Entri 109
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Hanok Village di Suwon, salah satu tempat lawatan kami di bumi Sonata ini pada musim panas yang lepas.
Agak terlambat untuk berkongsi cerita kami ke sana, namun masih lagi boleh memberi idea kepada sesiapa yang datang ke Korea pada masa akan datang, in shaa Allah.
Kenapa kami ke sana pada musim panas?
Ya, tempatnya tersangat luas, banyak aktiviti yang boleh dibuat di sini. Jika cuaca sejuk, amat tidak sesuai terutamanya bagi yang mempunyai anak-anak kecil seperti kami.
Perjalanan kami dimulakan seawal jam 8.30 pagi untuk mengelakkan kesesakan jalanraya. Pada jam 9.10 kami akhirnya selamat meletak kereta di tempat parkir setelah dua kali membuat pusingan "U" dek cik GPS tersalah memberi arah.
Setibanya di pintu masuk, kami dibenarkan masuk awal setelah membeli tiket walaupun tertera maklumat tempat ini hanya dibuka jam 9.30 pagi.
Fahmi agak teruja berbanding yang lain kerana dia telah pergi ke tempat ini semasa lawatan sekolah di Tahun Satu. Tasnim dan Hanaa sepertinya tercengang, tempat apakah ini? Mereka meminta peta seperti Abang.
Lagak tiga orang pelancong kecil ini mencuri perhatian beberapa orang di situ.
Apabila ternampak tempat menyewa "stroller", kami terus ke sana. Sudah tahu perangai Hanaa yang akan penat di tengah jalan, kami tidak mahu ambil risiko penat mendokongnya jika ketiduran. Kalau tidak salah ingatan saya, sewanya hanyalah dalam lingkungan KRW2,000 hingga KRW 3,000 sahaja.
Uniknya salah sebuah restoren di situ. Masih belum dibuka, kami hanya lalu sahaja. Lagipun, sudah menjadi rutin kami membawa makan dari rumah dan tidak perlu menyinggah mana-mana tempat makan yang belum tentu boleh makan apa-apa.
Cuba menyelami kehidupan orang-orang Korea pada zaman dahulu kala. Menggunakan pengangkutan ini untuk mengangkut barang-barang besar dan berat dari satu tempat ke tempat yang lain.
Tidak melepaskan peluang untuk cuba permainan tradisional orang Korea. Melontar batang buluh ke dalam bekas di hadapan itu. Ringkas, tetapi perkara baru untuk anak-anak. Masih tidak ramai orang yang datang, jadi kami berlama-lamaan di kawasan ini.
Di bahagian belakang salah-satu bangunan istana lama di kawasan ini. Sepertinya, tiang-tiang kayu bangunan di sini masih kukuh, terjaga rapi.
Kemudian, kami tidak ketinggalan untuk mengikuti persembahan tarian tradisional dari kumpulan penari ini. Dengan muzik tradisional yang digunakan, suasana bertambah meriah dengan adanya penyertaan dari penonton.
Saya amat kagum, masih ramai orang Korea yang datang ke tempat sebegini. Masih "laku" untuk mereka. Jelas kelihatan dalam satu-satu keluarga terdiri dari Atuk, Nenek, anak-anak dan cucu-cucu. Mereka sentiasa diajar tentang asal usul dan sejarah orang dulu-dulu.
Kami sekeluarga tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama-sama dengan mereka yang membuat persembahan itu. Walaupun tidak menggunakan berbahasa Inggeris dan kami pula tidak pandai berbahasa Korea, tetapi kami tetap menikmati persembahan mereka.
Sekitar tinggalan rumah-rumah lama dan juga kawasan istana lama.
Ini adalah kawasan tempat makan. Banyak kedai-kedai makanan di kawasan ini yang terdiri dari pelbagai jenis makanan tradisional orang Korea. Mejanya pun sangat unik, diperbuat dari kayu.
Kami seperti biasa, hanya makan makanan dari rumah. Walaupun tidak meriah, tetapi in shaa Allah halalan toyyiban.
Salah satu kedai cenderamata. Sangat unik. Kami memang merasakan sangat suasana kekampungannya.
Kemudian, anak-anak mencuba alat muzik tradisional Korea ini. Hanaa teruja dengan bunyi yang dikeluarkan apabila dia ketuk. Lebih kurang seperti alat muzik tradisional yang ada di Malaysia. Gendang, rebana, kompang dan sebagainya.
Tiba-tiba kami terdengar ada bunyi muzik yang sangat kuat. Memandangkan tidak faham apa-apa pengumuman yang dibuat dalam bahasa Korea, tetapi kami boleh tahu ini adalah upacara meraikan perkahwinan pengantin seperti pada zaman dahulu. Memang tidak jemu melihat upacara ini, terasa seperti di dalam filem Korea lama.
Mengikut rombongan pengantin itu, kami kemudiannya tidak melepaskan peluang untuk bergambar. Pengantin lelaki di atas kuda dan pengantin perempuan di dalam kotak yang diarak tersebut. Persembahan ini diadakan sekali sehari dan mengikut masa yang telah dijadualkan. Jadi, rancangan lawatan anda.
Ini pula di dalam muzium lama di dalam kawasan ini. Banyak lagi gambar yang kami ambil sebab semuanya seperti menarik pandangan kami. Tetapi saya hanya kongsikan sedikit di sini. Mereka abadikan pelbagai khazanah lama di muzium ini. Pelbagai cara digunakan untuk kongsikan kehidupan zaman dahulu bagi tatapan dan pengalaman kanak-kanak dan anak-anak muda zaman sekarang. Berbaloi, kerana mereka amat menghargai sejarah.
Ini pula buaian tradisional orang Korea yang disediakan untuk pengunjung merasakan pengalaman seperti zaman dahulu kala.
Jambatan kayu yang sangat kukuh dan masih boleh digunakan. Sangat menarik. Air anak sungainya pun amat jernih dan bersih.
Saya akan buat lagi satu entri sambungan lawatan kami ke sini yang membuatkan anda rasa berbaloi untuk ke sini bersama anak-anak.
Sehingga berjumpa lagi.
No comments:
Post a Comment