Check this out

Monday, February 22, 2016

HATI SI KECIL

Entri 122

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Beberapa hari yang lepas, saya tidak sihat setelah menjaga suami dan Tasnim yang demam. Setelah mereka baik, tiba giliran saya pula. Saya tidak kisah sangat kerana Alhamdulillah Hanaa dan Fahmi sihat dan Tasnim dan Papa sudah beransur sihat.
 
Namun, apabila kita berada di rumah, rutin harian diteruskan seperti tiada apa yang berlaku. Mungkin ada sedikit 'jadual lari'  dek urusan tidak selancar seperti biasa.
 
Ada satu hari, saya kepenatan setelah memanjat kerusi beberapa kali mengemas kabinet di dapur. Sudah menjadi kebiasaan bagi saya untuk memeriksa tarikh luput barang-barang makanan di dapur terutamanya yang dibawa dari Malaysia.
 
Mungkin agak remeh, saya cepat penat. Lalu, selepas memasak makan tengahari, saya terus berbaring di katil. Mata sudah tidak tahan lagi mengantuk dek makan ubat dan penangan bangun awal pagi.
 
Saya mengajak Hanaa tidur bersama saya memandangkan itu waktu tidur siangnya. Namun matanya masih segar kerana bangun sedikit lambat pada paginya.
 
Mata saya berat, badan penat dan sedikit panas. Dengan mata sedikit terbuka, saya dapat lihat Hanaa merenung saya. Kemudian dia terkial-kial membuka comforter untuk menyelimuti saya. Kemudian, saya dapat rasakan jari jemari kecil memicit-micit kepala saya.
 
Sebak saya rasakan, anak kecil ini sudah semakin membesar. Sudah memahami seorang ibu yang tidak sihat. Walaupun dia kadang-kadang masih lagi merengek bak bayi, tetapi hati kecilnya itu sangat peka dan sensitif pada keadaan saya.
 
Setelah setengah jam lebih berbaring dan terlelap seketika, badan saya sudah kebah, sedikit berpeluh. Hanaa masih lagi ditepi saya, membelek-belek bukunya. Mungkin dia menunggu saya bangun untuk melayannya membaca buku, tetapi dia hanya diam, tidak meminta-minta seperti biasa.
 
Hati anak kecil ini sudah mengerti akan erti sabar, sakit, penat dan rehat. Alhamdulillah.
 
Kemudian, saya mengajaknya ke ruang tamu dan membuka tv untuk menonton rancangan kegemarannya sementara saya ke dapur meneruskan sedikit lagi kerja yang terbengkalai.
 
Tidak berapa lama kemudian, saya lihat dia tertidur di meja di ruang tamu. Ya, memang sudah menjadi kebiasaanya tertidur di mana-mana, tetapi pada kali ini saya dapat rasakan dia begitu penat menahan mata dari jadual tidur petangnya tadi mungkin semata-mata untuk menjaga mama yang tidak sihat.
 
Aduhai anak, terima kasih kerana hati kecilmu memahami. Alhamdulillah.
 
 
 
 

Sunday, February 21, 2016

BAGAIMANA NAK MULA BISNES ONLINE?

Entri 121

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN


Saya tahu ramai yang di luar sana melayari internet, facebok dan sebagainya sambil terdetik di dalam hati untuk memulakan bisnes. Tambahan pula dengan tuntutan keperluan hidup sekarang, kadang-kadang memaksa kita untuk cuba membuat beberapa kerja dalam satu masa.
 
Ada yang katanya minat berniaga, ada masa dan ada kemudahan tetapi tidak tahu untuk mulakan dari mana. Tidak kurang juga ada yang tiada modal, takut untuk mengambil risiko, segan dan sebagainya.
 
Bagi saya, untuk permulaan, kita mulakan dengan apa yang kita ada, tidak memerlukan modal yang besar serta berisiko rendah.

Cuma, apa yang paling penting sekarang adalah ILMU perniagaan itu sendiri. Bagi saya, ilmu perniagaan tidak semestinya yang terus di level tinggi, boleh mulakan dari bawah.
 
Ada orang dengan hanya membaca buku, dia boleh mempraktikkan apa yang dibaca. Ada juga orang masuk kelas offline atau online. Ada orang sertai siri seminar perniagaan tidak kira yang murah atau mahal. Terpulang pada kemampuan masing-masing.
 
Saya sendiri bermula dengan hanya melalui pembacaan dari internet. Blogwalking membaca dan melihat cara orang lain berniaga. Tetapi penulisan blog saya agak tidak teratur dan saya sendiri rasa bercelaru.
 
Lalu, saya bertemu dengan Akademi Bekerja Di Rumah yang membawa saya untuk sertai kelas penulisan blog dan bisnes. Kelas online yang fleksibel, santai dan menemukan saya dengan pelbagai latarbelakang kawan-kawan baru dalam jaringan akademi ini.
 
