Check this out

Showing posts with label PENDIDIKAN ANAK-ANAK DI PERANTAUAN. Show all posts
Showing posts with label PENDIDIKAN ANAK-ANAK DI PERANTAUAN. Show all posts

Saturday, February 20, 2016

ANAK-ANAK MAKIN MEMBESAR, MANAFAATKAN MASA BERSAMA

 Entri 120

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Beberapa hari lepas, saya berjumpa dengan ibu kepada seorang pelajar Sweden yang turun dari bas sekolah yang sama dengan Fahmi dan Tasnim. Dia kelihatan sangat penat dan mengantuk. Katanya, penerbangan mereka dari destinasi percutian sampai di awal pagi tersebut.
 
Dia tanya pada saya, ke mana saya dan keluarga pergi bercuti selama cuti seminggu Lunar New Year tempohari? Seperti biasa, saya tersenyum. Saya menyusun kata, membuat rumusan aktiviti kami sekeluarga dan cuba mengolah ayat supaya tidak nampak membosankan.
 
Saya beritahunya kami ke Namsangol Hanok Village pada hari Lunar tersebut, bukan untuk menyambut perayaan, tetapi untuk melihat apakah aktiviti tradisional di situ memandangkan itu kali pertama saya dan anak-anak sampai ke Hanok Village. Pernah datang suatu masa dulu sampai tetapi tersilap hari, tempat itu ditutup. Nanti saya akan ceritakan lebih lanjut tentang lawatan ke situ.
 
Kami sekeluarga juga pergi menonton cerita kanak-kanak di pawagam keluarga di Ipark Mall. Pada masa itu, cerita Kungfu Panda 3 ditayangkan. Anak-anak sudah lama menantikan cerita itu. 
 
Walaupun hanya menonton cerita anak-anak, singgah minum kopi dan makan donat serta sedikit groceries+toys shopping, anak-anak sangat gembira menghabiskan masa sekeluarga terutamanya apabila bersama Papa mereka.
 
Kadang-kadang apabila anak-anak diajak keluar pun, mereka tidak mahu kerana hendak habiskan masa bersama-sama di rumah. Cukup sekadar bermain catur, pingpong, basikal dan sebagainya. Jika ada Papa, mereka akan lebih gembira.
 
Apabila suami sudah mula bekerja pada hari ketiga mereka bercuti, saya kena mainkan peranan aktif seperti sebelum ini. Untuk bawa keluar, mungkin tidak mampu untuk menguruskan mereka bertiga, tambah pula cuaca sejuk. Jadi, kami hanya habiskan masa di rumah seperti biasa.
 
Di antara aktiviti yang dilakukan adalah, painting! Aktiviti yang sentiasa dinanti-nantikan mereka. Mungkin tidak semeriah painting di sekolah, tetapi sekurang-kurangnya mereka tidak pernah bosan untuk aktiviti ini.
 
Kami juga membuat aktiviti masak-masak bersama atau nama kegemaran mereka, cooking club! Pada kali ini, saya beri mereka buat sendiri dari menyiapkan sukatan bahan sehingga jadi pizza.
 
Walaupun Fahmi lelaki, tetapi dia amat sukakan bidang masakan. Katanya, dia mahu jadi Chef kerana dia suka makan! Dia sentiasa bertanya kepada saya apa bahan yang saya gunakan untuk masakan saya. Kadang-kadang saya beri dia pecahkan telur, tumis bawang, masak sayur dan sebagainya tetapi dengan pengawasan. Saya juga sudah ajar dia untuk masak basuh beras untuk masak nasi. Dia selalu teruja bab memasak apatah lagi bab makan. Makanan kegemarannya adalah Nasi Lemak. Dari pagi sampai malam dia boleh makan Nasi Lemak.
 
 
 
 
Saya biasanya hanya menggunakan bread maker untuk menjimatkan masa, tetapi kali ini saya biarkan anak-anak uli dengan tangan. Hasilnya Alhamdulillah, seperti biasa. Sangat lembut dan anak-anak sangat sukakannya. Setiap orang simpan sedikit pizza masing-masing untuk Papa rasa hasil tangan masing-masing.
 
Ada lagi beberapa aktiviti yang kami lakukan bersama sepanjang cuti sekolah tempoh hari. Mungkin biasa dan berulang-ulang aktiviti yang sama, tetapi cukup untuk membuatkan mereka gembira dan masa terisi dengan perkara yang berfaedah.
 
Apa yang lebih penting adalah kualiti masa itu sendiri. Walaupun sesibuk mana urusan seharian kita tidak kira yang bekerja atau tidak bekerja, cubalah curi sedikit masa dalam sehari untuk anak-anak.
 
Anak-anak makin membesar, hari demi hari akan sentiasa ada perubahan dan perkembangan dalam diri mereka. Cuba ambil tahu, cuba selami kehendak mereka, cuba belai mereka dengan kasih sayang dan masa bersama, bukan sahaja dengan mainan dan wang semata.
 
Secara jujurnya, sejak saya mula berhenti kerja, saya sendiri rindukan anak-anak apabila mereka ke sekolah dan apabila mereka tidur. Walaupun saya sepanjang masa bersama mereka selain waktu sekolah, saya tidak nafikan kerinduan itu.
 
Saya rindukan gelak tawa, suara tangis mereka yang semakin lama semakin membesar.
Suatu masa nanti, semuanya tidak akan sama lagi seperti mereka di waktu kecil.
Saya tahu saya akan rindukan saat ini.
Saya harus manafaatkan semua peluang waktu ini.
Terima kasih Allah.
 

Wednesday, February 10, 2016

BELAJAR SETIAP HARI

Entri 114
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
 
Semasa makan bersama-sama di meja makan, suami tanya pada anak-anak seorang demi seorang.
 
"Apa yang kamu pelajari dari lawatan kita ke Hwacheon Ice Festival haritu?," sudah menjadi tabiatnya memastikan anak-anak dapat sesuatu selepas setiap aktiviti.
 
"We have to be patient," jawab Fahmi, tahu yang dia agak tidak sabar sewaktu festival tersebut dan akhirnya dia dapat pancing seekor ikan.
 
"Never give up", giliran Tasnim menjawab.
 
"We have to stick together with our family", jawab Hanaa, yang akan masuk 4 tahun bulan Mei nanti. Dia juga tidak ketinggalan belajar sesuatu.
 
