Check this out

Showing posts with label MOTIVASI SURIRUMAH. Show all posts
Showing posts with label MOTIVASI SURIRUMAH. Show all posts

Tuesday, May 10, 2016

PENTINGNYA "PUSH FACTOR" UNTUK BERMULA

Entri 143
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN 

Saya sudah mendapat aura untuk menjahit kembali kerana saya tahu saya perlu menjahit baju raya tahun ini. 

Kebiasaannya saya akan siapkan baju tersebut sebelum bulan puasa tiba. Saya akan kongsikan entri baju raya dalam entri akan datang.

Saya telah siapkan baju raya tersebut dan momentum untuk menjahit tiba-tiba hilang. Mungkin sudah terasa tidak ada apa yang perlu untuk dijahit untuk masa terdekat.

Padahal, fabrik masih banyak dan pelbagai projek telah dirancang dan difikirkan (berangan sendiri).

Tiba-tiba saya mendapat tahu bahawa Fahmi yang sememangnya akan membawa watak Captain Hook untuk persembahan teater musim panas sekolahnya nanti, perlu menyediakan kostum sendiri.

Jadi, saya memulakan pencarian online untuk membeli pakaian tersebut di sini. Namun, saya hampa kerana harganya yang sangat mahal sehingga RM250. Sudahlah tiada hook nya, harga tersebut bertambah mahal pada fikiran saya.

Saya kemudiannya mengambil peluang untuk mencari bersama suami di Gwanjang Market. Terdapat kedai alatan permainan dan parti di situ, namun agak menghampakan. Kami hanya jumpa topi, pedang dan hook nya sahaja.

Saya sudah jangkakan, inilah push factor untuk saya menjahit. Saya terus mencadangkan kepada suami untuk membeli fabrik berkenaan untuk menjahit kostum itu.

Suami pada mulanya agak was-was kerana dia tahu yang saya tidak pernah menjahit kostum sebelum ini. 

Tetapi setelah meyakinkannya, dia bersetuju. Saya tersenyum, namun ada detik berdebar-debar di situ.

Alhamdulillah, dengan sedikit carian imej sebenar di Google, saya berjaya siapkan kostum Captain Hook. 

Fahmi amat teruja dan agak terkejut dengan hasilnya. Dia lebih bersemangat apabila melihat semuanya sudah lengkap untuk persembahannya nanti.

Beberapa hari kemudian, Cikgu Fahmi mengatakan bahawa semua pelajar perlu memakai kostum tersebut lebih awal sempena sambutan hari kanak-kanak di Korea ini. Alhamdulillah, kami sudah bersedia.

Saya terfikir, jika tidak kerana acara sekolah ini, saya mungkin masih dalam mood suam-suam untuk menjahit kembali. Syukur saya mendapat kembali momentum untuk menjahit begini. 

Begitulah apabila bekerja sendiri di rumah. Jika tiada push factor untuk memberi tekanan kepada kita membuat sesuatu, kita mungkin akan selesa dengan sesuatu situasi tersebut.

Ingatan untuk diri saya sendiri juga, ambillah peluang yang ada. Cuba jadikan sesuatu sebagai "pembakar" untuk kita bermula. Jangan tunggu keadaan meruncing baru hendak bertatih.

Bermula dengan perlahan, dapatkan kayuhan yang stabil dan in shaa Allah minda kita akan sentiasa bersedia.
 

Saturday, April 9, 2016

KITAR SEMULA BAHAN TERBUANG

Entri 132
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Saya bukanlah seorang yang berseni. Bakat menjahit ada suam-suam kuku.

Melukis, menggubah bunga seperti tiada langsung.

Tetapi saya suka mencuba.

Terbaru, saya cuba membuat projek kitar semula menggunakan bahan terbuang.

Saya terjumpa kayu palet ini di backyard rumah.

Setelah beberapa minggu saya simpan, saya terfikir untuk buat sesuatu tanpa perlu mengeluarkan kos yang banyak.

Kebetulan pula, saya ada stok kain cotton untuk aktiviti menjahit saya. Saya pilih corak ini.

Dengan menggunakan hot glue machine yang sememangnya saya sudah ada, inilah hasilnya.

 

Alhamdulillah, ringkas sahaja. Tetapi sejuk mata saya memandangnya.

Suami dan anak-anak pun suka.

Terapi diri, takperlu mahal.

 

MANISNYA KETENANGAN

Entri 131
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Berada di bumi asing tidak bermakna kita jauh dari Dia.

Dulu semasa merantau di Amerika selama hampir 4 tahun, saya pernah rasa lemah pada mulanya.

Kadang-kadang rasa takut, sedih, sunyi dan sebagainya.

Tetapi saya terjumpa seorang kawan Somalia beragama Islam. Katanya, setiap kali kemana sahaja kita pergi pun, kita cari Masjid. Baru kita akan 'jumpa' segalanya.

Cari masjid, in shaa Allah kita tidak 'sunyi'. Rezeki kami, masjid berada tidak jauh dari kawasan universiti.

Di situ, kita boleh jumpa ramai orang Islam yang mana kita sendiri pun tidak tahu rupa-rupanya ada ramai orang Islam di sesebuah negara tersebut.

Di situ juga saya belajar erti sahabat yang ada ketika kita susah, dan bahagia ketika kita senang.

Di Korea ini, hampir setiap hari saya nampak masjid nun di atas bukit sana. Walaupun tiada peluang untuk ke sana setiap hari, dapat melihatnya pun saya sudah rasa tenang.

Semalam, saya berpeluang menunaikan solat Jumaat bersama beberapa muslimah yang lain, termasuk si kecil Hanaa.

Walaupun Hanaa pada mulanya bersemangat memakai telekung tetapi kemudiannya terlelap sewaktu khutbah, tetapi jelas terpancar keterujaannya untuk ke masjid. "I want to Solat", katanya.

Rezeki  saya semalam, ketika sampai di masjid, ada sesi tazkirah dalam bahasa Inggeris. Kemudian, diikuti dengan azan dan khutbah Jumaat di dalam bahasa Arab sebelum kami bersolat Jumaat.

In shaa Allah kalau ada rezeki lagi, saya ingin ke sana lagi.

Bersolat di masjid, walaupun sesekali, tetapi manisnya ketenangan amat dirasai.


 

Thursday, April 7, 2016

BELAJAR TENTANG HIDUP, TIADA PENGHUJUNGNYA

 
Entri 129
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
 
Kita selalu mendengar kata-kata "zaman belajarku sudah berlalu".
 