Melalui kelas ini, saya berpeluang juga untuk berjinak-jinak dalam aktiviti bisnes DROPSHIP buku. Saya tidak perlu lagi mengeluarkan modal yuran kerana telah mendaftar untuk kedua-dua kelas blog penulisan dan blog bisnes.
 
Alhamdulillah, bisnes dropship ini tidak serumit yang disangka. Ini adalah salah satu contoh iaitu kita mulakan dahulu dengan apa yang ada. Tidak perlu simpan stok, tidak perlu keluarkan modal. Hanya sedikit waktu terluang untuk memasarkan produk.
 
Apa-apa yang kita lakukan yang paling utama selain dari ilmu adalah FOKUS.

Fokus ini amat penting supaya kita akan lebih senang untuk mencapai matlamat kita sendiri dalam bidang bisnes. Ya, mungkin kita boleh lakukan pelbagai bisnes dalam satu masa, tetapi untuk permulaan, kita kena fokus pada sesuatu yang agak senang dahulu.
 
Fokus ini juga amat penting untuk pastikan kelancaran dan momentum semangat kita dalam berbisnes. Jika kita tidak fokus, mungkin ianya tidak membuahkan hasil dan membuatkan kita hilang tujuan dan matlamat asal untuk memulakan bisnes.

Memulakan bisnes atau ingin mencari pendapatan tambahan bukanlah satu perkara yang sukar rumit. Kita perlu ada panduan yang betul atau mentor sebagai penunjuk jalan. Bukan bermula secara sia-sia dan seterusnya membantutkan semangat untuk berjaya.

Kepada sesiapa yang mungkin berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan kelas yang saya sertai, boleh emailkan kepada tinicraft@gmail.com.

Sehingga berjumpa lagi.

Saturday, February 20, 2016

ANAK-ANAK MAKIN MEMBESAR, MANAFAATKAN MASA BERSAMA

 Entri 120

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Beberapa hari lepas, saya berjumpa dengan ibu kepada seorang pelajar Sweden yang turun dari bas sekolah yang sama dengan Fahmi dan Tasnim. Dia kelihatan sangat penat dan mengantuk. Katanya, penerbangan mereka dari destinasi percutian sampai di awal pagi tersebut.
 
Dia tanya pada saya, ke mana saya dan keluarga pergi bercuti selama cuti seminggu Lunar New Year tempohari? Seperti biasa, saya tersenyum. Saya menyusun kata, membuat rumusan aktiviti kami sekeluarga dan cuba mengolah ayat supaya tidak nampak membosankan.
 
Saya beritahunya kami ke Namsangol Hanok Village pada hari Lunar tersebut, bukan untuk menyambut perayaan, tetapi untuk melihat apakah aktiviti tradisional di situ memandangkan itu kali pertama saya dan anak-anak sampai ke Hanok Village. Pernah datang suatu masa dulu sampai tetapi tersilap hari, tempat itu ditutup. Nanti saya akan ceritakan lebih lanjut tentang lawatan ke situ.
 
Kami sekeluarga juga pergi menonton cerita kanak-kanak di pawagam keluarga di Ipark Mall. Pada masa itu, cerita Kungfu Panda 3 ditayangkan. Anak-anak sudah lama menantikan cerita itu. 
 
Walaupun hanya menonton cerita anak-anak, singgah minum kopi dan makan donat serta sedikit groceries+toys shopping, anak-anak sangat gembira menghabiskan masa sekeluarga terutamanya apabila bersama Papa mereka.
 
Kadang-kadang apabila anak-anak diajak keluar pun, mereka tidak mahu kerana hendak habiskan masa bersama-sama di rumah. Cukup sekadar bermain catur, pingpong, basikal dan sebagainya. Jika ada Papa, mereka akan lebih gembira.
 
Apabila suami sudah mula bekerja pada hari ketiga mereka bercuti, saya kena mainkan peranan aktif seperti sebelum ini. Untuk bawa keluar, mungkin tidak mampu untuk menguruskan mereka bertiga, tambah pula cuaca sejuk. Jadi, kami hanya habiskan masa di rumah seperti biasa.
 
Di antara aktiviti yang dilakukan adalah, painting! Aktiviti yang sentiasa dinanti-nantikan mereka. Mungkin tidak semeriah painting di sekolah, tetapi sekurang-kurangnya mereka tidak pernah bosan untuk aktiviti ini.
 
Kami juga membuat aktiviti masak-masak bersama atau nama kegemaran mereka, cooking club! Pada kali ini, saya beri mereka buat sendiri dari menyiapkan sukatan bahan sehingga jadi pizza.
 
