Check this out

Showing posts with label TINICRAFT. Show all posts
Showing posts with label TINICRAFT. Show all posts

Tuesday, May 10, 2016

PENTINGNYA "PUSH FACTOR" UNTUK BERMULA

Entri 143
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN 

Saya sudah mendapat aura untuk menjahit kembali kerana saya tahu saya perlu menjahit baju raya tahun ini. 

Kebiasaannya saya akan siapkan baju tersebut sebelum bulan puasa tiba. Saya akan kongsikan entri baju raya dalam entri akan datang.

Saya telah siapkan baju raya tersebut dan momentum untuk menjahit tiba-tiba hilang. Mungkin sudah terasa tidak ada apa yang perlu untuk dijahit untuk masa terdekat.

Padahal, fabrik masih banyak dan pelbagai projek telah dirancang dan difikirkan (berangan sendiri).

Tiba-tiba saya mendapat tahu bahawa Fahmi yang sememangnya akan membawa watak Captain Hook untuk persembahan teater musim panas sekolahnya nanti, perlu menyediakan kostum sendiri.

Jadi, saya memulakan pencarian online untuk membeli pakaian tersebut di sini. Namun, saya hampa kerana harganya yang sangat mahal sehingga RM250. Sudahlah tiada hook nya, harga tersebut bertambah mahal pada fikiran saya.

Saya kemudiannya mengambil peluang untuk mencari bersama suami di Gwanjang Market. Terdapat kedai alatan permainan dan parti di situ, namun agak menghampakan. Kami hanya jumpa topi, pedang dan hook nya sahaja.

Saya sudah jangkakan, inilah push factor untuk saya menjahit. Saya terus mencadangkan kepada suami untuk membeli fabrik berkenaan untuk menjahit kostum itu.

Suami pada mulanya agak was-was kerana dia tahu yang saya tidak pernah menjahit kostum sebelum ini. 

Tetapi setelah meyakinkannya, dia bersetuju. Saya tersenyum, namun ada detik berdebar-debar di situ.

Alhamdulillah, dengan sedikit carian imej sebenar di Google, saya berjaya siapkan kostum Captain Hook. 

Fahmi amat teruja dan agak terkejut dengan hasilnya. Dia lebih bersemangat apabila melihat semuanya sudah lengkap untuk persembahannya nanti.

Beberapa hari kemudian, Cikgu Fahmi mengatakan bahawa semua pelajar perlu memakai kostum tersebut lebih awal sempena sambutan hari kanak-kanak di Korea ini. Alhamdulillah, kami sudah bersedia.

Saya terfikir, jika tidak kerana acara sekolah ini, saya mungkin masih dalam mood suam-suam untuk menjahit kembali. Syukur saya mendapat kembali momentum untuk menjahit begini. 

Begitulah apabila bekerja sendiri di rumah. Jika tiada push factor untuk memberi tekanan kepada kita membuat sesuatu, kita mungkin akan selesa dengan sesuatu situasi tersebut.

Ingatan untuk diri saya sendiri juga, ambillah peluang yang ada. Cuba jadikan sesuatu sebagai "pembakar" untuk kita bermula. Jangan tunggu keadaan meruncing baru hendak bertatih.

Bermula dengan perlahan, dapatkan kayuhan yang stabil dan in shaa Allah minda kita akan sentiasa bersedia.
 

Sunday, May 8, 2016

DUA KERJA, SAYA SUKA

Entri 140

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN 

Perihal dua kerja ini sudah lama terjadi kepada mana-mana surirumah yang duduk di rumah. 

Yang penting, perkara pertama yang kita kena fikirkan adalah keutamaan.

Kalau kita jenis yang rajin, bertenaga, berbakat apatah lagi, kita boleh lakukan bukan setakat dua kerja, malah tiga, empat dan seterusnya.

Cuma, kita perlu pandai susun keutaaman kerja yang mana harus didahulukan.

