Check this out

Showing posts with label CATATAN HARIAN. Show all posts
Showing posts with label CATATAN HARIAN. Show all posts

Monday, June 6, 2016

SALAM RAMADHAN DARI BUMI SEOUL

Entri 146

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Assalamualaykum. Alhamdulillah dapat lagi saya menulis di sini pada hari ini, 1 Ramadhan 1437H dari bumi Seoul ini.

Cuaca hari ini agak mendung, tetapi masih boleh terasa bahang musim panasnya.

Anak-anak kebetulan tidak bersekolah pada hari ini kerana cuti umum Memorial Day di Korea.

Daniel bangun sahur hari ini, semangat dari semalam lagi hendak berpuasa. Kerana terlalu banyak minum air, dia sepertinya kekenyangan walaupun hanya makan sedikit nasi dan telur dadar dan sambal bilis.

Batuk sedikit, dia muntah semua makanan sahurnya. Tetapi sehingga kini, dia masih lagi berpuasa. 9 jam sudah berlalu. Harapnya, dia masih bertahan sehingga berbuka nanti.

Puasa di sini hampir 17 jam. Agak lama berbanding dengan Malaysia. Tetapi ini merupakan tahun ketiga kami berpuasa di sini, jadi kami sudah terbiasa.

Ramadhan tahun ini, setiap orang pasti ada azam baru. Begitu juga saya.

Selain dari azam  untuk makanan rohani, saya juga berazam untuk 'menggerakkan' studio tinicraft.

Saya berazam untuk menjahit sekurang-kurangnya dua produk sehari dalam bulan ramadhan ini tanpa menganggu urusan rohani dan jasmani yang lain, in shaa Allah.

Semoga berjumpa lagi. Saya sempat buka laptop ini sebentar  untuk membeli beras online. Kalau tidak, agak jarang saya dapat mencuri waktu buka laptop pada waktu tengahari sebegini.

Selamat berpuasa dari kami sekeluarga. Semoga Ramadhan tahun ini adalah lebih dari sebelumnya.

Aamiinn.. 

Nota: Ini adalah gambar saya bersama-sama kanak-kanak Malaysia di sini sewaktu rakaman hari raya RTM  yang lepas.

Sunday, May 8, 2016

TEMPAT JATUH LAGI DIKENANG, INIKAN PULA TEMPAT MENIMBA PENGALAMAN HIDUP

Entri 141

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN


In shaa Allah, jika tiada aral, kami akan pulang ke Malaysia pada hujung tahun ini.

Maka akan bermulalah kembali episod lain dalam perjalanan hidup kami setelah tiga tahun merantau di Seoul, Korea ini.
Anak-anak sudah teruja dari sekarang apabila diberitahu akan kepulangan ke Malaysia. Fahmi, perkara pertama dalam fikirannya, nanti kita boleh makan banyak makanan halal! 
Saya tersenyum mendengarnya.
Mana taknya, di sini makanan kami agak terhad. Makanan halal di restoren halal di Itaewon agak mahal dan tiada banyak pilihan.
Yang lainnya makan di rumah. Kadang-kadang kami kehabisan stok bahan mentah Malaysia seperti santan, cili padi dan sebagainya.

Mujur ada kawan-kawan yang memahami dan baik hati menawarkan untuk membawa barang-barang tersebut apabila mereka berkunjung ke sini atas urusan kerja ataupun urusan lawatan peribadi.

Secara jujurnya, perlahan-lahan saya mula rasakan yang saya akan merindui tempat ini. Walaupun keinginan untuk dekat dengan orang tua di tanah air mengatasi segalanya, tetapi perasaan rindu itu pasti menjengah tiba.

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menimba pengalaman hidup dan tempat anak-anak membesar serta mengenal erti persekolahan.

Saya tahu, akan ada perbezaan besar apabila pulang ke Malaysia nanti terutamanya untuk anak-anak.

Contoh terdekat adalah Hanaa. Sewaktu kami tiba di sini dulu, dia adalah seorang anak kecil yang baru sahaja berusia setahun setengah.

Sekarang umurnya kurang dari dua minggu lagi untuk mencecah 4 tahun. Apabila tiba saat untuk pulang nanti dia akan berumur empat tahun setengah.

Pada waktu mula datang dulu, dia hanya bertutur beberapa patah perkataan.




Sekarang, dia sudah besar panjang. Petah berbicara membuat ayat lengkap.

Akalnya juga sudah panjang. Pandai juga mengambil hati Mama. Selalu tolong Mama kemas rumah.

"I don't like our house in mess," ayat yang kerap dituturkan sekarang.

Hanaa, Hannamdong, Seoul, Spring 2016.

Yongsan Family Park, Seoul, Spring 2016
Namsangol Hanok Village, Seoul, Winter 2016

In shaa Allah saya akan bercerita lagi berkenaan persiapan untuk kami pulang ke Malaysia nanti.

Semoga Allah memberkati kalian semua. Terima kasih.


Saturday, April 16, 2016

DUA SAHABAT, MALAYSIA DAN JEPUN

Entri 137

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Lily dan keluarganya akan pulang ke Jepun untuk menetap di sana tidak lama lagi. Lily juga sudah berhenti sekolah yang sama dengan Tasnim dan berpindah ke sekolah antarabangsa Jepun di sini sebagai persediaan sebelum balik ke negaranya.
 
Memandangkan mereka sudah lama berkawan baik dan sudah lebih sebulan tidak berjumpa, kami menemukan mereka di sebuah restoren Turki di Itaewon sewaktu musim sejuk yang lepas.

