Check this out

Monday, September 21, 2015

SEBELUM DAN SELEPAS SERTAI AKADEMI BEKERJA DI RUMAH

Entri 52

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN


Alhamdulillah, akhirnya saya dapat juga mencari celahan masa dan curahan idea untuk menulis entri pada kali ini. Saya sebenarnya sudah lama ingin membuat entri ini, tetapi idea terbantut dan saya meneruskan tulisan yang lain.

Saya simpan screenshot ini sejak dari 13 September yang lalu, tarikh blog baru saya ini mencecah "umur" sebulan. Beberapa tahun sebelum ini, saya sudah mempunyai dua blog iaitu satu blog perihal personal (ibtisamfarah.blogspot.com) dan blog kraf saya (tinicraft.blogspot.com). Namun, saya tidak pernah kisah berapa jumlah pageviews yang saya dapat, hanya teruja apabila ada penambahan  follower baru. Saya juga tidak pernah "menjenguk" ruangan statistik ini untuk membuat analisa blog.

Saya sertai Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR) pada 15 Ogos 2015 dan paparan statistik di bawah adalah bermula tempoh tersebut sehingga tarikh 13 September 2015. Hampir sebulan jangkamasa saya bermula.

Alhamdulillah jumlah pageviews yang saya dapat ialah 6,653 kesemuanya. Manakala jumlah paparan mengikut entri adalah di luar jangkaan saya. Jumlah tertinggi adalah 703, diikuti 649 dan seterusnya 620 dan seterusnya. Mungkin jumlah ini tiada apa jika dibandingkan dengan penulis blog lain tetapi bagi saya, ianya cukup bermakna.

Saya dapati pembaca gemar membaca kisah perkongsian peribadi yang mungkin boleh menjadi pengajaran/inspirasi kepada orang lain. 

Kalau diikutkan, sebelum ini juga saya suka kongsikan kisah saya dan keluarga terutamanya sekarang di Korea dan mungkin perkongsian sebelum ini adalah kosong. Saya lebih kepada menulis untuk "menyimpan" rekod dan cerita untuk dibaca oleh saya atau anak-anak kemudian hari.

Selepas saya sertai ABDR ini melalui pakej kelas blog penulisan dan kelas blog bisnes, saya mula terbuka minda untuk menulis sambil memberi manafaat. Selain berkongsi kisah, saya selitkan apa pengajaran yang saya dapat supaya orang lain boleh mengambil iktibar dengan kisah saya.

Dalam tempoh masa yang singkat bersama ABDR ini, sudah banyak yang saya pelajari dalam dunia penulisan blog. Dengan sesi belajar yang santai dan tiada tekanan ini, saya amat teruja untuk menerokai kumpulan sokongan suri ini dengan lebih dalam lagi.

Pengasas yang hebat latarbelakangnya, guru yang tidak pernah jemu mengajari saya, rakan-rakan keluarga ABDR yang bukan calang-calang orangnya, semuanya membuatkan saya sentiasa bersemangat untuk menulis dan terus menulis.

Kisah kita mungkin tidak sama.
Kisah kita mungkin tidak serupa.
Kisah kita mungkin tidak seirama.

Jadi, tidak salah berkongsi untuk sama-sama ambil manafaat, pengetahuan dan pengajaran.

Semoga kita sama-sama istiqamah dengan apa jua yang kita lakukan. In shaa Allah.





Wednesday, September 16, 2015

BIDANG JAHITAN, MENJANA WANG DARI RUMAH

Entri 51

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN


Menjahit adalah sesuatu bidang yang amat memerlukan minat seseorang untuk "jatuh cinta"dengannya. Kalau tiada minat, apa pun tidak menjadi.

Begitu juga saya. Seperti saya pernah ceritakan sebelum ini, menjahit adalah hobi saya yang mana saya tidak sengaja dapat menjana pendapatan sampingan dengannya pada suatu masa dulu.

Saya pernah menjahit beratus tote bag, makeup bag, lebih dari seribu pocket tissue holder dan sebagainya. Saya menjahit pelbagai kraf berdasarkan permintaan pelanggan. Saya sanggup bersengkang mata pada waktu itu sehingga ke awal pagi semata-mata untuk siapkan tempahan. Walaupun badan penat, tetapi saya sangat gembira dengan hobi saya.

Apabila saya berhenti kerja untuk tumpukan perhatian kepada rumahtangga, saya hanya jarang-jarang sekali mengambil tempahan kecuali dari kawan-kawan atau jiran-jiran sahaja.

Saya juga cuba menjahit baju kurung untuk anak-anak yang mana akhirnya mendapat tempahan. Tetapi saya tidak berani untuk menerima tempahan baju yang banyak dek masa lapang yang tidak menentu.

Setelah berbincang dengan suami, dia menasihatkan saya supaya outsource kerja menjahit baju kurung kanak-kanak tersebut tetapi saya masih monitor akan kualitinya termasuklah dari segi pemilihan material kain dan jahitan.

Alhamdulillah, rezeki saya amat murah pada waktu itu. Ramai sukakan baju kurung kanak-kanak yang mana harga yang saya jual jauh lebih murah dari butik-butik yang ada. Ada yang membeli secara borong. Beratus-ratus pasang juga telah terjual. Pada masa yang sama saya juga menjual kain pasang.

Point saya di sini, walaupun ada beberapa kekangan yang menghalang saya untuk menjahit seperti dahulu, tetapi saya cuba bekerja dari rumah. Selain untuk mendapat pendapatan sampingan bagi membantu suami setelah berhenti kerja, tetapi juga untuk membuatkan fizikal dan mental saya sentiasa aktif. Saya yang sememangnya tidak boleh duduk diam akan cuba sedaya upaya membuat sesuatu seperti berniaga dari rumah seperti pada waktu tersebut.

Alhamdulillah jualan bulanan saya adalah dalam lingkungan RM3000-RM6000 sebulan. Untung bersihnyanya mungkin tidak sebanyak gaji yang saya terima sewaktu bekerja dahulu, tetapi saya juga jimat perkara lain seperti kos upah di nursery, upah lebih masa, transit selepas sekolah, tambang kenderaan untuk transit, makan minum dan sebagainya.

Dan yang paling penting, saya menjana wang hanya dari rumah. Alhamdulillah.