Untuk pengalaman saya sendiri, sejak melahirkan anak ketiga dan berhenti kerja di pejabat, urusan anak-anak dan keluarga adalah keutamaan saya kerana itu jugalah niat asal saya berhenti kerja.

Memandangkan saya juga sudah lama berhobi menjahit, maka saya juga menjahit jika ada kelapangan dalam menguruskan hal keluarga.

Ini adalah gambar terbaru saya menjahit setelah sekian lama "berehat" atas urusan tertentu. 

Ini juga adalah kali pertama saya menggunakan fabrik Korean Viscose Cotton yang menjadi pilihan ramai orang Malaysia yang melancong ke Korea. Kain ini terdapat di Gwanjang Market yang menjadi tempat wajib dikunjungi untuk membeli belah di sini.

Saya cuba menjahit sehelai jubah moden untuk kegunaan sendiri. Sambil menjahit, saya melayan Hanaa membuat buku kerjanya.

Saya akui, sejak awal tahun ini, Hanaa memang menunjukkan minat untuk ke sekolah. Namun atas sebab tertentu, saya hanya 'mengajar'nya di rumah sahaja. 

Walaupun umurnya akan mencecah 4 tahun tidak lama lagi, tetapi dia sudah habiskan beberapa buku kerja latihan untuk kanak-kanak berumur 4-5 tahun.

Keutamaan saya di sini adalah Hanaa dan sambil-sambil itu saya menjahit untuk mengisi masa terluang. 

Buatlah beberapa kerja sekali pun, jika kita pandai uruskan keutamaan, in shaa Allah semuanya akan "on track".

Apa yang sangat penting adalah keberkatan kerja itu sendiri. Jangan hanya kerana ingin kejarkan duit, kita mencuri masa yang tidak sepatutnya untuk membuat kerja lain. Nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Kita yang rugi.

 

 

Saturday, April 9, 2016

KITAR SEMULA BAHAN TERBUANG

Entri 132
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Saya bukanlah seorang yang berseni. Bakat menjahit ada suam-suam kuku.

Melukis, menggubah bunga seperti tiada langsung.

Tetapi saya suka mencuba.

Terbaru, saya cuba membuat projek kitar semula menggunakan bahan terbuang.

Saya terjumpa kayu palet ini di backyard rumah.

Setelah beberapa minggu saya simpan, saya terfikir untuk buat sesuatu tanpa perlu mengeluarkan kos yang banyak.

Kebetulan pula, saya ada stok kain cotton untuk aktiviti menjahit saya. Saya pilih corak ini.

Dengan menggunakan hot glue machine yang sememangnya saya sudah ada, inilah hasilnya.

 

Alhamdulillah, ringkas sahaja. Tetapi sejuk mata saya memandangnya.

Suami dan anak-anak pun suka.

Terapi diri, takperlu mahal.

 

Sunday, November 1, 2015

MENJAHIT TANPA HADIR KELAS MENJAHIT

Entri 76

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Sejak akhir-akhir ini ramai bertanyakan saya berkenaan di mana saya belajar menjahit. Saya agak serba salah untuk menjawab kerana saya sendiri tidak pernah hadir kelas untuk menjahit. 
 
Iya, saya tidak pernah menghadiri kelas menjahit. Ianya bermula dari hobi, suka-suka sahaja. Setelah dimuatnaik ke blog kraft saya, tempahan datang tidak putus-putus pada masa itu, alhamdulillah.

Di mana saya belajar menjahit? Hanya dari internet melalui tutorial yang dikongsikan oleh tukang-tukang jahit dari seluruh pelusuk dunia dan juga dari youtube.

Tetapi, yang paling penting adalah MINAT DAN SEMANGAT.

Dua perkara ini amat penting untuk memastikan anda berjaya menjahit. 

Kalau tiada minat, kerja apa pun tidak menjadi.
 