Ini adalah rutin kami yang asalnya idea suami, setiap kali ke mana-mana kami akan bertanya kepada anak-anak apa yang mereka telah pelajari. Tidak kira apa sahaja aktiviti pun.
 
Saya sangat kagum dengan suami, dia akan cuba kreatif dan cipta momen bersama anak-anak setiap kali ada masa terluang.
 
Dia sentiasa sibuk bekerja tidak kira waktu, kadang-kadang pulang ke rumah, anak-anak sudah terlena dan keluar keesokan harinya sebelum anak-anak bangun.
 
Jadi, setiap kali ada waktu terluang, dia akan cuba habiskan masa dengan anak-anak dengan cara dia tersendiri. Dia akan buatkan anak-anak akan teringatkan momen itu, lain dari apa yang mereka dapat dari saya.
 
Seperti festival ini, saya agak penakut. Cuba cadangkan suami agar dia sahaja masuk ke sini kerana lantai ais membeku ini nampak licin.
 
Tetapi dia berkeras untuk semua mencuba termasuk si kecil Hanaa.
 
Walaupun tidak semua anak-anak mendapat ikan, tetapi suami mahu mereka belajar sesuatu yang lebih bermakna dari sekadar aktiviti ini.
 
Setiap orang hanya dihadkan tiga ekor ikan sahaja, jadi kami berdua cuba memancing sebanyak mungkin untuk kuota anak-anak juga menjadikan jumlah ikan 15 ekor.
 
 
 
 
Fahmi sepertinya tidak terkata setelah lebih sejam mencuba dia dapat memancing seekor ikan pada akhirnya.
 
 
 
Dua adik perempuannya ini masih sabar menanti walaupun sesekali kedua-duanya hampir menangis kerana sejuk dan bosan menunggu ikan.
 

 
 
Masih mampu tersenyum dan bergaya seperti biasa. 
 
 
Bukan tamak, tetapi terpaksa pegang kedua-dua pancing apabila suami sibuk melayan anak-anak.
 
 
Pertama kali memancing ikan, saya agak takut apabila melihat ikan bergerak-gerak.
 

 
 
Alhamdulillah, hasil tangkapan pada hari tersebut. Kami hanya makan dua ekor di situ (ada servis bakar ikan) dan selebihnya bawa pulang ke rumah.
 
 
 
Festival ini berlangsung tiga minggu sahaja pada musim sejuk di bulan Januari. Kami bernasib baik kerana penganjur sememangkan mengasingkan tempat orang tempatan dan orang asing memancing. Jika tidak, sepertinya agak sukar untuk kami mendapat peluang  sebegini dek orang Korea yang terlalu ramai datang pada hari tersebut.
 
Jika mungkin pada masa akan datang anda berpeluang datang ke Korea, mungkin boleh sertai aktiviti sebegini. Untuk maklumat lanjut berkenaan festival ini,boleh lawati laman web Visit Korea .

Saturday, January 23, 2016

CEMAS DAN TERSENYUM

Entri 107

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN


Kelmarin, apabila masuk sahaja ke dalam rumah, Tasnim cemas memanggil saya ke cermin. Dia tunjukkan sesuatu di dalam mulutnya.
 
Saya bersegera ke tempat dia berdiri, tepat di hadapan cermin di kabinet putih berhadapan bilik saya.
 
Gigi baru! Kenapalah saya tidak perasan sebelum ini.
 
Dia ada bagitahu giginya goyang sebelum ini dan saya rasa itu normal, sama seperti apa yang Fahmi lalui sebelum ini. Jadi saya hanya biarkan.
 
Saya rasa sedikit cemas pada waktu itu kerana gigi baru Tasnim sepertinya sudah tumbuh namun gigi susunya masih kuat, hanya ada goyang sedikit.
 
Pengalaman baru bagi saya dalam membesarkan anak-anak. Saya tahu saya tidak pernah membawa anak-anak ke klinik gigi sebelum ini. Ya, tidak pernah.
 
Fahmi si sulung? Dia sudah mencabut giginya sendiri enam kali iaitu untuk enam batang. Kelakar pula kalau diingat kembali.
 
Dia sangat berani. Setiap kali hendak mencabut giginya, dia akan beritahu semua orang di dalam rumah yang dia ingin menjadi seorang doktor gigi yang boleh mencabut giginya sendiri. Kadang-kadang, dia sudah bawa kepada saya giginya yang telah dicabut. Giginya ada rosak sedikit sahaja, mungkin itu menyebabkannya senang bergoyang.
 
Untuk Tasnim, giginya langsung tidak rosak kerana dia sememangnya jenis yang suka  menjaga giginya. Dia amat sukakan makanan berunsurkan coklat seperti brownies, kek coklat, choc chip cookies dan sebagainya tetapi akan menggosok giginya 3-4 kali sehari dan lebih kerap jika selepas makan makanan yang berkenaan.

Walaupun Tasnim sukakan makanan sebegitu, saya juga masih mengawal pengambilan anak-anak terhadap makanan ringan dan gula-gula.
 
Percaya atau tidak, Tasnim dan Fahmi hanya kenal aiskrim ketika saya  mengandungkan Hanaa di Malaysia dulu. Itupun sewaktu ke percutian hari keluarga di Melaka. Terpengaruh dengan anak-anak kawan-kawan yang lain untuk membeli aiskrim. Saya tersenyum sendiri apabila teringatkan momen itu. Mereka takut-takut untuk mencuba aiskrim yang sejuk itu.
 
Sekarang, duduk di Korea ini tidak semua makanan sebegitu boleh di makan dek kandungannya. Sudahla tidak boleh memahami bahasa Korea dan banyak juga bahannya yang shubhah, jadi kami elakkan sahaja. Ini menyenangkan tugasan saya, kerana anak-anak sudah faham jika kita kata tidak halal.
 
Malah apa sahaja "birthday goodies" dari kawan-kawan sekolah pun mereka sanggup tunggu sehingga balik ke rumah untuk ditunjukkan kepada saya dan saya akan dapatkan pertolongan dari adik-adik pelajar di sini untuk membacakan bahannya.
 
Jadi disebabkan gigi Tasnim yang tidak rosak langsung itulah saya memandang enteng berkenaan pertumbuhan gigi.
 
Mujurlah rezeki kami klinik gigi di kawasan ini masih belum tutup pada waktu itu, jadi saya sempat membuat temujanji untuk ke sana pada keesokan harinya.
 
