan D. Saya bergegas ke dalam bas pelancong yang sudah mula dipenuhi orang. 

Pemandu bas itu tidak beri saya naik. Namun setelah bercakap beberapa patah perkataan Korea, dia diam sahaja dan mengiyakan untuk saya berjumpa dengan seseorang.

Alhamdulillah rezeki saya, kawan saya ada di situ!

Ya Allah besarnya kuasaMu Ya Allah. Komunikasi gerak hati kami bersama adalah rancanganMu.

Patutlah hati saya berdebar-debar apabila melihat kumpulan orang Malaysia tadi. Rupa-rupanya mereka telah mengubah beberapa program untuk disesuaikan dengan cuaca yang sentiasa bertukar-tukar dan kawan saya tidak dapat beritahu saya berkenaan pertukaran itu kerana hubungan WIFI yang terbatas.

Kami berpelukan di situ. Walaupun hanya sempat berborak selama 5 minit dek bas yang hendak bergerak, saya dan kawan amat berpuas hati kerana akhirnya kami dapat bertemu setelah lebih dua tahun tidak berjumpa.

Semoga Allah kekalkan hubungan persahabatan saya dan Kak Na, seorang insan yang banyak memberi motivasi dan semangat kepada saya dulu.

Alhamdulillah.


Saturday, April 16, 2016

DUA SAHABAT, MALAYSIA DAN JEPUN

Entri 137

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Lily dan keluarganya akan pulang ke Jepun untuk menetap di sana tidak lama lagi. Lily juga sudah berhenti sekolah yang sama dengan Tasnim dan berpindah ke sekolah antarabangsa Jepun di sini sebagai persediaan sebelum balik ke negaranya.
 
Memandangkan mereka sudah lama berkawan baik dan sudah lebih sebulan tidak berjumpa, kami menemukan mereka di sebuah restoren Turki di Itaewon sewaktu musim sejuk yang lepas.

Keluarga mereka sangat sopan dan baik hati. Tahu serba sedikit berkenaan Islam, ibu bapa Lily telah meminta kami memilih restoren halal yang sesuai. Setelah berbual, ternyata kami tidak membuat pilihan kerana menurut bapa Lily, dia amat menggemari makanan Turki kerana sudah beberapa kali ke negara Turki atas urusan kerja.

Sambil makan, anak-anak tidak melepaskan peluang untuk bermain, melukis, mewarna dan sebagainya.
 
Seronok melihat mereka berkawan. Lily dan Tasnim berkawan di sekolah tetapi tidak kekok bermain dengan Hanaa dan Fahmi.
 
Anak-anak, apabila mereka bermain dan berborak sesama mereka, semuanya kelihatan teruja seperti tiada apa-apa masalah.
 
Seingat saya, pada waktu itu kami semua mendapat mesej Red Alert untuk berada di luar kerana suhu terlalu sejuk iaitu -18c sehingga -25c. Sangat sejuk. Tetapi memandangkan keluarga mereka sudah tidak ada masa lagi, kami masih teruskan rancangan untuk makan malam bersama.
 
 
 
 
 
Keluarga ini sangat baik dan sangat easygoing. Mereka bawa set kertas origami (dari Jepun). Ayah Lily, menunjukkan kami cara-cara membuat burung dari kertas tersebut. Tangannya sangat tangkas, sangat menunjukkan bahawa orang-orang Jepun sudah serasi dengan seni origami.
 

 
 
 
Sebelum berpisah, mereka berdua bertukar-tukar hadiah kenangan bersama.


 
Keluarga ini bercadang untuk ke Malaysia pada cuti musim panas nanti untuk menikmati durian. Tak sangka mereka suka durian yang kebiasaannya dibeli yang sejukbeku dari pasaraya.

Semoga persahabatan dua keluarga ini kekal selamanya.

Ibu Lily berkata kepada kami, "You are our best family friend in Korea!"
 


TIDAK PERNAH TERLAMBAT UNTUK BERMULA

Entri 136

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Beberapa hari lepas, saya ada berborak dengan kawan lama di Malaysia dulu.

Saya hanya mengenalinya melalui internet apabila dia membeli handmade totebag dari saya. Kemudian dia membeli beberapa produk lagi dengan saya dan akhirnya kami berjumpa buat kali pertama untuk urusan penghantaran barang.
 
Tetapi sikapnya yang mesra dan sentiasa sokong apa yang saya buat, membuatkan saya rasa dekat dengannya.
 