Jika sebelum ini ada rakan-rakan yang menyuarakan pada saya ingin membuat bisnes dari rumah seperti saya tetapi tidak ada bakat dalam jahitan dan sebagainya, mungkin ini boleh memberi idea kepada sesiapa yang berminat. Berbisnes dalam bidang jahitan, tidak semestinya memerlukan bakat menjahit, tetapi cukuplah dengan mempunyai minat yang dalam sekurang-kurangnya untuk memantau kualiti material, mutu jahitan dan sebagainya.

In shaa Allah, berbaki setahun lebih lagi di perantauan ini, semoga saya dapat memupuk kembali hobi menjahit saya ini yang juga terapi yang sangat indah buat saya.

Aamiin.

Nota: Di sini saya kongsikan sedikit hasil jahitan saya sewaktu dulu dan di Seoul ini.




Ini adalah koleksi jubah/abaya saya sendiri. Saya tidak menjana pendapatan darinya kerana saya tidak menjual lagi buat masa ini, tetapi sekurang-kurangnya saya sudah jimat beratus ringgit untuk kos upah menjahit atau kos beli siap. Alhamdulillah.



Ini pula beg-beg paling popular yang saya pernah jahit.

Tote Bag
Tiny Tote Bag
Makeup Bag





Ini adalah di antara kenangan manis saya sebagai tukang jahit. Mendapat tempahan 200 pocket tissue holder dari syarikat Campbell. Semoga Allah dapat membalas jasa orang yang hubungi saya itu. Dia memilih untuk membuat tempahan dengan saya kerana ingin mencari kelainan kepada cenderahati untuk aktiviti tahunan mereka iaitu handmade.


Ini pula adalah kenangan manis juga apabila saya mendapat tempahan untuk menjahit 1000 pcs pocket tissue holder yang dijahit bersama nama pengantin untuk kenduri kahwin di Kelantan. Semoga Allah merahmati orang yang menempah dan juga pasangan pengantin.


Inilah baju kurung yang saya ceritakan tadi. Saya sukakan material kain cotton ini. Saya sediakan dalam pelbagai saiz iaitu dari 6 bulan sehingga 6 tahun. Alhamdulillah.


Monday, September 14, 2015

HOBI YANG DIWARISI

Entri 50

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Saya selalu tergelak kecil (kadang besar) melihat gelagat Hanaa setiap kali mencuba baju baru dari Tinicraft.
 
Dia tersenyum, tersengih ceria jika saya suruh dia cuba baju baru. Dia melompat, menari, berpusing, menyenget ke kiri dan ke kanan tanpa disuruh.
Saya nampak dia gembira dan teruja.


Lantas, setiap kali itulah saya teringatkan Ma (ibu saya). Saya tersenyum sendiri.
Saya juga seperti Hanaa atau Tasnim pada masa kecil dulu.

Perasaan sangat bahagia mencuba baju baru yang berhari-hari dilihat dijahit, dipegang Ma. Tidak penat bertanya, bila akan siap.

Kadang-kadang saya curi-curi guna mesin Ma yang pada waktu itu hanya menggunakan mesin kayuh biasa jenama Singer, si kepala hitam.

Masih lagi teringat Ma cakap, "kak ni masa kecil dulu suka panjat mesin Ma."

Saya berharap, walaupun belum ada lagi anak-anak saya yang memanjat mesin Brother saya ini atau cuba-cuba untuk menjahit, suatu hari di masa hadapan, mereka akan minat untuk meneruskan hobi Ma dulu dan saya sekarang.


 

Sunday, September 13, 2015

HUJUNG MINGGU DAN KENANGAN

Entri 49

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Alhamdulillah hari ini cuaca panas masih lagi bersisa, sesekali terasa bayu bertiup nyaman mengirimkan salam musim luruh yang bakal tiba tidak lama lagi.

Saya ambil kesempatan untuk membasuh selimut/pelapik tilam tebal sebagai persediaan musim luruh seterusnya musim sejuk nanti. Lain rasanya jika kering dengan mesin pengering berbanding kering dengan cahaya matahari. Bau panasnya juga berbeza.

Seperti biasa, saya buka semua tingkap di dalam rumah untuk pertukaran udara, selagi boleh. Jika tidak, semuanya akan ditutup rapat apabila musim sejuk nanti.

Sesekali terhidu aroma masakan Korea dari rumah atas di Tingkat 2. Kedengaran juga seorang ibu berbicara dengan anaknya dari rumah yang sama. Mungkin dia juga dapat meneka saya pun sedang memasak dek semerbak tumisan bawang dan cili kering untuk sambal terung saya masih di atas dapur.

Hari ini, anak-anak masih lagi di rumah menghabiskan cuti di hujung minggu bermain, bergaduh, berlari dan sebagainya memeriahkan suasana ahad ini. Sesekali kedengaran suara Daniel memarahi Hanaa kerana memindahkan semua mainan Tea Party ke bilik abangnya. Hanaa hanya gelakkan si abang, lucu mungkin.

Tiba-tiba saya terdetik, Hanaa sudah besar dan akan menginjak ke umur 4 tahun pada tahun hadapan. Kemudian, dia  mungkin akan ke sekolah juga. Tidak lagi menemani Mama di rumah.

Saya akan sunyi.

Saya akan rindukan suasana hingar bingar di dalam rumah seperti ini. Tiada lagi yang akan berlari-lari, menjerit berebutkan barang permainan.

Sungguh cepat masa berlalu.
Hari berganti hari.
Minggu berganti minggu.
Musim berganti musim.

Saya akan rindu pada kenangan.

Saturday, September 12, 2015

NAK BERNIAGA? MULA BISNES DROPSHIP DAHULU

Entri 48

Teks: Masayu Ahmad
Foto: Akademi Bekerja Di Rumah


Mula bisnes tanpa modal sudah menjadi satu lagi permulaan yang baik bagi bakal usahawan yang baru mengenali pemasaran online. Ini sangat sesuai bagi suri yang tidak ada asas urusniaga online.
 
Menyertai program dropship adalah salah satu cara untuk belajar dan berlatih.

Apabila mencari maklumat berkaitan apa-apa program menjana pendapatan di internet, suri mudah terdedah dengan risiko berikut.

1. Permulaan modal yang besar.

2. Mula dengan berhutang atau membuat pinjaman bank.

3. Diberi gambaran bisnes sangat berjaya dengan ganjaran pendapatan lumayan, rumah besar, kereta besar.


Tiga faktor di atas sangat banyak digambarkan kepada usahawan yang sangat baru dan mahu belajar bisnes. Sedangkan dropship adalah salah satu cara rendah risiko yang boleh disertai.

