Check this out

Showing posts with label CATATAN PENGALAMAN. Show all posts
Showing posts with label CATATAN PENGALAMAN. Show all posts

Thursday, June 2, 2016

MALAYSIA SPRING BAZAR IN SEOUL

Entri 144

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Masih tidak terlambat untuk saya kongsikan pengalaman pertama saya menyertai Malaysia Spring Bazaar 2016 di bumi Seoul ini. Kami bergerak atas kapasiti persatuan isteri-isteri di sini.

Penat, tapi seronok. Tambahan lagi sambutan adalah diluar jangkaan. Sangat meriah!

Pengunjung terdiri dari pelbagai negara yang merupakan penduduk yang tinggal di sekitar , penduduk tempatan, rakyat Malaysia bermastautin di sini untuk pelbagai urusan seperti bekerja, kursus dan tidak ketinggalan juga pelajar-pelajar Malaysia. 

Paling mengejutkan juga, rakyat Malaysia yang sedang melancong beberapa hari di sini juga tidak ketinggalan memeriahkan bazar tersebut. Kalau namanya rakyat Malaysia, beberapa sahaja tidak merasa makanan Malaysia, tidak sah! 

Pelbagai juadah yang kami sediakan seperti pulut kuning & rendang daging, nasi lemak dan nasi putih dengan pilihan lauk kari daging, ayam sambal, rendang dan udang sambal. 

Kami terpaksa memasak nasi tambahan sebanyak 6 kali periuk besar bagi menampung permintaan pelanggan yang tidak putus-putus beratur panjang. Ada satu tahap, kami terpaksa mengambil tempahan dahulu dek nasi yg masih belum masak. 

Makanan lain juga terdiri dari laksa utara, mee kari, roti canai (menebar di situ), bihun sup, roti jala dan pelbagai jenis kuih tradisional Malaysia juga tidak kalah kerana semuanya habis terjual sebelum masa bazar tamat.

Pelajar-pelajar Malaysia yang tinggal di sini juga ada dua booth menjual sate dan mee rojak ayam yang mana kami sendiri tidak sempat pun melihat jualan mereka dek diserbu pengunjung dan jualan habis sekejap sahaja.

Terdapat juga persembahan tarian kebudayaan dari pelajar-pelajar Malaysia di sini dan juga booth Tourism Malaysia yang menyediakan pelbagai informasi pelancongan serta memberi peluang pengunjung mencuba pakaian tradisional Malaysia.

Ada kisah menarik yang saya ingin kongsikan berkenaan makanan Malaysia ini. Sewaktu saya menjual pulut kuning, ada seorang wanita Jerman yang datang bersama keluarganya. Dia memesan satu pulut kuning dan rendang.

Tidak lama kemudian, dia datang sekali lagi dan membeli satu lagi set pulut kuning dan rendang. "It was delicious!" katanya. Saya seronok menjual dan bangga pulut kuning dan rendang kita menambat selera orang asing.

Tanpa disangka, dia datang sekali lagi dan membeli satu set lagi untuk anaknya. Saya sangat teruja sambil menceritakan padanya makanan ini susah untuk dibuat. Tindakan dia membeli pada kali ini amat tepat. Dia tersengih, gembira kerana masih dapat bahagiannya.

Set pulut kuning dan rendang adalah makanan yang habis paling awal. Saya sendiri tidak sanggup untuk memasak set ini jika hanya untuk dimakan bersama suami dan anak-anak. Selain mengambil masa yang lama, ia juga berbaloi jika dibuat dengan kuantiti yang banyak.

Di sini saya beli satu set untuk dibawa pulang kepada suami yang menjaga anak-anak di rumah, tetapi terpaksa dijual kembali kemudiannya dek kesiannya seorang pelajar Malaysia yang tiba agak lewat untuk membeli pulut kuning yang sudah lama kehabisan.

Ada seorang rakyat Cina Malaysia yang datang membeli dua set rendang sahaja. Untuk disejukbekukan katanya untuk dimakan kemudian. Begitu sekali kerinduan pada juadah tanahair.

Itulah asam garam merantau. Sejauh mana  kita pergi, selama mana kita meninggalkan bumi kelahiran kita, sudah tentu kita rindukan masakan Malaysia. 

Jom, saya kongsikan beberapa gambar sepanjang bazar tersebut tempohari.



