Check this out

Saturday, August 29, 2015

CHILDREN GRAND PARK, GWANGJIN-GU, SEOUL

Entri 25
 
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Hari Raya Aidiladha akan tiba tidak lama lagi. Tetapi kami  seperti biasa sudah berkira-kira aktiviti untuk hari tersebut. Ya, aktiviti untuk anak-anak. Suami sangat sibuk sekarang, pulang lewat malam dari pejabat dan kadang-kadang  menyambung kerja di rumah sehingga lewat pagi. Seperti tahun sebelum ini, jika ada acara besar seperti seminar dan sebagainya, rutin tidurnya berubah. Ada dua jam, ada tiga jam dan adakalanya tidak tidur terus. Hujung minggu pun berkampung di pejabat.
 
Jadi, apabila tiba cuti umum seperti Hari Raya Aidiladha ini, kami menggunakan semaksima mungkin masa bersama-sama. Ini aktiviti tahun lepas pada Hari Raya Aidiladha. Usai solat, kami ke Children Grand Park di Gwanjin-gu, Seoul berdekatan dengan Konkuk University. Tempat yang amat sesuai untuk sekeluarga bersantai, berkelah, melihat pelbagai binatang, taman permainan atau hanya sekadar menikmati kehijauan alam. Yang paling penting, ianya PERCUMA. Kecuali jika ingin menonton persembahan di dalam dewan khas yang mana kami tidak mengambil bahagian kerana hanya dalam bahasa Korea.
 
Ini gambar di hadapan pintu masuk ke sini. Ia juga merupakan pintu masuk untuk ke Children Museum. Boleh baca pengalaman kami ke sana di SINI. Jadi, jika anda ada masa ke sini, jangan lepaskan peluang untuk kedua-dua tempat.
 
 
Ini adalah tempat kegemaran Hanaa dan Damia. Kami habiskan masa agak lama di kawasan ini.
 
 
 
 
Rutin biasa keluar berjalan, kami mesti berhenti berehat di mana-mana tempat yang sesuai untuk menikmati bekalan makanan dari rumah. Seperti di bawah, saya menyuapkan nasi goring cina untuk anak-anak. Di hadapan kami pada waktu itu terdapat pelbagai jualan makanan tetapi dek kerana tidak tahu bercakap bahasa Korea untuk bertanya bahan-bahan di dalam makanan itu, kami tidak membeli apa-apa.





Anak-anak menikmati cahaya matahari di air terjun buatan ini. Saya sukakan gambar ini, Daniel amat jarang untuk memberi kerjasama untuk sesi penggambaran.

 
 
Kemudian, kami menuju ke kawasan Zoo. Agak jauh sedikit, tetapi berbaloi kerana terdapat pelbagai binatang seperti gajah, singa, beruang dan sebagainya.
 
 

 

 

 


 
 
 
Damia sukakan bentuk dedaun ini. Dia sampai bawa pulang ke rumah. Katanya, untuk diletakkan di dalam buku kegemarannya.
 
 

 


 
Matahari semakin meninggi, masa untuk bergerak pulang. Dedaun di belakang sungguh cantik, menandakan musim luruh sudah tiba.

 
Seperti biasa, cuba mengambil gambar keluarga sebagai kenang-kenangan. Alhamdulillah, semua memberi kerjasama.

 
Kami menghabiskan masa hampir setengah jam berhenti di sini melayan karenah anak-anak melihat makhluk ciptaan Allah yang comel ini. Anak-anak ayam dan hamster. Tempat ini terletak di luar taman tadi menuju ke stesen subway. Daniel tidak henti-henti meminta kami membelikannya satu binatang peliharaan. Maaf sayang, ini tidak sesuai di rumah kita. (Tetapi di hari lainnya kami membelikannya sepasang ikan kecil)

 



 
 
Ini adalah maklumat berkenaan taman ini, tetapi saya sediakan di dalam Bahasa Inggeris untuk rujukan English readers. 
 
Opening hours:
  • Park 05:00 – 22:00
  • Zoo 10:00 – 17:00 (subject to change depending on weather conditions)
Admission fee:
  • Free (Park, Zoo, Botanical Garden)
  • Additional fee will apply for amusement park and pony/camel riding
How to get there:
  • Children’s Park Station (Seoul Subway Line 7), Exit 1.
  • Bus 3216, 4212, 2221, 3215, 130, 303, 9301 or 9403
Parking facilities:
  • Main entrance parking lot: 153 parking spaces
  • Rear entrance parking lot: 252 parking spaces
  • Guuimun entrance parking lot: 315 parking spaces


Friday, August 28, 2015

CHILDREN MUSEUM, GWANJIN-GU, SEOUL

Entri 24

Teks:KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto:KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Berada di negara orang membuatkan kami banyak masa bersama. Selain dari sibuk bekerja, suami cuba sedaya upaya menghabiskan masa bersama terutamanya dengan anak-anak. Walaupun sudah pulang lewat malam, tetapi keesokan harinya jika hujung minggu, dia akan bersemangat untuk membawa kami keluar. Ya, saya tidak dapat membawa ketiga-tiga anak keluar berjalan-jalan tanpa suami. Sebab itulah jika tiba cuti sekolah, kami hanya habiskan masa di rumah di hari biasa kerana suami bekerja.
 