Kalau senang putus semangat, jadilah ia hangat-hangat tahi ayam.
 
Saya tidak pernah putus asa mencuba pelbagai jenis jahitan produk. Saya pernah cuba buka jahitan baju siap yang saya beli dan saya tekap paternnya kerana saya rasa itu ukuran badan yang paling sesuai dengan saya.
 
Saya juga pernah membeli pattern online dari tukang jahit professional termasuklah dari USA. 

Pattern tersebut juga amat membantu kerana sudah siap diukurkan, kita hanya tekap sahaja. Namun kita kena pandai sesuaikan dengan sizing badan sekiranya mengecil atau membesar.

Lama-lama mencuba, alhamdulillah saya boleh menjahit pelbagai produk kraft, baju sendiri, baju anak-anak dan juga baju rakan-rakan terdekat yang mengenali saya.

Jadi, yang diluar sana yang berminat untuk menjahit, jangan putus asa jika tiada masa untuk ke kelas, semuanya boleh dipelajari hanya dari rumah.

Zaman IT sekarang, bekerja di rumah adalah sesuatu yang tidak mustahil, malah lebih menyenangkan kerana kita tidak perlu keluar rumah. Boleh lawati kerja kraft lama saya di TINICRAFT.

Oh ya, saya Pengurus Online di Akademi Bekerja di Rumah. Ianya merupakan kumpulan sokongan untuk kalian yang bekerja di rumah. Kalau mahu tahu lanjut berkenaan bekerja dari rumah ini, boleh lah email kepada saya di tinicraft@gmail.com.

Terima kasih.


Nota: Ini adalah gambar aktiviti menjahit saya baru-baru ini. Sedang menyiapkan kraft batik untuk berjualan bagi pihak persatuan di sini. Kraft dari batik Terengganu.

Tuesday, October 27, 2015

PATCHWORK DOUBLE SIDED AIRFRYER COVER

Entri 71

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Memandangkan menjahit adalah hobi kegemaran saya, jadi saya akan mencari peluang untuk dijadikan "alasan" untuk menjahit. 

Pada kali ini, saya jahit satu sarung "airfryer" untuk dapur hitam putih saya ini. Kebetulan pula, saya masih ada baki kain yang sudah dipotong kecil begini dari projek cadar "patchwork" sebelum ini.

Dalam masa dua hari, saya dapat siapkan sarung ini dengan corak polka dot hitam putih di sebelah dalam. Jadi, saya dapat gunakan kedua-dua bahagian.

"Airfryer" ini saya jarang guna, jadi saya perlu letakkan "baju" untuk elakkan berdebu kerana badan putihnya.

Hobi saya ini juga ibarat bekerja di rumah yang mana sesiapa pun boleh lakukannya. Semoga selepas ini, saya masih lagi rajin menjahit. 
 
 
 

Tuesday, October 20, 2015

MESIN JAHIT MINI YANG MEMBERI INSPIRASI

Entri 65

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

 
Semalam saya dah mula menjahit sedikit demi sedikit. Ya, saya perlu menjahit dan terus menjahit kerana saya sudah ada terlalu banyak bahan jahitan. Tetapi dek sibuk urusan seharian, saya tidak sempat untuk melakukan hobi saya tersebut.
 
Walaupun saya bukan seorang tukang jahit tegar, hanya menjahit sebagai hobi, tetapi bahan-bahan jahitan saya tak ubah seperti sebuah kedai kraft. Terlalu banyak barang.
 
Tambahan pula duduk di Korea ini, bahan jahitannya sangat banyak dan cantik, rambang mata dibuatnya. Kalau saya menapak ke Gwanjang atau Dongdaemun Market, saya boleh berjalan turun naik tangga dengan cepat dek mengejar masa untuk menjamu mata dan membeli barang pilihan.
 