Saturday, April 9, 2016

MANISNYA KETENANGAN

Entri 131
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Berada di bumi asing tidak bermakna kita jauh dari Dia.

Dulu semasa merantau di Amerika selama hampir 4 tahun, saya pernah rasa lemah pada mulanya.

Kadang-kadang rasa takut, sedih, sunyi dan sebagainya.

Tetapi saya terjumpa seorang kawan Somalia beragama Islam. Katanya, setiap kali kemana sahaja kita pergi pun, kita cari Masjid. Baru kita akan 'jumpa' segalanya.

Cari masjid, in shaa Allah kita tidak 'sunyi'. Rezeki kami, masjid berada tidak jauh dari kawasan universiti.

Di situ, kita boleh jumpa ramai orang Islam yang mana kita sendiri pun tidak tahu rupa-rupanya ada ramai orang Islam di sesebuah negara tersebut.

Di situ juga saya belajar erti sahabat yang ada ketika kita susah, dan bahagia ketika kita senang.

Di Korea ini, hampir setiap hari saya nampak masjid nun di atas bukit sana. Walaupun tiada peluang untuk ke sana setiap hari, dapat melihatnya pun saya sudah rasa tenang.

Semalam, saya berpeluang menunaikan solat Jumaat bersama beberapa muslimah yang lain, termasuk si kecil Hanaa.

Walaupun Hanaa pada mulanya bersemangat memakai telekung tetapi kemudiannya terlelap sewaktu khutbah, tetapi jelas terpancar keterujaannya untuk ke masjid. "I want to Solat", katanya.

Rezeki  saya semalam, ketika sampai di masjid, ada sesi tazkirah dalam bahasa Inggeris. Kemudian, diikuti dengan azan dan khutbah Jumaat di dalam bahasa Arab sebelum kami bersolat Jumaat.

In shaa Allah kalau ada rezeki lagi, saya ingin ke sana lagi.

Bersolat di masjid, walaupun sesekali, tetapi manisnya ketenangan amat dirasai.


 

Thursday, April 7, 2016

BELAJAR TENTANG HIDUP, TIADA PENGHUJUNGNYA

 
Entri 129
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
 
Kita selalu mendengar kata-kata "zaman belajarku sudah berlalu".
 
Bagi saya, menjadi seorang pelajar tidak pernah ada hujungnya. Setiap hari kita belajar.
 
Belajar memasak resepi baru, belajar menangani masalah rumahtangga, belajar menguruskan tekanan dan emosi, belajar menjahit, belajar bahasa dan sebagainya.
 
Apatah lagi belajar tentang kehidupan.
Lain waktu, lain ceritanya.
Lain cara, lain kisahnya.
Lain orang, lain peelnya.
 
Semuanya termasuk dalam proses pembelajaran.
 
Oh, ya! Saya terjumpa lencana khazanah lama sewaktu saya belajar di Amerika dulu. Pihak Malaysia Airlines (MAS) memberikan lencana ini di lapangan terbang sewaktu penerbangan pertama saya ke Amerika Syarikat.
 
Sudah 14 tahun berlalu, tetapi masih tersimpan elok dengan saya. Bukan sahaja lencana ini, tetapi kenangan di sana juga masih segar diingatan.
 
Bergelar pelajar di bumi asing, mana mungkin saya lupakan susah senangnya.
 
Setiap hari belajar perkara baharu, setiap hari juga saya mengenal erti kehidupan.
 
Sehingga hari ini, saya masih lagi bergelar pelajar.
 
Yang terbaru, saya belajar untuk tingkatkan kesabaran.
 
200 peratus berganda. 
 
 

Tuesday, March 8, 2016

EKSPERIMEN TEPUNG DI KOREA

Entri 124

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Semasa saya mula sampai di Korea ini, saya amat tertekan terutamanya tentang makanan. Hampir semua makanan saya perlu berhati-hati untuk membelinya dek tidak tahu memahami bahasa Korea.

Alkisahnya suatu hari, saya meminta suami membeli roti keping empat segi untuk membuat sandwich bagi sarapan pagi di rumah. Kebetulan pada waktu itu ada tetamu di rumah, Aina dan Ammar serta Balqis, anak perempuan mereka. Mereka merupakan bekas pelajar Malaysia di sini dan akan pulang ke Malaysia pada sebelah petangnya. 

