Check this out

Sunday, August 16, 2015

EPISOD MERANTAU DI BUMI SONATA

Entri 5

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
"FLASHBACK"

EPISOD MERANTAU DI BUMI SONATA

 
Saat mendapat perkhabaran suamiku akan dihantar bertugas di Seoul, hati kecil ini terdetik, setelah lapan tahun meninggalkan bumi Arizona, Amerika Syarikat,akhirnya saat ini tiba lagi. Dahulu, hampir empat tahun merantau sendiri hanya bertemankan teman-teman sepengajian, tapi kini suasanyanya amat berbeza. Dalam keadaan yang masih terkejut, aku berkira-kira sendiri, kali ini hanya tiga tahun tapi berlima! tiga tahun mungkin adalah suatu tempoh yang sangat singkat bagi sesetengah orang tapi bagiku ianya sudah cukup untuk menguji kami sekeluarga.

 
Namun begitu, aku bersyukur kepada Allah di atas peluang merantau kali kedua ini. Jelas aku dapat rasakan kasih sayangNya serta cantiknya susunan buat kami. Semuanya bermula apabila sembilan bulan sebelum mendapat perkhabaran bertugas di luar negara ini, aku telah membuat keputusan kedua terbesar dalam hidupku selepas keputusan untuk mendirikan rumahtangga. Setelah beristikharah, aku telah membuat keputusan untuk berhenti kerja dan menjadi surirumahtangga sepenuh masa. Ketiga-tiga anak kami makin membesar dan memerlukan perhatian sepenuhnya dari seorang ibu. Walaupun ia pada awalnya amat sukar, tapi aku yakin dengan petunjuk yang Allah berikan. Aku yakin dengan jalan ini.

 
Akhirnya pada 21 November 2013, kami berlepas dan tiba di bumi Seoul pada keesokan harinya. Kami telah menginap di hotel di Itaewon selama enam hari sementara menunggu urusan pegawai sebelum ini selesai di rumah yang bakal kami duduki sementara itu. Selama enam hari itulah hari-hari kami hanya dihabiskan di dalam bilik hotel. Kami hanya bersarapan pagi di hotel dan makan tengahari dan makan malam kami hanyalah dengan bekalan ‘nasi kotak’, gelaran yang saya beri kepada nasi yang hanya perlu direndamkan dalam air panas apabila dikeluarkan dari kotak. Mujurlah kami terfikir untuk mencari alternatif ini sebelum dating.

 
Melihatkan anak-anak cukup berselera makan ‘nasi kotak’ ini yang mana mungkin tidak akan dijamah jika di Malaysia, kotak fikiran saya mula merencana sesuatu. Ya Allah, Kau sudah berikan aku satu sinar di sebalik anak-anak ku ini, aku akan mencorakkan dengan sebaik-baiknya! Tidak dapat saya gambarkan kegembiraan saya apabila Daniel Fahmi, anak sulung saya yang kuat makan dan anak kedua saya Damia Tasnim yang biasanya perlu dipujuk rayu untuk makan, mereka berkongsi makanan dan tidak meninggalkan sebiji nasi pun di pinggan. Bukan sahaja mereka belajar untuk makan sahaja makanan yang ada, tetapi mereka juga belajar untuk berkongsi dan tidak membazir. Bukan tidak mampu untuk membeli makanan halal di sini walaupun tidak dapat dinafikan yang harganya sangat mahal, tetapi saya masih belum berani membawa anak-anak turun dari bilik hotel untuk keluar. Lagipun cuaca amat sejuk pada masa itu iaitu 10 darjah celcius. Tetapi itu semua adalah misteri hikmah yang Allah berikan dan banyak lagi yang perlu saya rungkaikan di bumi Korea ini.

 
Beberapa hari pertama tiba di sini, aku dihujani pelbagai pertanyaan dari anak-anak terutamanya Fahmi. Sesuai dengan namanya yang bermaksud ‘kefahamanku’, dia akan berulang kali menanyakan sesuatu sehingga dia faham. Dia amat hairan kenapa cuaca di Malaysia dan di Korea ini sejuk? Kenapa waktu solat subuh di sini lambat dari Malaysia tetapi waktu lainnya lebih awal? Kenapa di sini ada salji tetapi tidak di Malaysia. SubhanaAllah, anak ini cukup bijak dan tangkas memerhati perubahan yang dialaminya secara tiba-tiba. Lalu, saya terpaksa menjadi ‘guru sains’. Alhamdulillah zaman moden ini ada internet dan ‘youtube’. Jadi, saya menunjukkan dia kejadian perubahan peredaran bumi

                   
Hari pertama lagi suami sudah memulakan tugasan, dan kami dari dinding kaca bilik hotel, tidak melepaskan peluang untuk menjenguk ke bawah menikmati permandangan dan hiruk-pikuk di Itaewon. Sebuah pekan kecil yang sibuknya tidak pernah berhenti. Dengan pelbagai bangsa, pelbagai lapisan masyarakat, Itaewon sentiasa menjadi tumpuan terutamanya oleh rakyat asing yang tinggal di Seoul. Di situ terdapat pelbagai jenis kedai cenderamata, rumah tumpangan, pusat hiburan, restoren-restoren dari pelbagai negara yang tidak ketinggalan juga kedai barangan dan restoren halal.

 
Namun di sebalik kesibukan duniawi ini, saya bersyukur kerana hampir setiap hari saya dapat melihat kubah masjid besar Seoul, di Itaewon ini. Hati kecil saya berkata, walau pun saya belum tentu dapat ke masjid itu setiap hari, tetapi melihatkan kubahnya di atas bukit sana sudah cukup memberikan saya satu ‘rasa’ yang sangat indah. ‘Rasa’ yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata tapi saya cuba gambarkan dengan cahaya ketenangan dan kesyahduan. Hidup di ibu kota besar Korea, Seoul akan saya jadikan momen indah dalam hidup kami sekeluarga. Islam, sentiasa dekat di hati kami dan saya tahu kemanisannya akan jauh lebih terasa di bumi asing ini. In shaa Allah.


 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...