Check this out

Tuesday, September 8, 2015

DI ANTARA IMPIAN, DOA DAN KENYATAAN

Entri 44

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 

Saya melihat dia melayan karenah anaknya. Nampak bahagia. Saya teringin menjadi sepertinya.
 
"Masa Daniel kecil, dia terkena Hernia, jadi mak ayah saya jaga untuk berubat kampung. Sekarang pengasuh yang jaga, sebab saya masih kerja". Saya berborak biasa.
 
"Saya rasa kita tidak patut "campak" anak kepada orang tua atau pengasuh. Kita kena jaga anak sendiri", tuturnya sambil mengendong anaknya, tiada riak bersalah.

Saya tergamam. Degupan jantung bagai terhenti. Daniel saya peluk erat.
 
Tergamak dia menuturkan satu perkataan itu.

"Saya tidak ada  langsung niat macam tu. Saya hanya hendak selesaikan komitmen yang ada, rumah, kereta dan untuk persekolahan anak nanti." Suara saya mula bergetar, situasi yang normal apabila bercakap dalam rasa kecewa berbaur sedih.

"Ala, itu semua alasan!" Bidasnya tajam.
 
Kali ini lebih tepat sasarannya, terhunus.

Mata saya sudah berkaca.
Daniel pula sudah mulai rimas dipeluk, minta dilepaskan. Saya ambil peluang untuk mengejarnya.
Dalam langkah, airmata gugur perlahan. Saya lapkan dengan hujung lengan baju.

Terguris.
Tuduhan yang tidak adil buat saya.

Hari-hari berikutnya saya tidak ceria seperti selalu. Tidak dapat fokus di tempat kerja.
Hati memberontak untuk berhenti juga.
Tapi saya tidak boleh buat kerja gila!
Saya berazam untuk usaha.
Saya mula DOA.

Setahun lebih berlalu, umur Daniel sudah masuk 3 tahun dan Damia setahun. Dari anak seorang kepada dua.

Saya masih di takuk lama.
Tiada beza.
Rutin yang sama, pergi pagi, balik senja.

"Mama, boleh tak mama tak payah kerja?" Soal Daniel yang petah berbicara sewaktu menghantarnya di  hadapan taska. Saya tersenyum hambar, haruskah dijawab soalan itu?

"Tak boleh sayang. Mama kena kerja, nak cari duit."

Duit.
Jawapan yang saya paling kesal menggunakannya pada waktu itu.

"Saya ada banyak duit, dalam tabung bas kuning," dia menyambung bicaranya.
"Ya, tapi kita ada adik lagi, nak guna banyak duit. Mama kena kerja."

Duit lagi alasan saya.

"Kawan saya ada adik, tapi mak dia tak kerja. Hari-hari hantar ambil dia di sekolah."

Allah, bicara anak kecil ini sangat suci.
Cukup! Bangun Tini!
Saya nekad.
Namun, sekali lagi. Saya seperti hilang haluan.
Tapi, saya teruskan DOA.
Sujud di sepertiga malam, saya USAHA.

Dari anak pertama sehingga anak ketiga lahir. Daniel berumur 5 tahun, manakala Damia berumur 3 tahun pada masa itu. Cuti berpantang selama tiga bulan buat saya betul-betul memikirkan masa depan anak-anak.
 
Dalam fikiran, tidak pernah putus memikirkan perkara yang sama iaitu berhenti kerja.
Tetapi saya belum nampak jalan.

Tidak lama selepas saya kembali bekerja, ada suatu hari cuti umum di Selangor yang mana semua taska ditutup. Saya mohon cuti sehari untuk menjaga anak-anak kerana K.Lumpur tidak cuti. Pada hari tersebut, hanya suami bekerja. Dia pulang, makan malam tersedia di meja. Lengkap dari biasa.

"Kan best kalau hari-hari balik macam ni. Balik isteri sambut, makanan sudah tersedia." Kata-katanya hanya bersahaja, terkeluar dari mulutnya dengan riak wajah gembira lain dari kebiasaannya.
 
