Entri 122
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Beberapa hari yang lepas, saya tidak sihat setelah menjaga suami dan Tasnim yang demam. Setelah mereka baik, tiba giliran saya pula. Saya tidak kisah sangat kerana Alhamdulillah Hanaa dan Fahmi sihat dan Tasnim dan Papa sudah beransur sihat.
Namun, apabila kita berada di rumah, rutin harian diteruskan seperti tiada apa yang berlaku. Mungkin ada sedikit 'jadual lari' dek urusan tidak selancar seperti biasa.
Ada satu hari, saya kepenatan setelah memanjat kerusi beberapa kali mengemas kabinet di dapur. Sudah menjadi kebiasaan bagi saya untuk memeriksa tarikh luput barang-barang makanan di dapur terutamanya yang dibawa dari Malaysia.
Mungkin agak remeh, saya cepat penat. Lalu, selepas memasak makan tengahari, saya terus berbaring di katil. Mata sudah tidak tahan lagi mengantuk dek makan ubat dan penangan bangun awal pagi.
Saya mengajak Hanaa tidur bersama saya memandangkan itu waktu tidur siangnya. Namun matanya masih segar kerana bangun sedikit lambat pada paginya.
Mata saya berat, badan penat dan sedikit panas. Dengan mata sedikit terbuka, saya dapat lihat Hanaa merenung saya. Kemudian dia terkial-kial membuka comforter untuk menyelimuti saya. Kemudian, saya dapat rasakan jari jemari kecil memicit-micit kepala saya.
Sebak saya rasakan, anak kecil ini sudah semakin membesar. Sudah memahami seorang ibu yang tidak sihat. Walaupun dia kadang-kadang masih lagi merengek bak bayi, tetapi hati kecilnya itu sangat peka dan sensitif pada keadaan saya.
Setelah setengah jam lebih berbaring dan terlelap seketika, badan saya sudah kebah, sedikit berpeluh. Hanaa masih lagi ditepi saya, membelek-belek bukunya. Mungkin dia menunggu saya bangun untuk melayannya membaca buku, tetapi dia hanya diam, tidak meminta-minta seperti biasa.
Hati anak kecil ini sudah mengerti akan erti sabar, sakit, penat dan rehat. Alhamdulillah.
Kemudian, saya mengajaknya ke ruang tamu dan membuka tv untuk menonton rancangan kegemarannya sementara saya ke dapur meneruskan sedikit lagi kerja yang terbengkalai.
Tidak berapa lama kemudian, saya lihat dia tertidur di meja di ruang tamu. Ya, memang sudah menjadi kebiasaanya tertidur di mana-mana, tetapi pada kali ini saya dapat rasakan dia begitu penat menahan mata dari jadual tidur petangnya tadi mungkin semata-mata untuk menjaga mama yang tidak sihat.
Aduhai anak, terima kasih kerana hati kecilmu memahami. Alhamdulillah.
alah sian nya tidur macam tu...
ReplyDeleteDia memang tidur di mana2.tp kali ni kesian sgt kepenatan tidak nap sblmnya.
Delete