Bagi saya, menjadi seorang pelajar tidak pernah ada hujungnya. Setiap hari kita belajar.
 
Belajar memasak resepi baru, belajar menangani masalah rumahtangga, belajar menguruskan tekanan dan emosi, belajar menjahit, belajar bahasa dan sebagainya.
 
Apatah lagi belajar tentang kehidupan.
Lain waktu, lain ceritanya.
Lain cara, lain kisahnya.
Lain orang, lain peelnya.
 
Semuanya termasuk dalam proses pembelajaran.
 
Oh, ya! Saya terjumpa lencana khazanah lama sewaktu saya belajar di Amerika dulu. Pihak Malaysia Airlines (MAS) memberikan lencana ini di lapangan terbang sewaktu penerbangan pertama saya ke Amerika Syarikat.
 
Sudah 14 tahun berlalu, tetapi masih tersimpan elok dengan saya. Bukan sahaja lencana ini, tetapi kenangan di sana juga masih segar diingatan.
 
Bergelar pelajar di bumi asing, mana mungkin saya lupakan susah senangnya.
 
Setiap hari belajar perkara baharu, setiap hari juga saya mengenal erti kehidupan.
 
Sehingga hari ini, saya masih lagi bergelar pelajar.
 
Yang terbaru, saya belajar untuk tingkatkan kesabaran.
 
200 peratus berganda. 
 
 

Monday, April 4, 2016

CARI TERAPI UNTUK DIRI SENDIRI

Entri 126

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN 
 
 
Saya membeli beberapa pokok hidup untuk hiasan dalam rumah ini beberapa bulan yang lalu. Secara kebetulan, saya tidak sengaja melihat iklan jualan bunga di salah satu laman web Korea.
 
Kerana ada versi Bahasa Inggeris, saya teruja untuk menerokai laman web tersebut. Tiba-tiba mata saya tertancap kepada beberapa gambar pokok hidup untuk hiasan dalam rumah yang juga berfungsi sebagai "pembersih udara" katanya.
 
Dengan harga yang sangat murah, saya rasa berbaloi saya beli melalui internet berbanding hendak keluar pada waktu cuaca masih sejuk lagi membawa Hanaa.
 
Apabila pokok-pokok sampai, (4 pokok - satu di setiap bilik air dan dua didapur) saya dapati terdapat kertas label untuk setiap pokok. Saya kira mungkin untuk tujuan menamakan setiap pokok ini, tetapi saya memilih untuk memilih kata-kata yang boleh memberi motivasi kepada diri sendiri.
 
"Life is a story"
"Forgive others"
 
Cantik, dalam dan penuh makna. Bukan sekadar hiasan.
 
 
 

Saturday, February 20, 2016

ANAK-ANAK MAKIN MEMBESAR, MANAFAATKAN MASA BERSAMA

 Entri 120

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Beberapa hari lepas, saya berjumpa dengan ibu kepada seorang pelajar Sweden yang turun dari bas sekolah yang sama dengan Fahmi dan Tasnim. Dia kelihatan sangat penat dan mengantuk. Katanya, penerbangan mereka dari destinasi percutian sampai di awal pagi tersebut.
 
Dia tanya pada saya, ke mana saya dan keluarga pergi bercuti selama cuti seminggu Lunar New Year tempohari? Seperti biasa, saya tersenyum. Saya menyusun kata, membuat rumusan aktiviti kami sekeluarga dan cuba mengolah ayat supaya tidak nampak membosankan.
 
Saya beritahunya kami ke Namsangol Hanok Village pada hari Lunar tersebut, bukan untuk menyambut perayaan, tetapi untuk melihat apakah aktiviti tradisional di situ memandangkan itu kali pertama saya dan anak-anak sampai ke Hanok Village. Pernah datang suatu masa dulu sampai tetapi tersilap hari, tempat itu ditutup. Nanti saya akan ceritakan lebih lanjut tentang lawatan ke situ.
 
Kami sekeluarga juga pergi menonton cerita kanak-kanak di pawagam keluarga di Ipark Mall. Pada masa itu, cerita Kungfu Panda 3 ditayangkan. Anak-anak sudah lama menantikan cerita itu. 
 
Walaupun hanya menonton cerita anak-anak, singgah minum kopi dan makan donat serta sedikit groceries+toys shopping, anak-anak sangat gembira menghabiskan masa sekeluarga terutamanya apabila bersama Papa mereka.
 
Kadang-kadang apabila anak-anak diajak keluar pun, mereka tidak mahu kerana hendak habiskan masa bersama-sama di rumah. Cukup sekadar bermain catur, pingpong, basikal dan sebagainya. Jika ada Papa, mereka akan lebih gembira.
 
Apabila suami sudah mula bekerja pada hari ketiga mereka bercuti, saya kena mainkan peranan aktif seperti sebelum ini. Untuk bawa keluar, mungkin tidak mampu untuk menguruskan mereka bertiga, tambah pula cuaca sejuk. Jadi, kami hanya habiskan masa di rumah seperti biasa.
 
Di antara aktiviti yang dilakukan adalah, painting! Aktiviti yang sentiasa dinanti-nantikan mereka. Mungkin tidak semeriah painting di sekolah, tetapi sekurang-kurangnya mereka tidak pernah bosan untuk aktiviti ini.
 
Kami juga membuat aktiviti masak-masak bersama atau nama kegemaran mereka, cooking club! Pada kali ini, saya beri mereka buat sendiri dari menyiapkan sukatan bahan sehingga jadi pizza.
 
Walaupun Fahmi lelaki, tetapi dia amat sukakan bidang masakan. Katanya, dia mahu jadi Chef kerana dia suka makan! Dia sentiasa bertanya kepada saya apa bahan yang saya gunakan untuk masakan saya. Kadang-kadang saya beri dia pecahkan telur, tumis bawang, masak sayur dan sebagainya tetapi dengan pengawasan. Saya juga sudah ajar dia untuk masak basuh beras untuk masak nasi. Dia selalu teruja bab memasak apatah lagi bab makan. Makanan kegemarannya adalah Nasi Lemak. Dari pagi sampai malam dia boleh makan Nasi Lemak.
 
 
 
 
Saya biasanya hanya menggunakan bread maker untuk menjimatkan masa, tetapi kali ini saya biarkan anak-anak uli dengan tangan. Hasilnya Alhamdulillah, seperti biasa. Sangat lembut dan anak-anak sangat sukakannya. Setiap orang simpan sedikit pizza masing-masing untuk Papa rasa hasil tangan masing-masing.
 