Lega, saya tersenyum sendiri. SubhanAllah indahnya perasaan seorang ibu. Cemas pada mulanya tetapi bahagia kerana dapat melihat perkembangan anak-anak di depan mata. Kalau dulu sewaktu saya bekerja, banyak perkembangan anak-anak cikgu di tadika atau transit yang tahu terlebih dahulu.
 
Apa pun, Alhamdulillah.
 

Sunday, January 3, 2016

BEKERJA DI RUMAH SAMBIL MENGURUSKAN TIGA ANAK

Entri 100

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto:KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Bagi sesetengah ibu, mereka menganggap menjaga anak-anak di rumah seharian adalah umpama mimpi ngeri! Ya, ada ibu-ibu yang saya jumpa, mereka lebih sanggup pergi bekerja dan menghantar anak-anak kepada orang lain dari menjaga mereka sendiri di rumah. Bukan disebabkan perlu bekerja, tetapi mereka kata tidak tahan karenah anak-anak, jadi lebih baik pergi kerja.

Saya faham bagaimana sibuknya menjaga anak-anak di rumah, tetapi sebagai seorang ibu, tidak patut mengeluarkan kenyataan sebegitu. Malah ramai lagi ibu-ibu di luar sana yang bertungkus lumus bekerja dan berusaha untuk menjadi surirumah sepenuh masa semata-mata untuk membesarkan anak-anak di depan mata mereka sendiri.

Tidak dinafikan ada juga ibu-ibu yang berpeluang untuk menjaga anak-anak sendiri dan mungkin bekerja dari rumah, membuat tindakan yang kurang sesuai seperti membiarkan anak-anak bermain ipad di luar bilik manakala ibu tersebut mengunci dirinya di dalam bilik semata-mata untuk "bekerja" seperti menggunakan komputer dan sebagainya. Bagi diri saya, ini suatu perkara yang harus dipandang serius. 

Di sini, saya ingin berkongsi cara saya bekerja di rumah sambil menguruskan anak-anak. Lain orang lain caranya, tetapi tidak salah jika kita sama-sama berkongsi. Saya pun masih lagi membaca tips-tips dari ibu-ibu lain kerana pembelajaran ilmu ini tidak akan pernah habis.

Perkara utama bagi saya sendiri adalah, mula awal pagi. Semua aktiviti yang memerlukan penumpuan dan ketelitian perlu dibuat sewaktu anak-anak masih tidur. Saya membuat entri blog, mengemaskinikan akaun, membuat transaksi bank, menjahit dan sebagainya sewaktu anak-anak sudah tidur pada malamnya ataupun masih belum berjaga pada waktu pagi. Pendek kata, pada waktu itu, kita tidak ada sebarang gangguan. Apabila kita fokus, masa yang diperlukan adalah tidak begitu lama dan fikiran pun tidak kusut, in shaa Allah.

Selain itu, dari awal lagi kita harus latih anak yang sulung dahulu. Ini saya belajar dari "super senior" saya di Amerika dahulu. Dia menguruskan empat anak lelakinya sendiri di bumi asing, di Arizona. Kata beliau, jika kita sudah latih anak yang sulung, in shaa Allah adik-adiknya nanti senang untuk didisiplinkan kerana role-model sudah ada.

Saya masih ingat lagi, saya mula aplikasikan teknik "train the first child" sewaktu saya kusut mengajar anak-anak hafazan. Pada masa itu saya agak kebingungan kerana cuba mengajar si abang surah hafazan yang lebih panjang memandangkan dia sudah tahu beberapa surah lazim dan si adik surah yang lebih pendek tetapi semuanya tidak terurus kerana menghafal dua surah berlainan.

Dek kekangan masa dan cara yang tidak betul, sesi hafazan terhenti buat seketika. Sehingga suatu hari saya dapati si abang sudah mula lupa apa yang dia sudah belajar sebelum ini. Salah saya kerana saya terlepas pandang untuk mengulangkaji. Semasa solat pun, saya dapati dia hanya membaca surah yang sama. 

Saya kemudiannya bermula dari bawah. Buat satu jadual nama, surah dan beberapa kolum pencapaian. Siapa dapat hafal, akan dapat sticker bintang. Alhamdulillah, kerja saya menjadi senang. Sambil mengajar si abang, si kakak pun belajar sama. Proses hafazan menjadi lebih mudah apabila saya membuat peraturan, sesiapa yang dapat hafal tidak akan dapat sticker sehingga dia pastikan yang lagi seorang pun dapat menghafal juga. Abang yang lebih senang menghafal turut membantu Tasnim si kakak untuk menghafal. Sehinggakan sewaktu di meja makan untuk sarapan pun, mereka masih counter-check bacaan masing-masing.

Tips lainnya bekerja di rumah selain train the first, saya bagi nama jawatan kepada setiap anak seperti berikut:-

Fahmi - "Captain of the Children"
Tasnim - "Captain of the Cleanliness"
Hanaa - "Captain of Kiss and Cuddle" - dia pilih sendiri :)

Apabila semua sudah berjawatan sebegini, mereka seperti berbangga dengan panggilan tersebut. Apabila ada perasaan bangga sebegitu, mereka akan cuba menjalankan tugas masing-masing dengan sebaiknya. Jadi, apabila saya perlu memasak, membasuh dan sebagainya, urusan mengendalikan mereka lebih senang.