Keluarga mereka sangat sopan dan baik hati. Tahu serba sedikit berkenaan Islam, ibu bapa Lily telah meminta kami memilih restoren halal yang sesuai. Setelah berbual, ternyata kami tidak membuat pilihan kerana menurut bapa Lily, dia amat menggemari makanan Turki kerana sudah beberapa kali ke negara Turki atas urusan kerja.

Sambil makan, anak-anak tidak melepaskan peluang untuk bermain, melukis, mewarna dan sebagainya.
 
Seronok melihat mereka berkawan. Lily dan Tasnim berkawan di sekolah tetapi tidak kekok bermain dengan Hanaa dan Fahmi.
 
Anak-anak, apabila mereka bermain dan berborak sesama mereka, semuanya kelihatan teruja seperti tiada apa-apa masalah.
 
Seingat saya, pada waktu itu kami semua mendapat mesej Red Alert untuk berada di luar kerana suhu terlalu sejuk iaitu -18c sehingga -25c. Sangat sejuk. Tetapi memandangkan keluarga mereka sudah tidak ada masa lagi, kami masih teruskan rancangan untuk makan malam bersama.
 
 
 
 
 
Keluarga ini sangat baik dan sangat easygoing. Mereka bawa set kertas origami (dari Jepun). Ayah Lily, menunjukkan kami cara-cara membuat burung dari kertas tersebut. Tangannya sangat tangkas, sangat menunjukkan bahawa orang-orang Jepun sudah serasi dengan seni origami.
 

 
 
 
Sebelum berpisah, mereka berdua bertukar-tukar hadiah kenangan bersama.


 
Keluarga ini bercadang untuk ke Malaysia pada cuti musim panas nanti untuk menikmati durian. Tak sangka mereka suka durian yang kebiasaannya dibeli yang sejukbeku dari pasaraya.

Semoga persahabatan dua keluarga ini kekal selamanya.

Ibu Lily berkata kepada kami, "You are our best family friend in Korea!"
 


TIDAK PERNAH TERLAMBAT UNTUK BERMULA

Entri 136

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Beberapa hari lepas, saya ada berborak dengan kawan lama di Malaysia dulu.

Saya hanya mengenalinya melalui internet apabila dia membeli handmade totebag dari saya. Kemudian dia membeli beberapa produk lagi dengan saya dan akhirnya kami berjumpa buat kali pertama untuk urusan penghantaran barang.
 
Tetapi sikapnya yang mesra dan sentiasa sokong apa yang saya buat, membuatkan saya rasa dekat dengannya.
 
Sekarang mungkin sudah lebih 5 tahun usia persahabatan kami. Kak Aya dan kawannya Kak Ton sangat mesra orangnya. Mereke berdualah yang menolong saya menjual stok kain pasang yang belum habis sewaktu saya hendak berangkat ke Korea pada tahun 2013 dahulu.
 
Kak Aya sekarang buat beberapa bisnes perniagaan online. Boleh lawati laman web beliau di SINI.

Semasa berborak melalui Whatsapp, dia mesra seperti biasa. Kami berbincang tentang beberapa isu dan salah satunya berkenaan berniaga online.

Kami berdua seperti takut untuk bermula kerana saya sendiri ada pengalaman tidak manis yang membuatkan kerugian.

Tetapi Allah Maha Adil. Setiap ujian ada hikmahnya. Mungkin itu bukan rezeki saya.

Apabila Kak Aya menceritakan pelbagai bisnes yang dia lakukan sekarang, saya kagum. Beliau bekerja, dan juga menguruskan anak-anak. Tetapi sempat buat pelbagai perniagaan.

Jadi, saya dapat satu semangat yang kita tidak pernah lambat untuk bermula.

Selagi ada kemahuan dan jiwa yang kental, kita boleh bermula.

In shaa Allah semoga tapak dalam Akademi Bekerja di Rumah ini memberi nafas baru untuk saya.

 

Thursday, April 14, 2016

WAKTU YANG PALING MAHAL

Entri 135
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Hujung minggu baru-baru ini dua hari berturut-turut kami ke taman yang sama atas permintaan anak-anak.
 
Selain ingin menikmati pemandangan pokok Sakura yang berkembang mekar di permulaan musim bunga, cuaca pada waktu itu juga sesuai untuk anak-anak bermain di luar.
 
Setelah beberapa bulan berhibernasi dek musim sejuk, waktu sebeginilah amat berharga sebelum musim panas tiba.
 
Waktu berharga ini juga 'paling mahal' kerana suami ada masa untuk anak-anak.
 
Kebiasaannya dia kena bekerja di hujung minggu dan sehingga lewat malam pada hari biasa.
 
Apabila ada waktu lapang begini, Daniel lah orang paling gembira kerana dia ingin main bola sepak dan badminton dengan Papa.
 
 
 
 
Ini gambar selepas penat bermain di padang. Kami berjalan-jalan di sekitar taman. Tetapi anak-anak tidak pernah kepenatan. Masih ingin bermain bola walaupun agak berbukit sedikit.
 

 
Kemudian, kami ke kawasan senaman. Bukan kami sahaja yang ingin bersenam, anak-anak juga mengambil kesempatan, tetapi kami masih berwaspada dari aspek keselamatan.
 

 
Hanaa dan Papa bonding time. 
 
 
 
Gambar Damia dan Hanaa ini saya ambil sewaktu Daniel dan Papa main bola sepak di padang.
 