Setelah menggoreng bihun, suami pulang dari kedai runcit berdekatan dan membawa roti seperti dipinta. Tanpa berlengah, saya menyiapkan inti tuna istimewa untuk tetamu. Sambil berborak kosong dengan Aina, tangan saya tangkas menyiapkan sandwich. 

Tiba-tiba, Aina terkejut melihat plastik pembungkus roti tersebut. 

"Akak, roti ini tidak boleh makan. Lihat di sini ada ditulis penyediaan roti ini adalah di premis yang sama menyediakan roti berunsurkan daging babi juga," terang Aina.

Secara automatik, tangan saya berhenti bekerja. Saya baru perasan jenama roti dibeli suami pada hari itu tersebut lain dari biasa. Tiada rezeki sandwich pada pagi tersebut.  
 
Bermula dari saat itu, aktiviti meroti yang serius bermula. Saya pernah buat roti sebelum ini di sini, tetapi tidak berapa kerap. Sejak dari peristiwa itu, aktiviti meroti sangat kerap, seminggu sekali adalah pasti.
 
Apabila tepung roti yang dibawa dari Malaysia sudah kehabisan, maka bermula lah aktiviti "flour hunting". Bunyinya agak serius kerana saya tidak tahu berbahasa Korea dengan baik. Saya mula mencuba beberapa jenama tepung di sini, sehingga saya dapat mana yang serasi.
 
Selepas itu, apabila beberapa orang bertanya saya berkenaan tepung, saya sudah boleh beritahu mana yang sesuai untuk roti, kek, pizza dan sebagainya.
 
Seperti tepung ini, tiada satu patah pun perkataan Bahasa Inggeris, semuanya basa Hangeul. Tetapi ada gambar roti dan donat di depannya. Saya tanya pada pekerja kedai, "pang" bermaksud roti dalam bahasa Korea. Dia ,tunjuk tepung ini.
 
Setelah beberapa kali mencuba, doh saya menjadi lembik dan saya perlu ubah resepi yang saya biasa buat sebelum ini. Tidak puas hati, saya cuba jenama lain.
 
 


 
Kemudian, setelah beberapa kali bereksperimen, saya sudah tahu tepung mana yang sesuai dengan saya. Warna biru di bawah! Memang tidak faham apa-apa juga pada plastik pembungkusnya, tetapi saya melihat gambarnya dan juga cuba jaya sendiri.
 
Tepung biru itu untuk roti, pizza dan donat yang gebu, Alhamdulillah. Manakala yang hijau muda di bawah itu adalah untuk mendapatkan kek yang lembut iaitu tepung serbaguna. Boleh juga digunakan untuk buat pizza dan donat. Ada lagi satu warna dari jenama yang sama bewarna coklat, tetapi saya tidak pernah cuba kerana sudah berpuas hati dengan dua warna tersebut.
 


 
Di antara gambar roti-roti yang saya pernah buat menggunakan tepung yang berplastik biru putih di atas.





 
 
Ini pula kek red velvet yang gebu di dalamnya menggunakan tepung serbaguna berwarna hijau tadi.
 
 

 

Begitulah sedikit sebanyak asam garam kami di sini untuk bab meroti. Banyak lagi asam garam lain yang telah dan akan saya kongsikan bersama. Alhamdulillah di atas peluang ini semua.

Sunday, February 14, 2016

STREET FOOD DI KOREA PADA MUSIM SEJUK

Entri 119

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Saya selalu ditanya apakah makanan yang boleh dimakan terutamanya "street food" pada musim sejuk di Korea ini?
 
Saya amat memahami situasi kita berjalan terutamanya bersama anak-anak dan melihat kiri kanan ada beberapa tempat orang akan makan makanan panas sambil berehat di tepi-tepi gerai jalanan.
 
Musim sejuk, perut cepat lapar dan tercari-cari sesuatu untuk memanaskan badan.
 
Sebenarnya, ada banyak jenis "street food" yang dijual dan semuanya nampak sedap. Namun tidak semua boleh dimakan.
 
Gambar ini diambil ketika kami di Dongdaemun. Ahjuma (makcik) ini sudah mengenali kami. Senyumannya yang manis seakan memanggil-manggil pejalan kaki yang melalui gerainya.
 
Di sini sahaja ada tiga jenis makanan yang biasa dijual pada musim sejuk iaitu Kek Telur, Kuih Ikan dan Fishcake bersup.
 