Berikut panduan asas tentang apa itu dropship.

1. Program menjana pendapatan secara online iaitu mempromosi produk melalui laman web, facebook, blogshop, shopping cart.

2. Pembekal produk biasanya menawarkan dropship iaitu mencari agen pemasaran untuk mempromosi, menjual dan mendapat komisyen hasil dari jualan.

3. Agen jualan atau agen dropship boleh memilih sama ada menyertai program dropship berbayar atau percuma/

4. Bagi pihak agen dropship dikenali juga sebagai rakan niaga, hanya akan mempromosi produk yang dbibekalkan pembekal. Apabila ada jualan, agen hanya membuat bayaran terus kepada pembekal dan memberi maklumat pelanggan.

5. Pembekal akan menerima bayaran dan membuat penghantaran produk dan memaklumkan semula kepada agen dropship tentang status penghantaran.

6. Agen dropship adalah pengantara antara pelanggan dan pembekal.

7. Manakala pembekal hanya fokus kepada agen droship, urusan stok produk, menyediakan bahan periklanan dan juga status produk yang dihantar atau juga perkara berbangkit.

8. Sebagai agen dropship, usahawan yang masih baru boleh memilih senarai pembekal berdasarkan satu jenis produk. Dan boleh fokus kepada pembekal yang aktif dan memberikan bahagian komisyen yang besar.

9. Contohnya usahawan sudah membina satu laman jualan berkaitan tudung labuh. Jadi boleh menggunakan kata carian menjejak pembekal tudung labuh yang menyediakan program dropship. Usahawan memperolehi 20 senarai, buat senarai pendek lima pembekal dan mula sertai program tersebut. Sehinggalah mendapat kesesuaian dan keserasian pembekal mana yang paling aktif dan mudah berurusan.

10. Cara ini sangat praktikal tanpa perlu mengeluarkan produk tetapi fokus kepada aktiviti pemasaran atas talian. Tidak perlu mengeluarkan kos yang besar dan juga tidak perlu menguruskan stok.

11. Agen dropship hanya perlu fokus kepada mencari senarai produk yang mempunyai nilai komisen yang besar dan juga fokus membina pelanggan berdasarkan fokus produk contoh tudung labuh.

12. Sebagai agen dropship, suri boleh membuat matlamat jualan contohnya 5 jualan sehari. Katakanlah 1 tudung mendapat keuntungan bersih RM20, maka matlamat jualan harian adalah 5 helai jadi akan dapat RM100 pendapatan bersih.

13. Fokus sasaran jualan ini sangat penting untuk mendapat ukuran yang jelas dengan aktiviti kerja harian iaitu mempromosi, memasarkan dan berjaya mencapai matlamat jualan.

14. Matlamat seterusnya sehingalah mampu mengambil stok bagi tudung labuh yang mempunyai rekod 'jualan laris' dan mampu mengambil stok.

15. Apabila sudah pandai mengumpul modal dan mempunyai stok sendiri, fasa seterusnya boleh pula membina pasukan jualan atau menawarkan program dropship pula.
 
 
Nota tambahan: Jom bergabung dengan kami di Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR). Sekiranya ada sebarang pertanyaan, bolehlah hubungi saya di khushartinikamarulzaman@gmail.com / tinicraft@gmail.com.
 
Terima kasih.

DAGING HALAL DI SEOUL (HALAL MEAT IN SEOUL)

Entri 47

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Tidaklah menjadi sesuatu yang sukar untuk mendapatkan daging halal di Seoul ini. Ramai yang tahu mengenai Itaewon kan? Sebuah pekan kecil yang sibuk dengan masyarakat antarabangsa. Di sini juga terdapat Masjid Besar Seoul, pelbagai restoren, kedai menjual barangan Halal dan tidak kurang juga tempat-tempat hiburan sosial.

Daging atau ayam halal adalah menjadi keperluan wajib bagi kami memandangkan saya memasak setiap hari di rumah. Dengan keluarga besar kami (saya, suami dan 3 orang anak), bahan-bahan tersebut menjadi keperluan asas yang amat penting di rumah.

Rutin kami adalah ke kedai halal di Itaewon untuk membeli ayam dan daging tersebut di sebuah kedai kecil di sebelah kiri pintu masuk utama masjid. Seperti dalam gambar di bawah, mereka menyimpan daging/ayam tersebut di dalam cold storage, yang di luarnya nampak seperti almari biasa.

Saya difahamkan mereka menyembelih daging tersebut pada setiap hari Jumaat dan tidak hairanlan bahan mentah tersebut amat segar walaupun dibekukan sebelum dijual. Saya biasanya meminta penjual memotong daging tersebut dalam bentuk kiub untuk senang dimasak nanti. Harga daging/ayam ini di kira berdasarkan kilogram. Sebagai contoh, harga bagi sekilogram daging lembu adalah KRW18,500 bersamaan (+-) dengan RM68.00, lebih kurang tiga kali ganda dari Malaysia. Untuk ayam pula, harga KRW5,500 sekilogram iaitu bersamaan dengan RM20.00. Mahal? Ia, itulah harga bahan  mentah di sini. Walaupun mahal, tetapi ianya jauh lebih jimat jika dibandingkan hendak makan di kedai atau restoren halal di sini.





Mereka juga ada menjual pelbagai rempah ratus dan makanan dalam tin yang mana semuanya adalah diimport dari Pakistan, India dan sebagainya. Di sebelah kanan ini adalah sebuah lagi cold storage untuk menyimpan daging/ayam.


Thursday, September 10, 2015

NAK MULAKAN BISNES MAKANAN

Entri 46

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN & 101IDEA BISNES MAKANAN
Foto: 101IDEA BISNES MAKANAN

Ramai di antara kita yang suka memasak tetapi tidak yakin untuk berniaga dengan masakan sendiri. Kita juga mungkin tidak tahu bagaimana hendak bermula, apa kemahiran yang perlu, siapa pelanggan kita atau bagaimana orang yang sudah berjaya melakukannya?

Apa kata baca dulu Ebook ini. Boleh pre-order sekarang!

