Check this out

Tuesday, August 25, 2015

TERAPI SURIRUMAH

Entri 17
 
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
 
Menjadi seorang surirumah ada kisahnya tersendiri. Ada ujiannya, ada pahit manisnya. Ada turun naiknya, ada pasang surutnya. Setelah dua tahun lebih bergelar surirumah sepenuh masa, saya ingin bawakan sedikit perkongsian. Sewaktu saya bekerja dahulu, apabila tiba hari mendapat gaji, kebanyakan kawan-kawan akan teruja untuk makan di restoren mahal, membeli kasut, beg tangan, baju dan sebagainya. Mereka kata, "terapi". Ini juga adalah sama dengan surirumah, tetapi memandangkan kebanyakan surirumah tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap ataupun beroperasi dengan konsep Work At Home Mom (WAHM), terapi yang diperlukan mungkin sedikit berbeza.
 
Ya, saya setuju kita terutamanya sebagai wanita amat memerlukan terapi seperti itu setelah berpenat lelah membanting tulang bekerja selama ini. Tetapi, terapi sedemikian tidak semestinya pada produk yang mahal sahaja. Kita kena faham, apabila tiba hari gaji, tidak semua orang akan ada baki gajinya dengan jumlah yang banyak. Ada yang terpaksa membayar hutang pinjaman, kereta, rumah, taska dan sekolah anak-anak, menyara keluarga di kampung dan sebagainya. Tetapi memandangkan terapi adalah satu perkara yang amat penting untuk menyumbang kembali pembakar semangat dan "penghargaan" tidak langsung kepada usaha kita bekerja selama ini, kita harus cuba untuk memenuhinya.
 
Bagi seorang surirumah seperti saya, terapi yang saya perlukan adalah bukan dari kategori yang mahal. Mungkin dari zaman saya bekerja dulu lagi saya adalah seorang yang tidak suka berbelanja untuk barang-barang yang mahal. Jadi ianya menjadi sesuatu yang tidak membebankan apabila saya berhenti kerja. Contohnya adalah seperti berikut:-
 
1. Menjahit
Walaupun penat bekerja pada masa itu, ataupun menguruskan rumahtangga seharian, saya akan menjahit sebagai terapi saya selain menjadi sebagai hobi. Kadang-kadang kalau sudah kepenatan di malam harinya, saya akan menjahit di awal pagi. Tidak perlu lama, tetapi cukup dengan sekadar dapat menyiapkan suatu produk seperti bedung bayi, beg, kotak pencil dan sebagainya. Kepuasannya tidak dapat digambarkan.
 
2. Memasak
Memasak juga boleh menjadi terapi seseorang. Bukan sahaja mendapat kepuasan tetapi juga dapat menjimatkan duit belanja. Mungkin ada yang berkata "Eh, memasak memang hari-hari kot?". Ya, tetapi cuba beri kelainan untuk terapi jenis ini. Mungkin dari segi persembahan makanan ataupun masakan yang lebih istimewa dari hari-hari yang lain. Contohnya jika selama ini kita hanya masakkan nasi lemak dengan menghidangkan cara biasa, apa kata sesekali untuk terapi kita hidangkan nasi lemak dalam daun pisang. Macam saya di sini, sesekali saya akan hidangkan nasi berlauk Kelantan Style dengan cara membungkuskannya seperti kita beli di kedai-kedai. Nikmatnya adalah sesuatu yang tidak dapat digambarkan terutamanya apabila di perantauan begini.
 
3. Mengemas dan Menghias Rumah
Ya, perkara yang sentiasa kita buat. Tetapi cuba beri kelainan sedikit. Cari satu sudut yang berbeza, selain mengemas, kita hiaskan sedikit sudut itu. Contohnya saya membeli orkid di bawah di Gwanjang Market untuk diletakkan di sudut telefon ini pada bulan Disember 2014. Pada bulan Februrari 2015, orkid yang sama di letakkan di sudut berbeza. Masih lagi hidup dan bertahan selama tiga bulan lebih pada waktu itu, ianya tetap menjadi terapi saya. Nampak ringkas, tetapi cukup berkesan.
 
Disember 2014
 
 
February 2015 
 
 Semua orang ada cara tersendiri untuk mencari terapi diri. Tidak kira siapa pun kita atau apa pun terapi untuk kita, pastikan ianya tidak membebankan dan tidak memudaratkan. Oh ya, jangan lupa terapi zikir pagi dan petang, setiap hari, ok? Terima kasih kerana sudi membaca. Sehingga bertemu lagi di lain entri,

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...