Ini pula dua set mesin jahit yang diperbuat dari kayu dan resin yang saya beli di sini. Sebelum ini saya tidak terfikir untuk beli kerana ianya agak mahal bagi saya dan lagi bagus kalau saya habiskan duit itu untuk membeli kain cotton atau peralatan kraft yang lain.
 
Tetapi sebelum balik bercuti ke Malaysia tempoh hari, ada kawan-kawan dari Malaysia yang kirimkan mesin jahit ini. Jadi, saya tidak lepaskan peluang juga untuk memilikinya.
 
Iya, mesin-mesin ini bukan boleh digunakan pun, tetapi sebagai seseorang yang mempunyai hobi menjahit, barang-barang cute dan comel sebegini amatlah mengujakan. Saya letak di atas rak kecil di hadapan meja jahit saya sebagai untuk memberi dorongan dan inspirasi untuk terus menjahit.
 
Semoga saya lebih istiqamah untuk menjahit selepas ini.
 
p/s: Sekiranya ada kawan-kawan berminat untuk memiliki mesin jahit mini seperti ini, boleh emailkan kepada saya di tinicraft@gmail.com.


 

Wednesday, September 16, 2015

BIDANG JAHITAN, MENJANA WANG DARI RUMAH

Entri 51

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN


Menjahit adalah sesuatu bidang yang amat memerlukan minat seseorang untuk "jatuh cinta"dengannya. Kalau tiada minat, apa pun tidak menjadi.

Begitu juga saya. Seperti saya pernah ceritakan sebelum ini, menjahit adalah hobi saya yang mana saya tidak sengaja dapat menjana pendapatan sampingan dengannya pada suatu masa dulu.

Saya pernah menjahit beratus tote bag, makeup bag, lebih dari seribu pocket tissue holder dan sebagainya. Saya menjahit pelbagai kraf berdasarkan permintaan pelanggan. Saya sanggup bersengkang mata pada waktu itu sehingga ke awal pagi semata-mata untuk siapkan tempahan. Walaupun badan penat, tetapi saya sangat gembira dengan hobi saya.

Apabila saya berhenti kerja untuk tumpukan perhatian kepada rumahtangga, saya hanya jarang-jarang sekali mengambil tempahan kecuali dari kawan-kawan atau jiran-jiran sahaja.

Saya juga cuba menjahit baju kurung untuk anak-anak yang mana akhirnya mendapat tempahan. Tetapi saya tidak berani untuk menerima tempahan baju yang banyak dek masa lapang yang tidak menentu.

Setelah berbincang dengan suami, dia menasihatkan saya supaya outsource kerja menjahit baju kurung kanak-kanak tersebut tetapi saya masih monitor akan kualitinya termasuklah dari segi pemilihan material kain dan jahitan.

Alhamdulillah, rezeki saya amat murah pada waktu itu. Ramai sukakan baju kurung kanak-kanak yang mana harga yang saya jual jauh lebih murah dari butik-butik yang ada. Ada yang membeli secara borong. Beratus-ratus pasang juga telah terjual. Pada masa yang sama saya juga menjual kain pasang.

Point saya di sini, walaupun ada beberapa kekangan yang menghalang saya untuk menjahit seperti dahulu, tetapi saya cuba bekerja dari rumah. Selain untuk mendapat pendapatan sampingan bagi membantu suami setelah berhenti kerja, tetapi juga untuk membuatkan fizikal dan mental saya sentiasa aktif. Saya yang sememangnya tidak boleh duduk diam akan cuba sedaya upaya membuat sesuatu seperti berniaga dari rumah seperti pada waktu tersebut.

Alhamdulillah jualan bulanan saya adalah dalam lingkungan RM3000-RM6000 sebulan. Untung bersihnyanya mungkin tidak sebanyak gaji yang saya terima sewaktu bekerja dahulu, tetapi saya juga jimat perkara lain seperti kos upah di nursery, upah lebih masa, transit selepas sekolah, tambang kenderaan untuk transit, makan minum dan sebagainya.

