Check this out

Saturday, August 22, 2015

TULISAN KOREA PERTAMA ANAK SAYA & HARI KANAK-KANAK DI KOREA

Entri 15
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Pertama kali mendapat kad ini, saya amat terkejut. Saya tidak tahu yang Daniel sudah pandai menulis tulisan Korea dan dia memahaminya. Saya tahu bahawa dia ada belajar bahasa Korea pada semester pertama dia di Tahun Satu di sekolah dan ini adalah salah satu aktiviti di sekolahnya sewaktu hari Kanak-Kanak di Korea pada Mei, 2014. Pada waktu itu, pengetahuan bahasa Korea saya boleh dikatakan sangat sedikit. Itu pun saya hanya belajar bercakap melalui Youtube dan juga aplikasi di telefon dan masih lagi terkial-kial menghafal karakter hurufnya.
 
Dia bertanya saya, "Mom, do you understand this?" Untuk tidak menghampakannya, saya cepat-cepat mengiyakan dan mengucapkan terima kasih serta memeluknya. Kemudian dalam diam saya menaip huruf-huruf ini di dalam aplikasi kamus Korea-English.
 
"Omma, Appa, Saranghaiyo" - Mama, Papa, I love you.
 
 
Air mata saya menitik, terharu. Daniel jarang membuat kad ucapan untuk saya atau Papanya tetapi pada kali ini (walaupun hanya aktiviti kelasnya), saya cukup tersentuh. Saya percaya dia telah meletakkan usaha sebaiknya untuk membuat bunga merah ini dan juga menulis karakter huruf Korea seperti di atas. 
 
Keeseokan harinya, kami ke sekolahnya atas jemputan pihak sekolah untuk meraikan hari kanak-kanak di Korea. Di sini, hari kanak-kanak akan disambut besar-besaran dan diisytiharkan cuti umum bagi memberi peluang kepada ibu bapa membawa anak-anak berjalan-jalan dan juga untuk dihabiskan masa bersama. Pelbagai program disediakan samada di pusat membeli belah, taman tema dan taman-taman permainan. Ini adalah langkah yang baik untuk menyemai nilai kekeluargaan di sini yang mana ia membantu memberi kesan positif kepada emosi anak-anak dan keluarga itu sendiri. 
 
Di dalam gambar di bawah, kelihatan seorang guru di sekolah melayan pelajar dan juga adik beradik pelajar yang hadir. Hanya Daniel mempunyai dua orang adik! Ya, rata-rata mereka adalah anak tunggal atau dua beradik sahaja. Sekolah antarabangsa di sini tidak mengaplikasikan cuti umum ini kerana untuk diselaraskan dengan seluruh British School System dan disebabkan itulah sekolah masih dibuka pada hari tersebut.

Kami tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar keluarga bersama. Suami saya tidak dapat hadir kerana ada urusan kerja.


Hanaa tidak berminat untuk menunggu giliran bagi mengambil gula-gula kapas yang disediakan. Saya masih ingat, pada waktu itu dia hanya berumur dua tahun dan masih belum menerima sesuatu yang manis atau masin dalam makanannya.

 



Info tambahan: Saya mempunyai kawan yang menghantar anaknya ke sekolah awam Korea. Dia juga memberitahu bahawa sekolah anaknya juga mengadakan sambutan hari kanak-kanak secara besar-besaran seperti satu festival yang sangat meriah. Seluruh keluarga dijemput dapat untuk memeriahkan hari tersebut.
 
Di sini saya dapat simpulkan bahawa di Korea mereka amat menitikberatkan hubungan kekeluargaan dan juga menghormati orang tua. Kanak-kanak diberikan layanan istimewa dan banyak kemudahan yang mesra kanak-kanak di sini. Taman permainan juga dapat dilihat di mana-mana tempat bagi kemudahan orang awam. 

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...