Walaupun Fahmi lelaki, tetapi dia amat sukakan bidang masakan. Katanya, dia mahu jadi Chef kerana dia suka makan! Dia sentiasa bertanya kepada saya apa bahan yang saya gunakan untuk masakan saya. Kadang-kadang saya beri dia pecahkan telur, tumis bawang, masak sayur dan sebagainya tetapi dengan pengawasan. Saya juga sudah ajar dia untuk masak basuh beras untuk masak nasi. Dia selalu teruja bab memasak apatah lagi bab makan. Makanan kegemarannya adalah Nasi Lemak. Dari pagi sampai malam dia boleh makan Nasi Lemak.
 
 
 
 
Saya biasanya hanya menggunakan bread maker untuk menjimatkan masa, tetapi kali ini saya biarkan anak-anak uli dengan tangan. Hasilnya Alhamdulillah, seperti biasa. Sangat lembut dan anak-anak sangat sukakannya. Setiap orang simpan sedikit pizza masing-masing untuk Papa rasa hasil tangan masing-masing.
 
Ada lagi beberapa aktiviti yang kami lakukan bersama sepanjang cuti sekolah tempoh hari. Mungkin biasa dan berulang-ulang aktiviti yang sama, tetapi cukup untuk membuatkan mereka gembira dan masa terisi dengan perkara yang berfaedah.
 
Apa yang lebih penting adalah kualiti masa itu sendiri. Walaupun sesibuk mana urusan seharian kita tidak kira yang bekerja atau tidak bekerja, cubalah curi sedikit masa dalam sehari untuk anak-anak.
 
Anak-anak makin membesar, hari demi hari akan sentiasa ada perubahan dan perkembangan dalam diri mereka. Cuba ambil tahu, cuba selami kehendak mereka, cuba belai mereka dengan kasih sayang dan masa bersama, bukan sahaja dengan mainan dan wang semata.
 
Secara jujurnya, sejak saya mula berhenti kerja, saya sendiri rindukan anak-anak apabila mereka ke sekolah dan apabila mereka tidur. Walaupun saya sepanjang masa bersama mereka selain waktu sekolah, saya tidak nafikan kerinduan itu.
 
Saya rindukan gelak tawa, suara tangis mereka yang semakin lama semakin membesar.
Suatu masa nanti, semuanya tidak akan sama lagi seperti mereka di waktu kecil.
Saya tahu saya akan rindukan saat ini.
Saya harus manafaatkan semua peluang waktu ini.
Terima kasih Allah.
 

Sunday, February 14, 2016

STREET FOOD DI KOREA PADA MUSIM SEJUK

Entri 119

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Saya selalu ditanya apakah makanan yang boleh dimakan terutamanya "street food" pada musim sejuk di Korea ini?
 
Saya amat memahami situasi kita berjalan terutamanya bersama anak-anak dan melihat kiri kanan ada beberapa tempat orang akan makan makanan panas sambil berehat di tepi-tepi gerai jalanan.
 
Musim sejuk, perut cepat lapar dan tercari-cari sesuatu untuk memanaskan badan.
 
Sebenarnya, ada banyak jenis "street food" yang dijual dan semuanya nampak sedap. Namun tidak semua boleh dimakan.
 
Gambar ini diambil ketika kami di Dongdaemun. Ahjuma (makcik) ini sudah mengenali kami. Senyumannya yang manis seakan memanggil-manggil pejalan kaki yang melalui gerainya.
 
Di sini sahaja ada tiga jenis makanan yang biasa dijual pada musim sejuk iaitu Kek Telur, Kuih Ikan dan Fishcake bersup.
 
 
Di sini, saya kongsikan beberapa "street food" yang kami biasa cuba ketika berjalan di luar.
 
1. Gyeranbang (Roti/Kek Telur)
 
B/Pang bermaksud roti. Kuih ini rasanya seperti kek yang diletak telur sebiji di tengahnya. Sedap dimakan suam-suam panas, sedikit sebanyak dapat memanaskan badan. Dijual dengan harga 1,000 won dan sangat mengenyangkan!
 
Hanya ada gambar ini sahaja pandangan dekat kek ini yang saya beli untuk Hanaa. Senang untuk dia makan sambil duduk di strollernya.

 

 
 
Oleh kerana kami jarang keluar pada musim sejuk, anak-anak kadang-kadang rindu untuk makan kuih ini. Ada juga mereka minta di luar musim! Jadi, saya cuba buat beberapa kali untuk mereka. Alhamdulillah, rasanya hampir sama. Hanya berbeza bentuk sahaja kerana saya menggunakan acuan apam/muffin yang dibawa dari Malaysia. Saya juga kongsikan resepi Gyeranbang ini di SINI.