Ini adalah lawatan kami pada musim sejuk yang lepas ke Children Museum di Gwanjin-gu, Seoul. Saya bersyukur kerana dengan sedikit usaha mencari maklumat di internet, saya menemui tempat ini. Laman webnya disediakan dalam  beberapa bahasa termasuk bahasa Inggeris. Kami memilih untuk ke sana memandangkan cuaca di luar agak sejuk. Aktiviti indoor menjadi sangat popular di musim sejuk kecuali aktiviti yang melibatkan musim salji, harus di luar!
 
Tempat ini memang ditubuhkan oleh Seoul City Government untuk merangsang dan meningkatkan daya imaginasi dan kreativiti kanak-kanak. Di sini saya kongsikan beberapa gambar semasa kami di muzium kanak-kanak ini. Pelbagai aktiviti menarik disediakan. Dari memandu kapal angkasa, pentas pertunjukan fesyen sehinggalah peluang menjadi orang kurang upaya. Kami menghabiskan masa selama tiga jam di dalam, memakan bekalan makanan ditempat khas yg disediakan, dan juga kami bersolat di tempat yang sedikit tertutup. In shaa Allah kami akan ke sini lagi untuk musim sejuk yang akan tiba tidak lama lagi.
 
Di sini juga saya lampirkan beberapa maklumat penting berkenaan muzium ini dalam bahasa Inggeris bagi memberi panduan kepada English readers.
 
Alamat

216, Neungdong-ro, Gwangjin-gu, Seoul
서울특별시 광진구 능동로 216 (능동)


Admission / Participation Fees

Individuals: 4,000 won
Groups: 3,000 won (20 children and more)

※Free: Under 36 months old / the diabled and one accompanying person / seniors over 65 years and annual members (proof required)

Inquiries

1330 Travel Hotline: +82-2-1330 (Korean, English, Japanese, Chinese)
• For more info: +82-2-6450-9500
Seoul Children's Museum Website

Operating Hours
10:00-18:00 (* Last admission is one hour before closing.)
Every Monday, New Year’s Day, Seollal (Lunar New Year’s Day) & Chuseok (Korean Thanksgiving Day) Holidays, repairing period

 
 

 
 
 
 
 









 
 

KENAPA SAYA SERTAI KELAS ONLINE INI

Entri 23

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Ada kawan-kawan bertanya setelah perasan bahasa penulisan saya telah berubah sejak akhir-akhir ini. Ada di antara mereka yang pernah membaca cerita saya di blog lama dan mendapati ada perbezaan ketara. Ada yang bertanya apa rahsianya?

Rahsia? Saya tiada rahsia. Saya hanya menulis dari hati dan mengikut rentak jari saya. Tetapi, semua ini juga atas peluang saya menyertai kelas online bersama Akademi Bekerja Di Rumah. Saya mendaftar kelas penulisan blog dan kelas bisnes online.

Kelas ini berbentuk tutorial online dan hanya menggunakan medium Facebook Secret Group dan Facebook Messenger. Semasa mendaftar kelas, saya mendapat beberapa Ebook sebagai panduan dan dimulakan dengan Ebook untuk belajar asas membuat blog.

Selepas dimasukkan ke dalam Secret Group FB seperti saya nyatakan di atas tadi, saya memulakan kelas dengan cikgu secara eksklusif. Kenapa saya kata eksklusif? Sebab saya diberikan personal coaching melalui  Facebook Messenger. Saya juga mendapat pelbagai ilmu dan perkongsian melalui nota kumpulan yang mana saya dapat berkenalan dengan rakan-rakan baru. Melalui mereka juga kita dapat melihat bagaimana mereka mengaplikasikan apa yang diajar.

Kelas ini amat fleksibel, sesuai bagi mereka yang sibuk. Kita boleh pilih masa yang sesuai untuk menyiapkan tugasan daripada cikgu. Sebarang persoalan boleh diajukan kepada cikgu secara langsung ke di Facebook Messenger cikgu berkenaan. Cikgu juga akan memberikan tugasan langkah demi langkah sebagai memandu arah kita menyiapkan blog dan sebagainya. Jadi kita tidak akan rasa kelas terlalu cepat, tidak dapat ikut, tertekan dan sebagainya. Semuanya bergantung kepada kita. Apa yang kita perlu hanyalah kesungguhan, internet, komputer/laptop atau telefon pintar.