Sekarang mungkin sudah lebih 5 tahun usia persahabatan kami. Kak Aya dan kawannya Kak Ton sangat mesra orangnya. Mereke berdualah yang menolong saya menjual stok kain pasang yang belum habis sewaktu saya hendak berangkat ke Korea pada tahun 2013 dahulu.
 
Kak Aya sekarang buat beberapa bisnes perniagaan online. Boleh lawati laman web beliau di SINI.

Semasa berborak melalui Whatsapp, dia mesra seperti biasa. Kami berbincang tentang beberapa isu dan salah satunya berkenaan berniaga online.

Kami berdua seperti takut untuk bermula kerana saya sendiri ada pengalaman tidak manis yang membuatkan kerugian.

Tetapi Allah Maha Adil. Setiap ujian ada hikmahnya. Mungkin itu bukan rezeki saya.

Apabila Kak Aya menceritakan pelbagai bisnes yang dia lakukan sekarang, saya kagum. Beliau bekerja, dan juga menguruskan anak-anak. Tetapi sempat buat pelbagai perniagaan.

Jadi, saya dapat satu semangat yang kita tidak pernah lambat untuk bermula.

Selagi ada kemahuan dan jiwa yang kental, kita boleh bermula.

In shaa Allah semoga tapak dalam Akademi Bekerja di Rumah ini memberi nafas baru untuk saya.

 

Thursday, April 14, 2016

WAKTU YANG PALING MAHAL

Entri 135
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Hujung minggu baru-baru ini dua hari berturut-turut kami ke taman yang sama atas permintaan anak-anak.
 
Selain ingin menikmati pemandangan pokok Sakura yang berkembang mekar di permulaan musim bunga, cuaca pada waktu itu juga sesuai untuk anak-anak bermain di luar.
 
Setelah beberapa bulan berhibernasi dek musim sejuk, waktu sebeginilah amat berharga sebelum musim panas tiba.
 
Waktu berharga ini juga 'paling mahal' kerana suami ada masa untuk anak-anak.
 
Kebiasaannya dia kena bekerja di hujung minggu dan sehingga lewat malam pada hari biasa.
 
Apabila ada waktu lapang begini, Daniel lah orang paling gembira kerana dia ingin main bola sepak dan badminton dengan Papa.
 
 
 
 
Ini gambar selepas penat bermain di padang. Kami berjalan-jalan di sekitar taman. Tetapi anak-anak tidak pernah kepenatan. Masih ingin bermain bola walaupun agak berbukit sedikit.
 

 
Kemudian, kami ke kawasan senaman. Bukan kami sahaja yang ingin bersenam, anak-anak juga mengambil kesempatan, tetapi kami masih berwaspada dari aspek keselamatan.
 

 
Hanaa dan Papa bonding time
 
 
 
Gambar Damia dan Hanaa ini saya ambil sewaktu Daniel dan Papa main bola sepak di padang.
 
Mereka berdua ini bermain di taman permainan berdekatan.
 
Kelihatan ada sebuah "pondok" buku di belakang sana. Itu adalah perpustakaan mini di taman ini. Semua buku berbahasa Korea ;)
 
Sayup kelihatan Daniel bermain bola sepak.

 
 
Sebelum pulang, Daniel bergambar dengan bola kesayangannya. 
 
Anak-anak gembira, kita bahagia. 
 

Tuesday, April 12, 2016

NAK BERNIAGA? CUBA MULA BISNES TANPA MODAL

Entri 134

Teks: Masayu Ahmad


Mula bisnes tanpa modal sudah menjadi satu lagi permulaan yang baik bagi bakal usahawan yang baru mengenali pemasaran online. Ini sangat sesuai bagi suri yang tidak ada asas urusniaga online.

 
Menyertai program dropship adalah salah satu cara untuk belajar dan berlatih.

Apabila mencari maklumat berkaitan apa-apa program menjana pendapatan di internet, suri mudah terdedah dengan risiko berikut.

1. Permulaan modal yang besar.

2. Mula dengan berhutang atau membuat pinjaman bank.

3. Diberi gambaran bisnes sangat berjaya dengan ganjaran pendapatan lumayan, rumah besar, kereta besar.


Tiga faktor di atas sangat banyak digambarkan kepada usahawan yang sangat baru dan mahu belajar bisnes. Sedangkan dropship adalah salah satu cara rendah risiko yang boleh disertai.

Berikut panduan asas tentang apa itu dropship.

1. Program menjana pendapatan secara online iaitu mempromosi produk melalui laman web, facebook, blogshop, shopping cart.