 
Di sini, saya kongsikan beberapa "street food" yang kami biasa cuba ketika berjalan di luar.
 
1. Gyeranbang (Roti/Kek Telur)
 
B/Pang bermaksud roti. Kuih ini rasanya seperti kek yang diletak telur sebiji di tengahnya. Sedap dimakan suam-suam panas, sedikit sebanyak dapat memanaskan badan. Dijual dengan harga 1,000 won dan sangat mengenyangkan!
 
Hanya ada gambar ini sahaja pandangan dekat kek ini yang saya beli untuk Hanaa. Senang untuk dia makan sambil duduk di strollernya.

 

 
 
Oleh kerana kami jarang keluar pada musim sejuk, anak-anak kadang-kadang rindu untuk makan kuih ini. Ada juga mereka minta di luar musim! Jadi, saya cuba buat beberapa kali untuk mereka. Alhamdulillah, rasanya hampir sama. Hanya berbeza bentuk sahaja kerana saya menggunakan acuan apam/muffin yang dibawa dari Malaysia. Saya juga kongsikan resepi Gyeranbang ini di SINI.


 
Ini pula fishcake bersup yang saya nyatakan tadi. Hanya 500 won. Ada juga sesetengah tempat menjual sehingga 1,000 won. Bukan sahaja dapat makan fishcake yang direndamkan di dalam sup panas ini, kita juga boleh minum satu cawan sup tersebut yang akan diberikan di dalam papercup.
 
 


Ini adalah kek berbentuk ikan. Tiada ikan di dalamnya, hanya inti kacang merah. Sedap dimakan panas-panas. Agak liat sedikit apabila sejuk. Sangat sedap.


 
 
 
 
Jangan lupa mencuba street food di atas sewaktu anda datang ke Korea. Amat mudah didapati namun perlu memilih-milih gerai yang sesuai. Kalau kami, akan cuba elakkan gerai yang menjual bersamanya makanan yg berunsurkan daging dan sebagainya.

Friday, February 12, 2016

TIPS TRAVEL KE KOREA DENGAN ANAK KECIL

Entri 117

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Sememangnya, kita ibu-ibu akan sentiasa pening apabila membuat persiapan untuk pergi travel bersama anak-anak kecil.
 
Jika ada ruang untuk tangguhkan, kita akan tangguhkan. Tetapi jika peluang itu hanya datang sekali sahaja, mungkin kita tidak akan lepaskannya.
 
Ada rata-rata yang saya temui di sini, sanggup datang bersama anak kecil kerana mengikuti suami ada urusan kerja dan tak kurang juga yang memang datang melancong. Ada dapat tiket murah, mengambil peluang cuti lama dan sebagainya.
 
Gambar di bawah ini adalah hari ketiga kami tiba di Korea. Pada masa itu kami hanya menggunakan stroller biasa untuk Hanaa, si kecil yang berumur setahun lebih. Amat tidak selesa kerana tidak dapat menggunakan tangga atau escalator dan sebagainya.
 
Tetapi kerana terpaksa, kami keluar meredah sejuk dek mencari baju sejuk tebal yang masih tidak cukup untuk kami dan anak-anak.
 
Ini adalah pandangan di Namdaemun Market. Melalui beberapa maklumat carian di Google, kami menaiki teksi ke sana.
 
 
Semasa sibuk memerhatikan orang kiri dan kanan, ada beberapa "ahjumma" yang menegur saya.
 
Memang pada waktu itu tidak memahami satu pun bahasa Korea, tetapi saya boleh fahami dari segi gaya bahasa tubuh mereka.
 
Mereka mengatakan, bayi dalam stroller itu sejuk. Tidak cukup dengan hanya memakai baju sejuk tebal. Perlu selimut.
 
Saya masih tercari-cari kedai yang sesuai dan harga yang berpatutan. Pada masa itu, masih lagi tidak dapat setkan minda untuk tidak membuat kiraan tukaran wang Won kepada RM. Semuanya dirasakan mahal.
 
Kemudian, Fahmi yang pada masa itu masih belum matang merengek-rengek hendakkan mainan. Memandangkan kontena barang-barang kami masih belum sampai, jadi saya membuat keputusan untuk membeli sesuatu untuk mereka.
 
Semasa saya membawa anak-anak naik ke tingkat dua Alpha, tempat menjual alatulis dan mainan, suami menjaga Hanaa di bawah dek stroller yang tidak mesra tangga.
 