Mereka berdua ini bermain di taman permainan berdekatan.
 
Kelihatan ada sebuah "pondok" buku di belakang sana. Itu adalah perpustakaan mini di taman ini. Semua buku berbahasa Korea ;)
 
Sayup kelihatan Daniel bermain bola sepak.

 
 
Sebelum pulang, Daniel bergambar dengan bola kesayangannya. 
 
Anak-anak gembira, kita bahagia. 
 

Tuesday, April 12, 2016

ANTARA SAAT YANG AKAN DIRINDUI

Entri 133
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Semalam saya mengemas rumah seperti rutin biasa.
 
Tiba saat saya sedang vacuum, Hanaa yang sedang membuat buku kerjanya tidak berpuas hati apabila suaranya sayup-sayup kedengaran apabila memanggil saya.
 
Kemudian dia datang pada saya. "I want to help too!", katanya sedikit kuat.
 
Saya hentikan vacuum lalu berikan dia roller ini. Dia pernah buat sebelum ini, jadi tiada masalah untuk Hanaa menggunakannya.
 
Saya teruskan kerja seperti biasa, dan curi-curi ambil gambar ini untuk dihantar kepada suami.
 
Memang setiap kali ada aktiviti dengan anak-anak, saya akan terus hantar gambar kepada suami supaya dia juga dapat merasai manisnya melihat perkembangan anak-anak.
 
Tiba-tiba, saya dapat mesej kembali dari suami.
 
"You will miss this moment when she's in school later"
 
Mata saya berair. Hati saya sayu.
 
Ya, saya akan rindui saat-saat bersamanya di rumah.
 
Hanaa, mama nak pergi sekolah juga, ok?
 

Wednesday, April 6, 2016

PISAU DIASAH MENJADI TAJAM

Entri 127

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN 

Subuh di sini sudah menginjak ke awal pagi iaitu jam 440 pagi waktu tempatan. Saya bangun awal pagi dan kebiasaanya tidak tidur kembali selepas Subuh. Tetapi hari ini saya kembali berbaring kerana tidak sedap badan.

Selepas sejam (terjaga banyak kali), saya menuju ke dapur untuk bersarapan. Ambil pisau untuk potong roti yang dibuat hari Sabtu lepas bagi menyediakan roti bakar. Tanpa saya sedari, saya menghiris jari sendiri. Sakitnya sangat ngilu.

Darah keluar menitik, saya bergegas mencari strip bandage di kabinet bilik air. Selepas sapukan gamat, saya balut jari. Agak pedih.

Saya buat secawan kopi dan duduk di meja sambil melihat jari telunjuk yang luka. 

Saya sudah lama tidak asah pisau di dapur. Tetapi sewaktu Abah dan Ma datang tempoh hari, Abah lah yang asah semua pisau.

Saya terfikir, hati kita pun kalau sudah lama tidak "diasah", akan tumpul juga. Allahu Akbar.

Sejak kepulangan Abah dan Ma ke Malaysia, saya banyak bermuhasabah diri.

Berbicara tenang dan selesa dengan orang tua, kita pasti dapat sesuatu darinya. Mereka kelihatan tidak terkejar-kejar akan hal dunia. Bangun tahajjud seperti biasa walaupun Subuh di sini awal dan waktu di sini awal sejam dari Malaysia.

Mengenang erti memberi dan menerima, mereka menunjukkan erti sebenar bahagia. 

Ya Allah banyak nya dosa yang sudah dilakukan tanpa saya sedari.

Hati dah tumpul, syaitan cucuk sedikit sudah tersungkur, tidak cuba melawan.

Alhamdulillah, syukur ya Allah kerana telah menyedarkan lamunan hidupku. Walaupun kebenaran pahit untuk diterima terhadap semua kekhilafan diri, namun terasa manisnya nikmat penyesalan.

Manisnya kerana Allah sedarkan kita sebelum lebih jauh lagi tenggelam.
Manisnya kerana Allah kejutkan kita dari hanyut kealpaan.
Manisnya kerana Allah beri peluang sebelum menutup mata. 

Hidup mesti diteruskan. 

Pisau sudah tajam, kerja menjadi lebih cekap, namun masih perlu berwaspada.
Hati sudah tajam, iman dan amal perlu diperelok dan sentiasa berwaspada akan tipu daya syaitan yang datang dalam pelbagai bentuk dan orang di sekeliling kita.

Semoga kita semua di bawah lindungan Allah SWT.

Aamiin.
 




Tuesday, March 1, 2016

MENTARI PAGI 29 FEBRUARI 2016

Entri 123
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Alhamdulillah mentari pagi muncul lagi setelah beberapa hari cuaca agak mendung. Khabarnya, kualiti udara tidak elok. Saya menulis entri ini pada pagi 29 Februari 2016 dan hanya perasan pada malamnya bawa saya terlupa untuk tekan "publish". Jadi, saya harus edit sedikit ayat-ayat sebelum ini.
 
Seperti dijangka, cuaca mendung sebegitu menandakan awan berat, dan kelmarin Ahad, 28 Februari 2016 salji turun selebat-lebatnya. Saya kira, paling lebat dan tempohnya beberapa jam juga berbanding sebelum ini.
 
Sepatutnya musim bunga hampir tiba, tetapi nampaknya salji masih belum habis sepenuhnya. Rupanya ada pepatah Korea yang agak popular untuk musim ini yang berbunyi lebih kurang begini "the winter is jealous of the Spring flowers".
 