Ada lagi beberapa aktiviti yang kami lakukan bersama sepanjang cuti sekolah tempoh hari. Mungkin biasa dan berulang-ulang aktiviti yang sama, tetapi cukup untuk membuatkan mereka gembira dan masa terisi dengan perkara yang berfaedah.
 
Apa yang lebih penting adalah kualiti masa itu sendiri. Walaupun sesibuk mana urusan seharian kita tidak kira yang bekerja atau tidak bekerja, cubalah curi sedikit masa dalam sehari untuk anak-anak.
 
Anak-anak makin membesar, hari demi hari akan sentiasa ada perubahan dan perkembangan dalam diri mereka. Cuba ambil tahu, cuba selami kehendak mereka, cuba belai mereka dengan kasih sayang dan masa bersama, bukan sahaja dengan mainan dan wang semata.
 
Secara jujurnya, sejak saya mula berhenti kerja, saya sendiri rindukan anak-anak apabila mereka ke sekolah dan apabila mereka tidur. Walaupun saya sepanjang masa bersama mereka selain waktu sekolah, saya tidak nafikan kerinduan itu.
 
Saya rindukan gelak tawa, suara tangis mereka yang semakin lama semakin membesar.
Suatu masa nanti, semuanya tidak akan sama lagi seperti mereka di waktu kecil.
Saya tahu saya akan rindukan saat ini.
Saya harus manafaatkan semua peluang waktu ini.
Terima kasih Allah.
 

Thursday, January 28, 2016

TEMPAT MENGADU

Entri 113
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN 
 
Saya terbaca semalam beberapa newsfeeds di FB oleh ibu-ibu masa kini.
 
Menulis dan ibarat mengeluh di laman sosial tentang kepenatan menguruskan rumahtangga dan secara tidak langsung ada juga yang menyampaikan mesej untuk encik suami membantu seperti artikel/foto itu.
 
Saya tiada pengalaman yang lama dan luas sangat tetapi saya ingin berkongsi motivasi untuk kita sebagai seorang suri rumahtangga dan juga seorang wanita.
 
Wanita ini ditakdirkan unik.
 
Kadang-kadang dia tidak dapat meluahkan kemarahan, rasa penat, kecewa dan sebagainya.
 
Tetapi wanita ada remedi semulajadi iaitu air mata.
 
Air mata yang gugur ketika marah, ketika kecewa, terlalu penat dan sebagainya.
 
Air mata ini lah yang menyebabkan rasa lega dan selepas air mata keluar, bagai ada sesuatu membuatkan dia bangkit.
 
Mungkin itu tidak akan kekal kerana perkara yang sama akan berulang kembali dan silap-silap dikatakan berendam air mata.
 
Namun, air mata di tengah malam atau di waktu tahajjud itu sangat mahal.
 
Menangislah padaNya sepuas-puasnya. Mengadulah padaNya.
 
Mengadu dan mengeluh di FB tidak dapat apa-apa, mungkin ada yang mencurah "api" lagi.
 
Kita mungkin akan tertulis perkara yang tidak sepatutnya dalam keadaan kecewa dan marah dengan harapan untuk meraih simpati.
 
Tetapi kita sebenarnya tidak dapat apa-apa. NOTHING!
 
Beritahu Allah apa sahaja yang kita rasa, yang kita mahu dan yang kita idamkan.
 
Berdoa dan bertaubat dengan ikhlas, in shaa Allah kita akan rasa tenang.
 
Semoga urusan kita semua dipermudahkan. Aamiinn.
 
 

Saturday, January 23, 2016

INSPIRASI BEKERJA DI RUMAH

Entri 108
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: AKADEMI BEKERJA DI RUMAH
 
 
Agak terlambat, tetapi saya tetap juga ingin berkongsi promosi bulan Januari kali ini.
 
Bagi saya, ini juga adalah kombinasi yang sangat menarik, bukan sahaja kepada surirumah tetapi untuk sesiapa sahaja samaada yang masih bekerja ataupun yang bekerja dari rumah sahaja.
 
Kadang-kadang kita terasa seperti "tenggelam" atau "lost" apabila bergerak sendiri. Boleh menyebabkan ada rasa tertekan dan sebagainya.
 
Jika kita tidak bersedia ataupun belum terbuka hati untuk sertai Akademi Bekerja Di Rumah seperti saya, mungkin ini boleh membantu anda.
 
Ebook-ebook ini menyajikan pelbagai perkongsian dari suri-suri yang lain yang sudah berjaya. Mereka mengambil satu langkah penting dalam hidup mereka. Begitu juga saya.
 
Ebook-ebook ini juga berkongsi pelbagai idea bisnes dari rumah dan juga memberi kita tips dan idea bisnes apa yang sesuai untuk beroperasi dari rumah serta banyak lagi perkongsian bermanafaat.
 
Untuk dapatkan ebook ini atau sebarang pertanyaan, bolehla hubungi saya di tinicraft@gmail.com.
 
Sekian, terima kasih.

 
 



Thursday, January 21, 2016

AIR MATA YANG PALING MAHAL

Entri 105

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Semalam saya ada kesempatan mendengar satu kuliah ringkas dari Ustazah Nurhafizah Musa di Facebook. Pendek sahaja videonya tetapi sangat mendalam.

Berkenaan air mata di tengah malam. Sangat mahal.

Saya sendiri akui, apabila kita mengadu dengan orang, masalah tidak akan selesai. Malah mungkin bertambah rumit.

Mungkin juga ada orang bergembira dengan masalah yang kita hadapi, atau mungkin juga kita telah membuka aib sendiri.

Jadi, tindakan yang paling bijak dan paling penting adalah kita kena mengadu kepada Pencipta kita.

Hanya Dia yang tahu segalanya.

Kita merancang, Dia juga merancang. Tetapi perancangan Dia adalah yang terbaik untuk kita.

Jangan sombong untuk menitiskan air mata kesungguhan untuk mengadu padaNya.

Masalah mungkin tidak nampak selesai dengan segera, tetapi in shaa Allah ketenangan yang kita dapat. 

Ketenangan yang lebih mahal dari sebuah penyelesaian yang sia-sia.

Ada indahnya. In shaa Allah.



Saturday, January 16, 2016

MENCARI PELUANG DALAM RUANG

Entri 101

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN


Tahun 2016 ini, saya kira tahun yang makin mencabar. Bukan sahaja saya terkesan, malah ramai di antara kita yang mula terasa hanyut dan lemas dalam sungai cabaran yang tidak putus-putus mengalir deras. Melihat berita di tanahair, saya turut berdebar-debar. Banyak kos sara hidup meningkat, kenaikan tambang kenderaan awam, cukai dan sebagainya.

