Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Semasa saya mula sampai di Korea ini, saya amat tertekan terutamanya tentang makanan. Hampir semua makanan saya perlu berhati-hati untuk membelinya dek tidak tahu memahami bahasa Korea.
Alkisahnya suatu hari, saya meminta suami membeli roti keping empat segi untuk membuat sandwich bagi sarapan pagi di rumah. Kebetulan pada waktu itu ada tetamu di rumah, Aina dan Ammar serta Balqis, anak perempuan mereka. Mereka merupakan bekas pelajar Malaysia di sini dan akan pulang ke Malaysia pada sebelah petangnya.
Setelah menggoreng bihun, suami pulang dari kedai runcit berdekatan dan membawa roti seperti dipinta. Tanpa berlengah, saya menyiapkan inti tuna istimewa untuk tetamu. Sambil berborak kosong dengan Aina, tangan saya tangkas menyiapkan sandwich.
Tiba-tiba, Aina terkejut melihat plastik pembungkus roti tersebut.
"Akak, roti ini tidak boleh makan. Lihat di sini ada ditulis penyediaan roti ini adalah di premis yang sama menyediakan roti berunsurkan daging babi juga," terang Aina.
Secara automatik, tangan saya berhenti bekerja. Saya baru perasan jenama roti dibeli suami pada hari itu tersebut lain dari biasa. Tiada rezeki sandwich pada pagi tersebut.
Bermula dari saat itu, aktiviti meroti yang serius bermula. Saya pernah buat roti sebelum ini di sini, tetapi tidak berapa kerap. Sejak dari peristiwa itu, aktiviti meroti sangat kerap, seminggu sekali adalah pasti.
Apabila tepung roti yang dibawa dari Malaysia sudah kehabisan, maka bermula lah aktiviti "flour hunting". Bunyinya agak serius kerana saya tidak tahu berbahasa Korea dengan baik. Saya mula mencuba beberapa jenama tepung di sini, sehingga saya dapat mana yang serasi.
Selepas itu, apabila beberapa orang bertanya saya berkenaan tepung, saya sudah boleh beritahu mana yang sesuai untuk roti, kek, pizza dan sebagainya.
Seperti tepung ini, tiada satu patah pun perkataan Bahasa Inggeris, semuanya basa Hangeul. Tetapi ada gambar roti dan donat di depannya. Saya tanya pada pekerja kedai, "pang" bermaksud roti dalam bahasa Korea. Dia ,tunjuk tepung ini.
Setelah beberapa kali mencuba, doh saya menjadi lembik dan saya perlu ubah resepi yang saya biasa buat sebelum ini. Tidak puas hati, saya cuba jenama lain.
Kemudian, setelah beberapa kali bereksperimen, saya sudah tahu tepung mana yang sesuai dengan saya. Warna biru di bawah! Memang tidak faham apa-apa juga pada plastik pembungkusnya, tetapi saya melihat gambarnya dan juga cuba jaya sendiri.
Tepung biru itu untuk roti, pizza dan donat yang gebu, Alhamdulillah. Manakala yang hijau muda di bawah itu adalah untuk mendapatkan kek yang lembut iaitu tepung serbaguna. Boleh juga digunakan untuk buat pizza dan donat. Ada lagi satu warna dari jenama yang sama bewarna coklat, tetapi saya tidak pernah cuba kerana sudah berpuas hati dengan dua warna tersebut.
Ini pula kek red velvet yang gebu di dalamnya menggunakan tepung serbaguna berwarna hijau tadi.
Begitulah sedikit sebanyak asam garam kami di sini untuk bab meroti. Banyak lagi asam garam lain yang telah dan akan saya kongsikan bersama. Alhamdulillah di atas peluang ini semua.
No comments:
Post a Comment