Check this out

Wednesday, August 26, 2015

NASI GORENG KIMCHI

Entri 19
 
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Menjadi kelaziman saya untuk memasak bekalan suami untuk makan tengahari di pejabat. Lokasi pejabatnya di tengah bandar Seoul menjadikan suasana di situ begitu sibuk dan tambahan pula tidak ada restoren makan halal di kawasan tersebut. Jadi, rutin harian saya adalah untuk memasakkannya bekalan. Syukur Alhamdulillah suami saya tidak cerewet bila tiba bab makanan. Dia hanya tidak mahu menyusahkan saya yang sibuk menguruskan anak-anak di waktu pagi. Jika sebelum ini saya sediakan nasi putih dan sedikit lauk pauk, tetapi sekarang dia hanya mahu saya masakkan nasi goreng. Rutin kerjanya tersangat sibuk sampai tiada masa untuk makan. Jadi dia mahu sesuatu yang senang di makan, tidak berkuah dan tidak bertulang kerana sudah terbiasa makan sambil membuat kerja di komputer.
 
Selain memasakkan nasi goreng selera Melayu, saya juga tidak lupa untuk mencuba nasi goreng ala Korea. Setelah mencuba beberapa kali, saya rasa saya sudah bersedia untuk berkongsi resepi Nasi Goreng Kimchi.
 
Resepi Nasi Goreng Kimchi oleh tini@seoulkitchen
 
Bahan-bahannya:
 
2 sudu besar minyak masak (saya gunakan minyak Canola)
1 ulas bawang putih
1/2 cawan kimchi yang di perah airnya dan dipotong kecil
2 cawan nasi putih
1 sudu besar kicap manis
Sedikit kicap sotong (sebagai pilihan)
Sedikit minyak bijan untuk memberi rasa
1/4 sudu kecil serbuk lada hitam
Sebiji telur hancur digoreng asing
Sedikit daun bawang
Satu biji cili padi (abaikan sekiranya kimchi sudah cukup pedas)
Garam dan gula secukup rasa
 
Cara-caranya secara ringkas:
 
1. Panaskan kuali dan masukkan minyak masak.
2. Tumiskan bawang putih
3. Masukkan kimchi dan kacau sehingga sedikit kering airnya. (juga cili padi jika perlu)
4. Masukkan nasi putih, kicap manis, garam, gula, lada hitam, kicap sotong dan kacau sebati.
5. Masukkan telur hancur, minyak bijan dan kacau sebati diikuti dengan daun bawang.
6. Siap dan hidangkan panas-panas.
 
Selamat mencuba.
 
 
 

 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...