Bahagian 1:
101 Idea Bisnes Makanan
 
Bahagian 2:
Kisah Inspirasi
Bahagian 3:
Bab 1: Pengenalan Bisnes Makanan
Bab 2: Kemahiran Bisnes
Bab 3: Bahan Mentah/ Sumber Bekalan
Bab 4: Cabang Bisnes Makanan
Bab 5: Jenis Bisnes Makanan
Bab 6: Modal
Bab 7: Pelanggan Sasaran
Bab 8: Pendaftaran Bisnes
Bab 9: Pengurusan/ Operasi


 
Tapi istimewanya lagi hanya pada bulan September ini sahaja, ada promosi hanya RM50 dapat 3 Ebook ini. Boleh email tini di tinicraft@gmail.com untuk pertanyaan lanjut. Terima kasih.




ANAK-ANAK JUGA CUBA JAGA HATI KITA

Entri 45
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
(Entri ini ditulis semalam pada 9 September 2015)
 
 
Beberapa hari lepas saya cakap pada Damia.
 
"Kakak, can we just make cookies for your friends at school on your birthday?" Sengaja memberi cadangan.
 
"But..it's ok Mom, cookies is yummy too."

Dia tersenyum, sedikit tawar. Hampir setiap hari dia bertanya, "5 days left? 4 days left, for my birthday?"
 
Hari ini, saya hantar kek semasa dia dan kawan-kawan tiada di kelas. Sudah diberitahu cikgunya terlebih dahulu.
 
Pulang, saya tanya padanya.  "Kakak, how's the cake?"
 
"It's yummy Mom. But I could not finish." Saya terkejut, dia biasanya sukakan kek.
"Why?" Saya minta jawapan.

"Are you sad, Mom?" Daniel mencelah. Dia selalu risau jika saya sedih atau penat.
 
"I was so excited for the cake until I could not finish." Bulat mata dia.
"But my friends Lily, Sophia (and a few other names) said the cake was yummy, they really like the cream and the rainbow sprinkle."
 
Dia cuba jaga hati saya.
 
Anak-anak, kadang-kadang nakalnya ada.
Kena marah pun buat juga.
 
Tetapi mereka juga sebenarnya belajar menjaga hati kita.
 
Macam mana pula kita dengan mak ayah kita?
 
Nota: Gara-gara takut terlambat, gambar kek hanya dalam kotak.
 

Tuesday, September 8, 2015

DI ANTARA IMPIAN, DOA DAN KENYATAAN

Entri 44

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 

Saya melihat dia melayan karenah anaknya. Nampak bahagia. Saya teringin menjadi sepertinya.
 
"Masa Daniel kecil, dia terkena Hernia, jadi mak ayah saya jaga untuk berubat kampung. Sekarang pengasuh yang jaga, sebab saya masih kerja". Saya berborak biasa.
 
"Saya rasa kita tidak patut "campak" anak kepada orang tua atau pengasuh. Kita kena jaga anak sendiri", tuturnya sambil mengendong anaknya, tiada riak bersalah.

Saya tergamam. Degupan jantung bagai terhenti. Daniel saya peluk erat.
 
Tergamak dia menuturkan satu perkataan itu.

"Saya tidak ada  langsung niat macam tu. Saya hanya hendak selesaikan komitmen yang ada, rumah, kereta dan untuk persekolahan anak nanti." Suara saya mula bergetar, situasi yang normal apabila bercakap dalam rasa kecewa berbaur sedih.

"Ala, itu semua alasan!" Bidasnya tajam.
 
Kali ini lebih tepat sasarannya, terhunus.

Mata saya sudah berkaca.
Daniel pula sudah mulai rimas dipeluk, minta dilepaskan. Saya ambil peluang untuk mengejarnya.
Dalam langkah, airmata gugur perlahan. Saya lapkan dengan hujung lengan baju.

Terguris.
Tuduhan yang tidak adil buat saya.

Hari-hari berikutnya saya tidak ceria seperti selalu. Tidak dapat fokus di tempat kerja.
Hati memberontak untuk berhenti juga.
Tapi saya tidak boleh buat kerja gila!
Saya berazam untuk usaha.
Saya mula DOA.

Setahun lebih berlalu, umur Daniel sudah masuk 3 tahun dan Damia setahun. Dari anak seorang kepada dua.

Saya masih di takuk lama.
Tiada beza.
Rutin yang sama, pergi pagi, balik senja.

"Mama, boleh tak mama tak payah kerja?" Soal Daniel yang petah berbicara sewaktu menghantarnya di  hadapan taska. Saya tersenyum hambar, haruskah dijawab soalan itu?

"Tak boleh sayang. Mama kena kerja, nak cari duit."

Duit.
Jawapan yang saya paling kesal menggunakannya pada waktu itu.

"Saya ada banyak duit, dalam tabung bas kuning," dia menyambung bicaranya.
"Ya, tapi kita ada adik lagi, nak guna banyak duit. Mama kena kerja."

Duit lagi alasan saya.

"Kawan saya ada adik, tapi mak dia tak kerja. Hari-hari hantar ambil dia di sekolah."

Allah, bicara anak kecil ini sangat suci.
Cukup! Bangun Tini!
Saya nekad.
Namun, sekali lagi. Saya seperti hilang haluan.
Tapi, saya teruskan DOA.
Sujud di sepertiga malam, saya USAHA.

Dari anak pertama sehingga anak ketiga lahir. Daniel berumur 5 tahun, manakala Damia berumur 3 tahun pada masa itu. Cuti berpantang selama tiga bulan buat saya betul-betul memikirkan masa depan anak-anak.
 
Dalam fikiran, tidak pernah putus memikirkan perkara yang sama iaitu berhenti kerja.
Tetapi saya belum nampak jalan.

Tidak lama selepas saya kembali bekerja, ada suatu hari cuti umum di Selangor yang mana semua taska ditutup. Saya mohon cuti sehari untuk menjaga anak-anak kerana K.Lumpur tidak cuti. Pada hari tersebut, hanya suami bekerja. Dia pulang, makan malam tersedia di meja. Lengkap dari biasa.

"Kan best kalau hari-hari balik macam ni. Balik isteri sambut, makanan sudah tersedia." Kata-katanya hanya bersahaja, terkeluar dari mulutnya dengan riak wajah gembira lain dari kebiasaannya.
 
Saya terdiam. Terkesan. Sebelum ini, kami sama-sama pulang kerja lewat, dan makan malam lebih banyak dibeli di kedai atau pesan sahaja pizza.
Dalam diam, saya DOA lagi.