Tahun sebelum ini juga, salji yang terakhir turun pada awal bulan Mac. Petang semalam pun masih ada lagi salji halus turun bersama angin angin kuat, bersuhu -4c. Kalau diikutkan tahun sebelum ini, semalam sudah pun 1 Mac, tetapi tahun ini Tahun Lompat, jadi semalam adalah 29 Februari.
 
Ini adalah pemandangan di belakang rumah kami semalam. Masih ada lagi orang salji yang dibuat oleh anak-anak pada hari Ahad semasa salji turun. Sebelum ini, sewaktu salji turun mereka masih di sekolah. Jadi, salji terakhir kali ini (mungkin) mereka main sepuas-puasnya.
 
 
 
Hari kejadian, sebenarnya Papa pun turut sama join. Kebetulan waktu hujung minggu kali ini dapat dihabiskan bersama-sama, sangat bermakna untuk anak-anak.
 
Percubaan mengambil gambar keluarga sewaktu salji tengah turun dengan lebatnya. Kami hanya naik ke rooftop untuk menikmati momen itu. Di sini, bahagian paling atas apartment pun ditanam pokok-pokok persis berada di atas bukit.
 
 
Sekali imbas seperti di atas tempat tinggi, seperti di bukit. Tetapi boleh nampak tak ada kotak aircond di belakang saya? Ya, kami di atas salah satu bangunan di "hutan batu" rumah-rumah yang lain di Hannam-dong.
 
 
Snowball fight in action! 

Monday, February 22, 2016

HATI SI KECIL

Entri 122

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Beberapa hari yang lepas, saya tidak sihat setelah menjaga suami dan Tasnim yang demam. Setelah mereka baik, tiba giliran saya pula. Saya tidak kisah sangat kerana Alhamdulillah Hanaa dan Fahmi sihat dan Tasnim dan Papa sudah beransur sihat.
 
Namun, apabila kita berada di rumah, rutin harian diteruskan seperti tiada apa yang berlaku. Mungkin ada sedikit 'jadual lari'  dek urusan tidak selancar seperti biasa.
 
Ada satu hari, saya kepenatan setelah memanjat kerusi beberapa kali mengemas kabinet di dapur. Sudah menjadi kebiasaan bagi saya untuk memeriksa tarikh luput barang-barang makanan di dapur terutamanya yang dibawa dari Malaysia.
 
Mungkin agak remeh, saya cepat penat. Lalu, selepas memasak makan tengahari, saya terus berbaring di katil. Mata sudah tidak tahan lagi mengantuk dek makan ubat dan penangan bangun awal pagi.
 
Saya mengajak Hanaa tidur bersama saya memandangkan itu waktu tidur siangnya. Namun matanya masih segar kerana bangun sedikit lambat pada paginya.
 
Mata saya berat, badan penat dan sedikit panas. Dengan mata sedikit terbuka, saya dapat lihat Hanaa merenung saya. Kemudian dia terkial-kial membuka comforter untuk menyelimuti saya. Kemudian, saya dapat rasakan jari jemari kecil memicit-micit kepala saya.
 
Sebak saya rasakan, anak kecil ini sudah semakin membesar. Sudah memahami seorang ibu yang tidak sihat. Walaupun dia kadang-kadang masih lagi merengek bak bayi, tetapi hati kecilnya itu sangat peka dan sensitif pada keadaan saya.
 
Setelah setengah jam lebih berbaring dan terlelap seketika, badan saya sudah kebah, sedikit berpeluh. Hanaa masih lagi ditepi saya, membelek-belek bukunya. Mungkin dia menunggu saya bangun untuk melayannya membaca buku, tetapi dia hanya diam, tidak meminta-minta seperti biasa.
 
Hati anak kecil ini sudah mengerti akan erti sabar, sakit, penat dan rehat. Alhamdulillah.
 
Kemudian, saya mengajaknya ke ruang tamu dan membuka tv untuk menonton rancangan kegemarannya sementara saya ke dapur meneruskan sedikit lagi kerja yang terbengkalai.
 
Tidak berapa lama kemudian, saya lihat dia tertidur di meja di ruang tamu. Ya, memang sudah menjadi kebiasaanya tertidur di mana-mana, tetapi pada kali ini saya dapat rasakan dia begitu penat menahan mata dari jadual tidur petangnya tadi mungkin semata-mata untuk menjaga mama yang tidak sihat.
 
Aduhai anak, terima kasih kerana hati kecilmu memahami. Alhamdulillah.
 
 
 
 

Thursday, February 11, 2016

SALJU PUTIH SENTIASA DINANTIKAN

 Entri 116
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
 
Foto ini diambil beberapa minggu lepas selepas beberapa hari sejuk terlampau yang mencecah -18c di sini.
 
Apabila ada salji turun pada hari berikutnya, suhu menjadi kurang sejuk walaupun masih lagi negatif.
 
Anak-anak kembali teruja melihat salji seteleh beberapa hari "berbungkus" yang hanya nampak anak mata sahaja apabila pergi dan pulang sekolah. 
 
Kebetulan pula pada hari tersebut mood Hanaa tidak berapa baik. Dia bangun awal pagi dan mandi bersama kakak yang hendak ke sekolah.
 
Dia merengek-rengek untuk ke sekolah juga apabila melihat abang dan kakak tidak sabar untuk keluar rumah melihat salji.
 
 
Pujuk memujuk berlaku, dan ini ubatnya. Tidak lupa dibawa sekali anak patung hamsternya sekali.
 