Selesai membeli barang mainan anak-anak, suami beritahu saya dia sudah ada selimut untuk Hanaa.
 
Rupa-rupanya, ada seorang pekerja Alpha itu memberikan dia selimut percuma sahaja kerana kesiankan Hanaa kesejukan.
 
Rasa terkejut, terharu pun ada.
 
 

Ok, berbalik kepada tips untuk travel bersama anak kecil tadi. Memandangkan ini sudah masuk tahun ketiga kami di sini, saya ingin kongsikan serba sedikit tips berguna untuk travel bersama anak kecil ke Korea. Untuk musim sejuk, persediaan perlu lebih sedikit untuk memastikan anak-anak tidak kesejukan.
 
TIPS TRAVEL KE KOREA DENGAN ANAK KECIL
 
1. Bawa "umbrella stroller"
 
Stroller seperti ini amat diperlukan di Korea kerana kita akan banyak berjalan dari satu tempat ke tempat yang lain. Selain ringan, ianya senang dilipat jika tidak digunakan dan senang dibawa di bahu sekiranya perlu. Kita juga akan banyak menaiki pengangkutan awam seperti bas, subway ataupun teksi. Selain itu, kita akan banyak menggunakan tangga. Jika anak tidur di dalam stroller, kami akan angkat stroller itu begitu sahaja kerana tidak mahu anak terjaga.
 
 
 
Ini pula di dalam subway. Sewaktu tiada tempat duduk, Hanaa masih boleh duduk dengan selesa sambil makan biskut! Kalau stroller besar, mungkin agak rumit untuk buka dan tutup dengan kerap ataupun agak berat untuk dibawa di bahu.
 

 
 
Oh ya, ada di sesetengah tempat, kita boleh menyewa stroller dengan harga yang sangat berpatutan. Jangan lupa ambil deposit apabila pulangkan stroller. Seperti di Nami Island, Hanok Village dan sebagainya, kami lebih suka untuk sewa stroller di situ yang mana lebih kukuh untuk melalui jalan berbatu dan berpasir. Ini gambar di Hanok Village Suwon. Kami menyewa stroller mereka sahaja.
 
 
 
2. Guna lif
 
Apabila menggunakan subway, kita terpaksa menggunakan lif, escalator atau tangga. Ada tempat yang hanya ada tangga sahaja. Jadi perlu sesuaikan dengan keadaan. Seperti gambar di bawah ini, kami tidak terjumpa di mana bahagian lif. Kerana mengejar masa, kami terpaksa menggunakan escalator ini.
 
Jika anak tidak tidur, saya akan pegang dia dan melipat stroller. Tetapi memandangkan dia tidur, ini caranya. Tetapi perlu berhati-hati. Jika tidak yakin, jangan sesekali mencuba. Macam kes saya ini, ada orang "kuat"  ramai. :). Kalau saya seorang, saya sudah tentu tidak akan gunakan cara ini.
 


 
 
3. Baby carrier
 
Sebagai alternatif, anda boleh gunakan baby carrier jika anak masih ringan. Penting, seperti saya katakan tadi, di sini anda perlu banyak berjalan samaada untuk melihat permandangan ataupun membeli belah. Jalan pun banyak berbukit dan bertangga. Jika anak sudah berat, anda mungkin akan hadapi masalah sakit pinggang dan sebagainya kerana anda akan melalui hari yang panjang. Kita seharusnya akan  memaksimumkan aktiviti jika pergi travel ke sesuatu tempat. Takkan hendak duduk di hotel atau rumah rehat sahaja kan?
 

 
Sekali lagi, saya lebih sukakan stroller. Boleh juga gunakan untuk sangkut barangan shopping. Seperti gambar di bawah, kami di Noryangjin Fish Market. Kami tidak mahu Hanaa berlari-lari di kawasan sebegini, jadi stroller amat praktikal.
 

 
4. Bawa selimut di musim sejuk
 
Seperti saya ceritakan di atas tadi, tidak cukup dengan baju tebal dan sarung tangan sahaja. Perlu selimut untuk anak-anak kerana angin sangat sejuk. Lebih baik lagi jika stroller itu dilengkapi penutup seperti gambar satu lagi. Anak-anak boleh tahan sejuk angin, hujan, salji dan sebagainya.
 