Dan yang paling penting, saya menjana wang hanya dari rumah. Alhamdulillah.

Jika sebelum ini ada rakan-rakan yang menyuarakan pada saya ingin membuat bisnes dari rumah seperti saya tetapi tidak ada bakat dalam jahitan dan sebagainya, mungkin ini boleh memberi idea kepada sesiapa yang berminat. Berbisnes dalam bidang jahitan, tidak semestinya memerlukan bakat menjahit, tetapi cukuplah dengan mempunyai minat yang dalam sekurang-kurangnya untuk memantau kualiti material, mutu jahitan dan sebagainya.

In shaa Allah, berbaki setahun lebih lagi di perantauan ini, semoga saya dapat memupuk kembali hobi menjahit saya ini yang juga terapi yang sangat indah buat saya.

Aamiin.

Nota: Di sini saya kongsikan sedikit hasil jahitan saya sewaktu dulu dan di Seoul ini.




Ini adalah koleksi jubah/abaya saya sendiri. Saya tidak menjana pendapatan darinya kerana saya tidak menjual lagi buat masa ini, tetapi sekurang-kurangnya saya sudah jimat beratus ringgit untuk kos upah menjahit atau kos beli siap. Alhamdulillah.



Ini pula beg-beg paling popular yang saya pernah jahit.

Tote Bag
Tiny Tote Bag
Makeup Bag





Ini adalah di antara kenangan manis saya sebagai tukang jahit. Mendapat tempahan 200 pocket tissue holder dari syarikat Campbell. Semoga Allah dapat membalas jasa orang yang hubungi saya itu. Dia memilih untuk membuat tempahan dengan saya kerana ingin mencari kelainan kepada cenderahati untuk aktiviti tahunan mereka iaitu handmade.


Ini pula adalah kenangan manis juga apabila saya mendapat tempahan untuk menjahit 1000 pcs pocket tissue holder yang dijahit bersama nama pengantin untuk kenduri kahwin di Kelantan. Semoga Allah merahmati orang yang menempah dan juga pasangan pengantin.


Inilah baju kurung yang saya ceritakan tadi. Saya sukakan material kain cotton ini. Saya sediakan dalam pelbagai saiz iaitu dari 6 bulan sehingga 6 tahun. Alhamdulillah.


Monday, September 14, 2015

HOBI YANG DIWARISI

Entri 50

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Saya selalu tergelak kecil (kadang besar) melihat gelagat Hanaa setiap kali mencuba baju baru dari Tinicraft.
 
Dia tersenyum, tersengih ceria jika saya suruh dia cuba baju baru. Dia melompat, menari, berpusing, menyenget ke kiri dan ke kanan tanpa disuruh.
Saya nampak dia gembira dan teruja.


Lantas, setiap kali itulah saya teringatkan Ma (ibu saya). Saya tersenyum sendiri.
Saya juga seperti Hanaa atau Tasnim pada masa kecil dulu.

Perasaan sangat bahagia mencuba baju baru yang berhari-hari dilihat dijahit, dipegang Ma. Tidak penat bertanya, bila akan siap.

Kadang-kadang saya curi-curi guna mesin Ma yang pada waktu itu hanya menggunakan mesin kayuh biasa jenama Singer, si kepala hitam.

Masih lagi teringat Ma cakap, "kak ni masa kecil dulu suka panjat mesin Ma."

Saya berharap, walaupun belum ada lagi anak-anak saya yang memanjat mesin Brother saya ini atau cuba-cuba untuk menjahit, suatu hari di masa hadapan, mereka akan minat untuk meneruskan hobi Ma dulu dan saya sekarang.