Kelas juga tidak terhad kepada surirumah sepenuhmasa sahaja ataupun wanita sahaja, ia terbuka kepada sesiapa sahaja termasuk wanita bekerja, bujang, lelaki dan sebagainya. Ia juga merupakan landasan yang sangat sesuai bagi sesiapa yang ingin mencari pendapatan sampingan atau merancang untuk berhenti kerja kerana kita boleh menjana pendapatan selepas "siap sedia" dengan segala ilmu dari kelas. Sekali lagi, semuanya atas kehendak, usaha dan kecekapan kita.

Bagi yang ingin memulakan bisnes dari rumah, mempunyai masa yang fleksibel tetapi tidak tahu di mana untuk bermula, saya cadangkan untuk bersama-sama menyertai kelas online ini. Untuk memulakan sesuatu, kita perlukan ilmu dan kita perlukan mentor/sifu/cikgu untuk pemudah bagi menunjukkan cara. Bermula dari sini jugalah, bakat/kelebihan kita akan dicungkil dan yang pasti kita akan buat apa yang kita suka.

Secara jujurnya, saya gembira dapat bersama keluarga besar Akademi Bekerja Di Rumah ini. Saya tidak rasa tertekan dengan tugasan dari kelas, mahupun dari cikgu sendiri. Saya amat gembira dapat berkenalan dengan rakan-rakan lain yang dari pelbagai latarbelakang dan cabaran hidup yang telah dilalui.

Sekiranya ada sebarang pertanyaan, boleh email tini sebagai Pengurus Online Akademi di tinicraft@gmail.com / khushartinikamarulzaman@gmail.com

Menulis, menulis dan menulis.
Menulis dari hati, menulis dengan rentak jari, menulis tanpa henti.
Idea datang tidak tentu masa, idea datang tidak tahu ketika, idea mencurah berlapanglah dada.

Jika tiada ilmu, boleh belajar.
Jika tiada masa, boleh disusunkan kembali acara.
Tetapi, jika tiada kehendak, itulah penghalang utama.

Sekian, terima kasih.



Thursday, August 27, 2015

JANGAN JADI "PENGHALANG" DIRI SENDIRI

Entri 22
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Sejak perbualan panjang melalui "messenger facebook" dua hari lepas, fikiran saya seperti berlagu sendiri, menutur bait-bait dialog yang tidak berhenti menghujani sudut sanubari.
 
"Akak, saya tengah baca blog akak. Rindu rasanya nak berborak dengan akak". Dia memulakan tuturnya. Saya membaca tiap-tiap patah perkataannya dengan hati. Ada getar di situ. Ada rindu, ada terharu, ada debarnya. Saya mengagak, ada sesuatu.
 
"Akak pun rindu awak. Teringat zaman dulu-dulu." Saya membalas ringkas. Saya biarkan dia menulis dari hatinya.

"Perbualan" kami agak panjang, dan saya dapat selami hatinya. Dia seorang ibu bekerja yang mengimpikan untuk menjadi surirumahtangga sepenuh masa. Mempunyai seorang anak dan bakal melahirkan anak kedua. Dalam masa yang sama ingin mencari pendapatan sampingan untuk membantu keluarga. Saya ingat lagi tulisnya semalam.
 
"Hidup di Malaysia sekarang banyak dugaan. Slip gaji banyak yang kanan dari yang kiri. Risiko juga kalau berhenti."
 
Pantas saya nasihatkan dia, jangan berhenti dulu jika terikat terlalu banyak komitmen. Buat masa sekarang, tumpukan perhatian macam mana hendak menjana pendapatan sampingan. Dia masih ada masa untuk mencari base yang sesuai dan selesa dengan jiwanya. Nanti boleh gunakan masa tiga bulan berpantang untuk bekerja dari rumah. Dia kena melangkah sekarang.

"Saya teringin nak berblog tetapi tiada asas dan tidak pandai menulis."

Sebenarnya, menulis bukan sesuatu yang boleh dibeli dan bukan juga boleh diwarisi. Semuanya boleh diperolehi dengan latihan, pembacaan dan pengamatan.

Menulis, menulis dan menulis.
Menulis dari hati, menulis dengan rentak jari, menulis tanpa henti.
Idea datang tidak tentu masa, idea datang tidak tahu ketika, idea mencurah berlapanglah dada.

Jika tiada ilmu, boleh belajar.
Jika tiada masa, boleh disusunkan kembali acara.
Tetapi, jika tiada kehendak, itulah penghalang utama.