Selimut biru di bawah ini juga Hanaa dapat percuma dari seorang "ahjumma". Kami sudah ada selimut pada waktu itu tetapi tersimpan di dalam beg kerana cuaca masih tidak berapa sejuk. Tetapi "ahjumma" itu berkeras juga memberi dua selimut yang baru sahaja dibelinya, masih di dalam plastik. Sepanjang di sini, Hanaa sudah dapat lebih dari lima selimut percuma. Alhamdulillah.
 


 

 
 
5. Air dan bekalan makanan
 
Musim sejuk terutamanya, anak-anak cepat lapar dan makan tidak kira masa. Mungkin kita sendiri pun cepat lapar. Memandangkan tidak semua makanan boleh dimakan di sini, ada baiknya bawa bekalan sendiri. Sekurang-kurangnya untuk kudap-kudapan anak-anak.
 
Seperti di bawah ini, sewaktu kami menaiki bas. Saya melipat stroller dan letak di tepi. Hanaa meminta biskut dan air. Kita pun tidak mahu anak-anak merengek sewaktu dalam perjalanan, jadi buat persiapan secukupnya.
 
 
Tetapi jangan terkejut sekiranya ada "ahjuma atau ahjushi" yang berikan pelbagai makanan untuk anak-anak kita seperti cheese stick, gula-gula, biskut dan sebagainya. Ambil sahaja untuk menghormati mereka, ucap "kamsahamnida" (terima kasih) dan terus simpan di dalam beg. Nanti apabila masa yang sesuai dan bukan di hadapan mereka, cuba baca kandungan bahan di dalamnya. Seperti kami  ini tidak faham apa-apa, kami tidak makan. Anak-anak pun sudah faham jika kita kata tidak Halal. Oh ya, ada juga yang bagi duit!
 
 
Jika ingin cuba "street food" yang dijual, terutamanya yang hanya ada pada musim sejuk, anda boleh cuba kuih ikan dan kek telur seperti ini.
 
Ini versi yang kami beli untuk Hanaa. Penjual meletakkan di dalam cawan kertas sebegini untuk senang dipegang.

 
Ini pula versi yang saya buat sendiri di rumah. Bentuk tidak sama kerana tiada acuan seperti itu, tetapi rasanya sama. Jadi biasanya, saya akan cuba buat bekalan anak-anak supaya kami tidak perlu membeli makanan luar.


Ini pula kuih ikan. Kami panggil kuih ikan kerana bentuknya. Tidak ada ikan pun di dalamnya, hanya inti kacang merah. Sedap dimakan panas-panas.

 
 
Ini adalah gambar bersama anak-anak mencuba street food kuih telur, kuih ikan dan juga sup fishcake.
 
 
 
Ini pula gambar berbekal di Nami Island. Homemade roti dan kimbap.
 


 
 
6. Pakaian yang sesuai
 

Semasa berjalan di luar terutamanya di musim sejuk, pastikan anak-anak memakai pakaian yang sesuai. Bukan tebal semata, tetapi perlu berlapis-lapis untuk pengudaraan dan pernafasan yang cukup. Kita tidak mahu badan anak "masuk angin" yang akan menimbulkan masalah kesihatan dan sekaligus mengganggu percutian dan aktiviti bershopping.
 
Ini contoh pakaian yang saya pakaikan untuk Hanaa. Penting untuk tutup pusatnya. Kemudian saya sarungkan stokin, jeans dan sehelai baju di luarnya. Barulah diikuti dengan baju sejuk tebal, thermal socks, snowcap, gloves,neck warmer, mask, snow boot dan sebagainya.
 
 
 
 Ini contoh pakaian lengkap Hanaa sewaktu mengikuti Hwacheon Ice Festival tempohari.

 
 
Ataupun, saya guna kan rompers dan legging yang menutup terus kakinya. Kemudian sarungkan baju dan seluar biasa. Barulah diikuti dengan jeans dan baju sejuk tebal.
 
Jika tidak gunakan jeans, saya gunakan baju snowsuit sebegini terutamanya untuk aktiviti sledding ataupun main salji. Senang, sekali sarung sahaja. Baju di dalam pun tidak basah. Gloves juga saya gunakan yang bertali, senang. In shaa Allah tidak tercicir. (pernah ada beberapa kali pengalaman tercicir gloves)
 
 
 

 
Untuk anak-anak yang lebih besar, masih juga tiga lapisan pakaian. Di mulakan dengan baju dan seluar thermal, baju dan seluar sederhana tebal kemudian diikuti dengan baju sejuk tebal dan jeans serta aksesori yang lain.


