Check this out

Tuesday, May 10, 2016

PENTINGNYA "PUSH FACTOR" UNTUK BERMULA

Entri 143
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN 

Saya sudah mendapat aura untuk menjahit kembali kerana saya tahu saya perlu menjahit baju raya tahun ini. 

Kebiasaannya saya akan siapkan baju tersebut sebelum bulan puasa tiba. Saya akan kongsikan entri baju raya dalam entri akan datang.

Saya telah siapkan baju raya tersebut dan momentum untuk menjahit tiba-tiba hilang. Mungkin sudah terasa tidak ada apa yang perlu untuk dijahit untuk masa terdekat.

Padahal, fabrik masih banyak dan pelbagai projek telah dirancang dan difikirkan (berangan sendiri).

Tiba-tiba saya mendapat tahu bahawa Fahmi yang sememangnya akan membawa watak Captain Hook untuk persembahan teater musim panas sekolahnya nanti, perlu menyediakan kostum sendiri.

Jadi, saya memulakan pencarian online untuk membeli pakaian tersebut di sini. Namun, saya hampa kerana harganya yang sangat mahal sehingga RM250. Sudahlah tiada hook nya, harga tersebut bertambah mahal pada fikiran saya.

Saya kemudiannya mengambil peluang untuk mencari bersama suami di Gwanjang Market. Terdapat kedai alatan permainan dan parti di situ, namun agak menghampakan. Kami hanya jumpa topi, pedang dan hook nya sahaja.

Saya sudah jangkakan, inilah push factor untuk saya menjahit. Saya terus mencadangkan kepada suami untuk membeli fabrik berkenaan untuk menjahit kostum itu.

Suami pada mulanya agak was-was kerana dia tahu yang saya tidak pernah menjahit kostum sebelum ini. 

Tetapi setelah meyakinkannya, dia bersetuju. Saya tersenyum, namun ada detik berdebar-debar di situ.

Alhamdulillah, dengan sedikit carian imej sebenar di Google, saya berjaya siapkan kostum Captain Hook. 

Fahmi amat teruja dan agak terkejut dengan hasilnya. Dia lebih bersemangat apabila melihat semuanya sudah lengkap untuk persembahannya nanti.

Beberapa hari kemudian, Cikgu Fahmi mengatakan bahawa semua pelajar perlu memakai kostum tersebut lebih awal sempena sambutan hari kanak-kanak di Korea ini. Alhamdulillah, kami sudah bersedia.

Saya terfikir, jika tidak kerana acara sekolah ini, saya mungkin masih dalam mood suam-suam untuk menjahit kembali. Syukur saya mendapat kembali momentum untuk menjahit begini. 

Begitulah apabila bekerja sendiri di rumah. Jika tiada push factor untuk memberi tekanan kepada kita membuat sesuatu, kita mungkin akan selesa dengan sesuatu situasi tersebut.

Ingatan untuk diri saya sendiri juga, ambillah peluang yang ada. Cuba jadikan sesuatu sebagai "pembakar" untuk kita bermula. Jangan tunggu keadaan meruncing baru hendak bertatih.

Bermula dengan perlahan, dapatkan kayuhan yang stabil dan in shaa Allah minda kita akan sentiasa bersedia.
 

2 comments:

  1. Waaa.. Alhamdulillah..Tahniah Tini, cantik. Mesti anak teruja dapat pakai costume dari hasil kerja ibunya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih sis.anak teruja ibu pun sama sbb takpernah jahit costume ni.tp bila ada push factor tu automatik mcm senang je jahit 😂

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...