 
Ini pula fishcake bersup yang saya nyatakan tadi. Hanya 500 won. Ada juga sesetengah tempat menjual sehingga 1,000 won. Bukan sahaja dapat makan fishcake yang direndamkan di dalam sup panas ini, kita juga boleh minum satu cawan sup tersebut yang akan diberikan di dalam papercup.
 
 


Ini adalah kek berbentuk ikan. Tiada ikan di dalamnya, hanya inti kacang merah. Sedap dimakan panas-panas. Agak liat sedikit apabila sejuk. Sangat sedap.


 
 
 
 
Jangan lupa mencuba street food di atas sewaktu anda datang ke Korea. Amat mudah didapati namun perlu memilih-milih gerai yang sesuai. Kalau kami, akan cuba elakkan gerai yang menjual bersamanya makanan yg berunsurkan daging dan sebagainya.

RESEPI GYERANBANG (KUIH TELUR STREET FOOD KOREA)

Entri 118

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Memandangkan saya mendapat beberapa pertanyaan bagaimana membuat gyeranbang ini, di sini saya kongsikan resepi mudahnya.
 
Gyeranbang (Egg Muffin/Cake)
 
Bahan-bahan: (Yield: 8 pcs)
 
3/4 tepung serbaguna atau tepung gandum
2 biji telur besar untuk adunan
1/2 cawan mentega (unsalted) dicairkan
1/3 cawan gula pasir
1/4 cawan susu segar/ susu cair
3/4 sudu teh baking powder
8 biji telur kecil
sedikit garam
sedikit mentega dicarikan untuk brushing
 
Cara-caranya:
 
1. Panaskan oven 160c -170c ataupun mengikut kepanasan oven masing-masing.
 
2. Tapiskan tepung bersama dengan baking powder serta secubit garam. Ketepikan
 
3. Gunakan whisk atau senduk kayu untuk kacau telur dan diikuti dengan gula.
 
4. Setelah sebati, masukkan campuran tepung yang ditapis tadi diikuti dengan susu dan mentega yang telah dicairkan. Kacau sehingga sebati.
 
5. Masukkan adunan ke dalam acuan sekadar tinggi 3/4 bekas sahaja. Kemudian pecahkan telur ke atasnya.
 
6. Tabur sedikit garam.
 
7. Bakar pada suhu 160c - 170c selama 20-25 minit. Oven saya jenis panas, jadi saya hanya gunakan suhu 160c sahaja.
 
8. Setelah masak, boleh disapukan sedikit mentega cair (jika perlu) untuk nampak berkilat.
 
Selamat mencuba.
 
 
 

Friday, February 12, 2016

TIPS TRAVEL KE KOREA DENGAN ANAK KECIL

Entri 117

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Sememangnya, kita ibu-ibu akan sentiasa pening apabila membuat persiapan untuk pergi travel bersama anak-anak kecil.
 
Jika ada ruang untuk tangguhkan, kita akan tangguhkan. Tetapi jika peluang itu hanya datang sekali sahaja, mungkin kita tidak akan lepaskannya.
 
Ada rata-rata yang saya temui di sini, sanggup datang bersama anak kecil kerana mengikuti suami ada urusan kerja dan tak kurang juga yang memang datang melancong. Ada dapat tiket murah, mengambil peluang cuti lama dan sebagainya.
 
Gambar di bawah ini adalah hari ketiga kami tiba di Korea. Pada masa itu kami hanya menggunakan stroller biasa untuk Hanaa, si kecil yang berumur setahun lebih. Amat tidak selesa kerana tidak dapat menggunakan tangga atau escalator dan sebagainya.
 
Tetapi kerana terpaksa, kami keluar meredah sejuk dek mencari baju sejuk tebal yang masih tidak cukup untuk kami dan anak-anak.
 
Ini adalah pandangan di Namdaemun Market. Melalui beberapa maklumat carian di Google, kami menaiki teksi ke sana.
 
 
Semasa sibuk memerhatikan orang kiri dan kanan, ada beberapa "ahjumma" yang menegur saya.
 
Memang pada waktu itu tidak memahami satu pun bahasa Korea, tetapi saya boleh fahami dari segi gaya bahasa tubuh mereka.
 
Mereka mengatakan, bayi dalam stroller itu sejuk. Tidak cukup dengan hanya memakai baju sejuk tebal. Perlu selimut.
 
Saya masih tercari-cari kedai yang sesuai dan harga yang berpatutan. Pada masa itu, masih lagi tidak dapat setkan minda untuk tidak membuat kiraan tukaran wang Won kepada RM. Semuanya dirasakan mahal.
 
Kemudian, Fahmi yang pada masa itu masih belum matang merengek-rengek hendakkan mainan. Memandangkan kontena barang-barang kami masih belum sampai, jadi saya membuat keputusan untuk membeli sesuatu untuk mereka.
 
