Check this out

Sunday, January 3, 2016

BEKERJA DI RUMAH SAMBIL MENGURUSKAN TIGA ANAK

Entri 100

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto:KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Bagi sesetengah ibu, mereka menganggap menjaga anak-anak di rumah seharian adalah umpama mimpi ngeri! Ya, ada ibu-ibu yang saya jumpa, mereka lebih sanggup pergi bekerja dan menghantar anak-anak kepada orang lain dari menjaga mereka sendiri di rumah. Bukan disebabkan perlu bekerja, tetapi mereka kata tidak tahan karenah anak-anak, jadi lebih baik pergi kerja.

Saya faham bagaimana sibuknya menjaga anak-anak di rumah, tetapi sebagai seorang ibu, tidak patut mengeluarkan kenyataan sebegitu. Malah ramai lagi ibu-ibu di luar sana yang bertungkus lumus bekerja dan berusaha untuk menjadi surirumah sepenuh masa semata-mata untuk membesarkan anak-anak di depan mata mereka sendiri.

Tidak dinafikan ada juga ibu-ibu yang berpeluang untuk menjaga anak-anak sendiri dan mungkin bekerja dari rumah, membuat tindakan yang kurang sesuai seperti membiarkan anak-anak bermain ipad di luar bilik manakala ibu tersebut mengunci dirinya di dalam bilik semata-mata untuk "bekerja" seperti menggunakan komputer dan sebagainya. Bagi diri saya, ini suatu perkara yang harus dipandang serius. 

Di sini, saya ingin berkongsi cara saya bekerja di rumah sambil menguruskan anak-anak. Lain orang lain caranya, tetapi tidak salah jika kita sama-sama berkongsi. Saya pun masih lagi membaca tips-tips dari ibu-ibu lain kerana pembelajaran ilmu ini tidak akan pernah habis.

Perkara utama bagi saya sendiri adalah, mula awal pagi. Semua aktiviti yang memerlukan penumpuan dan ketelitian perlu dibuat sewaktu anak-anak masih tidur. Saya membuat entri blog, mengemaskinikan akaun, membuat transaksi bank, menjahit dan sebagainya sewaktu anak-anak sudah tidur pada malamnya ataupun masih belum berjaga pada waktu pagi. Pendek kata, pada waktu itu, kita tidak ada sebarang gangguan. Apabila kita fokus, masa yang diperlukan adalah tidak begitu lama dan fikiran pun tidak kusut, in shaa Allah.

Selain itu, dari awal lagi kita harus latih anak yang sulung dahulu. Ini saya belajar dari "super senior" saya di Amerika dahulu. Dia menguruskan empat anak lelakinya sendiri di bumi asing, di Arizona. Kata beliau, jika kita sudah latih anak yang sulung, in shaa Allah adik-adiknya nanti senang untuk didisiplinkan kerana role-model sudah ada.

Saya masih ingat lagi, saya mula aplikasikan teknik "train the first child" sewaktu saya kusut mengajar anak-anak hafazan. Pada masa itu saya agak kebingungan kerana cuba mengajar si abang surah hafazan yang lebih panjang memandangkan dia sudah tahu beberapa surah lazim dan si adik surah yang lebih pendek tetapi semuanya tidak terurus kerana menghafal dua surah berlainan.

Dek kekangan masa dan cara yang tidak betul, sesi hafazan terhenti buat seketika. Sehingga suatu hari saya dapati si abang sudah mula lupa apa yang dia sudah belajar sebelum ini. Salah saya kerana saya terlepas pandang untuk mengulangkaji. Semasa solat pun, saya dapati dia hanya membaca surah yang sama. 

Saya kemudiannya bermula dari bawah. Buat satu jadual nama, surah dan beberapa kolum pencapaian. Siapa dapat hafal, akan dapat sticker bintang. Alhamdulillah, kerja saya menjadi senang. Sambil mengajar si abang, si kakak pun belajar sama. Proses hafazan menjadi lebih mudah apabila saya membuat peraturan, sesiapa yang dapat hafal tidak akan dapat sticker sehingga dia pastikan yang lagi seorang pun dapat menghafal juga. Abang yang lebih senang menghafal turut membantu Tasnim si kakak untuk menghafal. Sehinggakan sewaktu di meja makan untuk sarapan pun, mereka masih counter-check bacaan masing-masing.

Tips lainnya bekerja di rumah selain train the first, saya bagi nama jawatan kepada setiap anak seperti berikut:-

Fahmi - "Captain of the Children"
Tasnim - "Captain of the Cleanliness"
Hanaa - "Captain of Kiss and Cuddle" - dia pilih sendiri :)

Apabila semua sudah berjawatan sebegini, mereka seperti berbangga dengan panggilan tersebut. Apabila ada perasaan bangga sebegitu, mereka akan cuba menjalankan tugas masing-masing dengan sebaiknya. Jadi, apabila saya perlu memasak, membasuh dan sebagainya, urusan mengendalikan mereka lebih senang.

Tips yang seterusnya adalah melibatkan anak-anak sebanyak mungkin dalam kerja seharian. Contohnya, saya ada ajar si abang dan kakak untuk membasuh pinggan, memasukkan kain ke dalam mesin basuh, mengeluarkan kain dari situ, menjemur, melipat dan sebagainya. Secara tidak langsung, Hanaa si kecil itu pun akan belajar membuat aktiviti tersebut. Terbaru saya ajar menyapu dan mengemop rumah. Mop yang hanya menggunakan mopping tissue itu sangat membantu. Tidak perlu menggunakan air dan berkecah-kecah. Hanya saya seorang sahaja mengendalikan mop menggunakan air sewaktu anak-anak fokus membuat aktiviti lain untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Satu lagi, cuba buat aktiviti yang berlainan setiap hari. Seperti saya, jika ada cuti panjang seperti Spring Break, Summer Break atau Winter Break, saya memang akan susun jadual harian sepanjang cuti tersebut dan anak-anak akan tahu apakah aktiviti mereka untuk hari berikutnya. Di antara aktiviti yang kami lakukan di dalam rumah adalah:

Melukis dan mewarna  dengan water colour
Cooking Club (membuat muffin, cookies, pasta dan sebagainya)
Membuat art and craft menggunakan bahan terbuang
Permainan melukis dan meneka gambar
Picnic & Tea Party
Menonton cerita pilihan bersama-sama (Movie and Popcorn Day)
Cleaning Day Activities 

Ada banyak lagi aktiviti yang dilakukan bersama-sama yang membantu mereka untuk tidak bosan di dalam rumah. Apabila mereka seronok, kita akan senang untuk melakukan kerja-kerja yang lain. Jangan biarkan anak-anak terlalu banyak menonton tv dan jangan pula tidak bagi langsung anak-anak untuk merehatkan minda mereka. Sebagai contoh, pada hari persekolahan, saya hanya membenarkan mereka menonton tv pada hari Isnin dan Jumaat sahaja selama satu jam selepas mereka menyelesaikan urusan balik dari sekolah. Pada tiga hari lainnya, mereka berdua ada aktiviti kelab di sekolah, jadi waktu agak terbatas. Dan mereka juga terlalu penat untuk membuat aktiviti lain makan dan solat, kerja sekolah dan tidur.

Apa-apa pun, perkara utama apabila bekerja di rumah adalah menguruskan masa dengan bijak dan semestinya urusan anak-anak harus diutamakan. Ingat balik tujuan kita bekerja di rumah. Jangan lari dari niat asal tersebut.
Jika ada tips menarik untuk dikongsikan bersama, boleh tinggalkan di ruang komen di bawah. Terima kasih. Sehingga berjumpa lagi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...