Tips yang seterusnya adalah melibatkan anak-anak sebanyak mungkin dalam kerja seharian. Contohnya, saya ada ajar si abang dan kakak untuk membasuh pinggan, memasukkan kain ke dalam mesin basuh, mengeluarkan kain dari situ, menjemur, melipat dan sebagainya. Secara tidak langsung, Hanaa si kecil itu pun akan belajar membuat aktiviti tersebut. Terbaru saya ajar menyapu dan mengemop rumah. Mop yang hanya menggunakan mopping tissue itu sangat membantu. Tidak perlu menggunakan air dan berkecah-kecah. Hanya saya seorang sahaja mengendalikan mop menggunakan air sewaktu anak-anak fokus membuat aktiviti lain untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Satu lagi, cuba buat aktiviti yang berlainan setiap hari. Seperti saya, jika ada cuti panjang seperti Spring Break, Summer Break atau Winter Break, saya memang akan susun jadual harian sepanjang cuti tersebut dan anak-anak akan tahu apakah aktiviti mereka untuk hari berikutnya. Di antara aktiviti yang kami lakukan di dalam rumah adalah:

Melukis dan mewarna  dengan water colour
Cooking Club (membuat muffin, cookies, pasta dan sebagainya)
Membuat art and craft menggunakan bahan terbuang
Permainan melukis dan meneka gambar
Picnic & Tea Party
Menonton cerita pilihan bersama-sama (Movie and Popcorn Day)
Cleaning Day Activities 

Ada banyak lagi aktiviti yang dilakukan bersama-sama yang membantu mereka untuk tidak bosan di dalam rumah. Apabila mereka seronok, kita akan senang untuk melakukan kerja-kerja yang lain. Jangan biarkan anak-anak terlalu banyak menonton tv dan jangan pula tidak bagi langsung anak-anak untuk merehatkan minda mereka. Sebagai contoh, pada hari persekolahan, saya hanya membenarkan mereka menonton tv pada hari Isnin dan Jumaat sahaja selama satu jam selepas mereka menyelesaikan urusan balik dari sekolah. Pada tiga hari lainnya, mereka berdua ada aktiviti kelab di sekolah, jadi waktu agak terbatas. Dan mereka juga terlalu penat untuk membuat aktiviti lain makan dan solat, kerja sekolah dan tidur.

Apa-apa pun, perkara utama apabila bekerja di rumah adalah menguruskan masa dengan bijak dan semestinya urusan anak-anak harus diutamakan. Ingat balik tujuan kita bekerja di rumah. Jangan lari dari niat asal tersebut.
Jika ada tips menarik untuk dikongsikan bersama, boleh tinggalkan di ruang komen di bawah. Terima kasih. Sehingga berjumpa lagi.

Tuesday, November 17, 2015

MINION CUPCAKES KE SEKOLAH

Entri 88

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

13 oktober lepas adalah hari jadi Daniel. Saya tidak ada apa-apa sambutan istimewa pun seperti biasa. Memang anak-anak sudah terbiasa tiada majlis harijadi.
 
Setakat hantar kek sekolah, makan kek bersama keluarga di rumah dan juga 'a family day out' yang diakhiri dengan makan di luar.
 
Dapat menghabiskan masa seharian bersama keluarga adalah sesuatu yang mewah buat suami dek urusan kerja tidak tentu masa. Kadang-kadang sewaktu kami diluar pun, tangannya bekerja di telefon.
 
Seperti tahun sebelum ini, kali ini saya juga menghantar kek ke sekolah. Cuma ini adalah pertama kali saya buat cupcake untuk dihantar ke sekolah.
 
Daniel kata dia mahukan Minion Cupcakes. Tapi saya seperti biasa tidak berani berjanji dek kemahiran membuat kek hanya suam-suam kuku je.
 
Setelah membuat carian di Google, saya telah dapat hasilkan cupcakes minion yang ringkas. Tapi yang kelakarnya, saya terlupa untuk buat mulutnya. :)
 
Saya menghantar kek ke kelasnya. Sewaktu membuka kotak kek, semua kawan-kawanya menjerit, minion!!!
 
Wah, usaha saya tidak sia-sia, mereka tetap nampak my-not-so-minion ini. Daniel tersenyum tersengih. Dan seperti biasa, saya tidak ajar anak-anak guna lilin, jadi kawan-kawannya dan cikgu hanya menyanyikan lagu "happy birthday" sekuat-kuatnya. Tetap meriah, Daniel gembira, saya bahagia.
 


 
Tambahan cookies ini untuk dimasukkan ke dalam goodies bags. Bukan senang nak hasilkan dua warna begini. Masa yang diambil agak lama kerana perlu diletakkan ke dalam peti sejuk dahulu beberapa jam.


 
Goodies bags!


Hanaa yang sudah kebosanan menunggu Abangnya keluar dari kelas untuk mengambil kek.


Abang Daniel nampak terkejut dengan kek minion dia ini. Dia tidak sangka saya buat untuknya dalam tidak berjanji itu. Alhamdulillah.


 

Wednesday, November 4, 2015

MENDIDIK ANAK-ANAK MELALUI MASAKAN

Entri 83

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Untuk makan malam semalam, saya masakkan Salmon Grilled untuk anak-anak. Tetapi Hanaa masih tak lalu makan. Makan tengahari tadi dia hanya makan epal dan kimbab kosong.

Kalau anak tidak lalu makan, saya adalah orang yang paling susah hati. Saya mesej suami, luahkan kerisauan. Suami saya kata tak apa, asalkan dia minum susu. Masalahnya, susu pun hanya dua kali sahaja dia minum berbanding hari biasa mungkin 5-6 kali di siang harinya.

Teringat ada tertengok video di Facebook semalam. Jadi saya pun buatlah dengan bahan yang ada. Tapi saya terfikir adakah Hanaa akan makan? Jadi, saya harus kreatif, ajak dia dan kakaknya buat bersama. 

Lagipun sudah menjadi rutin dalam salah satu aktiviti pendidikan anak-anak di sini, saja ajarkan mereka memasak. Bukan yang susah-susah pun, cukuplah sekadar mengisi masa lapang atau dalam erti kata lain membuat sesuatu yang mereka rasakan mereka sibuk dan berdikari.

Biasanya saya akan biarkan mereka potong sosej sendiri menggunakan pisau plastik ataupun pisau mentega sahaja, masih belum yakin untuk beri pisau betul memandangkan saya kena pantau tiga orang kanak-kanak.

Semasa membuat aktiviti masakan, perkara paling penting adalah saya ajar tentang keselamatan, kebersihan makanan dan tempat penyediaan, perihal makanan halal dan juga bahan-bahan yang digunakan.

Alhamdulillah, melalui aktiviti masakan juga anak-anak boleh belajar tentang kehidupan. "Art of Sharing", satu perkara yang amat penting apatah lagi yang ada ramai adik beradik. Sangat perlu.

Ok, berbalik kepada menu perantauan pada kali ini, Cheesy potato, senang sahaja cara-caranya.

 Alhamdulillah Hanaa makan banyak juga. Jom kita tengok bagaimana hendak memasak resepi ini.