Ramai yang terkesan dengan itu semua. Namun, dalam pada itu saya cukup kagum dengan beberapa usaha anak-anak muda masa kini yang masih tidak berputus asa dan bijak mencari peluang dalam ruang ini.

Kisah donat 10 sen, nasi lemak 90 sen, pandu lalu menu sarapan serta kopi di tepi jalan, nasi bajet dan sebagainya.

Macam mana mereka boleh lakukan itu semua dalam keadaaan kos yang serba mahal sekarang?

Saya ada mengikuti kisah di antara mereka di atas. Menjadikan saya lebih kagum dengan mereka, perkara yang pertama bagi mereka adalah niat berniaga itu sendiri. Niat, adalah perkara utama dan harus lurus.

Seperti kata anak muda donat 10 sen itu, dia tidak boleh tidur lena sekiranya mengambil untung lebih. Dia berniaga kerana niat nak tolong orang membeli kuih tanpa rasa terbeban dengan kos kehidupan masa sekarang.  Dia bermula dengan meminjam peralatan menggoreng dengan kawan dan sebagaiya untuk memulakan perniagaan.

Point yang besar di sini adalah semangat mereka kuat untuk memulakan sesuatu. Tidak hiraukan kata-kata orang, mereka terus bangun. Walaupun keuntungan itu sedikit, tetapi keberkatan itu jauh lebih mahal, lalu Allah mencukupkan. Alhamdulillah.

Semoga kita dapat belajar sesuatu dari kisah mereka semua.






Sunday, January 3, 2016

BEKERJA DI RUMAH SAMBIL MENGURUSKAN TIGA ANAK

Entri 100

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto:KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Bagi sesetengah ibu, mereka menganggap menjaga anak-anak di rumah seharian adalah umpama mimpi ngeri! Ya, ada ibu-ibu yang saya jumpa, mereka lebih sanggup pergi bekerja dan menghantar anak-anak kepada orang lain dari menjaga mereka sendiri di rumah. Bukan disebabkan perlu bekerja, tetapi mereka kata tidak tahan karenah anak-anak, jadi lebih baik pergi kerja.

Saya faham bagaimana sibuknya menjaga anak-anak di rumah, tetapi sebagai seorang ibu, tidak patut mengeluarkan kenyataan sebegitu. Malah ramai lagi ibu-ibu di luar sana yang bertungkus lumus bekerja dan berusaha untuk menjadi surirumah sepenuh masa semata-mata untuk membesarkan anak-anak di depan mata mereka sendiri.

Tidak dinafikan ada juga ibu-ibu yang berpeluang untuk menjaga anak-anak sendiri dan mungkin bekerja dari rumah, membuat tindakan yang kurang sesuai seperti membiarkan anak-anak bermain ipad di luar bilik manakala ibu tersebut mengunci dirinya di dalam bilik semata-mata untuk "bekerja" seperti menggunakan komputer dan sebagainya. Bagi diri saya, ini suatu perkara yang harus dipandang serius. 

Di sini, saya ingin berkongsi cara saya bekerja di rumah sambil menguruskan anak-anak. Lain orang lain caranya, tetapi tidak salah jika kita sama-sama berkongsi. Saya pun masih lagi membaca tips-tips dari ibu-ibu lain kerana pembelajaran ilmu ini tidak akan pernah habis.

Perkara utama bagi saya sendiri adalah, mula awal pagi. Semua aktiviti yang memerlukan penumpuan dan ketelitian perlu dibuat sewaktu anak-anak masih tidur. Saya membuat entri blog, mengemaskinikan akaun, membuat transaksi bank, menjahit dan sebagainya sewaktu anak-anak sudah tidur pada malamnya ataupun masih belum berjaga pada waktu pagi. Pendek kata, pada waktu itu, kita tidak ada sebarang gangguan. Apabila kita fokus, masa yang diperlukan adalah tidak begitu lama dan fikiran pun tidak kusut, in shaa Allah.

Selain itu, dari awal lagi kita harus latih anak yang sulung dahulu. Ini saya belajar dari "super senior" saya di Amerika dahulu. Dia menguruskan empat anak lelakinya sendiri di bumi asing, di Arizona. Kata beliau, jika kita sudah latih anak yang sulung, in shaa Allah adik-adiknya nanti senang untuk didisiplinkan kerana role-model sudah ada.

Saya masih ingat lagi, saya mula aplikasikan teknik "train the first child" sewaktu saya kusut mengajar anak-anak hafazan. Pada masa itu saya agak kebingungan kerana cuba mengajar si abang surah hafazan yang lebih panjang memandangkan dia sudah tahu beberapa surah lazim dan si adik surah yang lebih pendek tetapi semuanya tidak terurus kerana menghafal dua surah berlainan.

Dek kekangan masa dan cara yang tidak betul, sesi hafazan terhenti buat seketika. Sehingga suatu hari saya dapati si abang sudah mula lupa apa yang dia sudah belajar sebelum ini. Salah saya kerana saya terlepas pandang untuk mengulangkaji. Semasa solat pun, saya dapati dia hanya membaca surah yang sama. 

Saya kemudiannya bermula dari bawah. Buat satu jadual nama, surah dan beberapa kolum pencapaian. Siapa dapat hafal, akan dapat sticker bintang. Alhamdulillah, kerja saya menjadi senang. Sambil mengajar si abang, si kakak pun belajar sama. Proses hafazan menjadi lebih mudah apabila saya membuat peraturan, sesiapa yang dapat hafal tidak akan dapat sticker sehingga dia pastikan yang lagi seorang pun dapat menghafal juga. Abang yang lebih senang menghafal turut membantu Tasnim si kakak untuk menghafal. Sehinggakan sewaktu di meja makan untuk sarapan pun, mereka masih counter-check bacaan masing-masing.

Tips lainnya bekerja di rumah selain train the first, saya bagi nama jawatan kepada setiap anak seperti berikut:-

Fahmi - "Captain of the Children"
Tasnim - "Captain of the Cleanliness"
Hanaa - "Captain of Kiss and Cuddle" - dia pilih sendiri :)

Apabila semua sudah berjawatan sebegini, mereka seperti berbangga dengan panggilan tersebut. Apabila ada perasaan bangga sebegitu, mereka akan cuba menjalankan tugas masing-masing dengan sebaiknya. Jadi, apabila saya perlu memasak, membasuh dan sebagainya, urusan mengendalikan mereka lebih senang.

