Check this out

Monday, April 4, 2016

BAHAGIA ITU INDAH

Entri 125


Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Alhamdulillah dapat bertemu lagi di sini. Saya sangat rindukan "teman berbicara" saya ini. Blog yang sudah lama tidak ditulis. Saya agak sibuk sebelum ini sejak kedatangan tetamu yang sudah lama saya tunggu akan kehadiran mereka. Ma, Abah dan adik saya.
 
Adik saya sudah lama menyuarakan untuk datang ke Korea namun atas urusan kerja, hanya pada kali ini dia dapat bercuti panjang. Ma dan Abah  pula sudah lama juga saya pujuk untuk datang ke sini, namun hanya pada tahun ketiga kami di sini mereka berpeluang menziarahi kami sekeluarga.
 
Anak-anak gembira bukan kepalang, tambahan pula pada waktu itu mereka sedang bercuti Spring Break. Masa lapang terisi sepenuhnya dengan layanan Tokbah, Tokma dan Cik Jah (adik saya).
 
Ditambah pula dengan pokok sakura di belakang rumah yang mula kembang mekar, bukan sahaja anak-anak, malah Ma, Abah dan adik saya juga sangat teruja. Alhamdulillah, ia kembang pada waktu yang sama seperti tahun lepas, iaitu 31 Mac 2016.
 
Hampir setiap pagi dan petang jika tidak ke mana-mana, anak-anak minta izin untuk main di belakang rumah bersama-sama Tokma, Tokbah dan Cikjah.
 
Sudah lama kami berkurung di dalam rumah dek cuaca yang sejuk terlampau, kali ini saya sendiri yang beria-ria untuk keluar.
 
Jiran di sebelah atas pula sudah mula menjemur pakaian di ampaian di luar rumahnya menandakan cuaca sudah mulai panas musim bunga. Ma saya kata, masih sejuk. Malah setiap malam saya pasangkan pemanas di dalam rumah kerana Ma alah kepada sejuk.
 
Kehadiran mereka amat bermakna dan tidak dapat diucap kebahagiaan yang saya rasa. Rindu pada mereka terubat seketika. Melihat dengan kasih wajah ibu bapa, in shaa Allah besar pahalanya.
 
Semoga episod perantauan ini cepat berlalu. Sudah tidak mampu menanggung rindu lagi.
 








No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...