Semasa saya membawa anak-anak naik ke tingkat dua Alpha, tempat menjual alatulis dan mainan, suami menjaga Hanaa di bawah dek stroller yang tidak mesra tangga.
 
Selesai membeli barang mainan anak-anak, suami beritahu saya dia sudah ada selimut untuk Hanaa.
 
Rupa-rupanya, ada seorang pekerja Alpha itu memberikan dia selimut percuma sahaja kerana kesiankan Hanaa kesejukan.
 
Rasa terkejut, terharu pun ada.
 
 

Ok, berbalik kepada tips untuk travel bersama anak kecil tadi. Memandangkan ini sudah masuk tahun ketiga kami di sini, saya ingin kongsikan serba sedikit tips berguna untuk travel bersama anak kecil ke Korea. Untuk musim sejuk, persediaan perlu lebih sedikit untuk memastikan anak-anak tidak kesejukan.
 
TIPS TRAVEL KE KOREA DENGAN ANAK KECIL
 
1. Bawa "umbrella stroller"
 
Stroller seperti ini amat diperlukan di Korea kerana kita akan banyak berjalan dari satu tempat ke tempat yang lain. Selain ringan, ianya senang dilipat jika tidak digunakan dan senang dibawa di bahu sekiranya perlu. Kita juga akan banyak menaiki pengangkutan awam seperti bas, subway ataupun teksi. Selain itu, kita akan banyak menggunakan tangga. Jika anak tidur di dalam stroller, kami akan angkat stroller itu begitu sahaja kerana tidak mahu anak terjaga.
 
 
 
Ini pula di dalam subway. Sewaktu tiada tempat duduk, Hanaa masih boleh duduk dengan selesa sambil makan biskut! Kalau stroller besar, mungkin agak rumit untuk buka dan tutup dengan kerap ataupun agak berat untuk dibawa di bahu.
 

 
 
Oh ya, ada di sesetengah tempat, kita boleh menyewa stroller dengan harga yang sangat berpatutan. Jangan lupa ambil deposit apabila pulangkan stroller. Seperti di Nami Island, Hanok Village dan sebagainya, kami lebih suka untuk sewa stroller di situ yang mana lebih kukuh untuk melalui jalan berbatu dan berpasir. Ini gambar di Hanok Village Suwon. Kami menyewa stroller mereka sahaja.
 
 
 
2. Guna lif
 
Apabila menggunakan subway, kita terpaksa menggunakan lif, escalator atau tangga. Ada tempat yang hanya ada tangga sahaja. Jadi perlu sesuaikan dengan keadaan. Seperti gambar di bawah ini, kami tidak terjumpa di mana bahagian lif. Kerana mengejar masa, kami terpaksa menggunakan escalator ini.
 
Jika anak tidak tidur, saya akan pegang dia dan melipat stroller. Tetapi memandangkan dia tidur, ini caranya. Tetapi perlu berhati-hati. Jika tidak yakin, jangan sesekali mencuba. Macam kes saya ini, ada orang "kuat"  ramai. :). Kalau saya seorang, saya sudah tentu tidak akan gunakan cara ini.
 


 
 
3. Baby carrier
 
Sebagai alternatif, anda boleh gunakan baby carrier jika anak masih ringan. Penting, seperti saya katakan tadi, di sini anda perlu banyak berjalan samaada untuk melihat permandangan ataupun membeli belah. Jalan pun banyak berbukit dan bertangga. Jika anak sudah berat, anda mungkin akan hadapi masalah sakit pinggang dan sebagainya kerana anda akan melalui hari yang panjang. Kita seharusnya akan  memaksimumkan aktiviti jika pergi travel ke sesuatu tempat. Takkan hendak duduk di hotel atau rumah rehat sahaja kan?
 

 
Sekali lagi, saya lebih sukakan stroller. Boleh juga gunakan untuk sangkut barangan shopping. Seperti gambar di bawah, kami di Noryangjin Fish Market. Kami tidak mahu Hanaa berlari-lari di kawasan sebegini, jadi stroller amat praktikal.
 

 
4. Bawa selimut di musim sejuk
 
Seperti saya ceritakan di atas tadi, tidak cukup dengan baju tebal dan sarung tangan sahaja. Perlu selimut untuk anak-anak kerana angin sangat sejuk. Lebih baik lagi jika stroller itu dilengkapi penutup seperti gambar satu lagi. Anak-anak boleh tahan sejuk angin, hujan, salji dan sebagainya.
 