Tips yang seterusnya adalah melibatkan anak-anak sebanyak mungkin dalam kerja seharian. Contohnya, saya ada ajar si abang dan kakak untuk membasuh pinggan, memasukkan kain ke dalam mesin basuh, mengeluarkan kain dari situ, menjemur, melipat dan sebagainya. Secara tidak langsung, Hanaa si kecil itu pun akan belajar membuat aktiviti tersebut. Terbaru saya ajar menyapu dan mengemop rumah. Mop yang hanya menggunakan mopping tissue itu sangat membantu. Tidak perlu menggunakan air dan berkecah-kecah. Hanya saya seorang sahaja mengendalikan mop menggunakan air sewaktu anak-anak fokus membuat aktiviti lain untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Satu lagi, cuba buat aktiviti yang berlainan setiap hari. Seperti saya, jika ada cuti panjang seperti Spring Break, Summer Break atau Winter Break, saya memang akan susun jadual harian sepanjang cuti tersebut dan anak-anak akan tahu apakah aktiviti mereka untuk hari berikutnya. Di antara aktiviti yang kami lakukan di dalam rumah adalah:

Melukis dan mewarna  dengan water colour
Cooking Club (membuat muffin, cookies, pasta dan sebagainya)
Membuat art and craft menggunakan bahan terbuang
Permainan melukis dan meneka gambar
Picnic & Tea Party
Menonton cerita pilihan bersama-sama (Movie and Popcorn Day)
Cleaning Day Activities 

Ada banyak lagi aktiviti yang dilakukan bersama-sama yang membantu mereka untuk tidak bosan di dalam rumah. Apabila mereka seronok, kita akan senang untuk melakukan kerja-kerja yang lain. Jangan biarkan anak-anak terlalu banyak menonton tv dan jangan pula tidak bagi langsung anak-anak untuk merehatkan minda mereka. Sebagai contoh, pada hari persekolahan, saya hanya membenarkan mereka menonton tv pada hari Isnin dan Jumaat sahaja selama satu jam selepas mereka menyelesaikan urusan balik dari sekolah. Pada tiga hari lainnya, mereka berdua ada aktiviti kelab di sekolah, jadi waktu agak terbatas. Dan mereka juga terlalu penat untuk membuat aktiviti lain makan dan solat, kerja sekolah dan tidur.

Apa-apa pun, perkara utama apabila bekerja di rumah adalah menguruskan masa dengan bijak dan semestinya urusan anak-anak harus diutamakan. Ingat balik tujuan kita bekerja di rumah. Jangan lari dari niat asal tersebut.
Jika ada tips menarik untuk dikongsikan bersama, boleh tinggalkan di ruang komen di bawah. Terima kasih. Sehingga berjumpa lagi.

Tuesday, December 15, 2015

BEKERJA DI RUMAH : KENA MAHIR URUS MASA

Entri 99

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Bekerja di rumah merupakan impian rata-rata ibu/isteri/wanita pada masa kini yang mana kerjaya sebegini menjadi semakin popular.

Popular atas pelbagai faktor seperti tuntutan keluarga, anak-anak bertambah, masalah pengasuh, masalah syarikat dan sebagainya. Yang pasti, bukan untuk ambil jalan mudah bersantai-santai. Bukan. 

Apabila kita sudah commit untuk bekerja di rumah, kita perlu pastikan pengurusan masa adalah tiptop. Kita lah CEO, kita lah pengarah, pegawai, kerani, tukang cuci, tukang sapu, tukang masak dan sebagainya. Semuanya pakej. 

Kemudian, Key Performance Index (KPI). Semua orang tahu berkenaan KPI. Bekerja di rumah juga perlu ada KPI.  

Contohnya tukang jahit, berapa banyak produk perlu dijahit dalam masa seminggu. Tidak perlu KPI harian sebab saya faham mood tukang jahit ini ada masanya. Kadang-kadang ada hari nak gunting kain sahaja. Kadang-kadang ada hari nak lukis pelan sahaja. Ada hari nak tenung membelek kain-kain sahaja. Jadi, kita guna KPI mingguan. Satu hari mungkin tak jahit apa-apa, tetapi mungkin satu hari boleh jahit KPI satu minggu?

Jadi, apa yang menjadi kunci semua ini? Ya, MASA. Pengurusan masa yang mahir dan bijak membolehkan kita menguruskan semuanya dengan lancar. Mungkin tidak sempurna, tetapi sekurang-kurangnya semuanya di bawah kawalan.

Kita kena tahu yang mana satu lebih penting (priority), yang mana satu boleh diselesaikan dahulu, atau mungkin kita boleh gabungkan dua kerja dalam satu masa?

Perlu juga simplify urusan seharian dalam erti kata lain kurangkan sifat suka membaca perkara yang tidak berfaedah di internet, limitkan window shopping apatah lagi bergossip. Kena tahu beza perkara yang membuang masa dan juga sia-sia.

In shaa Allah pada entri seterusnya saya akan kupas sedikit lagi berkenaan pengurusan masa bekerja di rumah ini kepada detail lebih sedikit iaitu pengurusan masa bekerja di rumah bersama-sama anak-anak. 

Terima kasih kerana sudi membaca.

Nota: Kepada yang berminat ingin tahu berkenaan Akademi Bekerja Di Rumah, boleh email saya di tinicraft@gmail.com.


Saturday, November 7, 2015

MOTIVASI SURIRUMAH - NASI LEMAK CINTA

Entri 87
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Kadang-kadang kita kena kreatif untuk mencari kelainan dalam kehidupan harian kita.
 
Kalau asyik cara sama, rutin sama, mungkin kita akan terasa bosan dan tidak ada kekuatan semangat.
 
Jadi, kita sendiri perlu cari di mana dan apakah sumber kekuatan semangat kita.
 
Bagi saya sendiri, sebagai seorang surirumah yang sudah tentu-tentunya anak-anak dan suami akan bersarapan di rumah, saya kena pelbagaikan juadah menu pagi. Ringkas tidak mengapa, janji kita ikhlas.
 
Kepelbagaian ini mungkin dari segi menu itu sendiri ataupun cara penyediaan. Bukan sahaja untuk membuatkan orang di sekeliling kita tidak jemu, malah untuk menceriakan kita sendiri bagi menghadapi kerja-kerja seharian.
 
Semoga kita sentiasa ceria!