 
Bukan Hanaa seorang teruja, mama pun sekali. Ini tahun ketiga kami di sini, namun begitu kami semua akan sentiasa teruja apabila salji turun.
 
Teruja melihat warna putih bak kapas turun mengenai muka. Tetapi kalau lebat sangat, lain pula halnya, sakit!
 
 

 
Hanya sedikit sahaja pada mulanya. Apabila melebat, kami beredar ke dalam rumah.
 

 
 
Ini di bahagian frontyard. 
 
 
Buka pintu melalui bilik kami, saya cepat-cepat keluar menulis sebelum salji mencair dek titisan hujan ataupun sinaran cahaya matahari.
 

Sunday, January 24, 2016

SEJUK TERLAMPAU

Entri 110
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Semalam tiba-tiba suami dapat mesej bahasa Korea di telefon. Atas bantuan rakan yang menterjemah mesej tersebut, rupa-rupanya ia merupakan mesej amaran "frost alert" bermula jam 6 petang semalam sehingga hari ini.
 
Ini gambar hari ini yang saya ambil dari bilik saya. Nampak cahaya mentari pagi yang panas, tetapi bersuhu -17 celcius. Notifikasi di telefon menunjukkan "feels -25c".
 
Sejak datang ke sini, ini merupakan musim sejuk ketiga buat kami di sini dan ini adalah kali pertama kami mendapat mesej sebegini.
 
Kami hanya duduk di dalam rumah menghabiskan masa bersama sekeluarga. Anak-anak pun tidak mahu keluar.
 
Tetapi malam tadi kami terpaksa keluar sebentar untuk menghadiri makan  malam bersama keluarga kawan baik Tasnim dari Jepun, Lily.  Kemudian kami cepat-cepat pulang selepas keluar dari restoren dek kesejukan terlampau.
 
 
 
Anak-anak dan saya sendiri terpaksa memakai stokin tebal di dalam rumah seperti ini. Harganya dua kali ganda dari stokin biasa, tetapi amat selesa.
 
Heater memang sudah dipasang, tetapi masih terasa angin sejuk terutamanya apabila duduk di katil yang berselahan dengan dinding kaca.
 
Pada waktu-waktu sebegini, duduk di dalam rumah adalah yang terbaik untuk kami. Walaupun tidak keluar rumah, tetapi anak-anak tetap gembira kerana Papa mereka ada di rumah.
 
Bahagia saya tengok mereka habiskan masa bersama seperti main catur, main pingpong, baca buku cerita, tengok cerita dan sebagainya.
 
Suami pun nampak ceria berbanding sebelum ini jika dia terpaksa bekerja di hujung minggu.
 
 
Semoga cuaca terlalu sejuk ini cepat-cepat berlalu. In shaa Allah. 

Thursday, January 21, 2016

HIKMAH MUSIM SEJUK

Entri 106

Teks: KHUSHARTINI MAKARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Minggu ini adalah minggu yang paling sejuk di Seoul untuk musim sejuk kali ini. Suhu dalam -6 celcius sehingga -16 celcius.

Matahari ada, nampak seperti panas, tetapi lain pula suhu cuacanya.

Angin bertiup agak kuat, menambahkan lagi kemerahan hidung seolah-olah membeku dan jari jemari seperti tidak terasa kerana kesejukan walaupun sudah memakai stokin tebal dan sarung tangan kulit.

Namun, rutin harian perlu diteruskan seperti biasa. Anak-anak masih bersekolah, jadi saya perlu keluar pagi untuk menghantar mereka ke tempat perhentian bas dan menjemput mereka pula pada waktu petang.

Walaupun jaraknya agak dekat dari rumah ke tempat bas, tetapi saya perlu bersiap sepertinya hendak berjalan jauh kerana cuaca yang terlampau sejuk. Masa bersiap pagi untuk anak-anak juga lebih lama dari biasa dek pakaian sehingga empat lapisan.

Kemudian, saya cepat-cepat kembali ke rumah. Hanya "berhibernasi" sepanjang hari sambil membuat kerja-kerja rumah.

Anak-anak pun sama, rutin persekolahan hanyalah dijalankan di dalam kelas ataupun di dalam bangunan sekolah sahaja.

Tetapi suami, perlu berjalan hampir 1 kilometer dari rumah untuk ke perhentian bas pada waktu pagi dan begitu juga pada waktu pulang di sebelah malam. Tidak terbayang sejuknya dia berjalan dalam suhu sebegini.

Itu belum lagi apabila dalam keadaan hujan. Demi sesuap nasi, rutin kerjanya diteruskan seperti biasa. Begitu juga dengan orang-orang lain di sekeliling.

Berat lagi ujian bagi yang bekerja di luar bangunan. Mungkin bagi mereka sudah terbiasa, tetapi masih boleh nampak siksanya. Jalannya laju-laju dari satu destinasi ke destinasi yang lain.  Seluruh badan dari hujung kepala ke hujung kaki, lengkap berbungkus.
 
Hikmahnya musim sejuk ini, mata tidak sakit memandang. Semuanya berpakaian sopan dan berselubung tebal. Ada yang seperti memakai tudung, membaluti telinga dan seluruh leher dan muka. Hanya nampak dua biji mata.
 
Kalau tidak, di musim panas, semuanya terdedah. Pernah semasa berjalan di Itaewon, anak-anak menutup muka. Katanya, seksi lah! Saya tersenyum sendiri apabila teringat gelagat anak-anak di musim panas.
 