2. Pembekal produk biasanya menawarkan dropship iaitu mencari agen pemasaran untuk mempromosi, menjual dan mendapat komisyen hasil dari jualan.

3. Agen jualan atau agen dropship boleh memilih sama ada menyertai program dropship berbayar atau percuma/

4. Bagi pihak agen dropship dikenali juga sebagai rakan niaga, hanya akan mempromosi produk yang dbibekalkan pembekal. Apabila ada jualan, agen hanya membuat bayaran terus kepada pembekal dan memberi maklumat pelanggan.

5. Pembekal akan menerima bayaran dan membuat penghantaran produk dan memaklumkan semula kepada agen dropship tentang status penghantaran.

6. Agen dropship adalah pengantara antara pelanggan dan pembekal.

7. Manakala pembekal hanya fokus kepada agen droship, urusan stok produk, menyediakan bahan periklanan dan juga status produk yang dihantar atau juga perkara berbangkit.

8. Sebagai agen dropship, usahawan yang masih baru boleh memilih senarai pembekal berdasarkan satu jenis produk. Dan boleh fokus kepada pembekal yang aktif dan memberikan bahagian komisyen yang besar.

9. Contohnya usahawan sudah membina satu laman jualan berkaitan tudung labuh. Jadi boleh menggunakan kata carian menjejak pembekal tudung labuh yang menyediakan program dropship. Usahawan memperolehi 20 senarai, buat senarai pendek lima pembekal dan mula sertai program tersebut. Sehinggalah mendapat kesesuaian dan keserasian pembekal mana yang paling aktif dan mudah berurusan.

10. Cara ini sangat praktikal tanpa perlu mengeluarkan produk tetapi fokus kepada aktiviti pemasaran atas talian. Tidak perlu mengeluarkan kos yang besar dan juga tidak perlu menguruskan stok.

11. Agen dropship hanya perlu fokus kepada mencari senarai produk yang mempunyai nilai komisen yang besar dan juga fokus membina pelanggan berdasarkan fokus produk contoh tudung labuh.

12. Sebagai agen dropship, suri boleh membuat matlamat jualan contohnya 5 jualan sehari. Katakanlah 1 tudung mendapat keuntungan bersih RM20, maka matlamat jualan harian adalah 5 helai jadi akan dapat RM100 pendapatan bersih.

13. Fokus sasaran jualan ini sangat penting untuk mendapat ukuran yang jelas dengan aktiviti kerja harian iaitu mempromosi, memasarkan dan berjaya mencapai matlamat jualan.

14. Matlamat seterusnya sehingalah mampu mengambil stok bagi tudung labuh yang mempunyai rekod 'jualan laris' dan mampu mengambil stok.

15. Apabila sudah pandai mengumpul modal dan mempunyai stok sendiri, fasa seterusnya boleh pula membina pasukan jualan atau menawarkan program dropship pula.

 

Nota tambahan: Jom bergabung dengan kami di Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR). Sekiranya ada sebarang pertanyaan, bolehlah hubungi saya di tinicraft@gmail.com.

 
Terima kasih.

ANTARA SAAT YANG AKAN DIRINDUI

Entri 133
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Semalam saya mengemas rumah seperti rutin biasa.
 
Tiba saat saya sedang vacuum, Hanaa yang sedang membuat buku kerjanya tidak berpuas hati apabila suaranya sayup-sayup kedengaran apabila memanggil saya.
 
Kemudian dia datang pada saya. "I want to help too!", katanya sedikit kuat.
 
Saya hentikan vacuum lalu berikan dia roller ini. Dia pernah buat sebelum ini, jadi tiada masalah untuk Hanaa menggunakannya.
 
Saya teruskan kerja seperti biasa, dan curi-curi ambil gambar ini untuk dihantar kepada suami.
 
Memang setiap kali ada aktiviti dengan anak-anak, saya akan terus hantar gambar kepada suami supaya dia juga dapat merasai manisnya melihat perkembangan anak-anak.
 
Tiba-tiba, saya dapat mesej kembali dari suami.
 
"You will miss this moment when she's in school later"
 
Mata saya berair. Hati saya sayu.
 
Ya, saya akan rindui saat-saat bersamanya di rumah.
 
Hanaa, mama nak pergi sekolah juga, ok?
 

Saturday, April 9, 2016

KITAR SEMULA BAHAN TERBUANG

Entri 132
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Saya bukanlah seorang yang berseni. Bakat menjahit ada suam-suam kuku.

Melukis, menggubah bunga seperti tiada langsung.

Tetapi saya suka mencuba.