 
 
 
 
Nota: Nasi lemak ringkas bersama teh tarik sementara susu pekat masih ada berbaki. Di Korea ini, mereka tidak guna susu pekat :)

Wednesday, October 21, 2015

CARA MUDAH ZIKIR PAGI DAN PETANG

Entri 68

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN


Zikir adalah satu perkara yang amat mudah.
Tiada modal ataupun tiada alatan canggih.
Tidak kira tempat dan tidak kira masa.

Kalau dulu saya pernah rasa kalau saya membaca ataupun buat kerja di laptop, saya tidak boleh memikirkan sesuatu yang lain selain dari kerja saya itu. Saya perlu fokus.

Tetapi dalam urusan seharian, kita tidak semestinya membuat kerja yang sama sahaja sepanjang hari kan?

Saya ada dengar tazkirah dari Ustaz Abu Anas Madani, kita digalakkan untuk berzikir 100 kali pagi dan 100 kali petang, kalau lebih lagi bagus.

SubhaanAllah, Walhamdulillah, Walaailaahaillallah, Wallahuakbar
Walaahaulawalaa kuwwatailla billahil 'aliyyul 'aziim.
Ulang 100 kali pagi dan 100 kali petang.

Rasa banyak?
Iya, 100 banyak tapi tak makan masa berejam pun.

Alamak, saya mana ada masa nak duduk berzikir.
Eh, takperlu duduk atau pegang tasbih tu semua. Kat mana-mana pun boleh buat.

Mana ada masa nak kira-kira sampai 100.
Takperlu kira pun, konsepnya zikir sahaja bila teringat. Zikir itu kan mengingati Allah.

Macam saya seorang surirumah, saya praktikkan sewaktu basuh pinggan, jemur kain dan sebagainya.
Kerja jalan macam biasa, cuma kita boleh fokuskan kan ingatan kita pada Pencipta, kita boleh didik hati kita untuk selalu bersyukur pada Allah.

Ingat, zikir bukan lisan sahaja, tetapi perlu lahir dari hati juga.

Semoga kita semua tergolong dalam golongan mengingati Allah.

Aamiin.

Nota: Ini link tazkirah yang saya dengar berkali-kali.
https://www.youtube.com/watch?v=60U08d-RqEM


Nota: Gambar ini di ambil dari Banpo Park



 

Friday, October 16, 2015

RODA HIDUP

Entri 56


Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Hidup ini ibarat roda, kadang kita di atas, kadang kita di bawah.
Tetapi, kita harus pandai menilai, bukan bersangka buruk.
 
Di bawahlah, kita akan sedar untuk bangun,
Bukan bangun untuk jatuh lagi, tetapi bangkit untuk tidak jatuh berkali-kali.
 
Di bawahlah, kita akan mula menilai akan "harga" di atas.
"Harga" yang tidak akan sesekali sama untuk ditawar menawar.
 
Di bawahlah, kita akan nampak tingginya pandangan ke atas.
Pandangan yang pastinya menampakkan kita kerdil sekali di bawah ini.
 
Jadi,
Jika kita di bawah, jangan takut untuk mendongak ke atas untuk bangkit kembali.
Jika kita di atas, jangan juga sombong untuk pandang ke bawah, kerana kita mungkin jatuh nanti.
 
 
 
Nota: Gambar ini diambil sewaktu saya sertai seminar ISNA di Illinois pada tahun 2004 sewaktu belajar di Amerika Syarikat dulu.

Friday, September 4, 2015

WAHM PERLUKAN WAHM YANG LAIN

Entri 40

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN


Sebagai seorang WAHM tak kira lah yang sudah lama, baru menjadi WAHM, bakal menjadi WAHM atau bercita-cita untuk jadi WAHM, kita memerlukan antara satu sama lain.

Setuju atau tidak, ada suatu tahap kita akan rasa sunyi di rumah apabila anak-anak ke sekolah hatta walaupun anak sedang tidur. Kita perlukan kawan-kawan seangkatan untuk menyokong antara satu sama lain.

Selain dapat berkenalan dengan orang baru, mengeratkan ukhuwwah, kita juga dapat berkongsi tips dan pengalaman serta mendapat ilmu baru.

Hasad dengki? Caras peluang? Cantas jualan?
Tak perlu risau, kita hanya perlu percaya rezeki itu RAHSIA ALLAH.
Yang lain-lain tidak perlu fikir, balik pada Allah.

Untuk hari ini saya ingin kongsikan beberapa blog yang tinggalkan jejak di posting FB saya tadi.

1. Kak Efie  Muhamad ( qayyumqaisa.blogspot.com) (vitaminsaya.blogspot.com)

Merupakan seorang WAHM sudah bertahun-tahun. Beliau ada berkongsi Parenting Tips di blog beliau seperti di atas. Menjalankan perniagaan Shaklee dengan jayanya. Boleh berkunjung ke blog tersebut, mungkin kita sama-sama dapat manafaat.

2. Kak Azue Mohd (kuazue.blogspot.com)

Merupakan seorang tukang jahit tegar dalam bidang sulaman. Boleh ikuti blog beliau untk panduan bisnes dalam menjahit sulaman. Pelbagai perkongsian, tips dan idea sulaman menarik di blog beliau. Saya pun suka tengok sebab saya pun minat menjahit. Semoga suatu hari nanti saya dapat membeli mesin jahit sulaman seperti beliau juga.

3. Farahwahida (www.myfawa.com)

Seorang usahawan berjaya juga dalam perniagaan Shaklee. Banyak terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Boleh kunjungi laman web beliau di atas. Beliau juga berkongsi perihal kesihatan, penyusuan ibu dan sebagainya. Jom sama-sama dapat manafaat.

Senang bukan? Like/Share di Facebook, berkunjung ke blog juga antara sokongan secara tidak langsung kepada rakan-rakan kita.

Kita tak kena bayar pun, tak rugi satu sen pun.

In shaa Allah, perkongsian yang baik juga menambah saham akhirat kita.

Nota:Gambar ini mungkin tiada kaitan dengan entri ini, tetapi hanya berkongsi salah satu terapi saya.

Beli lilin.
Saya suka warna ungu.

Salam petang dari bumi Sonata.

Wednesday, September 2, 2015

SISTEM REWARD DIRI AMAT PENTING

Entri 32
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Sebagai surirumah dan WAHM, kita memerlukan terapi berbentuk window shopping. Tidak kira sama ada online atau offline. Dengan syarat, kita tahu batasan peruntukan perbelanjaan, jika tiada, cukup hanya cuci mata.
 