Untuk itu, saya kepilkan nukilan saya petang semalam dari Bumi Sonata untuk tatapan bukan sahaja dia, tetapi juga sesiapa sahaja untuk menyentuh jiwa.


 
 

BUKU: ALLAH TEMPAT MEMINTA

Entri 21
 
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN & BLOG BUKU ALLAH TEMPAT MEMINTA
Foto: Blog Buku Allah Tempat Meminta
 
Kita mungkin tiada masa untuk pergi ke kelas motivasi atau kelas agama dan sebagainya. Tetapi kita mungkin ada masa sekurang-kurangnya 10-15 minit sehari untuk membaca buku motivasi/tazkirah dan sebagainya. Hati yang "hidup" adalah hati yang sentiasa mengingati Allah. In shaa Allah buku ini secara tidak langsung boleh memberi sesuatu yang bermanafaat. Boleh dapatkan buku ini dengan mengemail saya di tinicraft@gmail.com  / khushartinikamarulzaman@gmail.com

RM 25 Semenanjung termasuk pos / RM 30 Sabah Sarawak termasuk pos
 
 


Kenapa ALLAH izinkn ALLAH Tempat Meminta - ATM lahir selepas Mudahnya Menjemput Rezeki? MMR mengisahkan tentang amalan yang ALLAH suka.

ATM ialah kisah mereka yang direzekikn ALLAH merasa kesan amalan yg dilakukan.

ATM ialah kisah mereka yg SANGGUP buat apa yang ALLAH suka;
ATM berfungsi sebagai enjin turbo untuk setiap orang capai peringkat SANGGUP BUAT apa yang dikongsi dalam MMR. In shaa Allah. (perkongsian dari Tuan Mohd Faizul)


ISI KANDUNGAN

BAHAGIAN I : Apa khabar Iman kita?


Bab 1 : Apa khabar Iman kita?

Bab 2 : Iman & arus elektrik

Bab 3 : Ikan dan air

Bab 4 : Kehidupan sebatang pokok di dalam pasu

Bab 5 : Kisah ayam dan Tuannya

Bab 6 : Kisah Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq

BAHAGIAN 2 : 40 Kisah Benar 

Kisah 1 : Allah Maha Pemberi

Kisah 2 : Allah Yang Melapangkan Rezeki

Kisah 3 : Allah Maha Mengabulkan Doa

Kisah 4 : Allah Maha Pemurah

Kisah 5 : Allah Yang Memelihara

Kisah 6 : Allah Maha Kuasa

Kisah 7 : Allah Maha Pemberi

Kisah 8 : Allah Yang Menemukan Jodoh

Kisah 9 : Allah Yang Mendengar Doa

Kisah 10 : Allah Yang Menyempitkan Rezeki

Kisah 11 : Allah Yang Memberi Kekuatan

Kisah 12 : Allah Maha Penyayang

Kisah 13 : Allah Maha Mengembalikan

Kisah 14 :  Allah Maha Mengetahui

Kisah 15 : Allah Pemberi Kekayaan

Kisah 16 : Allah Maha Kaya

Kisah 17 : Allah Pemberi Kurnia

Kisah 18 : Allah Maha Mengadakan

Kisah 19 : Allah Maha Sabar

Kisah 20 : Allah Pemberi Kehidupan

Kisah 21 : Allah Maha Pemberi Petunjuk

Kisah 22 : Allah Maha Mengasihi

Kisah 23 : Allah Maha Pencimpa Hal Baharu

Kisah 24 : Allah Maha Mampu

Kisah 25 : Allah Maha Pemaaf

Kisah 26 : Allah Maha Penerima Taubat

Kisah 27 : Allah Maha Penyantun

Kisah 28 : Allah Maha Lembut

Kisah 29 : Allah Maha Pemberi Bhaya

Kisah 30 : Allah Maha Menjaga

Kisah 31 : Allah Sumber Segala Kebaikan

Kisah 32 : Allah Maha Merahmati

Kisah 33 : Allah Maha Benar

Kisah 34 : Allah Maha Menghitung

Kisah 35 : Allah Maha Pemberi Cahaya

Kisah 36 : Allah Pemberi Manfaat

Kisah 37 : Allah Beri Rezeki Melalui Solat

Kisah 38 : Allah Bantu Orang yang Membantu saudaranya

Kisah 39 : Allah Pasti Membantu

Kisah 40 : Allah Tempat Meminta

BAHAGIAN 3 : Enam amalan hidup Sejahtera

Amalan 1 : Enam amalan hidup sejahtera

Amalan 2 : Menghafal kalimah "Lailahaillallah Muhammadurrasulullah"