Pada bulan Disember 2012, saat paling genting. Hanaa sudah berumur 7 bulan. Saya nekad untuk berhenti kerja semasa proses penswastaan agensi kerajaan tempat saya bekerja. Tarikh tutup untuk menghantar permohonan berhenti adalah sebelum atau pada 31 Disember 2012.

"Awak jangan buat kerja bodoh, dah 6 tahun kerja."
"Awak jangan jadi orang tak bersyukur, dah naik pangkatkan. Orang lain susah nak dapat kerja."
"Awak belajar sampai ke Amerika, takkan nak berhenti kerja? Tak kasihan kat mak ayah?"
"Awak ada komitmen pinjaman rumah, kereta dan tiga orang anak, macam mana?"
"Awak tak malu ke, belajar tinggi-tinggi nak jadi surirumah?"

Tertekan. Saya tertekan. Tapi saya tak salahkan mereka bertanya. Namun apa harus saya buat? Bodoh? Tak bersyukur? Komitmen? Mak ayah? Semuanya silih berganti menganggu fikiran. Menyesakkan dada.

Saya istikharah. Dua malam berturut-turut, tiada jawapan. Ah, serabut! Tak payah berhentilah!

Tetapi hati saya tidak tenang.
Saya bincang lagi dengan suami, hati ke hati. Dia amat menyokong pilihan saya, untuk keluarga.
Saya telefon abang sulung saya. Dia memberi nasihat, fikir yang terbaik untuk keluarga.
Saya telefon Ibubapa. Mereka tiada halangan dan redha dengan apa jua pilihan saya. Dahulukan keluarga.

Pada malam ketiga istikharah, kebetulannya pada malam Jumaat.
Kami membuat kira-kira pendapatan tolak perbelanjaan.
Apa kami boleh jimat, apa yang kami kena korbankan.
Buang yang kehendak, hanya ambil keperluan.
Kemudian, saya istikharah.

Keesokan harinya, saya mengharapkan Jumaat yang berbeza. Bersiap untuk ke tempat kerja.

"Mama, boleh tak mama tak payah pergi kerja, biar Papa je kerja," tutur mulut kecil Damia secara tiba-tiba sambil tangannya memegang tangan saya di hadapan pintu bilik kami. Dia masih pelat berbicara kerana baru beberapa bulan masuk 3 tahun.

Jantung saya berdegup kencang. Saya pandang matanya, berkelip-kelip ikhlas.
Air mata saya laju, sambil saya memeluknya.
Saya turun ke tingkat bawah, saya turunkan tandatangan pada borang.
Sampai di pejabat, saya menghantar borang, tidak menoleh kebelakang.
Melangkah yakin, saya rasa tenang. Saya senyum pada semua orang.

Selepas Solat Jumaat pada hari yang sama, ada rakan sekerja SMS, "You did the right thing, Tini." Saya pelik, apa maksudnya. Tiba-tiba, dapat panggilan telefon dari orang lain, "Tini, masa khutbah tadi, aku terus teringat pasal kau". Saya lagi pelik.

Kemudian, suami menelefon. "Sayang, khutbah tadi pasal pentingnya tanggungjawab ibu bapa menjaga, membesarkan anak-anak dengan sebaik-baiknya."

Kita merancang, Allah Merancang. Dan ketahuilah, Allah Sebaik-baik Perancang.
 
Semuanya rahsiaNya.

Jangan pernah putus asa untuk berDOA walau apa pun keadaan kita. Kita mungkin tidak sempurna, tetapi Allah memberikan yang terbaik buat kita. Jangan bersangka buruk, semua yang berlaku ada hikmahnya. Saya doakan semoga urusan kita semua sentiasa dipermudahkan. Amin.

 

Nota: Gambar ini diambil pada 23 Disember 2012. Pada waktu itu, saya telahpun menghantar borang berhenti kerja. Pada 31 Disember 2012, secara rasminya tamatlah perkhidmatan saya. Impian menjadi kenyataan, maka bermulalah kehidupan saya sebagai seorang surirumah sepenuh masa. Alhamdulillah.








IDEA BISNES MAKANAN

Entri 43

Teks: EBOOK 101 IDEA BISNES MAKANAN
Foto: AKADEMI BEKERJA DI RUMAH


Minat saya untuk membuka cafe ini timbul sejak saya mula berkahwin. Saya suka pergi makan di tempat-tempat yang bersih dan cantik. Tujuan saya berhenti kerja dari bank dahulu adalah untuk menjaga anak-anak yang sedang membesar. Jadi apabila anak-anak sudah besar, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya teruskan impian yang sudah lama saya tangguhkan.

Antara tujuan utama saya ingin membuka cafe adalah utk menambah nilai hidup kepada orang lain dengan memberi pekerjaan yg baik kepada golongan belia sebangsa saya. Saya berhasrat untuk membuka cafe yang menyediakan makanan yang bersih dan halal berkonsep santai serta dilengkapi talian internet seperti Cafe Francise.

Banyak cabaran yang saya hadapi pada peringkat permulaan. Kata-kata orang sekeliling banyak melemahkan semangat saya. Saya tidak mendapat sokongan keluarga dan ia hampir-hampir membuatkan saya putus asa dan melupakan impian saya. Namun, saya kuatkan semangat tetap nekad untuk meneruskan niat saya untuk membuka cafe.

Alhamdulillah, setelah 60% usaha saya ke arah impian saya, barulah saya lihat keluarga merestui keputusan saya. Restu dari keluarga amat berharga bagi saya.

Matlamat saya nak menjadikan Old Station sebagai kopitiam/cafe tempatan yg setanding dengan jenama francise.

Sebagai persediaan dalam bidang perniagaan, saya banyak menghadiri seminar-seminar yang dikendalikan oleh pakar-pakar pemasaran. Antaranya seminar Dr Azizan seperti Master Your Bisness, Train The Trainer, Rahsia Kuasa Minda, Advance marketing Power, Fesbuk Power, Potensi Diri, Jutawan Industri dan lain-lain lagi. Saya juga mengikuti kursus anjuran MARA dan konvensyen TERAJU. Banyak yang saya belajar dari tip dan panduan dari seminar-seminar sebegini serta tidak lupa juga dari orang-orang sekeliling saya.

Nasihat saya kepada wanita-wanita di luar sana, jika ingin menjalankan bisnes teruskan sahaja. Usah takut dan teragak-agak, buat sahaja dan usaha untuk tambah baik selepas itu.