Bagi diri saya sendiri, saya gunakan sistem reward diri. Sistem ini bukan sahaja tertakluk kepada matlamat atau pencapaian dari segi pendapatan seperti jumlah jualan bulanan dan sebagainya, tetapi sistem ini amat sesuai untuk diguna pakai dalam pengurusan emosi.
 
Contohnya, ada ketika hari-hari yang kita terpaksa berdepan dengan pelanggan yang beremosi tidak stabil, tidak puas hati, marah-marah atau membuat komplen. Pada masa itu, saya nekadkan hati, jika saya berjaya mengawal emosi saya untuk kekal tenang dan menyelesaikan masalah dengan baik, saya akan beli sesuatu untuk diri saya.
 
Sama juga dengan kes pengurusan rumahtangga terutamanya bagi surirumah, yang juga tidak lari dari tekanan yang tidak dapat dielakkan. Mungkin kita ada perasaan "tidak menang tangan" untuk menguruskan rencana seharian, kita juga boleh menggunakan sistem reward sebegini.
 
Sesuatu itu tidak semestinya mahal, tetapi cukup untuk membuatkan hati kita gembira dan ceria. Kesannya, amat bahagia. Malah kita akan merasa bangga akan diri sendiri kerana dapat mengurus emosi dengan baik dan menyelesaikan masalah dengan teliti.
 
Hanya kita yang tahu apa yang membuatkan hati kita bahagia dan kita lah yang mesti pilih untuk bahagia. 
 
 
Nota: Ini adalah salah satu kedai di Ipark Mall di Yongsan-gu, Modern House. Kedai ini berkonsepkan hiasan / keperluan moden tetapi  ringkas. Seperti IKEA,tetapi bersaiz kecil dan harganya lebih murah. 

 
 




Friday, August 28, 2015

KENAPA SAYA SERTAI KELAS ONLINE INI

Entri 23

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Ada kawan-kawan bertanya setelah perasan bahasa penulisan saya telah berubah sejak akhir-akhir ini. Ada di antara mereka yang pernah membaca cerita saya di blog lama dan mendapati ada perbezaan ketara. Ada yang bertanya apa rahsianya?

Rahsia? Saya tiada rahsia. Saya hanya menulis dari hati dan mengikut rentak jari saya. Tetapi, semua ini juga atas peluang saya menyertai kelas online bersama Akademi Bekerja Di Rumah. Saya mendaftar kelas penulisan blog dan kelas bisnes online.

Kelas ini berbentuk tutorial online dan hanya menggunakan medium Facebook Secret Group dan Facebook Messenger. Semasa mendaftar kelas, saya mendapat beberapa Ebook sebagai panduan dan dimulakan dengan Ebook untuk belajar asas membuat blog.

Selepas dimasukkan ke dalam Secret Group FB seperti saya nyatakan di atas tadi, saya memulakan kelas dengan cikgu secara eksklusif. Kenapa saya kata eksklusif? Sebab saya diberikan personal coaching melalui  Facebook Messenger. Saya juga mendapat pelbagai ilmu dan perkongsian melalui nota kumpulan yang mana saya dapat berkenalan dengan rakan-rakan baru. Melalui mereka juga kita dapat melihat bagaimana mereka mengaplikasikan apa yang diajar.

Kelas ini amat fleksibel, sesuai bagi mereka yang sibuk. Kita boleh pilih masa yang sesuai untuk menyiapkan tugasan daripada cikgu. Sebarang persoalan boleh diajukan kepada cikgu secara langsung ke di Facebook Messenger cikgu berkenaan. Cikgu juga akan memberikan tugasan langkah demi langkah sebagai memandu arah kita menyiapkan blog dan sebagainya. Jadi kita tidak akan rasa kelas terlalu cepat, tidak dapat ikut, tertekan dan sebagainya. Semuanya bergantung kepada kita. Apa yang kita perlu hanyalah kesungguhan, internet, komputer/laptop atau telefon pintar.

Kelas juga tidak terhad kepada surirumah sepenuhmasa sahaja ataupun wanita sahaja, ia terbuka kepada sesiapa sahaja termasuk wanita bekerja, bujang, lelaki dan sebagainya. Ia juga merupakan landasan yang sangat sesuai bagi sesiapa yang ingin mencari pendapatan sampingan atau merancang untuk berhenti kerja kerana kita boleh menjana pendapatan selepas "siap sedia" dengan segala ilmu dari kelas. Sekali lagi, semuanya atas kehendak, usaha dan kecekapan kita.

Bagi yang ingin memulakan bisnes dari rumah, mempunyai masa yang fleksibel tetapi tidak tahu di mana untuk bermula, saya cadangkan untuk bersama-sama menyertai kelas online ini. Untuk memulakan sesuatu, kita perlukan ilmu dan kita perlukan mentor/sifu/cikgu untuk pemudah bagi menunjukkan cara. Bermula dari sini jugalah, bakat/kelebihan kita akan dicungkil dan yang pasti kita akan buat apa yang kita suka.

Secara jujurnya, saya gembira dapat bersama keluarga besar Akademi Bekerja Di Rumah ini. Saya tidak rasa tertekan dengan tugasan dari kelas, mahupun dari cikgu sendiri. Saya amat gembira dapat berkenalan dengan rakan-rakan lain yang dari pelbagai latarbelakang dan cabaran hidup yang telah dilalui.

Sekiranya ada sebarang pertanyaan, boleh email tini sebagai Pengurus Online Akademi di tinicraft@gmail.com / khushartinikamarulzaman@gmail.com

Menulis, menulis dan menulis.
Menulis dari hati, menulis dengan rentak jari, menulis tanpa henti.
Idea datang tidak tentu masa, idea datang tidak tahu ketika, idea mencurah berlapanglah dada.

Jika tiada ilmu, boleh belajar.
Jika tiada masa, boleh disusunkan kembali acara.
Tetapi, jika tiada kehendak, itulah penghalang utama.

Sekian, terima kasih.



Thursday, August 27, 2015

JANGAN JADI "PENGHALANG" DIRI SENDIRI

Entri 22
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Sejak perbualan panjang melalui "messenger facebook" dua hari lepas, fikiran saya seperti berlagu sendiri, menutur bait-bait dialog yang tidak berhenti menghujani sudut sanubari.
 
"Akak, saya tengah baca blog akak. Rindu rasanya nak berborak dengan akak". Dia memulakan tuturnya. Saya membaca tiap-tiap patah perkataannya dengan hati. Ada getar di situ. Ada rindu, ada terharu, ada debarnya. Saya mengagak, ada sesuatu.
 