 

Sunday, August 23, 2015

PENGALAMAN DI GWANJANG MARKET DAN KISAH KAIN FREE


Entri 16

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman membeli kain di Gwanjang Market yang terletak berdekatan dengan Dongdaemun. Ia merupakan tempat yang wajib dikunjungi oleh pelancong Malaysia ke sini kerana dek kain pasangnya yang pelbagai corak terutamanya cotton dan satin silk. Malah banyak kedai di sini telah menyediakan kain-kain tersebut dalam lipatan 4 ela, di khususkan untuk pelancong Malaysia. Secara logiknya, orang-orang korea tidak memerlukan 4 ela kain untuk membuat baju dan tidak semua mereka sukakan kain bercorak bunga (kecuali "ahjumma", makcik-makcik Korea). Ini menunjukkan bahawa orang Malaysia amat suka datang ke sini untuk membeli kain pasang.
 
Ini adalah salah satu di antara lawatan saya ke sini yang mana ia juga adalah tempat kegemaran saya sebagai orang yang berhobi menjahit. Jika saya ada masa lapang, sesekali saya akan ke sini bersama Hanaa, si bongsu yang selalu menjadi peneman setia dikala abang dan kakaknya ke sekolah. Salah satu sebab saya suka ke sini juga adalah kerana di sini terdapat banyak kiosk/kedai kecil di celah-celah lorong yang bukan sahaja menjual kain cotton tetapi juga pelbagai material kain. Mereka biasanya mendapat stok lebihan-lebihan kain dari kedai-kedai besar dan kemudiannya disusun dan dijual. Ada juga di antara mereka mempunyai lot kedai tetapi masih juga membuka kiosk di tengah lorong yang mana lebih cepat untuk mendapat perhatian pelanggan.  
 
Kelihatan pakcik (ahjusshi) ini sedang menunjukkan saya berapa banyak ela kain tersebut. Pada waktu itu, saya berpeluang menggunakan peluang sewaktu hari cuti dan suami saya dapat menemani saya mencari material untuk menjahit baju raya anak-anak. Dan apa yang membuatkan saya sangat gembira, suami saya yang memilih materialnya pada kali ini. Oh ya, Ahjusshi ini adalah salah satu tempat kegemaran saya. Dia ada pelbagai jenis material seperti chiffon, satin, cotton, lycra, lace dan banyak lagi. Dia ibarat "kawan baik" saya di kawasan ini dan memandangkan saya pelanggan tetapnya, dia selalu memberi saya  kain percuma samaada yang hanya satu ela, dua ela dan sebagainya. Dia amat peramah dan boleh berbahasa Inggeris. Dia suka melihat Hanaa kerana sama umur dengan cucu-cucu lelakinya yang merupakan kembar seiras. Dia pernah tinggal di Arab Saudi selama tiga tahun dan tahu beberapa patah perkataan Arab, memberi salam dan sebagainya. 

 
Dia yang tidak lokek untuk memberi diskaun ini juga amat baik hati untuk memberikan kain ela tebal untuk Hanaa di waktu musim sejuk di kala tidak puas hati dengan dengan kain selimut Hanaa di dalam stroller. Apabila pulang kerumah, saya boleh menjahit kain tadi sebagai skirt dan sebagainya. Saya juga biasa menunjukkan kepadanya apa yang jahit dengan kain percuma itu. Tetapi pada lawatan kali ini bersama suami saya, kami menolak dengan baik kerana sudah terlalu kerap dia memberi kain percuma untuk saya.


 
Ini adalah hasil yang saya jahit untuk material yang saya beli pada waktu ini. Material di atas itu seperti kain baju pengantin dan kain di bawahnya seperti kain untuk membuat abaya. Suami saya yang memilih material dan warna kain-kain ini. Ya, jangan terkejut dia adalah Advisor bagi projek kraf saya terutamanya pemilihan corak kain.
 

 
 
Kebetulan saya bercerita perihal hasil jahitan kain dari Gwanjang Market, ini juga adalah satu daripadanya. Kedua-dua kain untuk skirt dan baju ini saya beli dari Ahjusshi di atas. Kainnya pelbagai jenis dan terhad tetapi cukup untuk saya berkarya dengan mesin jahit saya. Baju ini adalah untuk Damia semasa konsert musim sejuk di sekolahnya.
 


