Entri
127
Teks: KHUSHARTINI
KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI
KAMARULZAMAN
Subuh di sini sudah menginjak ke awal pagi iaitu jam 440 pagi waktu tempatan. Saya bangun awal pagi dan kebiasaanya tidak tidur kembali selepas Subuh. Tetapi hari ini saya kembali berbaring kerana tidak sedap badan.
Selepas sejam (terjaga banyak kali), saya menuju ke dapur untuk bersarapan. Ambil pisau untuk potong roti yang dibuat hari Sabtu lepas bagi menyediakan roti bakar. Tanpa saya sedari, saya menghiris jari sendiri. Sakitnya sangat ngilu.
Darah keluar menitik, saya bergegas mencari strip bandage di kabinet bilik air. Selepas sapukan gamat, saya balut jari. Agak pedih.
Saya buat secawan kopi dan duduk di meja sambil melihat jari telunjuk yang luka.
Saya sudah lama tidak asah pisau di dapur. Tetapi sewaktu Abah dan Ma datang tempoh hari, Abah lah yang asah semua pisau.
Saya terfikir, hati kita pun kalau sudah lama tidak "diasah", akan tumpul juga. Allahu Akbar.
Sejak kepulangan Abah dan Ma ke Malaysia, saya banyak bermuhasabah diri.
Berbicara tenang dan selesa dengan orang tua, kita pasti dapat sesuatu darinya. Mereka kelihatan tidak terkejar-kejar akan hal dunia. Bangun tahajjud seperti biasa walaupun Subuh di sini awal dan waktu di sini awal sejam dari Malaysia.
Mengenang erti memberi dan menerima, mereka menunjukkan erti sebenar bahagia.
Ya Allah banyak nya dosa yang sudah dilakukan tanpa saya sedari.
Hati dah tumpul, syaitan cucuk sedikit sudah tersungkur, tidak cuba melawan.
Alhamdulillah, syukur ya Allah kerana telah menyedarkan lamunan hidupku. Walaupun kebenaran pahit untuk diterima terhadap semua kekhilafan diri, namun terasa manisnya nikmat penyesalan.
Manisnya kerana Allah sedarkan kita sebelum lebih jauh lagi tenggelam.
Manisnya kerana Allah kejutkan kita dari hanyut kealpaan.
Manisnya kerana Allah beri peluang sebelum menutup mata.
Hidup mesti diteruskan.
Pisau sudah tajam, kerja menjadi lebih cekap, namun masih perlu berwaspada.
Hati sudah tajam, iman dan amal perlu diperelok dan sentiasa berwaspada akan tipu daya syaitan yang datang dalam pelbagai bentuk dan orang di sekeliling kita.
Semoga kita semua di bawah lindungan Allah SWT.
Aamiin.
No comments:
Post a Comment