Kita hanya perlukan:-

Kentang segar (kalau lembik susah nak potong nipis)
Garam
Minyak Zaitun (Olive oil)
Sosej / Kepingan ayam yang direbus (ikut kesukaan)
Shredded Cheddar Cheese (atau apa-apa keju yang ada)




Setelah basuh kentang bersih-bersih tanpa buang kulitnya, hiris nipis dan susun begini di dalam dulang pembakar. Letak sekata sedikit olive oil dan taburkan sedikit garam. Kemudian masuk oven dan bakar pada suhu 200-205c selama 20-25 minit. Biar kekuningan sedikit, tambah masa jika perlu. Setelah masak, keluarkan.


 
Tabur cheese sedikit utk lapisan pertama dan ditambah pula sosej dan tabur cheese sekali lagi. Masukkan semula ke dalam oven dengan suhu 200-205c selama 5-10 minit. Tambah masa jika cheese belum mencair.


 Siap! Sudah boleh dimakan, tunggu suam sedikit dulu ya.



Saturday, October 31, 2015

MENGAJAR ANAK BERSEDEKAH & NIKMAT ISLAM

Entri75

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Bersedekah adalah amalan yang perlu diterapkan dalam jiwa kanak-kanak dari kecil.

Amalan seperti ini bukanlah amalan yang hanya boleh diberitahu sahaja tanpa amali. Malah lebih senang lagi jika ianya ditunjukkan sendiri di depan anak-anak dan lebih baik lagi jika dijadikan amalan keluarga. Secara tidak langsung, anak-anak lebih cepat "tangkap" yang aktiviti seperti ini adalah satu amalan mulia.

Ini adalah gambar di Masjid Itaewon Seoul. Ada kotak derma/sedekah untuk pembinaan tambahan masjid nanti. Mereka masih mengumpul dana untuk penambahbaikan masjid yang mana umat Islam di sini semakin bertambah bilangannya, alhamdulillah.




Pandangan dari dalam masjid. Selepas waktu bersolat, terdapat beberapa orang yang masih beriktikaf di dalam masjid.


Tiang luar masjid ini boleh dilihat dari rumah kami dan kadang-kadang kedengaran sayup bunyi azan berkumandang. Alhamdulillah atas nikmat iman dan Islam. Di perantauan, nikmat ini terasa sangat manis sekali. Alhamdulillah.



Gambar di bawah adalah seorang orang Korea bertanya kepada saya tentang agama Islam. Dia berminat melihat gambar umat Islam sedang menunaikan haji di Kota Suci Makkah. Katanya, dia teringin untuk ke sana melihat sendiri suasana tersebut. Dengan bahasa Inggerisnya yang sangat terhad, saya berusaha untuk menggunakan perkataan yang ringkas.

 Di sini, setiap kali kami ke masjid, terdapat ramai pelawat Korea yang mencari maklumat di Masjid dan juga melihat suasana orang Islam bersolat. Mengikut statistik pembacaan saya, seramai 51% orang Korea adalah Atheis (tidak beragama) dan mungkin disebabkan itulah mereka masih mencari-cari pegangan mereka. Saya amat kagum melihat kesungguhan mereka untuk ke Masjid untuk mendapatkan maklumat. Ada beberapa kali mereka menanyakan di mana untuk mendapatkan tudung seperti saya.

Semoga hidayah milik mereka.



Tuesday, October 27, 2015

KELAB MEMASAK -AKTIVITI CUTI SEKOLAH

Entri 72

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Salah satu dari aktiviti cuti sekolah anak-anak adalah kelab memasak. Fahmi suka beri nama aktiviti ini sebagai cooking club kerana itu adalah kelab kegemarannya di sekolah selain dari kelab catur dan komputer.

Aktiviti ini memerlukan kesabaran yang tinggi oleh ibu atau pengendali kelas kerana keterujaan luarbiasa anak-anak. Tidak lupa juga untuk memastikan aspek keselamatan adalah perhatian utama ketika kelab dijalankan.

Pada kali ini kami membuat nutella cheesetart. Maaf, gambar agak terhad dek kedua-kedua tangan "penuh".

Ini contoh "lukisan" anak-anak di atas kuih masing-masing.  Mereka penuh semangat mencorakkan bahagian masing-masing.

Walaupun aktiviti sebegini agak ringkas, tetapi setengah jam sehingga sejam yang dihabiskan masa bersama mereka ini tiada nilainya dan tiada gantinya.

Sangat berharga.

Saya tiba-tiba terasa rindukan anak-anak yang di sekolah saat entri ini ditulis. Cuti sekolah seminggu sudah berlalu. Hari ini adalah hari kedua mereka bersekolah kembali.

Biarlah rumah bagai kapal pecah, riuh rendah dengan suara mereka, saya masih bahagia.

Bahagia yang tidak akan berulang kembali. Bahagia yang akan hanya tinggal memori apabila mereka menginjak usia.

Semoga kasih sayang kita kepada anak-anak akan kekal sama sehingga akhirnya.



 
 
Pada waktu ini, mereka mengambil giliran untuk memegang mesin pengadun ini. Walaupun sekejap seorang, tetapi sudah cukup untuk membuatkan mereka tersenyum puas.


Ini pula menunggu giliran masing-masing untuk melorekkan corak. Sengaja tidak diberi kepada semua dalam satu masa untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini. Saya juga menyelitkan sikap untuk bersabar dalam apa jua yang dilakukan.

Saturday, October 17, 2015

CUTI SEKOLAH DI MUSIM LURUH

Entri 59

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN


Hari ini bermulanya cuti sekolah anak-anak sempena pertengahan semester. Elok juga, baru masuk musim luruh ini memang ramai yang akan batuk selsema kerana angin sejuknya.

Tasnim pun sudah kedengaran batuk kecilnya dan bunyi selsema hidungnya.
 
Sesekali kami juga telah menghidupkan heater pada waktu malam kerana tidak tahan sejuk.

Saya pula harus lebih berdisiplin memakai stokin atau selipar di dalam rumah dek cuaca sejuk. Kalau tidak, sakitnya sampai ke tulang belakang dan tumit kaki. Sakit urat di sini tiada prang yang arif untuk urutkan.

Anak-anak akan berada di dalam rumah sepanjang hari jika cuti sekolah sebegini. Dengan cuaca sejuk dan Papa mereka yang masih bekerja, kami tidak berani untuk keluar ke mana-mana dengan berempat ini. Anak-anak juga tidak mahu keluar kerana cuaca sejuk di luar rumah.