Amalan 3 : Membina hubungan jiwa dan raga dengan Al Quran

Amalan 4 : Berusaha melapangkan masa untuk mengingati Allah

Amalan 5 : Menganggap setiap orang Islam adalah saudara kita

Amalan 6 : Kita beramal dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran

PENUTUP 

Wednesday, August 26, 2015

PENJUAL SUSU JALANAN DI SEOUL



Entri 20
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
 
Musim panas sudah sampai ke penghujungnya dan kadang-kadang Hanaa agak kebosanan di rumah seharian. Lalu ada harinya saya membawanya keluar berjalan-jalan di sekitar kawasan rumah kami. Melihat manusia lalu lalang, sibuk dengan urusan masing-masing. Gerak gaya jalannya pada kelajuan biasa, berbeza pada musim sejuk. Dek tidak tahan dengan kesejukan, boleh dikatakan semua orang berjalan laju untuk cepat-cepat sampai ke destinasi.
 
Ada suatu hari, saya bertanya sendiri. Siapa mereka ini, berpakaian seragam lengkap termasuk topi dan menolak sesuatu seperti berjualan. Laluan jalanan mereka berbeza, sepertinya mempunyai kawasan jualan sendiri. Sehinggalah pada satu ketika saya merapati salah seorangnya.
 
"Annyeonghaseyo!" Saya mengucapkan hello dalam bahasa Korea yang formal. Membalas teguran saya dengan perkataan yang sama, dia tersenyum. Memandangkan saya tidak tahu apa lagi untuk ditanya dalam bahasa Korea, saya hanya tersenyum dan mengintai jualannya. Penuh dengan pelbagai jenis susu berbeza perisa di dalamnya. Kemudian saya berlalu, terus teringatkan akan seorang kenalan yang pernah memberitahu bahawa kerajaan di sini amat menggalakkan rakyat mereka untuk meminum susu.
 
Mereka ini adalah penjual susu dari salah satu pengeluar susu terbesar di sini. Setiap penjual mempunyai kawasan jualannya sendiri, jadi tidak hairanlah kalau kita dapat lihat mereka yang berpakaian seragam sebegini ada di mana-mana. Satu langkah yang amat berkesan untuk sampai kepada pelanggan secara langsung. Memandangkan di sini rakyatnya suka berjalan, maka mekanisme ini amat sesuai.
 
Ini pakaian mereka di awal musim bunga dan musim luruh. Ditambah lagi baju tebal bila tiba musim sejuk.

 
 
 
Ini pula pakaian mereka di musim panas. Susu yang dibawa di dalam "peti" itu tetap sejuk dan nyaman untuk diminum.
 
 
 
Dan ini pula adalah "banana uyu" iaitu susu berperisa pisang. Harus dicuba jika datang ke Korea!
 
 
 
 

 
 
 
 
 

NASI GORENG KIMCHI

Entri 19
 
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Menjadi kelaziman saya untuk memasak bekalan suami untuk makan tengahari di pejabat. Lokasi pejabatnya di tengah bandar Seoul menjadikan suasana di situ begitu sibuk dan tambahan pula tidak ada restoren makan halal di kawasan tersebut. Jadi, rutin harian saya adalah untuk memasakkannya bekalan. Syukur Alhamdulillah suami saya tidak cerewet bila tiba bab makanan. Dia hanya tidak mahu menyusahkan saya yang sibuk menguruskan anak-anak di waktu pagi. Jika sebelum ini saya sediakan nasi putih dan sedikit lauk pauk, tetapi sekarang dia hanya mahu saya masakkan nasi goreng. Rutin kerjanya tersangat sibuk sampai tiada masa untuk makan. Jadi dia mahu sesuatu yang senang di makan, tidak berkuah dan tidak bertulang kerana sudah terbiasa makan sambil membuat kerja di komputer.
 
Selain memasakkan nasi goreng selera Melayu, saya juga tidak lupa untuk mencuba nasi goreng ala Korea. Setelah mencuba beberapa kali, saya rasa saya sudah bersedia untuk berkongsi resepi Nasi Goreng Kimchi.
 
Resepi Nasi Goreng Kimchi oleh tini@seoulkitchen
 
Bahan-bahannya:
 
2 sudu besar minyak masak (saya gunakan minyak Canola)
1 ulas bawang putih
1/2 cawan kimchi yang di perah airnya dan dipotong kecil
2 cawan nasi putih
1 sudu besar kicap manis
Sedikit kicap sotong (sebagai pilihan)
Sedikit minyak bijan untuk memberi rasa
1/4 sudu kecil serbuk lada hitam
Sebiji telur hancur digoreng asing
Sedikit daun bawang
Satu biji cili padi (abaikan sekiranya kimchi sudah cukup pedas)
Garam dan gula secukup rasa
 
Cara-caranya secara ringkas:
 
1. Panaskan kuali dan masukkan minyak masak.
2. Tumiskan bawang putih
3. Masukkan kimchi dan kacau sehingga sedikit kering airnya. (juga cili padi jika perlu)
4. Masukkan nasi putih, kicap manis, garam, gula, lada hitam, kicap sotong dan kacau sebati.
5. Masukkan telur hancur, minyak bijan dan kacau sebati diikuti dengan daun bawang.
6. Siap dan hidangkan panas-panas.
 