 
Ini pula hasil kain percuma dari Ahjushi. Saya dapat jahit sehelai blouse untuk saya sendiri dan saya sukakan coraknya, putih dan hitam, tidaklah saya nampak macam Ahjumma di sini.
 

Ok, berbalik kepada Gwanjang Market, ini juga salah seorang Ahjusshi di gerai pilihan saya. Saya pernah membeli cotton dan kain jeans di sini. Dia juga seperti Ahjusshi tadi, peramah dan baik serta mesra dengan Hanaa. Oh ya, dia juga selalu memberi kain percuma kepada saya apabila dia tahu saya menjahit di rumah. Pernah suatu ketika saya memberitahunya ingin balik bercuti ke Malaysia, dia memberi kain percuma khas untuk ibu saya.

 
 
Ini adalah di antara pilihan kain di gerai Ahjusshi ini. Sangat cantik. Rambang mata dibuatnya, tambahan pula dari pandangan tukang jahit sendiri!
 





Ini adalah salah satu kain Jeans yang saya beli dari Ahjusshi. Sangat selesa, tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis.

 
 
Dan ini pula adalah salah satu dari kain percuma yang diberi oleh Ahjusshi ini. Saya menjahit sehelai skirt untuk saya. Dia telah kain ini untuk menambah selimut Hanaa sedia ada di stroller.  Saya menolak berkali-kali tetapi dia berkeras juga. Alhamdulillah.
Materialnya dari jarak dekat. Saya sangat jatuh cinta dengan kain ini. Sangat selesa sebagai skirt saya. Saya kira orang Korea di sini membeli kain ini untuk dibuat jaket atau coat.
 

 
 
Pandangan kedai lain di sini. Saya asyik membeli dengan dua orang Ahjushi tadi sehingga lupa untuk mengambil gambar kedai-kedai lain di sini. Ya, di sini bukan hanya kain sahaja, malah terdapat bahagian menjual makanan, kedai makan, bahan-bahan mentah, peralatan menjahit, cenderahati dan sebagainya. Tetapi untuk saya, hanya bahagian ini yang saya kunjungi.


Selingan: Pulang dari Gwanjang Market pada hari tersebut, salji turun di Itaewon. Ini adalah video pada hari tersebut.

Monday, August 17, 2015

TINICRAFT dan "PERSONAL SHOPPER IN KOREA"

Entri 6

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Tinicraft adalah blog kraf jahitan saya yang mana saya hanya bermula dengan hobi. Memandangkan hobi adalah sesuatu perkara yang dibuat pada waktu lapang, saya hanya menjahit apabila balik dari kerja terutamanya lewat malam setelah urusan keluarga selesai dan anak-anak sudah enak dibuai mimpi. Pada masa itu, hobi menjahit merupakan "therapy" bagi saya. Walaupun pada masa itu saya penat bekerja, tetapi saya masih boleh bersengkang mata untuk menyiapkan tempahan sehingga di luar masa lapang saya kerana hobi saya itu boleh mendatangkan pendapatan sampingan selain komitmen yang diterima dari pelanggan.

Setelah saya berhenti kerja untuk menjaga anak-anak, masa menjahit saya lebih terhad. Pelik kan? Iya, pada waktu itu anak ketiga saya masih lagi di bawah umur setahun dan menuntut lebih masa bersama untuk menyusu dan sebagainya. Selebihnya, masa siang saya dipenuhi dengan urusan rumahtangga termasuk memasak, membasuh, menghantar & mengambil anak-anak sekolah, urusan kerja sekolah mengaji dan sebagainya. Kepenatan surirumah sepenuh masa dan sebagai ibu bekerja dahulu jauh bezanya. Kalau dahulu saya masih boleh menjahit di waktu malam hari disebabkan urusan anak-anak sudah disiapkan di "nursery/transit", tetapi apabila menjadi surirumah, 100% urusan adalah dibahu saya. Di pejabat dahulu, sesibuk mana pun, saya masih boleh makan di meja makan di restoren/kedai makan/cafĂ©/pantry/meja pejabat dan sebagainya. Tetapi apabila menjadi surirumah sepenuh masa, kadang-kadang saya hanya makan sambil lalu. Kalau dapat duduk di meja makan itu menjadi satu kenikmatan, walaupun makannya laju. Jadi, sebaik sahaja anak-anak tidur di waktu malam, saya pun "tewas" kepenatan seharian.

