Entri 120
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Beberapa hari lepas, saya berjumpa dengan ibu kepada seorang pelajar Sweden yang turun dari bas sekolah yang sama dengan Fahmi dan Tasnim. Dia kelihatan sangat penat dan mengantuk. Katanya, penerbangan mereka dari destinasi percutian sampai di awal pagi tersebut.
Dia tanya pada saya, ke mana saya dan keluarga pergi bercuti selama cuti seminggu Lunar New Year tempohari? Seperti biasa, saya tersenyum. Saya menyusun kata, membuat rumusan aktiviti kami sekeluarga dan cuba mengolah ayat supaya tidak nampak membosankan.
Saya beritahunya kami ke Namsangol Hanok Village pada hari Lunar tersebut, bukan untuk menyambut perayaan, tetapi untuk melihat apakah aktiviti tradisional di situ memandangkan itu kali pertama saya dan anak-anak sampai ke Hanok Village. Pernah datang suatu masa dulu sampai tetapi tersilap hari, tempat itu ditutup. Nanti saya akan ceritakan lebih lanjut tentang lawatan ke situ.
Kami sekeluarga juga pergi menonton cerita kanak-kanak di pawagam keluarga di Ipark Mall. Pada masa itu, cerita Kungfu Panda 3 ditayangkan. Anak-anak sudah lama menantikan cerita itu.
Walaupun hanya menonton cerita anak-anak, singgah minum kopi dan makan donat serta sedikit groceries+toys shopping, anak-anak sangat gembira menghabiskan masa sekeluarga terutamanya apabila bersama Papa mereka.
Kadang-kadang apabila anak-anak diajak keluar pun, mereka tidak mahu kerana hendak habiskan masa bersama-sama di rumah. Cukup sekadar bermain catur, pingpong, basikal dan sebagainya. Jika ada Papa, mereka akan lebih gembira.
Apabila suami sudah mula bekerja pada hari ketiga mereka bercuti, saya kena mainkan peranan aktif seperti sebelum ini. Untuk bawa keluar, mungkin tidak mampu untuk menguruskan mereka bertiga, tambah pula cuaca sejuk. Jadi, kami hanya habiskan masa di rumah seperti biasa.
Di antara aktiviti yang dilakukan adalah, painting! Aktiviti yang sentiasa dinanti-nantikan mereka. Mungkin tidak semeriah painting di sekolah, tetapi sekurang-kurangnya mereka tidak pernah bosan untuk aktiviti ini.
Kami juga membuat aktiviti masak-masak bersama atau nama kegemaran mereka, cooking club! Pada kali ini, saya beri mereka buat sendiri dari menyiapkan sukatan bahan sehingga jadi pizza.
Walaupun Fahmi lelaki, tetapi dia amat sukakan bidang masakan. Katanya, dia mahu jadi Chef kerana dia suka makan! Dia sentiasa bertanya kepada saya apa bahan yang saya gunakan untuk masakan saya. Kadang-kadang saya beri dia pecahkan telur, tumis bawang, masak sayur dan sebagainya tetapi dengan pengawasan. Saya juga sudah ajar dia untuk masak basuh beras untuk masak nasi. Dia selalu teruja bab memasak apatah lagi bab makan. Makanan kegemarannya adalah Nasi Lemak. Dari pagi sampai malam dia boleh makan Nasi Lemak.
Saya biasanya hanya menggunakan bread maker untuk menjimatkan masa, tetapi kali ini saya biarkan anak-anak uli dengan tangan. Hasilnya Alhamdulillah, seperti biasa. Sangat lembut dan anak-anak sangat sukakannya. Setiap orang simpan sedikit pizza masing-masing untuk Papa rasa hasil tangan masing-masing.
Ada lagi beberapa aktiviti yang kami lakukan bersama sepanjang cuti sekolah tempoh hari. Mungkin biasa dan berulang-ulang aktiviti yang sama, tetapi cukup untuk membuatkan mereka gembira dan masa terisi dengan perkara yang berfaedah.
Apa yang lebih penting adalah kualiti masa itu sendiri. Walaupun sesibuk mana urusan seharian kita tidak kira yang bekerja atau tidak bekerja, cubalah curi sedikit masa dalam sehari untuk anak-anak.
Anak-anak makin membesar, hari demi hari akan sentiasa ada perubahan dan perkembangan dalam diri mereka. Cuba ambil tahu, cuba selami kehendak mereka, cuba belai mereka dengan kasih sayang dan masa bersama, bukan sahaja dengan mainan dan wang semata.
Secara jujurnya, sejak saya mula berhenti kerja, saya sendiri rindukan anak-anak apabila mereka ke sekolah dan apabila mereka tidur. Walaupun saya sepanjang masa bersama mereka selain waktu sekolah, saya tidak nafikan kerinduan itu.
Saya rindukan gelak tawa, suara tangis mereka yang semakin lama semakin membesar.
Suatu masa nanti, semuanya tidak akan sama lagi seperti mereka di waktu kecil.
Saya tahu saya akan rindukan saat ini.
Saya harus manafaatkan semua peluang waktu ini.
Terima kasih Allah.
akak pun tak kemana...demam juga.niat dihati nak ke taman burung tak kesampaian ...insya Allah next holiday
ReplyDeleteMusim demam skrg ni.akak da start buat blog baru ke?
Deletedah tini....russuziabdullah.blogspot.my
DeleteTini da visit blog akak.best baca cerita..
Delete