Selamat mencuba.
 
 
 

 

Tuesday, August 25, 2015

HARI PERTAMA SEKOLAH SETELAH DUA BULAN CUTI

Entri 18

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Semalam adalah hari pertama sekolah Daniel dan Damia setelah dua bulan bercuti. Permulaan yang amat teruja bagi mereka dan hari yang agak sibuk bagi saya. Tiada lagi waktu santai pagi saya yang lebih panjang untuk menulis blog, minum kopi, menjahit dan sebagainya. Jika sebelum ini saya kejutkan mereka sedikit lambat, tetapi apabila sesi persekolahan sudah bermula, saya terpaksa kejutkan mereka lebih awal.

Rutin pagi kembali seperti biasa sewaktu sebelum bercuti dahulu. Perkara yang sama untuk tahun sebelum ini, tetapi pada kali ini sedikit berbeza kerana pada waktu cuti musim panas yang lepas, kami pulang bercuti selama tiga minggu di Malaysia. Anak-anak sudah "keluar" dari "homesick" dan teruja untuk berjumpa kawan-kawan di sekolah tetapi saya masih lagi dalam "mood Malaya". Hati masih di Malaysia. Masih terbayang rutin di Malaysia yang lepas, selain dari berhari raya, kami juga dihidangkan dengan pelbagai juadah yang selama ini diidamkan dari Seoul ini.

Kesibukan saya juga jelas apabila saya tidak dapat menulis sebarang entri blog semalam. Saya akui hari-hari pagi saya memang sentiasa sibuk kerana memasak bekalan makan tengahari suami dan sarapan, tetapi apabila tiba hari persekolahan ini, ianya menjadi lebih lagi. Mujurlah hari pertama sekolah semalam adalah masih lagi di musim panas. Urusan mengejutkan anak-anak tidak sesukar di waktu musim sejuk. Urusan persediaan pakaian musim panas adalah lebih mudah dan cepat berbanding pada musim sejuk pakaian sekolahnya sudah berlapis-lapis ditambah pula dengan baju sejuk tebal, snowcap, skarf leher, sarung tangan tebal, stokin tebal dan sebagainya.

Semoga hari-hari persekolahan mendatang lebih sempurna buat saya dan kembali kepada sediakala.

Salam sayang dari Seoul.


Gambar: Ini adalah sewaktu musim sejuk yang lepas, lihat sahaja pakaian anak-anak saya. :)



Ini pula adalah gambar semalam. Urusan pakaian sahaja sudah berbeza.




TERAPI SURIRUMAH

Entri 17
 
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
 
Menjadi seorang surirumah ada kisahnya tersendiri. Ada ujiannya, ada pahit manisnya. Ada turun naiknya, ada pasang surutnya. Setelah dua tahun lebih bergelar surirumah sepenuh masa, saya ingin bawakan sedikit perkongsian. Sewaktu saya bekerja dahulu, apabila tiba hari mendapat gaji, kebanyakan kawan-kawan akan teruja untuk makan di restoren mahal, membeli kasut, beg tangan, baju dan sebagainya. Mereka kata, "terapi". Ini juga adalah sama dengan surirumah, tetapi memandangkan kebanyakan surirumah tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap ataupun beroperasi dengan konsep Work At Home Mom (WAHM), terapi yang diperlukan mungkin sedikit berbeza.
 
Ya, saya setuju kita terutamanya sebagai wanita amat memerlukan terapi seperti itu setelah berpenat lelah membanting tulang bekerja selama ini. Tetapi, terapi sedemikian tidak semestinya pada produk yang mahal sahaja. Kita kena faham, apabila tiba hari gaji, tidak semua orang akan ada baki gajinya dengan jumlah yang banyak. Ada yang terpaksa membayar hutang pinjaman, kereta, rumah, taska dan sekolah anak-anak, menyara keluarga di kampung dan sebagainya. Tetapi memandangkan terapi adalah satu perkara yang amat penting untuk menyumbang kembali pembakar semangat dan "penghargaan" tidak langsung kepada usaha kita bekerja selama ini, kita harus cuba untuk memenuhinya.
 