Selimut biru di bawah ini juga Hanaa dapat percuma dari seorang "ahjumma". Kami sudah ada selimut pada waktu itu tetapi tersimpan di dalam beg kerana cuaca masih tidak berapa sejuk. Tetapi "ahjumma" itu berkeras juga memberi dua selimut yang baru sahaja dibelinya, masih di dalam plastik. Sepanjang di sini, Hanaa sudah dapat lebih dari lima selimut percuma. Alhamdulillah.
 


 

 
 
5. Air dan bekalan makanan
 
Musim sejuk terutamanya, anak-anak cepat lapar dan makan tidak kira masa. Mungkin kita sendiri pun cepat lapar. Memandangkan tidak semua makanan boleh dimakan di sini, ada baiknya bawa bekalan sendiri. Sekurang-kurangnya untuk kudap-kudapan anak-anak.
 
Seperti di bawah ini, sewaktu kami menaiki bas. Saya melipat stroller dan letak di tepi. Hanaa meminta biskut dan air. Kita pun tidak mahu anak-anak merengek sewaktu dalam perjalanan, jadi buat persiapan secukupnya.
 
 
Tetapi jangan terkejut sekiranya ada "ahjuma atau ahjushi" yang berikan pelbagai makanan untuk anak-anak kita seperti cheese stick, gula-gula, biskut dan sebagainya. Ambil sahaja untuk menghormati mereka, ucap "kamsahamnida" (terima kasih) dan terus simpan di dalam beg. Nanti apabila masa yang sesuai dan bukan di hadapan mereka, cuba baca kandungan bahan di dalamnya. Seperti kami  ini tidak faham apa-apa, kami tidak makan. Anak-anak pun sudah faham jika kita kata tidak Halal. Oh ya, ada juga yang bagi duit!
 
 
Jika ingin cuba "street food" yang dijual, terutamanya yang hanya ada pada musim sejuk, anda boleh cuba kuih ikan dan kek telur seperti ini.
 
Ini versi yang kami beli untuk Hanaa. Penjual meletakkan di dalam cawan kertas sebegini untuk senang dipegang.

 
Ini pula versi yang saya buat sendiri di rumah. Bentuk tidak sama kerana tiada acuan seperti itu, tetapi rasanya sama. Jadi biasanya, saya akan cuba buat bekalan anak-anak supaya kami tidak perlu membeli makanan luar.


Ini pula kuih ikan. Kami panggil kuih ikan kerana bentuknya. Tidak ada ikan pun di dalamnya, hanya inti kacang merah. Sedap dimakan panas-panas.

 
 
Ini adalah gambar bersama anak-anak mencuba street food kuih telur, kuih ikan dan juga sup fishcake.
 
 
 
Ini pula gambar berbekal di Nami Island. Homemade roti dan kimbap.
 


 
 
6. Pakaian yang sesuai
 

Semasa berjalan di luar terutamanya di musim sejuk, pastikan anak-anak memakai pakaian yang sesuai. Bukan tebal semata, tetapi perlu berlapis-lapis untuk pengudaraan dan pernafasan yang cukup. Kita tidak mahu badan anak "masuk angin" yang akan menimbulkan masalah kesihatan dan sekaligus mengganggu percutian dan aktiviti bershopping.
 
Ini contoh pakaian yang saya pakaikan untuk Hanaa. Penting untuk tutup pusatnya. Kemudian saya sarungkan stokin, jeans dan sehelai baju di luarnya. Barulah diikuti dengan baju sejuk tebal, thermal socks, snowcap, gloves,neck warmer, mask, snow boot dan sebagainya.
 
 
 
 Ini contoh pakaian lengkap Hanaa sewaktu mengikuti Hwacheon Ice Festival tempohari.

 
 
Ataupun, saya guna kan rompers dan legging yang menutup terus kakinya. Kemudian sarungkan baju dan seluar biasa. Barulah diikuti dengan jeans dan baju sejuk tebal.
 
Jika tidak gunakan jeans, saya gunakan baju snowsuit sebegini terutamanya untuk aktiviti sledding ataupun main salji. Senang, sekali sarung sahaja. Baju di dalam pun tidak basah. Gloves juga saya gunakan yang bertali, senang. In shaa Allah tidak tercicir. (pernah ada beberapa kali pengalaman tercicir gloves)
 
 
 

 
Untuk anak-anak yang lebih besar, masih juga tiga lapisan pakaian. Di mulakan dengan baju dan seluar thermal, baju dan seluar sederhana tebal kemudian diikuti dengan baju sejuk tebal dan jeans serta aksesori yang lain.


 

Ini sahaja tips dan pengalaman yang saya dapat kongsikan pada masa ini. Semoga percutian anda ke Korea bersama anak-anak dipermudahkan.

Thursday, February 11, 2016

SALJU PUTIH SENTIASA DINANTIKAN

 Entri 116
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
 
Foto ini diambil beberapa minggu lepas selepas beberapa hari sejuk terlampau yang mencecah -18c di sini.
 