 

Ini sahaja tips dan pengalaman yang saya dapat kongsikan pada masa ini. Semoga percutian anda ke Korea bersama anak-anak dipermudahkan.

Thursday, February 11, 2016

KELAS ONLINE, HENDAK SERIBU DAYA

Entri 115

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN


Ada kawan-kawan yang tertanya-tanya update terbaru saya. Memang saya agak jarang menulis atas beberapa kekangan tetapi, saya cuba juga untuk membuat beberapa entri.

Saya bukan seorang penulis, hanya seorang surirumah yang menulis dari hati dan mengikut rentak jari.

Saya tidak pernah mengikuti bengkel atau kelas penulisan, tetapi hanya sertai kelas online bersama Akademi Bekerja Di Rumah. Saya mendaftar kelas blog dan kelas bisnes online.

Blog bukan sekadar blog, tetapi diajar cara membuat susunatur blog dan juga beberapa perkara penting untuk menulis.
Kelas ini berbentuk tutorial online dan hanya menggunakan medium Facebook Secret Group dan Facebook Messenger.
 
Semasa mendaftar kelas, saya mendapat beberapa Ebook sebagai panduan dan dimulakan dengan Ebook untuk belajar asas membuat blog.

Selepas dimasukkan ke dalam Secret Group FB seperti saya nyatakan di atas tadi, saya memulakan kelas dengan cikgu secara eksklusif. Kenapa saya kata eksklusif? Sebab saya diberikan personal coaching melalui  Facebook Messenger.
 
Saya juga mendapat pelbagai ilmu dan perkongsian melalui nota kumpulan yang mana saya dapat berkenalan dengan rakan-rakan baru. Melalui mereka juga kita dapat melihat bagaimana mereka mengaplikasikan apa yang diajar.

Kelas ini amat fleksibel, sesuai bagi mereka yang sibuk. Kita boleh pilih masa yang sesuai untuk menyiapkan tugasan daripada cikgu. Sebarang persoalan boleh diajukan kepada cikgu secara langsung ke di Facebook Messenger cikgu berkenaan.
 
Cikgu juga akan memberikan tugasan langkah demi langkah sebagai memandu arah kita menyiapkan blog dan sebagainya. Jadi kita tidak akan rasa kelas terlalu cepat, tidak dapat ikut, tertekan dan sebagainya.
 
Semuanya bergantung kepada kita. Apa yang kita perlu hanyalah kesungguhan, internet, komputer/laptop atau telefon pintar.

Kelas juga tidak terhad kepada surirumah sepenuhmasa sahaja ataupun wanita sahaja, ia terbuka kepada sesiapa sahaja termasuk wanita bekerja, bujang, lelaki dan sebagainya.
 
Ia juga merupakan landasan yang sangat sesuai bagi sesiapa yang ingin mencari pendapatan sampingan atau merancang untuk berhenti kerja kerana kita boleh menjana pendapatan selepas "siap sedia" dengan segala ilmu dari kelas.
 
Sekali lagi, semuanya atas kehendak, usaha dan kecekapan kita.

Bagi yang ingin memulakan bisnes dari rumah, mempunyai masa yang fleksibel tetapi tidak tahu di mana untuk bermula, saya cadangkan untuk bersama-sama menyertai kelas online ini.
 
Untuk memulakan sesuatu, kita perlukan ilmu dan kita perlukan mentor/sifu/cikgu untuk pemudah bagi menunjukkan cara.
 
Bermula dari sini jugalah, bakat/kelebihan kita akan dicungkil dan yang pasti kita akan buat apa yang kita suka.

Secara jujurnya, saya gembira dapat bersama keluarga besar Akademi Bekerja Di Rumah ini. Saya tidak rasa tertekan dengan tugasan dari kelas, mahupun dari cikgu sendiri. Saya amat gembira dapat berkenalan dengan rakan-rakan lain yang dari pelbagai latarbelakang dan cabaran hidup yang telah dilalui.

Sekiranya ada sebarang pertanyaan, boleh email tini sebagai Pengurus Online Akademi di tinicraft@gmail.com.