Saya terdiam. Terkesan. Sebelum ini, kami sama-sama pulang kerja lewat, dan makan malam lebih banyak dibeli di kedai atau pesan sahaja pizza.
Dalam diam, saya DOA lagi.

Pada bulan Disember 2012, saat paling genting. Hanaa sudah berumur 7 bulan. Saya nekad untuk berhenti kerja semasa proses penswastaan agensi kerajaan tempat saya bekerja. Tarikh tutup untuk menghantar permohonan berhenti adalah sebelum atau pada 31 Disember 2012.

"Awak jangan buat kerja bodoh, dah 6 tahun kerja."
"Awak jangan jadi orang tak bersyukur, dah naik pangkatkan. Orang lain susah nak dapat kerja."
"Awak belajar sampai ke Amerika, takkan nak berhenti kerja? Tak kasihan kat mak ayah?"
"Awak ada komitmen pinjaman rumah, kereta dan tiga orang anak, macam mana?"
"Awak tak malu ke, belajar tinggi-tinggi nak jadi surirumah?"

Tertekan. Saya tertekan. Tapi saya tak salahkan mereka bertanya. Namun apa harus saya buat? Bodoh? Tak bersyukur? Komitmen? Mak ayah? Semuanya silih berganti menganggu fikiran. Menyesakkan dada.

Saya istikharah. Dua malam berturut-turut, tiada jawapan. Ah, serabut! Tak payah berhentilah!

Tetapi hati saya tidak tenang.
Saya bincang lagi dengan suami, hati ke hati. Dia amat menyokong pilihan saya, untuk keluarga.
Saya telefon abang sulung saya. Dia memberi nasihat, fikir yang terbaik untuk keluarga.
Saya telefon Ibubapa. Mereka tiada halangan dan redha dengan apa jua pilihan saya. Dahulukan keluarga.

Pada malam ketiga istikharah, kebetulannya pada malam Jumaat.
Kami membuat kira-kira pendapatan tolak perbelanjaan.
Apa kami boleh jimat, apa yang kami kena korbankan.
Buang yang kehendak, hanya ambil keperluan.
Kemudian, saya istikharah.

Keesokan harinya, saya mengharapkan Jumaat yang berbeza. Bersiap untuk ke tempat kerja.

"Mama, boleh tak mama tak payah pergi kerja, biar Papa je kerja," tutur mulut kecil Damia secara tiba-tiba sambil tangannya memegang tangan saya di hadapan pintu bilik kami. Dia masih pelat berbicara kerana baru beberapa bulan masuk 3 tahun.

Jantung saya berdegup kencang. Saya pandang matanya, berkelip-kelip ikhlas.
Air mata saya laju, sambil saya memeluknya.
Saya turun ke tingkat bawah, saya turunkan tandatangan pada borang.
Sampai di pejabat, saya menghantar borang, tidak menoleh kebelakang.
Melangkah yakin, saya rasa tenang. Saya senyum pada semua orang.

Selepas Solat Jumaat pada hari yang sama, ada rakan sekerja SMS, "You did the right thing, Tini." Saya pelik, apa maksudnya. Tiba-tiba, dapat panggilan telefon dari orang lain, "Tini, masa khutbah tadi, aku terus teringat pasal kau". Saya lagi pelik.

Kemudian, suami menelefon. "Sayang, khutbah tadi pasal pentingnya tanggungjawab ibu bapa menjaga, membesarkan anak-anak dengan sebaik-baiknya."

Kita merancang, Allah Merancang. Dan ketahuilah, Allah Sebaik-baik Perancang.
 
Semuanya rahsiaNya.

Jangan pernah putus asa untuk berDOA walau apa pun keadaan kita. Kita mungkin tidak sempurna, tetapi Allah memberikan yang terbaik buat kita. Jangan bersangka buruk, semua yang berlaku ada hikmahnya. Saya doakan semoga urusan kita semua sentiasa dipermudahkan. Amin.

 

Nota: Gambar ini diambil pada 23 Disember 2012. Pada waktu itu, saya telahpun menghantar borang berhenti kerja. Pada 31 Disember 2012, secara rasminya tamatlah perkhidmatan saya. Impian menjadi kenyataan, maka bermulalah kehidupan saya sebagai seorang surirumah sepenuh masa. Alhamdulillah.