Oleh yang demikian, saya harus menjadi ibu yang sangat kreatif untuk beraktiviti dengan anak-anak. Mereka sudah terbiasa sibuk dan penuh aktiviti di sekolah. Jadi, saya perlu membantu mereka untuk sibuk juga di rumah.

Pada kali ini, saya sudah awal-awal lagi memberitahu mereka bahawa cuti sekolah pada kali ini bertemakan Muslim Camp sebagai aktiviti utama.

Saya juga sudah senaraikan beberapa aktiviti untuk dijalankan bersama. Di antaranya adalah seperti berikut :-

1. Audit bacaan dalam solat terutamanya sebutan bacaan dalam Qunut dan Tahiyyat akhir.

2. Hafazan 3-5 Surah baru selain bacaan Quran harian.

3. Siri cerita Nabi dan Sahabat

4. Rukun Islam dan Rukun Iman

5. Siri akhlak sesama manusia

Saya juga akan menyelitkan aktiviti biasa kami sebelum ini seperti berikut:-

6. Sleepover / Camping

7. Cooking Club

8. Educational Computer Games

9. Painting

10. Craft and art

11. Basic House chores

12. Chess/Hide&seek/musical chair/ Wolf in the garden
 
 
 
Nota: Ini adalah gambar pada musim cuti sekolah (Spring Break) bulan 3 haritu. Saya ajar anak-anak untuk buat popia kecil sebagai salah satu aktiviti di rumah.
 
Doakan saya berjaya ya. Saya harap sangat aktiviti yang saya senaraikan di atas dapat dilakukan dengan sebaiknya. Saya dan suami juga ada satu kejutan aktiviti untuk mereka. Tunggu ya? Saya akan update di sini nanti.
 

Wednesday, October 7, 2015

CERITA DI HOSPITAL

Entri 54

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Musim luruh sudah kian terasa dek daun yang sudah mula menguning, suhu yang sudah semakin menurun. Hari-hari di hadapan akan menjadi lebih sibuk bebanding musim panas.
 
Isnin, saya bersama anak-anak ke hospital (cawangan international clinic) untuk mengambil flu shot yang merupakan rutin tahunan kami menjelang musim luruh.

Saya agak risau pada mulanya jika ada di antara anak-anak yang meragam tidak mahu ambil injection. Tetapi Alhamdulillah, semuanya memberi kerjasama sepenuhnya dari mula lagi.

Sebelum ke bilik injection, kami terlebih dahulu perlu berjumpa dengan doktor bertugas untuk memeriksa suhu badan. Alhamdulillah semuanya sihat, jika tidak kami perlu datang lain kali.

Kelihatan Fahmi, Tasnim dan Hanaa menunggu di luar bilik doktor. Tiada seorang pun diam, semuanya sibuk bercakap tetapi dengan nada perlahan. Sesekali, keletah mereka mencuri perhatian orang lain di situ.


Mereka semua perlu "naik" mesin ini untuk memeriksa berat dan tinggi. Di bawah ini Hanaa dengan ketinggian 93.7 dan berat 13.5 kg. Doktor Kim kata, dia tinggi untuk umur tiga tahun.



Sewaktu memeriksa kami, Fahmi bertanya kepada doktor.
"Doctor, what happen if the doctor gets sick?"

Doktor Kim, seorang wanita Korea tinggi lampai itu tergelak.
"The will be another Doctor available to help", dia menjawab ringkas.

"How about if all the doctors play a football game and it is raining and all the doctors get sick?" Fahmi masih tidak berhenti bertanya.

Tiba-tiba, Hanaa menyanyi ABC tanpa rasa bersalah memotong perbualan abangnya dengan doktor.

Doktor Kim tersenyum tetapi riak wajahnya sedikit terkejut, lalu bertanya.
"Do you have any tips for the kids to speak very well and speak like an adult (merujuk kepada Fahmi, 8 tahun)?"

Saya hanya menjawab, "I just let them to speak at home but I am sure to correct their wordings, grammar and ways of using the words right away as a process of learning. Teach the eldest kid first and the rest will eventually follow the flow".

Dia sangat teruja melihat anak-anak saya. Kami pernah berjumpa untuk lawatan perubatan sebelum ini, tetapi hanya seorang yang berkenaan sahaja yang saya bawa.

Sebelum berlalu ke bilik injection, dia sempat berkata kepada saya."Wow, I could imagine how busy you are, and being in this foreign country to raise the kids".
 
Saya tersenyum, "it is nothing, but patience!"
 
Di bilik injection, Alhamdulillah semua memberi kerjasama, dan saya amat bangga dengan keberanian kesemuanya, termasuk Hanaa yang tidak berbunyi sedikit pun semasa jarum dimasukkan ke bahunya.
 
Selesai urusan semuanya, kami berjalan ke sekolah Fahmi dan Tasnim sambil menikmati angin sejuk musim luruh.
 
Alhamdulillah.
 
  

Tuesday, August 25, 2015

HARI PERTAMA SEKOLAH SETELAH DUA BULAN CUTI

Entri 18

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Semalam adalah hari pertama sekolah Daniel dan Damia setelah dua bulan bercuti. Permulaan yang amat teruja bagi mereka dan hari yang agak sibuk bagi saya. Tiada lagi waktu santai pagi saya yang lebih panjang untuk menulis blog, minum kopi, menjahit dan sebagainya. Jika sebelum ini saya kejutkan mereka sedikit lambat, tetapi apabila sesi persekolahan sudah bermula, saya terpaksa kejutkan mereka lebih awal.

Rutin pagi kembali seperti biasa sewaktu sebelum bercuti dahulu. Perkara yang sama untuk tahun sebelum ini, tetapi pada kali ini sedikit berbeza kerana pada waktu cuti musim panas yang lepas, kami pulang bercuti selama tiga minggu di Malaysia. Anak-anak sudah "keluar" dari "homesick" dan teruja untuk berjumpa kawan-kawan di sekolah tetapi saya masih lagi dalam "mood Malaya". Hati masih di Malaysia. Masih terbayang rutin di Malaysia yang lepas, selain dari berhari raya, kami juga dihidangkan dengan pelbagai juadah yang selama ini diidamkan dari Seoul ini.

