Check this out

Sunday, January 17, 2016

SALJI MALU-MALU KUCING

Entri 103

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Selamat pagi dari bumi Seoul, bersuhu negatif. Sejuk menggigit.

Alhamdulillah syukur masih bernafas di bumi Allah dan masih lagi mampu menulis di sini setelah agak sepi seketika atas sebab kesihatan. Selagi namanya hidup, ada kalanya sihat, adakalanya sakit. Ada kalanya kita di atas, ada kalanya kita di bawah.

Beberapa hari lepas, anak-anak kembali teruja dengan kehadiran cik salju putih, walaupun sekejap dan sedikit sahaja. Setelah beberapa kali ramalan cuaca mengatakan salji akan turun tetapi tidak, anak-anak agak hampa.

Bukan pertama kali mereka melihat salji, namun setelah dua tahun berada di sini, musim sejuk pada kali ini agak kurang sejuknya dan saljinya. Aktiviti kebiasaan anak-anak pada musim sejuk tidak seperti sebelum ini dek ketiadaan salji.

Kadang-kadang saya sendiri pun rasa teruja melihat butiran putih turun bak kapas dan keadaan di dalam rumah pun akan menjadi lebih cerah dari biasa dek tempias pantulan warna putih dari luar rumah.

Ini adalah kawasan belakang rumah kami (backyard) tempat anak-anak bermain dan membuat aktiviti melukis dan mewarna.




Hanaa menjadi orang pertama keluar ke belakang rumah setelah cepat bersiap berbanding kakak dan abang.


Tasnim membuat aktiviti menyodok salji yang tidak berapa banyak itu untuk membuat snowman katanya.

Tiga anak-anak syurga saya, in shaa Allah. Melihat mereka riang bermain membuatkan hati kita tenang dan dapat melupakan kesibukan seharian.


Orang salji mereka yang agak kecil dek ketidakcukupan salji pada kali ini. Namun mereka tetap bersemangat seperti biasa.

Memandangkan ini adalah musim sejuk terakhir kami di bumi Seoul ini, saya berdoa agar ada lagi salju untuk anak-anak mengabadikan memori indah di bumi asing ini.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...