Sungguh unik alam ciptaan Allah. Dia ciptakan ada tempat sejuk, tetapi dalam masa yang sama ada tempat lainnya panas.

Semuanya penuh rahsia Dia. Hanya kita yang perlu teroka hikmahnya.

Nota:

Ini adalah antara penampilan saya apabila keluar rumah pada musim sejuk terlampau begiini. Bukan sahaja jaket tebal dan labuh, tetapi juga hampir menutupi seluruh muka. Anak-anak pun sama.

AIR MATA YANG PALING MAHAL

Entri 105

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Semalam saya ada kesempatan mendengar satu kuliah ringkas dari Ustazah Nurhafizah Musa di Facebook. Pendek sahaja videonya tetapi sangat mendalam.

Berkenaan air mata di tengah malam. Sangat mahal.

Saya sendiri akui, apabila kita mengadu dengan orang, masalah tidak akan selesai. Malah mungkin bertambah rumit.

Mungkin juga ada orang bergembira dengan masalah yang kita hadapi, atau mungkin juga kita telah membuka aib sendiri.

Jadi, tindakan yang paling bijak dan paling penting adalah kita kena mengadu kepada Pencipta kita.

Hanya Dia yang tahu segalanya.

Kita merancang, Dia juga merancang. Tetapi perancangan Dia adalah yang terbaik untuk kita.

Jangan sombong untuk menitiskan air mata kesungguhan untuk mengadu padaNya.

Masalah mungkin tidak nampak selesai dengan segera, tetapi in shaa Allah ketenangan yang kita dapat. 

Ketenangan yang lebih mahal dari sebuah penyelesaian yang sia-sia.

Ada indahnya. In shaa Allah.



Sunday, January 17, 2016

SALJI MALU-MALU KUCING

Entri 103

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Selamat pagi dari bumi Seoul, bersuhu negatif. Sejuk menggigit.

Alhamdulillah syukur masih bernafas di bumi Allah dan masih lagi mampu menulis di sini setelah agak sepi seketika atas sebab kesihatan. Selagi namanya hidup, ada kalanya sihat, adakalanya sakit. Ada kalanya kita di atas, ada kalanya kita di bawah.

Beberapa hari lepas, anak-anak kembali teruja dengan kehadiran cik salju putih, walaupun sekejap dan sedikit sahaja. Setelah beberapa kali ramalan cuaca mengatakan salji akan turun tetapi tidak, anak-anak agak hampa.

Bukan pertama kali mereka melihat salji, namun setelah dua tahun berada di sini, musim sejuk pada kali ini agak kurang sejuknya dan saljinya. Aktiviti kebiasaan anak-anak pada musim sejuk tidak seperti sebelum ini dek ketiadaan salji.

Kadang-kadang saya sendiri pun rasa teruja melihat butiran putih turun bak kapas dan keadaan di dalam rumah pun akan menjadi lebih cerah dari biasa dek tempias pantulan warna putih dari luar rumah.

Ini adalah kawasan belakang rumah kami (backyard) tempat anak-anak bermain dan membuat aktiviti melukis dan mewarna.




Hanaa menjadi orang pertama keluar ke belakang rumah setelah cepat bersiap berbanding kakak dan abang.


Tasnim membuat aktiviti menyodok salji yang tidak berapa banyak itu untuk membuat snowman katanya.

Tiga anak-anak syurga saya, in shaa Allah. Melihat mereka riang bermain membuatkan hati kita tenang dan dapat melupakan kesibukan seharian.


Orang salji mereka yang agak kecil dek ketidakcukupan salji pada kali ini. Namun mereka tetap bersemangat seperti biasa.

Memandangkan ini adalah musim sejuk terakhir kami di bumi Seoul ini, saya berdoa agar ada lagi salju untuk anak-anak mengabadikan memori indah di bumi asing ini.


Saturday, January 16, 2016

MENCARI PELUANG DALAM RUANG

Entri 101

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN


Tahun 2016 ini, saya kira tahun yang makin mencabar. Bukan sahaja saya terkesan, malah ramai di antara kita yang mula terasa hanyut dan lemas dalam sungai cabaran yang tidak putus-putus mengalir deras. Melihat berita di tanahair, saya turut berdebar-debar. Banyak kos sara hidup meningkat, kenaikan tambang kenderaan awam, cukai dan sebagainya.

Ramai yang terkesan dengan itu semua. Namun, dalam pada itu saya cukup kagum dengan beberapa usaha anak-anak muda masa kini yang masih tidak berputus asa dan bijak mencari peluang dalam ruang ini.

Kisah donat 10 sen, nasi lemak 90 sen, pandu lalu menu sarapan serta kopi di tepi jalan, nasi bajet dan sebagainya.

Macam mana mereka boleh lakukan itu semua dalam keadaaan kos yang serba mahal sekarang?

Saya ada mengikuti kisah di antara mereka di atas. Menjadikan saya lebih kagum dengan mereka, perkara yang pertama bagi mereka adalah niat berniaga itu sendiri. Niat, adalah perkara utama dan harus lurus.

Seperti kata anak muda donat 10 sen itu, dia tidak boleh tidur lena sekiranya mengambil untung lebih. Dia berniaga kerana niat nak tolong orang membeli kuih tanpa rasa terbeban dengan kos kehidupan masa sekarang.  Dia bermula dengan meminjam peralatan menggoreng dengan kawan dan sebagaiya untuk memulakan perniagaan.