Kesibukan saya juga jelas apabila saya tidak dapat menulis sebarang entri blog semalam. Saya akui hari-hari pagi saya memang sentiasa sibuk kerana memasak bekalan makan tengahari suami dan sarapan, tetapi apabila tiba hari persekolahan ini, ianya menjadi lebih lagi. Mujurlah hari pertama sekolah semalam adalah masih lagi di musim panas. Urusan mengejutkan anak-anak tidak sesukar di waktu musim sejuk. Urusan persediaan pakaian musim panas adalah lebih mudah dan cepat berbanding pada musim sejuk pakaian sekolahnya sudah berlapis-lapis ditambah pula dengan baju sejuk tebal, snowcap, skarf leher, sarung tangan tebal, stokin tebal dan sebagainya.

Semoga hari-hari persekolahan mendatang lebih sempurna buat saya dan kembali kepada sediakala.

Salam sayang dari Seoul.


Gambar: Ini adalah sewaktu musim sejuk yang lepas, lihat sahaja pakaian anak-anak saya. :)



Ini pula adalah gambar semalam. Urusan pakaian sahaja sudah berbeza.




Saturday, August 22, 2015

TULISAN KOREA PERTAMA ANAK SAYA & HARI KANAK-KANAK DI KOREA

Entri 15
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Pertama kali mendapat kad ini, saya amat terkejut. Saya tidak tahu yang Daniel sudah pandai menulis tulisan Korea dan dia memahaminya. Saya tahu bahawa dia ada belajar bahasa Korea pada semester pertama dia di Tahun Satu di sekolah dan ini adalah salah satu aktiviti di sekolahnya sewaktu hari Kanak-Kanak di Korea pada Mei, 2014. Pada waktu itu, pengetahuan bahasa Korea saya boleh dikatakan sangat sedikit. Itu pun saya hanya belajar bercakap melalui Youtube dan juga aplikasi di telefon dan masih lagi terkial-kial menghafal karakter hurufnya.
 
Dia bertanya saya, "Mom, do you understand this?" Untuk tidak menghampakannya, saya cepat-cepat mengiyakan dan mengucapkan terima kasih serta memeluknya. Kemudian dalam diam saya menaip huruf-huruf ini di dalam aplikasi kamus Korea-English.
 
"Omma, Appa, Saranghaiyo" - Mama, Papa, I love you.
 
 
Air mata saya menitik, terharu. Daniel jarang membuat kad ucapan untuk saya atau Papanya tetapi pada kali ini (walaupun hanya aktiviti kelasnya), saya cukup tersentuh. Saya percaya dia telah meletakkan usaha sebaiknya untuk membuat bunga merah ini dan juga menulis karakter huruf Korea seperti di atas. 
 
Keeseokan harinya, kami ke sekolahnya atas jemputan pihak sekolah untuk meraikan hari kanak-kanak di Korea. Di sini, hari kanak-kanak akan disambut besar-besaran dan diisytiharkan cuti umum bagi memberi peluang kepada ibu bapa membawa anak-anak berjalan-jalan dan juga untuk dihabiskan masa bersama. Pelbagai program disediakan samada di pusat membeli belah, taman tema dan taman-taman permainan. Ini adalah langkah yang baik untuk menyemai nilai kekeluargaan di sini yang mana ia membantu memberi kesan positif kepada emosi anak-anak dan keluarga itu sendiri. 
 
Di dalam gambar di bawah, kelihatan seorang guru di sekolah melayan pelajar dan juga adik beradik pelajar yang hadir. Hanya Daniel mempunyai dua orang adik! Ya, rata-rata mereka adalah anak tunggal atau dua beradik sahaja. Sekolah antarabangsa di sini tidak mengaplikasikan cuti umum ini kerana untuk diselaraskan dengan seluruh British School System dan disebabkan itulah sekolah masih dibuka pada hari tersebut.

Kami tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar keluarga bersama. Suami saya tidak dapat hadir kerana ada urusan kerja.


Hanaa tidak berminat untuk menunggu giliran bagi mengambil gula-gula kapas yang disediakan. Saya masih ingat, pada waktu itu dia hanya berumur dua tahun dan masih belum menerima sesuatu yang manis atau masin dalam makanannya.

 



Info tambahan: Saya mempunyai kawan yang menghantar anaknya ke sekolah awam Korea. Dia juga memberitahu bahawa sekolah anaknya juga mengadakan sambutan hari kanak-kanak secara besar-besaran seperti satu festival yang sangat meriah. Seluruh keluarga dijemput dapat untuk memeriahkan hari tersebut.
 
Di sini saya dapat simpulkan bahawa di Korea mereka amat menitikberatkan hubungan kekeluargaan dan juga menghormati orang tua. Kanak-kanak diberikan layanan istimewa dan banyak kemudahan yang mesra kanak-kanak di sini. Taman permainan juga dapat dilihat di mana-mana tempat bagi kemudahan orang awam. 

Friday, August 21, 2015

JAUH DI MATA, DEKAT DI HATI

Entri 14
 
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

 
 
 
Gambar ini diambil suatu ketika dulu, iaitu bulan Mei 2014. Ini adalah situasi biasa yang dapat disaksikan apabila kami membuat panggilan video kepada ibubapa atau keluarga di Malaysia. Walaupun agak kerap berbuat demikian, tetapi anak-anak masih sama, amat teruja. Semuanya akan duduk berkumpul bersama dan masing-masing tidak berhenti bercakap. Kadang kala agak lucu apabila Daniel dan Damia tidak putus asa untuk bercerita kepada nenek (ibu suami) atau tokma (ibu saya) yang keduanya amat terhad bahasa Inggerisnya. Daniel dan Damia masih lagi memahami bahasa Melayu tetapi agak teragak-agak apabila menuturkannya.

Saya dan suami sentiasa menitikberatkan hal ukhuwah keluarga kepada anak-anak. Selalu bercakap dengan mereka akan Nenek dan Atuk serta Tokma dan Tokbah di kampung. Kami mahu mereka tidak lupa yang mereka mempunyai ramai sanak saudara di Malaysia. Dalam masa yang sama, kami sentiasa ingatkan mereka supaya bila sudah besar, jangan lupakan Mama dan Papa. Walaupun mereka agak sukar untuk mengingati semua nama-nama pakcik dan makcik mereka, tapi cukuplah mereka memberi reaksi "Oh, I know her/him", "I remember this person".