Apabila kami berpindah ke Korea, semangat menjahit saya kembali membuak-buak dek barang kraf dan fabrik di sini amat cantik dan pelbagai. Saya juga tidak dapat tidak perlu menjahit baju sendiri seperti baju kurung, blouse dan sebagainya. Di sini amat susah untuk  mencari baju yang besar dan sesuai dengan saiz badan saya. Ini semua merupakan "push factor" yang positif untuk saya menjahit. Untuk cerita lebih lanjut, boleh lawati blog kraft jahitan saya di http://tinicraft.blogspot.com. Selain daripada menjahit, saya juga menyediakan khidmat "personal shopper" terutamanya barang-barang berkaitan kraft jahitan di Korea ini. Hubungi saya di tinicraft@gmail.com untuk maklumat lanjut. Terima kasih.




Sunday, August 16, 2015

HOBI MENJAHIT MENJANA PENDAPATAN SAMPINGAN

Entri 3

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Seperti saya pernah beritahu sebelum ini, saya telah memulakan hobi menjahit pada masa saya masih bekerja di salah sebuah agensi kerajaan. Pada waktu itu, saya hanya bermula suka-suka dan lebih kepada "mengidam" kerana pada waktu usia kandungan kedua 4 bulan, saya teringin untuk memiliki mesin jahit. Memang saya pernah menjahit secara main-main menggunakan mesin mama sewaktu di usia sekolah rendah dahulu, dan tidak sangka pada waktu mengandungkan anak perempuan kemudian, hati saya membuak-buak untuk membeli mesin. Alhamdulillah, suami amat memberi sokongan dan pada waktu itu, bermulalah hobi mejahit saya. Hasil jahitan dikongsikan di blog personal saya pada waktu itu di ibtisamfarah.blogspot.com. Rezeki manusia hanya Allah yang tahu, saya mendapat tempahan yang agak memberangsangkan untuk mejahit barang kraf terutamanya tote beg, sarung bantal dan sebagainya. Selepas itu, saya membuka blog kraf saya iaitu tinicraft.blogspot.com untuk memudahkan pelanggan saya membuat rujukan. 
 
Saya meneruskan hobi saya itu sehingga saya mengandungkan anak ketiga. Selepas kelahiran Hanaa, saya sudah jarang-jarang menjahit.Masa untuk keluarga seperti menjadi dua kaliganda sibuk selepas beranak tiga. Umur Hanaa 7 bulan, saya membuat keputusan untuk berhenti kerja. Selepas itu, saya cuba untuk memulakan kembali hobi menjahit saya, namun keadaan tidak banyak berubah. Saya masih lagi sibuk dengan urusan seharian malah lebih sibuk dari sebelum berhenti kerja. Menjahit pada masa itu tidak lagi menjadi hobi tetapi hanya cukup untuk mejahit untuk keperluan sendiri.
 
Apabila datang ke Korea, semangat menjahit saya menjadi berkobar-kobar kembali. Nanti saya akan ceritakan lagi berkenaan keputusan berhenti kerja dan juga apa yang menarik minat saya untuk meneruskan hobi jahitan saya di sini. Sekiranya ada masa lapang, bolehla melawat blog jahitan saya di TINICRAFT
 
 
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...