Point yang besar di sini adalah semangat mereka kuat untuk memulakan sesuatu. Tidak hiraukan kata-kata orang, mereka terus bangun. Walaupun keuntungan itu sedikit, tetapi keberkatan itu jauh lebih mahal, lalu Allah mencukupkan. Alhamdulillah.

Semoga kita dapat belajar sesuatu dari kisah mereka semua.






Friday, November 6, 2015

MANIS DAN MAGISNYA DOA

Entri 86

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Alhamdulillah pagi yang ceria.
Selamat pagi dari Seoul.

Melihatkan keriangan anak-anak untuk ke sekolah, hati jadi senang. Dapat menghilangkan kepenatan awal pagi seorang ibu.

Masih tidak sabar menunggu mereka pulang walaupun sudah maklum "meriah" nya nanti.

Kalau kita sibuk ditempat kerja ataupun di mana sahaja, jangan lupa "jenguk" anak di sekolah.

"Jenguk" dalam erti kata seperti panggilan telefon ke rumah pengasuh itu memang sudah semesti kita buat, mungkin ada yang ambil peluang untuk bercakap dengan anak.

Jika anak sudah bersekolah mungkin boleh cuba selitkan nota cinta kepada anak-anak melalui bekalan makanan, beg, beg baju sukan dan sebagainya.

Saya banyak belajar dari Damia, a very sentimental kid. Hampir setiap hari dia balik, dia akan beri nota/surat/kad kepada saya. Dia ambil masa untuk siapkan pada waktu "playtime" atau waktu rehat.

Sangat ringkas seperti ucapan "Mom, I love you" atau ada juga berjela ucapan kenapa dia sayang saya. Untuk Hanaa juga ada, walaupun Hanaa masih belum boleh membaca.

Itu semua membuatkan saya sentiasa tidak sabar menanti mereka pulang. Semua ibubapa pun sama. Cara kita mungkin berbeza tetapi satu pasti sama, iaitu DOA.

Saya pasti, kita semua setiap kali teringat hal anak-anak, automatik sepintas DOA akan terucap.

DOA ibu bapa ini manis dan ada magisnya. Penuh mengharap.

Semoga urusan semua dipermudahkan di hari Jumaat yang penuh barokah.

Aamiinn.



Thursday, November 5, 2015

ISU PALING COMEL MESYUARAT DI SEKOLAH HARI INI


Entri 85

Teks:KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Hari ini, hari yang lebih sibuk dari biasa gara-gara mesyuarat ibu bapa yang dijadualkan di awal pagi. Sebelum ini, mesyuarat ibu bapa di sekolah diadakan di sebelah petang, jadi saya boleh merancang masa sebaiknya.

Selepas menghantar anak-anak ke bas sekolah pada jam 8.15 pagi, saya bergegas pulang ke rumah untuk siapkan Hanaa. Dia agak meragam kerana tidur lewat malam tadi. Teringat lagi kata-kata dia malam tadi.

"Mom, I can't go sleep because I'm so happy, see!" Ujarnnya sambil tersengih.

Oleh yang demikian, dia tidak ada mood yang baik pagi ini kerana dikejutkan awal lagi.

Kemudian saya bergegas ke sekolah dengan menolak stroller. Saya jangka dia akan tertidur, jadi memudahkan urusan saya di sekolah  nanti, namun tidak.

Matanya segar bugar tetapi tidak begitu memberi kerjasama. Dia menangis sekejap di perjalanan sehinggakan beberapa orang Korea berhenti melihat keadaannya di dalam stroller sewaktu kami menunggu lampu isyarat untuk melintas. Saya hanya buat tidak tahu sambil tunduk menenangkan Hanaa.

Setelah sampai di sekolah, dia sedikit tenang. Masuk ke kelas Abangnya, dia tersenyum. Mesyuarat hanya diadakan di dalam kelas pelajar sementara mereka ada pelajaran Physical Education (seperti Pendidikan Jasmani).

Setelah duduk, cikgu meminta ibu bapa menulis di nota kecil yang disediakan serta menampalnya ke papan putih di hadapan kelas. Ada dua kolum, "What is going  well so far  VS It is better if".

Kebanyakan ibu bapa menulis pendapat atau isu yang ingin diutarakan. Tapi saya hanya bertanya kepada cikgu terus apa yang saya ingin tahu. Memandangkan saya tiada isu serius untuk diutarakan, saya hanya memerhati perjalanan mesyuarat.

Selepas beberapa ketika, cikgu mula memberi penerangan dan menjawab isu yang ditulis. Namun dia memegang satu nota di tangannya, katanya akan diberi penerangan kemudian.

Saya tertanya-tanya juga, apa isunya. Saya cuba meneka, namun rupa-rupanya tekaan saya jauh tersasar.

Isu berus gigi!

Katanya, selepas makan tengahari, murid-murid diberi masa 10 minit untuk memberus gigi. Namun, ada di antara murid-murid yang leka berbual sehingga terlepas waktu itu dan bersegera ke kelas untuk meneruskan pelajaran.

Saya ingatkan isunya sudah selesai selepas penerangan itu, namun ibu bapa pelajar Korea mula bercakap dalam Bahasa Korea dan suasana sedikit "meriah". Ada muka ibu yang panik. Melihat keadaan itu, cikgu kelas membuat muka terkejut dan salah seorang daripada ibu-ibu tadi bersuara.

"Sorry, we are still talking about the brushing teeth". Ya, ada yang boleh berbahasa Inggeris, tetapi mereka tidak gunakannya semasa berbual sesama mereka. Bagus, namun tidak sopan jika berada di hadapan orang asing.