Walau apa pun, mesej yang saya ingin sampaikan di sini adalah, walau sejauh mana kita sekali pun, selalulah hubungi ibu bapa kita.  Jangan kita lupa, apabila mereka sudah tua dan tiada anak-anak di sisi, mereka amat sunyi. Walau tidak dapat bertentang mata, tetapi dapat mendengar suara dan melihat video kita dan anak-anak adalah sesuatu yang amat membahagiakan mereka.

TIPS MENJADI SURIRUMAH "MULTITASKING"


Entri 13
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Apabila kita sudah "commit" untuk menjadi seorang surirumah terutamanya surirumah sepenuh masa, kita seolah-olah sudah membuat satu "perjanjian" bahawa kita akan menjalankan tugas dengan sebaikknya samaada yang dirancang atau yang tidak dirancang. Kitalah tukang masak, tukang cuci, doktor, jururawat, cikgu dan sebagainya. Seronok bukan? Menjadi surirumah bermakna kita akan dinaiktaraf dengan memegang banyak jawatan.
 
Tapi perlu diingat, jika kita tersilap langkah kita akan kecundang dan kadang-kadang memberi impak yang besar dalam jiwa kita. Oleh itu, kita harus jadikan tugas seorang surirumah ini sesuatu yang seronok dan teratur. Di antara tips untuk surirumah sepenuh masa adalah:-
 
1. Rancang di awal pagi/  dari malam lagi jadual aktitivi harian.Boleh rujuk entri ini sebagai panduan.
2. Makan terlebih dahulu untuk tenaga seharian. Seeloknya sebelum anak-anak bangun. Nikmati kopi anda, kerana selepas itu kita belum tentu dapat makan/minum dengan sempurna.
3. Selesaikan urusan mengikut 'priority'.
4. Membuat jadual teratur dengan anak-anak agak mereka tidak bosan dan diluar kawalan
5.Memasak hidangan ringkas dan praktikal. Anak-anak cukup hargai masakan air tangan ibu, percayalah!
6. Cuba limitkan penggunaan telefon/FB dan sebagainya kerana masa bersama anak-anak tidak akan datang kembali. Jadi, ambil peluang ini untuk digunakan sebaiknya.
7. Berkorban perasaan letih, perasaan ingin bersantai atau ingin tidur? Ya, tepat sekali.
8. SABAR
9. SABAR
10.SABAR
 
 
Ini adalah contoh saya memanafaatkan masa bersama anak-anak. Kadang kala kita memerlukan beberapa minit untuk melihat skrin telefon termasuk menjawab mesej, pertanyaan, apatah lagi jika kita adalah WAHM. Pelanggan kadang-kadang tidak dapat bersabar menunggu. Jadi, kita kena "be smart". Saya akan membuat anak-anak sibuk dengan tugasan masing-masing. Contohnya dalam gambar ini, Daniel akan menyelesaikan latihan matematik di "laptop", Damia membuat latihan matematik di buku latihan dan Hanaa pula cukup teruja dengan pensil dan kertas untuk "ditulis". Jadi pada waktu ini saya akan ambil peluang untuk berinteraksi dengan pelanggan, menjawab pertanyaan dan sebagainya. Pada waktu ini jugalah kita seolah-olah "take a break" untuk bertanya kabar kawan-kawan di rumah "whatsapp". Ya, perlu. Kenapa saya kata perlu? Kita surirumah amat memerlukan support group yang boleh terdiri dari surirumah yang lain atau kawan-kawan terdekat. Tapi jangan lalai ya?
 

 

Saya juga kadang-kadang menggunakan kaedah "subcontract". Iaitu mengamanahkan anak-anak yang lebih besar untuk bermain dengan adik. TAPI, dengan pengawasan kita, ok? Contohnya seperti gambar di bawah. Daniel sedang "mengajar" Hanaa untuk bermain catur. Walaupun Hanaa tidak pandai bermain catur, tetapi minatnya untuk bermain memang sudah cukup untuk membuatkan Daniel terhibur dan rasa sibuk dengan tanggungjawab yang di amanahkan. Kadang-kadang ayat saya sebegini untuk memujuknya. " Daniel, I'm gonna cook something so we could eat together later." Dia yang sememangnya suka makan, tidak akan menolak untuk bermain dengan Hanaa dan Damia. Saya pula, sambil memasak akan cuba mencari peluang di segenap ceruk masa yang ada untuk sekali lagi menjalankan tugas "multitasking" sebagai ibu bekerja di rumah (work at home mom).

 
Contoh yang lain adalah, saya akan cuba menyediakan latihan sebelum anak-anak bangun atau sebelum mereka pulang dari sekolah. Buku latihan merupakan bantuan yang penting untuk diberikan, tetapi dek kerana bahan yang terhad di sini terutamanya buku jawi, saya menyediakan secara manual dengan melukis/melakar/menulis di buku latihan kosong yang biasa. Memang saya ada bawa buku latihan jawi dan yang lain dari Malaysia, tetapi kadang-kadang kita kena kreatif supaya anak tidak bosan. Dan dalam situasi di bawah, Damia amat teruja membuat latihan ini dan berkali-kali mengucapkan "Mom, thank you, I really like it. So much fun!".
 
 
Untuk itu, saya ingin ucapkan selamat berjaya kepada bakal surirumah sepenuhmasa atau yang masih baru dalam "kerjaya"  ini.  Mohon juga berkongsi tip-tip lain yang boleh memberi idea dan membantu kita untuk mencipta sesuatu yang lebih seronok sebagai surirumah.
 
 
Sekiranya anda ada keinginan untuk bekerja di rumah seperti saya ataupun untuk 'setup' satu landasan sebagai mempersiapkan diri untuk berhenti kerja atau mencari pendapatan sampingan, anda boleh lakukan hanya di hujung jari sahaja. Anda hanya perlu mempromosikan pakej-pakej jualan dan produk-produk yang ditawarkan oleh Akademi Bekerja Di Rumah. Kami sediakan tapak untuk anda berniaga tanpa perlu keluar dari rumah. Apa yang anda perlukan hanyalah kesungguhan, fokus dan komited serta yang utama komputer atau laptop dan talian internet. Bahan-bahan promosi semuanya disediakan. Saya akan bantu anda menjadi rakan niaga di akademi ini.


Anda boleh mendaftar dengan saya selaku Pengurus Online yang bertugas:



add saya di facebook : https://www.facebook.com/khushartini
 

Terima kasih.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...