Check this out

KENALI PENULIS


Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaykum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah di atas peluang yang Allah berikan kepada saya untuk menulis lagi. Iya, saya pernah menulis sebelum ini dari sejak zaman belajar di universiti lagi iaitu lebih kurang 11 tahun yang lalu. Tapi penulisan saya agak tidak sistematik dan boleh dikatakan juga tidak mempunyai matlamat yang kukuh. Saya, Khushartini Kamarulzaman, seorang surirumah yang mempunyai tiga orang anak berumur 8, 6 dan 3  tahun. Semasa awal penglibatan saya menulis blog, saya hanya mengisi masa lapang berkongsi sedikit sebanyak kehidupan saya sebagai "pengembara" di bumi Saguaro di Arizona, Amerika Syarikat. Saya berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Minor Bahasa Arab. Setelah pulang ke Malaysia selepas hampir 4 tahun berada di sana, saya sibuk dengan urusan mencari kerja, berumahtangga dan sebagainya sehingga terus berhenti menulis blog. Apabila sampai satu tahap, saya kembali menulis, tapi masih lagi dengan gaya penulisan santai atau bercerita yang bernada sama termasuklah menggunakan bahasa 'rojak'. Iya, saya masih belum jelas apa matlamat saya menulis, mungkin saya hanya fikir saya hanya berkongsi cerita dan mengharapkan suatu hari nanti saya dan anak-anak akan membaca catatan itu sebagai untuk mengimbau kenangan kehidupan kami. Pada masa itu juga, entri saya tidak konsisten dan saya tidak istiqamah menulis sehingga satu tahap menyepi lama.
 
Dalam pada saya sibuk bekerja pada waktu itu, saya juga telah memulakan satu blog kraft yang mana saya hanya berkongsi hobi menjahit saya di waktu lapang. Lama kelamaan, ianya menjadi sumber pendapatan sampingan kepada saya dengan tempahan yang agak memberangsangkan. Namun jauh di sudut hati, saya selalu berdoa untuk berhenti kerja dan menguruskan anak-anak sendiri. Bertahun saya berdoa dan Alhamdulillah selepas 6 tahun, saya dapat berhenti kerja. Saya menjadi surirumah sepenuh masa. Faktor-faktor utama dan proses saya berhenti kerja akan dimuatkan di dalam entri lain kerana banyak suka dan duka yang saya ingin kongsikan bersama apabila 50% dari pendapatan keluarga hilang dalam sekelip mata. Pada waktu ini juga, hobi menjahit saya juga agak berkurangan di atas kekangan urusan rumahtangga.
 
Namun, selepas 9 bulan saya berhenti kerja, Alhamdulillah suami dapat tawaran bekerja di bumi Sakura, Korea Selatan. Di sini berlaku perubahan besar dalam hidup kami dan segalanya dilalui bersama-sama. Sekali lagi di sini, saya mula menulis kembali dan lebih seronok lagi dapat berkongsi pengalaman berada di bumi asing ini bersama keluarga. Cabarannya amat berbeza berbanding di zaman bujang dulu. Cuma, corak penulisan saya masih lagi sama sehinggalah saya membuka minda saya untuk menyertai Akademi Bekerja Di Rumah.
 
Maka, di sinilah saya bermula mencatat entri pengenalan diri. Dengan bimbingan guru kelas online akademi ini, saya sedikit sebanyak cuba mengubah cara penulisan saya bermula dengan membuat blog baru yang lebih teratur. In shaa Allah saya akan cuba istiqamah dengan cara penulisan ini di samping berkongsi pengalaman kami di sini. Bermulalah dengan positif! Kita tidak pernah terlambat untuk memulakan sesuatu dan permulaan yang kecil mungkin  adalah titik perubahan besar dalam diri kita.
 
Nota: Sekiranya ada sebarang pertanyaan berkenaan Akademi Bekerja Di Rumah ini, boleh lah hubungi saya di khushartinikamarulzaman@gmail.com / tinicraft@gmail.com. Terima kasih.


 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...