Melihat keadaan itu dan masa pun sudah terlambat, cikgu terpaksa membuat kesimpulan isu itu sendiri. Ibu bapa berkenaan perlu menasihati anak masing-masing sejauh mana kepentingan memberus gigi dan perlunya mereka mengurus masa dengan baik.

Kemudian mesyuarat bersurai.

Orang Korea amat mementingkan pemberusan gigi. Ada yang mementingkan untuk berus gigi sehingga empat kali sehari. Malah, kalau ada lawatan keluar dari sekolah pun, anak-anak dibekalkan berus gigi walaupun hanya setengah hari lawatan.

Sangat menarik bukan? Saya rasa isu hari ini sangat comel.

Semoga mesyuarat pada masa depan dapat bincangkan isu yang lebih dewasa.





Nota: Ini adalah gambar Nota dari mesyuarat tadi. Kerana saya tidak menggunakannya untuk menulis isu di dalam kelas, saya beri pada Hanaa. Namun dia minta saya pegang tangannya untuk menulis perkataan yang dia mahu. Sebelum meninggalkan kelas, dia menarik tangan saya untuk pass kan kepada Abang. Sweet Hanaa. Saya nampak muka Daniel terkejut dan kemudian tersenyum.


CATATAN PAGI DI PENGHUJUNG MUSIM LURUH

Entri 84

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Suhu akhir-akhir ini sudah menandakan penghujung musim luruh. Sudah serendah -1c sehingga 11c. Bertambah sejuk lagi apabila ditambah angin dingin yang bertiup tajam apatah lagi jika hujan.

Anak-anak sudah bertanya bilakah akan bermula cuti sekolah musim sejuk? Nampaknya mereka juga sudah terasa kesejukan pagi untuk ke sekolah.

Saya masih lagi kejutkan mereka pada waktu yang sama sebelum ini seperti musim-musim lain. Tetapi saya perlu "bekerja keras" lagi untuk memastikan semuanya berjalan lancar sehinggalah mereka menaiki bas ke sekolah.

Sekarang mereka sudah menukarkan uniform sekolah musim panas ke uniform musim sejuk. Jika sebelum ini hanya selapis sahaja dan berseluar/berskirt pendek, kini mereka perlu pakai tiga lapisan pakaian sekolah dan satu lagi jaket nipis dari rumah.

Jadi,boleh bayangkan macam mana saya kena gandakan disiplin diri saya sendiri untuk memastikan anak-anak bersiap dengan sempurna. Kalaulah saya juga liat bangun tidur, sudah pasti anak-anak juga terlewat bangun dan semua urusan lain tergendala.

Hari ini, saya perlu hadir ke sekolah untuk mesyuarat Tahun 3. Morning coffee katanya, seawal 845 pagi. Nampaknya, saya perlu tenaga lebih hari ini kerana Hanaa tidur lewat semalam. Jadi, urusan memandikan dia di awal pagi mungkin sedikit sukar.

Ini gambar Hanaa dua hari lepas sewaktu kami ingin keluar menjemput Abang dan Kakak dari bas sekolah di waktu petang. Dia tidak berapa sihat pada waktu itu, tapi masih mampu tersenyum untuk jumpa Abang Kakaknya. 

Semoga hari ini mood dia ceria juga. In shaa Allah.


Tuesday, October 27, 2015

KELAB MEMASAK -AKTIVITI CUTI SEKOLAH

Entri 72

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Salah satu dari aktiviti cuti sekolah anak-anak adalah kelab memasak. Fahmi suka beri nama aktiviti ini sebagai cooking club kerana itu adalah kelab kegemarannya di sekolah selain dari kelab catur dan komputer.

Aktiviti ini memerlukan kesabaran yang tinggi oleh ibu atau pengendali kelas kerana keterujaan luarbiasa anak-anak. Tidak lupa juga untuk memastikan aspek keselamatan adalah perhatian utama ketika kelab dijalankan.

Pada kali ini kami membuat nutella cheesetart. Maaf, gambar agak terhad dek kedua-kedua tangan "penuh".

Ini contoh "lukisan" anak-anak di atas kuih masing-masing.  Mereka penuh semangat mencorakkan bahagian masing-masing.

Walaupun aktiviti sebegini agak ringkas, tetapi setengah jam sehingga sejam yang dihabiskan masa bersama mereka ini tiada nilainya dan tiada gantinya.

Sangat berharga.

Saya tiba-tiba terasa rindukan anak-anak yang di sekolah saat entri ini ditulis. Cuti sekolah seminggu sudah berlalu. Hari ini adalah hari kedua mereka bersekolah kembali.

Biarlah rumah bagai kapal pecah, riuh rendah dengan suara mereka, saya masih bahagia.

Bahagia yang tidak akan berulang kembali. Bahagia yang akan hanya tinggal memori apabila mereka menginjak usia.

Semoga kasih sayang kita kepada anak-anak akan kekal sama sehingga akhirnya.



 
 
Pada waktu ini, mereka mengambil giliran untuk memegang mesin pengadun ini. Walaupun sekejap seorang, tetapi sudah cukup untuk membuatkan mereka tersenyum puas.


Ini pula menunggu giliran masing-masing untuk melorekkan corak. Sengaja tidak diberi kepada semua dalam satu masa untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini. Saya juga menyelitkan sikap untuk bersabar dalam apa jua yang dilakukan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...