Check this out

Sunday, May 8, 2016

TEMPAT JATUH LAGI DIKENANG, INIKAN PULA TEMPAT MENIMBA PENGALAMAN HIDUP

Entri 141

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN


In shaa Allah, jika tiada aral, kami akan pulang ke Malaysia pada hujung tahun ini.

Maka akan bermulalah kembali episod lain dalam perjalanan hidup kami setelah tiga tahun merantau di Seoul, Korea ini.
Anak-anak sudah teruja dari sekarang apabila diberitahu akan kepulangan ke Malaysia. Fahmi, perkara pertama dalam fikirannya, nanti kita boleh makan banyak makanan halal! 
Saya tersenyum mendengarnya.
Mana taknya, di sini makanan kami agak terhad. Makanan halal di restoren halal di Itaewon agak mahal dan tiada banyak pilihan.
Yang lainnya makan di rumah. Kadang-kadang kami kehabisan stok bahan mentah Malaysia seperti santan, cili padi dan sebagainya.

Mujur ada kawan-kawan yang memahami dan baik hati menawarkan untuk membawa barang-barang tersebut apabila mereka berkunjung ke sini atas urusan kerja ataupun urusan lawatan peribadi.

Secara jujurnya, perlahan-lahan saya mula rasakan yang saya akan merindui tempat ini. Walaupun keinginan untuk dekat dengan orang tua di tanah air mengatasi segalanya, tetapi perasaan rindu itu pasti menjengah tiba.

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menimba pengalaman hidup dan tempat anak-anak membesar serta mengenal erti persekolahan.

Saya tahu, akan ada perbezaan besar apabila pulang ke Malaysia nanti terutamanya untuk anak-anak.

Contoh terdekat adalah Hanaa. Sewaktu kami tiba di sini dulu, dia adalah seorang anak kecil yang baru sahaja berusia setahun setengah.

Sekarang umurnya kurang dari dua minggu lagi untuk mencecah 4 tahun. Apabila tiba saat untuk pulang nanti dia akan berumur empat tahun setengah.

Pada waktu mula datang dulu, dia hanya bertutur beberapa patah perkataan.




Sekarang, dia sudah besar panjang. Petah berbicara membuat ayat lengkap.

Akalnya juga sudah panjang. Pandai juga mengambil hati Mama. Selalu tolong Mama kemas rumah.

"I don't like our house in mess," ayat yang kerap dituturkan sekarang.

Hanaa, Hannamdong, Seoul, Spring 2016.

Yongsan Family Park, Seoul, Spring 2016
Namsangol Hanok Village, Seoul, Winter 2016

In shaa Allah saya akan bercerita lagi berkenaan persiapan untuk kami pulang ke Malaysia nanti.

Semoga Allah memberkati kalian semua. Terima kasih.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...