Baca lagi kisah usahawan ini dalam ebook 101 idea bisnes makanan.

Boleh miliki Ebook ini yang bakal terbit pada Oktober ini bersama pakej Ebook paling popular yang telah diterbitkan sebelum ini. Boleh email tini di tinicraft@gmail.com.


Monday, September 7, 2015

BEKALAN PEPERIKSAAN YANG PALING BERAT

Entri 42

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Berborak dengan kawan minggu lepas, katanya anak nak exam ibu yang terlebih risau. Tiba-tiba teringat kat Ma yang jauh di Malaysia. Hati sebak sebab bila dah besar, tak banyak masa dapat dihabiskan bersama.

Masa nak SPM tingkatan 5 dulu, ulangkaji sampai lewat malam, Ma akan cuba berjaga juga. Dia siapkan air milo panas untuk saya. Sesekali dia naik ke bilik saya di atas, katanya tak boleh nak lelap sangat. Dia bersolat sunat, bermunajat, berdoa untuk anak.

Pagi-pagi, sarapan lebih istimewa disediakan. Dibekalkan juga nasi untuk dibawa ke sekolah. Abah menghantar ke sekolah, tidak macam sebelum itu, pergi dengan teksi atau bas sebab abah masih kerja.

Semangat untuk ke dewan peperiksaan amat lain.

"Bekalan" yang dibawa lebih berat dari biasa.

"Bekalan" doa yang sangat berharga. Tidak boleh ditukar harga.
Langkah disusun yakin, penuh tenaga.
Jauh di sudut hati, aku mesti berjaya!

Semoga anak-anak kita semua berjaya dunia dan akhirat.

Amin.

Nota: Gambar menemani Daniel buat kerja sekolah minggu lepas. Mama terlebih cuak tengok anak kena buat cursive handwriting

SAYA, PENGURUS ONLINE AKADEMI BEKERJA DI RUMAH

Entri 41

Teks: AKADEMI BEKERJA DI RUMAH
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN



Saya Khushartini Kamarulzaman, Pengurus Online Akademi Bekerja Di Rumah.

Kami dari jemaah ABDR menyediakan peluang dan ruang bagi kalian suri yang mahu belajar asas penulisan dan bina kedai online.

Belajar asas memaksimakan pemasaran percuma melalui blog dan juga facebook.

-Belajar asas berjualan melalui program dropship.
-Belajar menjual produk fizikal.
-Belajar menjual produk digital.
-Juga belajar bagaimana memulakan usaha menabung dan pendapatan aktif tanpa perlu mengeluarkan modal yang besar.

Akademi Bekerja di rumah (ABDR) ialah
> kumpulan sokongan khas untuk suri belajar basic berbisnes online
> kumpulan sokongan khas untuk suri belajar menjana pendapatan hanya di rumah
> kumpulan sokongan khas untuk suri bekerjaya menjana pendapatan secara sampingan
> kumpulan sokongan untuk mereka bergelar wahm
> platform untuk belajar berbisnes produk fizikal secara dropship dan produk digital ebook dan servis.

2 pakej kelas utama yang popular sepanjang tahun ialah

KELAS ASAS BLOG PENULISAN:

1. Belajar asas blog (blogspot)
2. Belajar menulis berdasarkan apa FOKUS PENULISAN berdasarkan siapa PEMBACA SASARAN.
3. Tukar pembaca kepada PELANGGAN.
4. Belajar menulis secara konsisten.
5. Jadikan minat, kemahiran dan kepakaran sedia ada tukar dalam bentuk penulisan. Jadikan ia sebagai panduan.
6. Tukar blog yang tidak ada pembaca dengan membina 'kelompok' pembaca sasaran.
7. Apabila blog sudah mempunyai sasaran pembaca yang 'tepat', maka sudah boleh ditukar kepada pembeli.
8. Blog adalah salah satu medium pemasaran percuma. Namun penulisan yang bagus dapat membina pengaruh kepada pembaca.
9.Kelas asas blog dan penulisan perlu menguasai 44 entri dan 5 label. Ia akan diberikan selepas daftar dan analisa.

2. KELAS ASAS BLOG MULA BISNES

1. Bina kedai online asas berdasarkan apa produk atau servis. Contoh produk pakaian, makanan, butik, produk kesihatan, kecantikan.
2. Kelas ini khusus untuk surirumah yang benar-benar zero tentang urusniaga online.
3. Mahu mula tetapi tidak tahu cara.
4. Mahu mula tetapi tidak ada produk. ABDR menyediakan beberapa produk pilihan, produk sunnah, buku, pakej ebook, ruang periklanan.
5. Belajar jana pendapatan melalui blog.
6. Asas kedai online, borang tempahan, lima label utama.
7. Sudah ada shopping cart, juga boleh bina blog khusus untuk aliran pembaca kepada pelanggan.
8. Mahu simpan stok boleh, tidak mahu simpan stok juga boleh

Jana pendapatan tanpa perlu keluar rumah. Insya-Allah.


## Kelas online sahaja dalam group kelas di facebook
## Masa belajar yang sangat fleksibel ikut masa pelajar sendiri. Tiada limit masa ditetapkan
## Nota toturial bergambar lengkap disediakan
## Dapat bergabung dengan lebih 1000 blogger alumni akademi yang merupakan usahawan online n wahm
## Masih boleh ikuti toturial berterusan dalam kelas walaupun sudah selesai tugasan
## Dapat menjana pendapatan dengan produk ABDR jika mendaftar sebagai PENGURUS ONLINE

Jika anda bersedia untuk menggunakan blog sebagai medium pemasaran yang paling efektif, menjadikan blog sebagai medium perkongsian dan blog anda mudah berada di carian google, dan mudah dijejak pembaca, jom sertai KELAS ONLINE BLOG ABDR ini.

Baca lebih banyak ulasan pelajar ABDR di blog utama http://akademibekerjadirumah.blogspot.com

Jika sudah bersedia, boleh mendaftar untuk bersama keluarga besar ABDR. Iaitu kumpulan sokongan surirumah secara online.

Untuk pendaftaran boleh terus hubungi saya :

Email : tinicraft@gmail.com / khushartinikamarulzaman@gmail.com

Sekian, terima kasih untuk masa anda.