Bagi seorang surirumah seperti saya, terapi yang saya perlukan adalah bukan dari kategori yang mahal. Mungkin dari zaman saya bekerja dulu lagi saya adalah seorang yang tidak suka berbelanja untuk barang-barang yang mahal. Jadi ianya menjadi sesuatu yang tidak membebankan apabila saya berhenti kerja. Contohnya adalah seperti berikut:-
 
1. Menjahit
Walaupun penat bekerja pada masa itu, ataupun menguruskan rumahtangga seharian, saya akan menjahit sebagai terapi saya selain menjadi sebagai hobi. Kadang-kadang kalau sudah kepenatan di malam harinya, saya akan menjahit di awal pagi. Tidak perlu lama, tetapi cukup dengan sekadar dapat menyiapkan suatu produk seperti bedung bayi, beg, kotak pencil dan sebagainya. Kepuasannya tidak dapat digambarkan.
 
2. Memasak
Memasak juga boleh menjadi terapi seseorang. Bukan sahaja mendapat kepuasan tetapi juga dapat menjimatkan duit belanja. Mungkin ada yang berkata "Eh, memasak memang hari-hari kot?". Ya, tetapi cuba beri kelainan untuk terapi jenis ini. Mungkin dari segi persembahan makanan ataupun masakan yang lebih istimewa dari hari-hari yang lain. Contohnya jika selama ini kita hanya masakkan nasi lemak dengan menghidangkan cara biasa, apa kata sesekali untuk terapi kita hidangkan nasi lemak dalam daun pisang. Macam saya di sini, sesekali saya akan hidangkan nasi berlauk Kelantan Style dengan cara membungkuskannya seperti kita beli di kedai-kedai. Nikmatnya adalah sesuatu yang tidak dapat digambarkan terutamanya apabila di perantauan begini.
 
3. Mengemas dan Menghias Rumah
Ya, perkara yang sentiasa kita buat. Tetapi cuba beri kelainan sedikit. Cari satu sudut yang berbeza, selain mengemas, kita hiaskan sedikit sudut itu. Contohnya saya membeli orkid di bawah di Gwanjang Market untuk diletakkan di sudut telefon ini pada bulan Disember 2014. Pada bulan Februrari 2015, orkid yang sama di letakkan di sudut berbeza. Masih lagi hidup dan bertahan selama tiga bulan lebih pada waktu itu, ianya tetap menjadi terapi saya. Nampak ringkas, tetapi cukup berkesan.
 
Disember 2014
 
 
February 2015 
 
 Semua orang ada cara tersendiri untuk mencari terapi diri. Tidak kira siapa pun kita atau apa pun terapi untuk kita, pastikan ianya tidak membebankan dan tidak memudaratkan. Oh ya, jangan lupa terapi zikir pagi dan petang, setiap hari, ok? Terima kasih kerana sudi membaca. Sehingga bertemu lagi di lain entri,

Sunday, August 23, 2015

PENGALAMAN DI GWANJANG MARKET DAN KISAH KAIN FREE


Entri 16

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman membeli kain di Gwanjang Market yang terletak berdekatan dengan Dongdaemun. Ia merupakan tempat yang wajib dikunjungi oleh pelancong Malaysia ke sini kerana dek kain pasangnya yang pelbagai corak terutamanya cotton dan satin silk. Malah banyak kedai di sini telah menyediakan kain-kain tersebut dalam lipatan 4 ela, di khususkan untuk pelancong Malaysia. Secara logiknya, orang-orang korea tidak memerlukan 4 ela kain untuk membuat baju dan tidak semua mereka sukakan kain bercorak bunga (kecuali "ahjumma", makcik-makcik Korea). Ini menunjukkan bahawa orang Malaysia amat suka datang ke sini untuk membeli kain pasang.
 
Ini adalah salah satu di antara lawatan saya ke sini yang mana ia juga adalah tempat kegemaran saya sebagai orang yang berhobi menjahit. Jika saya ada masa lapang, sesekali saya akan ke sini bersama Hanaa, si bongsu yang selalu menjadi peneman setia dikala abang dan kakaknya ke sekolah. Salah satu sebab saya suka ke sini juga adalah kerana di sini terdapat banyak kiosk/kedai kecil di celah-celah lorong yang bukan sahaja menjual kain cotton tetapi juga pelbagai material kain. Mereka biasanya mendapat stok lebihan-lebihan kain dari kedai-kedai besar dan kemudiannya disusun dan dijual. Ada juga di antara mereka mempunyai lot kedai tetapi masih juga membuka kiosk di tengah lorong yang mana lebih cepat untuk mendapat perhatian pelanggan.  
 