Apabila ada salji turun pada hari berikutnya, suhu menjadi kurang sejuk walaupun masih lagi negatif.
 
Anak-anak kembali teruja melihat salji seteleh beberapa hari "berbungkus" yang hanya nampak anak mata sahaja apabila pergi dan pulang sekolah. 
 
Kebetulan pula pada hari tersebut mood Hanaa tidak berapa baik. Dia bangun awal pagi dan mandi bersama kakak yang hendak ke sekolah.
 
Dia merengek-rengek untuk ke sekolah juga apabila melihat abang dan kakak tidak sabar untuk keluar rumah melihat salji.
 
 
Pujuk memujuk berlaku, dan ini ubatnya. Tidak lupa dibawa sekali anak patung hamsternya sekali.
 
 
Bukan Hanaa seorang teruja, mama pun sekali. Ini tahun ketiga kami di sini, namun begitu kami semua akan sentiasa teruja apabila salji turun.
 
Teruja melihat warna putih bak kapas turun mengenai muka. Tetapi kalau lebat sangat, lain pula halnya, sakit!
 
 

 
Hanya sedikit sahaja pada mulanya. Apabila melebat, kami beredar ke dalam rumah.
 

 
 
Ini di bahagian frontyard. 
 
 
Buka pintu melalui bilik kami, saya cepat-cepat keluar menulis sebelum salji mencair dek titisan hujan ataupun sinaran cahaya matahari.
 

KELAS ONLINE, HENDAK SERIBU DAYA

Entri 115

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN


Ada kawan-kawan yang tertanya-tanya update terbaru saya. Memang saya agak jarang menulis atas beberapa kekangan tetapi, saya cuba juga untuk membuat beberapa entri.

Saya bukan seorang penulis, hanya seorang surirumah yang menulis dari hati dan mengikut rentak jari.

Saya tidak pernah mengikuti bengkel atau kelas penulisan, tetapi hanya sertai kelas online bersama Akademi Bekerja Di Rumah. Saya mendaftar kelas blog dan kelas bisnes online.

Blog bukan sekadar blog, tetapi diajar cara membuat susunatur blog dan juga beberapa perkara penting untuk menulis.
Kelas ini berbentuk tutorial online dan hanya menggunakan medium Facebook Secret Group dan Facebook Messenger.
 
Semasa mendaftar kelas, saya mendapat beberapa Ebook sebagai panduan dan dimulakan dengan Ebook untuk belajar asas membuat blog.

Selepas dimasukkan ke dalam Secret Group FB seperti saya nyatakan di atas tadi, saya memulakan kelas dengan cikgu secara eksklusif. Kenapa saya kata eksklusif? Sebab saya diberikan personal coaching melalui  Facebook Messenger.
 
Saya juga mendapat pelbagai ilmu dan perkongsian melalui nota kumpulan yang mana saya dapat berkenalan dengan rakan-rakan baru. Melalui mereka juga kita dapat melihat bagaimana mereka mengaplikasikan apa yang diajar.

Kelas ini amat fleksibel, sesuai bagi mereka yang sibuk. Kita boleh pilih masa yang sesuai untuk menyiapkan tugasan daripada cikgu. Sebarang persoalan boleh diajukan kepada cikgu secara langsung ke di Facebook Messenger cikgu berkenaan.
 
Cikgu juga akan memberikan tugasan langkah demi langkah sebagai memandu arah kita menyiapkan blog dan sebagainya. Jadi kita tidak akan rasa kelas terlalu cepat, tidak dapat ikut, tertekan dan sebagainya.
 
Semuanya bergantung kepada kita. Apa yang kita perlu hanyalah kesungguhan, internet, komputer/laptop atau telefon pintar.

Kelas juga tidak terhad kepada surirumah sepenuhmasa sahaja ataupun wanita sahaja, ia terbuka kepada sesiapa sahaja termasuk wanita bekerja, bujang, lelaki dan sebagainya.
 
Ia juga merupakan landasan yang sangat sesuai bagi sesiapa yang ingin mencari pendapatan sampingan atau merancang untuk berhenti kerja kerana kita boleh menjana pendapatan selepas "siap sedia" dengan segala ilmu dari kelas.
 
Sekali lagi, semuanya atas kehendak, usaha dan kecekapan kita.

Bagi yang ingin memulakan bisnes dari rumah, mempunyai masa yang fleksibel tetapi tidak tahu di mana untuk bermula, saya cadangkan untuk bersama-sama menyertai kelas online ini.
 
Untuk memulakan sesuatu, kita perlukan ilmu dan kita perlukan mentor/sifu/cikgu untuk pemudah bagi menunjukkan cara.
 