19 comments:

  1. alhamdulillah....
    seronok baca kisah tini...
    indah, walaupun awalnya payah..

    ReplyDelete
  2. Iye kak efie.banyak "sakit" emosi dulu.xpernah nok luoh.tp bila saing2 oyap untungnya benti keje.ni nok oyap bkn senang nak buat keputusan.bertahun berdoa.

    ReplyDelete
  3. very inspiring sis. situasi yang lebih kurang sy.. membuatkan saya lebih yakin dgn keputusan yang diambil.. :)

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah, kalau kita dah dpt petunjuk istikharah, kita akan yakin dgn jalan Dia bg.alhamdulillah.

    ReplyDelete
  5. Tini,

    Aku sokong berhenti kerja untuk jaga keluarga. Tapi aku tidak suka bila org judge orang yg berkerja mcm perbualan kawan mu tu. aku nampak mu happy lepas berhenti kerja. Aku pun sangat berharap utk buat perkara sama. family aku tidak supportive dr mak aku smp ke suami. Mak aku gomen totok so baru ni dah bincang mmg dia x kasi berenti atas alasan mungkin mu pun tahu. Insyaallah one fine day, bila aku dah betul2 kuat aku akan buat keje gile tender resignation hahahaha. Demi mu anak2.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Far

      iye, aku kena bertubi2 masa nak submit resignation. Demo rasa mcm xmasuk akal dgn apa zon selesa yg aku ada.aku toksalahkan demo, kalo aku xde jawapan Allah bagi, maybe aku kalah.tp aku yakin sgt masa tu.yg penting kena dpt redha suami, parents.aku mmg tau pasal mu, mu hold dulu far.susun dulu rentakmu sekarang.ni pun untung doh mu dpt besarkan demo setaro ni.bila ada base, mu yakin.minta petunjuk.dia dua jah, kalo keputusan tu silap, kita mesti x tenang nok buat.

      Delete
  6. Sebuah pengorbanan seorang ibu bekerjaya untuk keluarganya. Merelakan sebuah kepentingan sendiri untuk orang lain adalah sesuatu yang terlalu payah untuk dilepaskan. Namun sebuah pengorbanan yang sukar itu pasti akan menghadirkan sekalung rantaian kebahagiaan yang indah di hujungnya. In shaa Allah, teruskan menjadi suri yang cemerlang di hati suami dan ibu yang terbilang di hati anak-anak. Semoga Allah mempermudahkan langkah seterusnya untuk mencorak kehidupan yang sakinah mawaddah warahmah. Amin ya rabbil alamin.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Abe lan,

      Terima kasih atas ingatan.alhamdulillah atas support keluarga, saudara dan rakan2.sukanya baca cacatan org sastera.tini kena banyak belajar ni.nokgi berguru di ukm lah.hehe

      Delete
  7. Alhamdulillah..semoga tini tenang, damai dlm menjalankan tugas mendidik dan menjaga anak2 dan keluarga..tiada yg lebih berharga dari anak2 ..mcm tu la skrg yg di hadapi olih anak akak..seorang engineer sibuk nak berenti keje utk menjaga anak yg baru seorang..akak pesan kat dia saba dulu kalau dah dua tiga baru la berenti..ntah la dulu2 kehidupan tak mcm skrg kan..blh je mak2 ni keje hingga sampai waktu wajibnya..walau apa pun kita kene ambik keputusan yg mana lebih baik..kalau ikutkan mmg la syg kan kedudukan dan gaji..takpe kan tini..u dah ambik satu keputusan yg sungguh bijak dan tak pernah menyesal kan..bahagia tgk anak membesar didepan mata dizaman yg serba mengancam ni .. akak doakan awk berjaya cemerlang dlm hidup ini..jauh lagi perjalanan hidup ini..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih kak.akak antara org tmpt kerja dulu yg support tini.bnyk tini belajar.ckp kt anak akak, mcm tini ni dari anak pertama sampai anak ketiga berdoa.menunjukkan bila sampai masanya, Allah tunjukkan jalannya.in shaa Allah