Friday, September 4, 2015

WAHM PERLUKAN WAHM YANG LAIN

Entri 40

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN


Sebagai seorang WAHM tak kira lah yang sudah lama, baru menjadi WAHM, bakal menjadi WAHM atau bercita-cita untuk jadi WAHM, kita memerlukan antara satu sama lain.

Setuju atau tidak, ada suatu tahap kita akan rasa sunyi di rumah apabila anak-anak ke sekolah hatta walaupun anak sedang tidur. Kita perlukan kawan-kawan seangkatan untuk menyokong antara satu sama lain.

Selain dapat berkenalan dengan orang baru, mengeratkan ukhuwwah, kita juga dapat berkongsi tips dan pengalaman serta mendapat ilmu baru.

Hasad dengki? Caras peluang? Cantas jualan?
Tak perlu risau, kita hanya perlu percaya rezeki itu RAHSIA ALLAH.
Yang lain-lain tidak perlu fikir, balik pada Allah.

Untuk hari ini saya ingin kongsikan beberapa blog yang tinggalkan jejak di posting FB saya tadi.

1. Kak Efie  Muhamad ( qayyumqaisa.blogspot.com) (vitaminsaya.blogspot.com)

Merupakan seorang WAHM sudah bertahun-tahun. Beliau ada berkongsi Parenting Tips di blog beliau seperti di atas. Menjalankan perniagaan Shaklee dengan jayanya. Boleh berkunjung ke blog tersebut, mungkin kita sama-sama dapat manafaat.

2. Kak Azue Mohd (kuazue.blogspot.com)

Merupakan seorang tukang jahit tegar dalam bidang sulaman. Boleh ikuti blog beliau untk panduan bisnes dalam menjahit sulaman. Pelbagai perkongsian, tips dan idea sulaman menarik di blog beliau. Saya pun suka tengok sebab saya pun minat menjahit. Semoga suatu hari nanti saya dapat membeli mesin jahit sulaman seperti beliau juga.

3. Farahwahida (www.myfawa.com)

Seorang usahawan berjaya juga dalam perniagaan Shaklee. Banyak terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Boleh kunjungi laman web beliau di atas. Beliau juga berkongsi perihal kesihatan, penyusuan ibu dan sebagainya. Jom sama-sama dapat manafaat.

Senang bukan? Like/Share di Facebook, berkunjung ke blog juga antara sokongan secara tidak langsung kepada rakan-rakan kita.

Kita tak kena bayar pun, tak rugi satu sen pun.

In shaa Allah, perkongsian yang baik juga menambah saham akhirat kita.

Nota:Gambar ini mungkin tiada kaitan dengan entri ini, tetapi hanya berkongsi salah satu terapi saya.

Beli lilin.
Saya suka warna ungu.

Salam petang dari bumi Sonata.

HANBOK -PAKAIAN TRADISIONAL ORANG KOREA (KOREAN TRADITIONAL COSTUME)

Entri 39

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Kami juga seperti orang lain yang datang ke Korea tidak akan melepaskan peluang untuk mengambil gambar dengan baju tradisional orang Korea iaitu Hanbok.

Ia agak mahal untuk dibeli dan bagi kami tidak berbaloi jika membelinya sekadar untuk bergambar. Jadi, kami mencari sedikit informasi di Google. Ramai yang berkongsi akan tempat-tempat untuk mengambil gambar sebegini dan ada di antaranya meletakkan harga untuk pakai dan bergambar.

Kami cuba ke Seoul Global Cultural Centre di bandar Seoul untuk merasai pengalaman memakai pakaian tersebut dan ianya PERCUMA!. Boleh rujuk di SINI dan SINI untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Agak susah juga untuk memastikan semua orang dalam keadaan bersedia untuk mengambil gambar! Anak-anak agak rimas kerana tidak biasa.
 

 
 
Mengabadikan juga kenangan memakai hanbok ini. Suami memakai pakaian raja katanya.


 
 
Oh ye, kita perlu mendaftar dahulu untuk mengambil giliran. Sementara itu kami melihat keadaan sekitar. Saya dan suami sempat membuat "Stress Test". Hanya boleh dikendalikan sendiri dan hanya untuk orang dewasa. Menarikkan? Ianya juga percuma.
 

 
Apron Sutera Korea. Sangat cantik. Bentuknya juga unik. Sayang kalau hendak diguna. Cantik juga sebagai hiasan.

 
Terdapat juga pelbagai cenderahati di sini. Namun harganya agak mahal berbanding dengan Pasar Namdaemun.
 



Si budak kecil yang agak teruja memakai hanbok pada mulanya. Kemudian minta ditanggalkan. 



 
Anak-anak sudah makin membesar. Kami harus datang lagi ke sini untuk mengambil gambar lagi sebagai kenangan sebelum pulang ke Malaysia nanti.
 



YEOUIDO SPRING FESTIVAL, KOREA

Entri 38
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
 
Yeouido Spring Festival atau dikenali juga Yeouido Cherry Blossom Festival adalah antara festival yang paling popular di musim bunga. Ia diadakan pada awal bulan April yang mana jadual itu adakalanya berubah sedikit mengikut tempoh pokok sakura ini berbunga.
 
Cantik, kembang mekar, putih bersih tetapi biasanya hanya bertahan selama dua minggu sahaja.
 
Bagi yang ingin merancang lawatan ke Korea pada masa akan datang terutamanya pada musim bunga, bolehlah masukkan agenda ke sini sebagai agenda utama. Rugi kalau dah datang tidak ke sini
 
Ini pengalaman pertama kami ke sini, iaitu pada musim bunga tahun lepas. Hanya mencari maklumat di "google", kami sampai ke sini. Dalam perjalanan dari stesen subway Yeouido ke tempat festival, kami terjumpa seorang rakyat Malaysia berbangsa Cina.
 
Pada mulanya saya ingatkan dia adalah orang Korea. Memandangkan dia asyik melihat keletah anak-anak saya, saya bertanya padanya.
 
"Anyeonghaseyo. Yongo haseyo?" (Hello, bolehkan anda berbahasa Inggeris?)
 
Dia kemudiannya menggelengkan kepala kerana tidak faham bahasa korea.
 
Jadi saya bertanya lagi. "Where are you from?".
"Malaysia". Jawabnya.
 