Terbaru, saya cuba membuat projek kitar semula menggunakan bahan terbuang.

Saya terjumpa kayu palet ini di backyard rumah.

Setelah beberapa minggu saya simpan, saya terfikir untuk buat sesuatu tanpa perlu mengeluarkan kos yang banyak.

Kebetulan pula, saya ada stok kain cotton untuk aktiviti menjahit saya. Saya pilih corak ini.

Dengan menggunakan hot glue machine yang sememangnya saya sudah ada, inilah hasilnya.

 

Alhamdulillah, ringkas sahaja. Tetapi sejuk mata saya memandangnya.

Suami dan anak-anak pun suka.

Terapi diri, takperlu mahal.

 

MANISNYA KETENANGAN

Entri 131
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Berada di bumi asing tidak bermakna kita jauh dari Dia.

Dulu semasa merantau di Amerika selama hampir 4 tahun, saya pernah rasa lemah pada mulanya.

Kadang-kadang rasa takut, sedih, sunyi dan sebagainya.

Tetapi saya terjumpa seorang kawan Somalia beragama Islam. Katanya, setiap kali kemana sahaja kita pergi pun, kita cari Masjid. Baru kita akan 'jumpa' segalanya.

Cari masjid, in shaa Allah kita tidak 'sunyi'. Rezeki kami, masjid berada tidak jauh dari kawasan universiti.

Di situ, kita boleh jumpa ramai orang Islam yang mana kita sendiri pun tidak tahu rupa-rupanya ada ramai orang Islam di sesebuah negara tersebut.

Di situ juga saya belajar erti sahabat yang ada ketika kita susah, dan bahagia ketika kita senang.

Di Korea ini, hampir setiap hari saya nampak masjid nun di atas bukit sana. Walaupun tiada peluang untuk ke sana setiap hari, dapat melihatnya pun saya sudah rasa tenang.

Semalam, saya berpeluang menunaikan solat Jumaat bersama beberapa muslimah yang lain, termasuk si kecil Hanaa.

Walaupun Hanaa pada mulanya bersemangat memakai telekung tetapi kemudiannya terlelap sewaktu khutbah, tetapi jelas terpancar keterujaannya untuk ke masjid. "I want to Solat", katanya.

Rezeki  saya semalam, ketika sampai di masjid, ada sesi tazkirah dalam bahasa Inggeris. Kemudian, diikuti dengan azan dan khutbah Jumaat di dalam bahasa Arab sebelum kami bersolat Jumaat.

In shaa Allah kalau ada rezeki lagi, saya ingin ke sana lagi.

Bersolat di masjid, walaupun sesekali, tetapi manisnya ketenangan amat dirasai.


 

Friday, April 8, 2016

HALAL RESTAURANT ITAEWON - PAK INDIA RESTAURANT

Entri 130

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Keluarga kami di sini bukan selalu makan di luar atas pelbagai sebab.  Di antaranya adalah kerana kami tinggal bukan di kawasan restoren halal dan kebanyakan makanan di Itaewon sana berunsurkan biryani dan sebagainya.

Anak-anak selera Melayu hasil masakan di rumah. Tetapi sesekali, teringin untuk makan biryani, kami ke Restoren Pak India di Itaewon yang terletak berdekatan dengan kawasan masjid.

Walaupun terdapat banyak lagi kedai biryani, tetapi kami lebih suka ke Restoren Pak India. Bukan sahaja pemiliknya peramah dan murah dengan senyuman, mereka suami isteri juga amat mesra dengan anak-anak kami.

Kedai yang agak kecil, tetapi selalu dipenuhi pelanggan sehingga ada yang sanggup menunggu giliran di luar restoren.



Restoren ini menyajikan makanan berunsurkan masakan Pakistan dan India. Semua makanan di masak sebaik sahaja pesanan diterima menjadikan makanan mereka sentiasa segar dan enak dimakan. 

Berbaloi menunggu dengan hasil yang dapat dinikmati. Satu pinggan biryani boleh dikongsi dua orang dewasa kerana agak banyak.


Biryani daging  lembu

Shish Kebab yang sangat juicy.

Garlic Nan

Sekiranya anda mencari-cari makanan halal di Itaewon, ini adalah salah satu restoren yang cadangkan untuk anda pergi selain MAKAN dan EID (makanan korea). Sekiranya gerbang ke masjid di sebelah kiri anda, sila jalan terus dan perhatikan deretan kedai di sebelah kiri. In shaa Allah anda akan jumpa restoren di atas.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...