      Delete
  8. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  9. Jalan cerita Puan hampir sama dgn sy..berhenti ketika anak ke 3 masih bayi... cuma beza nya sy berhenti kerana penat bekerja tp apa yg diperoleh tak seberapa. Alhamdulillah rezeki bertambah2 juga selepas bergelar surirumah... buat kuih sikit2 pun jgn x percaya kalau sy katakan melebihi pendapatan graduan spt sy yg dh bekerja hampir 8 tahun :-)

    ReplyDelete
  10. Alhamdulillah.semoga kisah2 kita blh bg pengajaran kt orang lain.semoga kuat kalau kena hinaan orang.bkn kita seorang.ramai lagi yg tidak silap buat keputusan.tahniah puan syukur rezeki Allah luas.

    ReplyDelete
  11. I feel the same kak tini..moga akak trus ceria bahagia mengurus dan membesarkan anak-anak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah kan norul.semoga kita semua dipermudahkan.

      Delete
  12. Assalamualaikum sis
    Sungguh2 terkesan bila baca cerita sis...ada antaranya dialog yg sama juga ank sy selalu lontarkan..."kan best kalau ibu tak kerja...bole ambik kite org cepat...dapat mkn cepat...balik sekolah dah bole makan..." terkedu sy seketika bila anak sulung skrg 10thn lontarkan ayat macam tu...di tambah pula di sokong oleh adk nye berumur 7 tahun....jauh di sudut hati...Ya Allah...kesian nya anak2 ku yg memerlukan ibu sehabis waktu persekolahan mereka...dan mula la ibu memikirkan...apa yg aku kejari...apa yg aku cari sebenarnya...mmg terasa ms sgt2 terhad dgn anak2....
    Mac lalu sy baru melahirkan ank ke 3...tempoh cuti berpantang 90 hari...masa dlm berpantang mula memikir mana nak di hantar baby...taska or pengasuh..tp hati mmg sgt berat nak hantar org lain jaga baby...tempoh cuti bersalin kian hampir kegarisan penamat....hati masih berat utk cari pengasuh...berbincang dengan suami..alhamdulillah di sokong penuh...maka keputusan diambil...mohon cuti menjaga anak tanpa gaji selama 2 tahun....jun 2017 perlu lapor diri bertugas...dlm tempoh 2 tahun macam bole jadi....masa untuk berfikir sebaik2 nya...keluarga atau kerjaya...
    Dan...sekarang anak2 yg sulung n kedua la yg paling happy...balik sekolah dah bole makan terus....
    Bila baca cerita sis ni lg kuat otak berfikir...
    In shaa allah....istiharah mohon petunjuk ..tk

    ReplyDelete
  13. waalaykumussalam sis. Alhamdulillah sis beruntung dapat "tempoh bertenang" selama dua tahun ini. masa ini lah untuk kita fikir dan rancang. mungkin sis blh setup base online yang tidak memerlukan modal yang besar, cuba jana pendapatan dari rumah. iya, ada untung turun naik tapi kalau tak cuba taktahu. dalam masa yang sama, jgn lupa senjata kita iaitu doa. saya juga mendoakan sis semoga segalanya dipermudahkan. terima kasih juga kerana berkongsi cerita dan juga menjengah ke blog saya.salam perkenalan.

    ReplyDelete
  14. Tinie, slamo ni aku jd silent reader jah.. blog mu sangat inspiring (betul x ejaan aku ni? hehehe). Cara mu bercerita sungguh bersahaja, penggunaan bahasa mu sangat menyentuh jiwa. Aku mendoakan mu menjadi WAHM yang berjaya dunia dan akhirat

    ReplyDelete
    Replies
    1. Huk aloh posh.aku suko tengok mu hias umoh mu..(huhu rindu rumah sendiri plak). Aku tulis ikut jari jah tok reti nok jiwang bunga. Amiin.tq for the doa.aku pun doakan mu dan saing2 lain berjaya blako dan dipermudahkan.

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...