Saya teruja lalu terus berborak panjang dengannya dalam Bahasa Melayu. Tidak kekok, dia fasih berbahasa Melayu. Dia orang Johor dan tinggal di Johor tetapi bekerja di Singapura. Datang melancong ke Korea buat kali kedua, kerana jatuh cinta dengan pemandangan dan keindahan alam semulajadi di sini. Katanya, dia datang bersama kawan-kawan, tetapi yang lain semuanya masih lena di ulit mimpi dek penangan shopping sehingga lewat malam. Hanya dia sahaja yang suka menikmati keindahan alam, jadi dia pilih untuk berjalan sendiri.
 
Memandangkan kami menuju arah yang sama, kami bergilir-gilir mengambil gambar untuk kenangan. Dia banyak membantu kami sekeluarga untuk bergambar. Kami juga mengajaknya bersama untuk berkelah di tepi taman sambil menikmati udara segar dan keindahan bunga sakura di sepanjang jalan di situ.
 
Di sini saya tampilkan gambar-gambar di festival ini untuk rujukan kawan-kawan yang ingin ke sana pada tahun depan. Rancang perjalanan anda lebih awal, susun jadual dengan teliti untuk tidak terlepas apa-apa yang menarik di Bumi Sonata ini.
 
Nota: Untuk maklumat lanjut berkenaan festival ini dan ditempat lain-lain juga bolehla rujuk di SINI.

 
 
 
 

 

 


 









PROMOSI SEPTEMBER BEST SANGAT

Entri 37

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: AKADEMI BEKERJA DIRUMAH

Ok, pakej ni menarik. Boleh beli dan baca dulu. Tak salah menimba ilmu. Ya, kita kena banyak membaca untuk timba ilmu dan kita juga perlu tahu pengalaman orang yang sudah melaluinya.

Kadang-kadang perkongsian mereka amat penting sebab ianya realiti yang terjadi.

Bukan teori dan bukan hanya anganan semata. Apa yang ditulis, cara, pengalaman, langkah-langkah adalah apa yang betul-betul dilalui.

Kalau berminat boleh email tini di tinicraft@gmail.com . Nakbeli satu-satu Ebook mahal, jadi beli pakej sangat berbaloi.

Terima kasih.


Thursday, September 3, 2015

KESAN YANG DALAM

Entri 36

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN


"Mom, could you please cook fried rice for me?" Damia sempat bertanya di suatu pagi di minggu lepas. Dia hampir melangkah ke bilik air untuk mandi bagi mempersiap diri untuk ke sekolah.

"Ok kakak, you go shower first, I'll be right back," saya memberi arahan ringkas, sambil menghulurkan tualanya. Kakak adalah panggilan untuknya selepas Hanaa hadir menceriakan  hidup kami.

Bergerak ke dapur, tangan ini tangkas memeriksa periuk, melihat jika ada nasi putih yang masih berbaki dari makan malam. Alhamdulillah, masih ada. Lantas, saya sediakan nasi goreng untuknya. Saya tersenyum, syukur. Kakak mesti gembira. Puas, selain dapat menyediakan pancake kegemaran Daniel, nasi goreng juga sudah siap dimasak. Kakak, dia jarang memilih makanan dan amat jarang meminta saya menyediakan masakan kegemarannya. Dia biasanya memakan apa sahaja yang dimasak ataupun diminta oleh abangnya, Daniel.
 
Setelah keduanya selesai bersolat Subuh dan mengenakan pakaian masing-masing yang saya telah sediakan, mereka duduk di meja makan untuk bersarapan. Saya menghidangkan makanan masing-masing.
 
"Mom, why you are always being kind to us?". Tiba-tiba Damia bertanya. Saya terkejut. Apa yang ada dalam fikirannya sekarang? Apa mimpinya malam tadi?
 
"What do you mean?" Saya cuba memahami maksud sudut hatinya.
 
"You always cook for us breakfast, lunch and dinner."  Dia menyambung bicaranya. Belum sempat saya bersuara, "Yeah. Mom, you are always with us now. I remember in Bangi, you went to work and came back very late to pick us up. Sometimes I already fell asleep. I would never want you to go work anymore,  please Mom". Kali ini, giliran Daniel  bersuara. Ada sayu di situ.
 
Dalam, amat tajam.
Hidung terasa panas.
Mata berkaca tiba-tiba.
Saya cuba menahannya dari berguguran.
Saya harus menyusun sebaik kata-kata untuk mereka.

"Well, I used to work before to help Dad, but now I am with you all the time. Doesn't  mean that I don't need to work, but I do work at home. You guys behave yourself so that I could do work whenever I need to at home, ok?" Bernada seorang "guru", saya menyelitkan sedikit peringatan.

Tegas.
Tidak cuba untuk mengingat kembali rutin lama dulu.

"Thanks Mom, we love you," Kakak seperti biasa agak sentimental.

Kedua-duanya menyudahkan sarapan pagi dan bersiap untuk ke sekolah. Tapi saya? Masih berfikir, terkesan dengan kata-kata Daniel tadi. Saya juga tidak menyangka, betapa kuatnya "kesan" itu dalam diri anak-anak terutamanya Daniel walaupun sudah bertahun berlalu . Pada masa itu Damia belum bersekolah, hanya tinggal di taska sahaja dan Hanaa masih belum lahir.

Dia masih tidak dapat melupakan rutin lamanya berpagian ke taska. Kadang-kadang tidak sempat mandi di rumah, terpaksa membawa pakaian sekolah ke situ. Disebabkan kami bekerja agak jauh, jika sudah terlewat, kami terpaksa keluar awal menghantar mereka ke taska sebelum dihantar ke tadika.

Cikgu Taska memandikan, memberi sarapan dan mempersiapkannya untuk ke sekolah.
Cikgu Taska yang menghantar ke sekolah.
Cikgu Taska yang menjemput dari sekolah.
Cikgu Taska yang menjadi orang pertama mendengar ceritanya, melihat keterujaannya pulang dari sekolah.
Cikgu Taska yang menyediakan minum petang, dan adakalanya sampai perlu memberi makan malam.

Saat ini saya masih menangis, menaip entri ini. Bukan saya yang berkorban.
Hakikat sebenarnya, anak-anak berjiwa kecil ini!
Berkorban kasih sayang dan rindu pada kami.
Berkorban masa kecil mereka hanya di taska.

Maafkan mama sayang.
Tolong padamkan "kesan" itu.
Mama "sakit".
 
Nota: Gambar ini adalah gambar lama, di ambil pada awal tahun ini.
 
 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...