Menulis, menulis dan menulis.
Menulis dari hati, menulis dengan rentak jari, menulis tanpa henti.
Idea datang tidak tentu masa, idea datang tidak tahu ketika, idea mencurah berlapanglah dada.

Jika tiada ilmu, boleh belajar.
Jika tiada masa, boleh disusunkan kembali acara.
Tetapi, jika tiada kehendak, itulah penghalang utama.

Sekian, terima kasih.

Thursday, December 10, 2015

PELBAGAI CABANG BEKERJA DI RUMAH

Entri 98

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
 
"Tini, awak tak apalah berhenti kerja sebab pandai menjahit, ada sumber pendapatan. Macam kami ini tiada kemahiran," ujar sebilangan kawan-kawan semasa saya hendak berhenti kerja.
 
Ya, saya akui yang saya pernah menjadikan bidang jahitan sebagai punca pendapatan tambahan semasa saya masih bekerja dahulu. Sebenarnya, bermula sebagai hobi tetapi lama-kelamaan menjadi semakin rancak mengambil tempahan.
 
Cuma, saya ingin kongsikan di sini bahawa bekerja di rumah ini bukan semata-mata untuk mencari pendapatan sampingan, tetapi juga untuk mengisi masa lapang dan secara tidak langsung juga mewujudkan satu platform untuk kita aktif, walaupun hanya dari rumah.
 
Kalau hanya untuk mencari pendapatan, kita mungkin akan terdedah kepada risiko stress dan seterusnya menjadi suram yang menyebabkan bekerja di rumah tidak seronok. Apabila tidak seronok, tidak mustahil akan timbul rasa menyesal, rendah diri dan sebagainya.
 
Memang hanya kita sahaja tahu apa yang kita hendak. Tetapi, jika kita ada satu "keluarga" yang dalam keadaan yang sama dengan kita ataupun "support group", kita mungkin akan lebih berfikiran terbuka tentang bekerja dari rumah, apa peluang dan potensi diri yang sebenar dan mungkin juga memberi pelbagai idea dan cetusan rasa untuk memulakan sesuatu yang baru.
 
Satu lagi yang paling penting adalah keikhlasan dan doa. Jangan pernah putus berdoa semoga Allah berikan kita yang terbaik.
 
Sebagai contoh, penghijrahan kami ke Korea dua tahun yang lepas. Pada waktu itu memang hobi jahitan saya yang mengambil tempahan terhenti begitu sahaja.
 
Saya termenung sendiri, aku ada bakat, ada alatan dan bahan, tetapi aku hendak jahit untuk siapa? Apa lagi aku boleh buat di negara asing ini? Boleh ke aku bahagikan masa untuk semua ini? Siapa yang sudi menjadi pelanggan nanti?
 
Tetapi rupanya perancangan Allah itu sentiasa hebat. Kita pun tidak tahu apa lagi lorong yang dibukaNya untuk kita. Yang penting, usaha!
 
Saya tidak sangka, beberapa kali saya bawa kek ke jamuan di sini, saya mendapat tempahan kek pula! Tidak pernah saya bayangkan yang saya akan membuat kek tempahan orang lain. Walaupun tidak kerap, tetapi Alhamdulillah, syukur sangat.
 
Bukan disebabkan duit, tetapi lebih dari itu. Saya yang hanya dahulunya suam-suam kuku sahaja membuat kek, itupun jarang kerana menempah dengan jiran-jiran satu taman yang merupakan pembuat kek tegar. Apabila kena hantar kek ke sekolah untuk hari jadi anak-anak, saya mesti menempah kek dari mereka termasuklah kek ulangtahun perkahwinan dan sebagainya.
 
Tetapi apabila berada di tempat orang, semuanya kena buat sendiri. Saya cuba beberapa kali dan ramai yang berpuas hati. Sejak itulah saya cuba yakinkan diri untuk menerima permintaan tempahan. Pada mulanya saya tolak, tetapi selepas diyakinkan, saya cuba. Alhamdulillah, syukur.
 
Waulaupun kejadian kek saya tidak indah dan bervariasi seperti pembuat kek yang lain, tetapi di negara orang ini, in shaa Allah kek yang tidak diragui bahan-bahannya seperti ini tetap mendapat sambutan.
 
Ini adalah di antara kek-kek yang saya pernah buat.
 
Jika ada yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Akademi Bekerja Di Rumah, boleh email saya di tinicraft@gmail.com
 
Terima kasih.
 











 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...