Bermula dari sini jugalah, bakat/kelebihan kita akan dicungkil dan yang pasti kita akan buat apa yang kita suka.

Secara jujurnya, saya gembira dapat bersama keluarga besar Akademi Bekerja Di Rumah ini. Saya tidak rasa tertekan dengan tugasan dari kelas, mahupun dari cikgu sendiri. Saya amat gembira dapat berkenalan dengan rakan-rakan lain yang dari pelbagai latarbelakang dan cabaran hidup yang telah dilalui.

Sekiranya ada sebarang pertanyaan, boleh email tini sebagai Pengurus Online Akademi di tinicraft@gmail.com.

Menulis, menulis dan menulis.
Menulis dari hati, menulis dengan rentak jari, menulis tanpa henti.
Idea datang tidak tentu masa, idea datang tidak tahu ketika, idea mencurah berlapanglah dada.

Jika tiada ilmu, boleh belajar.
Jika tiada masa, boleh disusunkan kembali acara.
Tetapi, jika tiada kehendak, itulah penghalang utama.

Sekian, terima kasih.

Wednesday, February 10, 2016

BELAJAR SETIAP HARI

Entri 114
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
 
Semasa makan bersama-sama di meja makan, suami tanya pada anak-anak seorang demi seorang.
 
"Apa yang kamu pelajari dari lawatan kita ke Hwacheon Ice Festival haritu?," sudah menjadi tabiatnya memastikan anak-anak dapat sesuatu selepas setiap aktiviti.
 
"We have to be patient," jawab Fahmi, tahu yang dia agak tidak sabar sewaktu festival tersebut dan akhirnya dia dapat pancing seekor ikan.
 
"Never give up", giliran Tasnim menjawab.
 
"We have to stick together with our family", jawab Hanaa, yang akan masuk 4 tahun bulan Mei nanti. Dia juga tidak ketinggalan belajar sesuatu.
 
Ini adalah rutin kami yang asalnya idea suami, setiap kali ke mana-mana kami akan bertanya kepada anak-anak apa yang mereka telah pelajari. Tidak kira apa sahaja aktiviti pun.
 
Saya sangat kagum dengan suami, dia akan cuba kreatif dan cipta momen bersama anak-anak setiap kali ada masa terluang.
 
Dia sentiasa sibuk bekerja tidak kira waktu, kadang-kadang pulang ke rumah, anak-anak sudah terlena dan keluar keesokan harinya sebelum anak-anak bangun.
 
Jadi, setiap kali ada waktu terluang, dia akan cuba habiskan masa dengan anak-anak dengan cara dia tersendiri. Dia akan buatkan anak-anak akan teringatkan momen itu, lain dari apa yang mereka dapat dari saya.
 
Seperti festival ini, saya agak penakut. Cuba cadangkan suami agar dia sahaja masuk ke sini kerana lantai ais membeku ini nampak licin.
 
Tetapi dia berkeras untuk semua mencuba termasuk si kecil Hanaa.
 
Walaupun tidak semua anak-anak mendapat ikan, tetapi suami mahu mereka belajar sesuatu yang lebih bermakna dari sekadar aktiviti ini.
 
Setiap orang hanya dihadkan tiga ekor ikan sahaja, jadi kami berdua cuba memancing sebanyak mungkin untuk kuota anak-anak juga menjadikan jumlah ikan 15 ekor.
 
 
 
 
Fahmi sepertinya tidak terkata setelah lebih sejam mencuba dia dapat memancing seekor ikan pada akhirnya.
 
 
 
Dua adik perempuannya ini masih sabar menanti walaupun sesekali kedua-duanya hampir menangis kerana sejuk dan bosan menunggu ikan.
 

 
 
Masih mampu tersenyum dan bergaya seperti biasa. 
 
 
Bukan tamak, tetapi terpaksa pegang kedua-dua pancing apabila suami sibuk melayan anak-anak.
 
 
Pertama kali memancing ikan, saya agak takut apabila melihat ikan bergerak-gerak.
 

 
 
Alhamdulillah, hasil tangkapan pada hari tersebut. Kami hanya makan dua ekor di situ (ada servis bakar ikan) dan selebihnya bawa pulang ke rumah.
 
 
 
Festival ini berlangsung tiga minggu sahaja pada musim sejuk di bulan Januari. Kami bernasib baik kerana penganjur sememangkan mengasingkan tempat orang tempatan dan orang asing memancing. Jika tidak, sepertinya agak sukar untuk kami mendapat peluang  sebegini dek orang Korea yang terlalu ramai datang pada hari tersebut.
 
Jika mungkin pada masa akan datang anda berpeluang datang ke Korea, mungkin boleh sertai aktiviti sebegini. Untuk maklumat lanjut berkenaan festival ini,boleh lawati laman web Visit Korea .
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...