Kelihatan pakcik (ahjusshi) ini sedang menunjukkan saya berapa banyak ela kain tersebut. Pada waktu itu, saya berpeluang menggunakan peluang sewaktu hari cuti dan suami saya dapat menemani saya mencari material untuk menjahit baju raya anak-anak. Dan apa yang membuatkan saya sangat gembira, suami saya yang memilih materialnya pada kali ini. Oh ya, Ahjusshi ini adalah salah satu tempat kegemaran saya. Dia ada pelbagai jenis material seperti chiffon, satin, cotton, lycra, lace dan banyak lagi. Dia ibarat "kawan baik" saya di kawasan ini dan memandangkan saya pelanggan tetapnya, dia selalu memberi saya  kain percuma samaada yang hanya satu ela, dua ela dan sebagainya. Dia amat peramah dan boleh berbahasa Inggeris. Dia suka melihat Hanaa kerana sama umur dengan cucu-cucu lelakinya yang merupakan kembar seiras. Dia pernah tinggal di Arab Saudi selama tiga tahun dan tahu beberapa patah perkataan Arab, memberi salam dan sebagainya. 

 
Dia yang tidak lokek untuk memberi diskaun ini juga amat baik hati untuk memberikan kain ela tebal untuk Hanaa di waktu musim sejuk di kala tidak puas hati dengan dengan kain selimut Hanaa di dalam stroller. Apabila pulang kerumah, saya boleh menjahit kain tadi sebagai skirt dan sebagainya. Saya juga biasa menunjukkan kepadanya apa yang jahit dengan kain percuma itu. Tetapi pada lawatan kali ini bersama suami saya, kami menolak dengan baik kerana sudah terlalu kerap dia memberi kain percuma untuk saya.


 
Ini adalah hasil yang saya jahit untuk material yang saya beli pada waktu ini. Material di atas itu seperti kain baju pengantin dan kain di bawahnya seperti kain untuk membuat abaya. Suami saya yang memilih material dan warna kain-kain ini. Ya, jangan terkejut dia adalah Advisor bagi projek kraf saya terutamanya pemilihan corak kain.
 

 
 
Kebetulan saya bercerita perihal hasil jahitan kain dari Gwanjang Market, ini juga adalah satu daripadanya. Kedua-dua kain untuk skirt dan baju ini saya beli dari Ahjusshi di atas. Kainnya pelbagai jenis dan terhad tetapi cukup untuk saya berkarya dengan mesin jahit saya. Baju ini adalah untuk Damia semasa konsert musim sejuk di sekolahnya.
 


 
Ini pula hasil kain percuma dari Ahjushi. Saya dapat jahit sehelai blouse untuk saya sendiri dan saya sukakan coraknya, putih dan hitam, tidaklah saya nampak macam Ahjumma di sini.
 

Ok, berbalik kepada Gwanjang Market, ini juga salah seorang Ahjusshi di gerai pilihan saya. Saya pernah membeli cotton dan kain jeans di sini. Dia juga seperti Ahjusshi tadi, peramah dan baik serta mesra dengan Hanaa. Oh ya, dia juga selalu memberi kain percuma kepada saya apabila dia tahu saya menjahit di rumah. Pernah suatu ketika saya memberitahunya ingin balik bercuti ke Malaysia, dia memberi kain percuma khas untuk ibu saya.

 
 
Ini adalah di antara pilihan kain di gerai Ahjusshi ini. Sangat cantik. Rambang mata dibuatnya, tambahan pula dari pandangan tukang jahit sendiri!
 





Ini adalah salah satu kain Jeans yang saya beli dari Ahjusshi. Sangat selesa, tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis.

 
 
Dan ini pula adalah salah satu dari kain percuma yang diberi oleh Ahjusshi ini. Saya menjahit sehelai skirt untuk saya. Dia telah kain ini untuk menambah selimut Hanaa sedia ada di stroller.  Saya menolak berkali-kali tetapi dia berkeras juga. Alhamdulillah.
Materialnya dari jarak dekat. Saya sangat jatuh cinta dengan kain ini. Sangat selesa sebagai skirt saya. Saya kira orang Korea di sini membeli kain ini untuk dibuat jaket atau coat.
 

 
 
Pandangan kedai lain di sini. Saya asyik membeli dengan dua orang Ahjushi tadi sehingga lupa untuk mengambil gambar kedai-kedai lain di sini. Ya, di sini bukan hanya kain sahaja, malah terdapat bahagian menjual makanan, kedai makan, bahan-bahan mentah, peralatan menjahit, cenderahati dan sebagainya. Tetapi untuk saya, hanya bahagian ini yang saya kunjungi.


Selingan: Pulang dari Gwanjang Market pada hari tersebut, salji turun di Itaewon. Ini adalah video pada hari tersebut.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...