"Akak pun rindu awak. Teringat zaman dulu-dulu." Saya membalas ringkas. Saya biarkan dia menulis dari hatinya.

"Perbualan" kami agak panjang, dan saya dapat selami hatinya. Dia seorang ibu bekerja yang mengimpikan untuk menjadi surirumahtangga sepenuh masa. Mempunyai seorang anak dan bakal melahirkan anak kedua. Dalam masa yang sama ingin mencari pendapatan sampingan untuk membantu keluarga. Saya ingat lagi tulisnya semalam.
 
"Hidup di Malaysia sekarang banyak dugaan. Slip gaji banyak yang kanan dari yang kiri. Risiko juga kalau berhenti."
 
Pantas saya nasihatkan dia, jangan berhenti dulu jika terikat terlalu banyak komitmen. Buat masa sekarang, tumpukan perhatian macam mana hendak menjana pendapatan sampingan. Dia masih ada masa untuk mencari base yang sesuai dan selesa dengan jiwanya. Nanti boleh gunakan masa tiga bulan berpantang untuk bekerja dari rumah. Dia kena melangkah sekarang.

"Saya teringin nak berblog tetapi tiada asas dan tidak pandai menulis."

Sebenarnya, menulis bukan sesuatu yang boleh dibeli dan bukan juga boleh diwarisi. Semuanya boleh diperolehi dengan latihan, pembacaan dan pengamatan.

Menulis, menulis dan menulis.
Menulis dari hati, menulis dengan rentak jari, menulis tanpa henti.
Idea datang tidak tentu masa, idea datang tidak tahu ketika, idea mencurah berlapanglah dada.

Jika tiada ilmu, boleh belajar.
Jika tiada masa, boleh disusunkan kembali acara.
Tetapi, jika tiada kehendak, itulah penghalang utama.

Untuk itu, saya kepilkan nukilan saya petang semalam dari Bumi Sonata untuk tatapan bukan sahaja dia, tetapi juga sesiapa sahaja untuk menyentuh jiwa.


 
 

Tuesday, August 25, 2015

TERAPI SURIRUMAH

Entri 17
 
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
 
Menjadi seorang surirumah ada kisahnya tersendiri. Ada ujiannya, ada pahit manisnya. Ada turun naiknya, ada pasang surutnya. Setelah dua tahun lebih bergelar surirumah sepenuh masa, saya ingin bawakan sedikit perkongsian. Sewaktu saya bekerja dahulu, apabila tiba hari mendapat gaji, kebanyakan kawan-kawan akan teruja untuk makan di restoren mahal, membeli kasut, beg tangan, baju dan sebagainya. Mereka kata, "terapi". Ini juga adalah sama dengan surirumah, tetapi memandangkan kebanyakan surirumah tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap ataupun beroperasi dengan konsep Work At Home Mom (WAHM), terapi yang diperlukan mungkin sedikit berbeza.
 
Ya, saya setuju kita terutamanya sebagai wanita amat memerlukan terapi seperti itu setelah berpenat lelah membanting tulang bekerja selama ini. Tetapi, terapi sedemikian tidak semestinya pada produk yang mahal sahaja. Kita kena faham, apabila tiba hari gaji, tidak semua orang akan ada baki gajinya dengan jumlah yang banyak. Ada yang terpaksa membayar hutang pinjaman, kereta, rumah, taska dan sekolah anak-anak, menyara keluarga di kampung dan sebagainya. Tetapi memandangkan terapi adalah satu perkara yang amat penting untuk menyumbang kembali pembakar semangat dan "penghargaan" tidak langsung kepada usaha kita bekerja selama ini, kita harus cuba untuk memenuhinya.
 
Bagi seorang surirumah seperti saya, terapi yang saya perlukan adalah bukan dari kategori yang mahal. Mungkin dari zaman saya bekerja dulu lagi saya adalah seorang yang tidak suka berbelanja untuk barang-barang yang mahal. Jadi ianya menjadi sesuatu yang tidak membebankan apabila saya berhenti kerja. Contohnya adalah seperti berikut:-
 
1. Menjahit
Walaupun penat bekerja pada masa itu, ataupun menguruskan rumahtangga seharian, saya akan menjahit sebagai terapi saya selain menjadi sebagai hobi. Kadang-kadang kalau sudah kepenatan di malam harinya, saya akan menjahit di awal pagi. Tidak perlu lama, tetapi cukup dengan sekadar dapat menyiapkan suatu produk seperti bedung bayi, beg, kotak pencil dan sebagainya. Kepuasannya tidak dapat digambarkan.
 
2. Memasak
Memasak juga boleh menjadi terapi seseorang. Bukan sahaja mendapat kepuasan tetapi juga dapat menjimatkan duit belanja. Mungkin ada yang berkata "Eh, memasak memang hari-hari kot?". Ya, tetapi cuba beri kelainan untuk terapi jenis ini. Mungkin dari segi persembahan makanan ataupun masakan yang lebih istimewa dari hari-hari yang lain. Contohnya jika selama ini kita hanya masakkan nasi lemak dengan menghidangkan cara biasa, apa kata sesekali untuk terapi kita hidangkan nasi lemak dalam daun pisang. Macam saya di sini, sesekali saya akan hidangkan nasi berlauk Kelantan Style dengan cara membungkuskannya seperti kita beli di kedai-kedai. Nikmatnya adalah sesuatu yang tidak dapat digambarkan terutamanya apabila di perantauan begini.
 
3. Mengemas dan Menghias Rumah
Ya, perkara yang sentiasa kita buat. Tetapi cuba beri kelainan sedikit. Cari satu sudut yang berbeza, selain mengemas, kita hiaskan sedikit sudut itu. Contohnya saya membeli orkid di bawah di Gwanjang Market untuk diletakkan di sudut telefon ini pada bulan Disember 2014. Pada bulan Februrari 2015, orkid yang sama di letakkan di sudut berbeza. Masih lagi hidup dan bertahan selama tiga bulan lebih pada waktu itu, ianya tetap menjadi terapi saya. Nampak ringkas, tetapi cukup berkesan.
 
Disember 2014
 
 
February 2015 
 
 Semua orang ada cara tersendiri untuk mencari terapi diri. Tidak kira siapa pun kita atau apa pun terapi untuk kita, pastikan ianya tidak membebankan dan tidak memudaratkan. Oh ya, jangan lupa terapi zikir pagi dan petang, setiap hari, ok? Terima kasih kerana sudi membaca. Sehingga bertemu lagi di lain entri,
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...