Check this out

Showing posts with label TINI@SEOULKITCHEN. Show all posts
Showing posts with label TINI@SEOULKITCHEN. Show all posts

Tuesday, March 8, 2016

EKSPERIMEN TEPUNG DI KOREA

Entri 124

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Semasa saya mula sampai di Korea ini, saya amat tertekan terutamanya tentang makanan. Hampir semua makanan saya perlu berhati-hati untuk membelinya dek tidak tahu memahami bahasa Korea.

Alkisahnya suatu hari, saya meminta suami membeli roti keping empat segi untuk membuat sandwich bagi sarapan pagi di rumah. Kebetulan pada waktu itu ada tetamu di rumah, Aina dan Ammar serta Balqis, anak perempuan mereka. Mereka merupakan bekas pelajar Malaysia di sini dan akan pulang ke Malaysia pada sebelah petangnya. 

Setelah menggoreng bihun, suami pulang dari kedai runcit berdekatan dan membawa roti seperti dipinta. Tanpa berlengah, saya menyiapkan inti tuna istimewa untuk tetamu. Sambil berborak kosong dengan Aina, tangan saya tangkas menyiapkan sandwich. 

Tiba-tiba, Aina terkejut melihat plastik pembungkus roti tersebut. 

"Akak, roti ini tidak boleh makan. Lihat di sini ada ditulis penyediaan roti ini adalah di premis yang sama menyediakan roti berunsurkan daging babi juga," terang Aina.

Secara automatik, tangan saya berhenti bekerja. Saya baru perasan jenama roti dibeli suami pada hari itu tersebut lain dari biasa. Tiada rezeki sandwich pada pagi tersebut.  
 
Bermula dari saat itu, aktiviti meroti yang serius bermula. Saya pernah buat roti sebelum ini di sini, tetapi tidak berapa kerap. Sejak dari peristiwa itu, aktiviti meroti sangat kerap, seminggu sekali adalah pasti.
 
Apabila tepung roti yang dibawa dari Malaysia sudah kehabisan, maka bermula lah aktiviti "flour hunting". Bunyinya agak serius kerana saya tidak tahu berbahasa Korea dengan baik. Saya mula mencuba beberapa jenama tepung di sini, sehingga saya dapat mana yang serasi.
 
Selepas itu, apabila beberapa orang bertanya saya berkenaan tepung, saya sudah boleh beritahu mana yang sesuai untuk roti, kek, pizza dan sebagainya.
 
Seperti tepung ini, tiada satu patah pun perkataan Bahasa Inggeris, semuanya basa Hangeul. Tetapi ada gambar roti dan donat di depannya. Saya tanya pada pekerja kedai, "pang" bermaksud roti dalam bahasa Korea. Dia ,tunjuk tepung ini.
 
Setelah beberapa kali mencuba, doh saya menjadi lembik dan saya perlu ubah resepi yang saya biasa buat sebelum ini. Tidak puas hati, saya cuba jenama lain.
 
 


 
Kemudian, setelah beberapa kali bereksperimen, saya sudah tahu tepung mana yang sesuai dengan saya. Warna biru di bawah! Memang tidak faham apa-apa juga pada plastik pembungkusnya, tetapi saya melihat gambarnya dan juga cuba jaya sendiri.
 
Tepung biru itu untuk roti, pizza dan donat yang gebu, Alhamdulillah. Manakala yang hijau muda di bawah itu adalah untuk mendapatkan kek yang lembut iaitu tepung serbaguna. Boleh juga digunakan untuk buat pizza dan donat. Ada lagi satu warna dari jenama yang sama bewarna coklat, tetapi saya tidak pernah cuba kerana sudah berpuas hati dengan dua warna tersebut.
 


 
Di antara gambar roti-roti yang saya pernah buat menggunakan tepung yang berplastik biru putih di atas.





 
 
Ini pula kek red velvet yang gebu di dalamnya menggunakan tepung serbaguna berwarna hijau tadi.
 
 

 

Begitulah sedikit sebanyak asam garam kami di sini untuk bab meroti. Banyak lagi asam garam lain yang telah dan akan saya kongsikan bersama. Alhamdulillah di atas peluang ini semua.

Sunday, February 14, 2016

RESEPI GYERANBANG (KUIH TELUR STREET FOOD KOREA)

Entri 118

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Memandangkan saya mendapat beberapa pertanyaan bagaimana membuat gyeranbang ini, di sini saya kongsikan resepi mudahnya.
 
Gyeranbang (Egg Muffin/Cake)
 
Bahan-bahan: (Yield: 8 pcs)
 
3/4 tepung serbaguna atau tepung gandum
2 biji telur besar untuk adunan
1/2 cawan mentega (unsalted) dicairkan
1/3 cawan gula pasir
1/4 cawan susu segar/ susu cair
3/4 sudu teh baking powder
8 biji telur kecil
sedikit garam
sedikit mentega dicarikan untuk brushing
 
Cara-caranya:
 
1. Panaskan oven 160c -170c ataupun mengikut kepanasan oven masing-masing.
 
2. Tapiskan tepung bersama dengan baking powder serta secubit garam. Ketepikan
 
3. Gunakan whisk atau senduk kayu untuk kacau telur dan diikuti dengan gula.
 
4. Setelah sebati, masukkan campuran tepung yang ditapis tadi diikuti dengan susu dan mentega yang telah dicairkan. Kacau sehingga sebati.
 
5. Masukkan adunan ke dalam acuan sekadar tinggi 3/4 bekas sahaja. Kemudian pecahkan telur ke atasnya.
 
6. Tabur sedikit garam.
 
7. Bakar pada suhu 160c - 170c selama 20-25 minit. Oven saya jenis panas, jadi saya hanya gunakan suhu 160c sahaja.
 
8. Setelah masak, boleh disapukan sedikit mentega cair (jika perlu) untuk nampak berkilat.
 
Selamat mencuba.
 
 
 

Thursday, December 10, 2015

PELBAGAI CABANG BEKERJA DI RUMAH

Entri 98

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
 
"Tini, awak tak apalah berhenti kerja sebab pandai menjahit, ada sumber pendapatan. Macam kami ini tiada kemahiran," ujar sebilangan kawan-kawan semasa saya hendak berhenti kerja.
 
Ya, saya akui yang saya pernah menjadikan bidang jahitan sebagai punca pendapatan tambahan semasa saya masih bekerja dahulu. Sebenarnya, bermula sebagai hobi tetapi lama-kelamaan menjadi semakin rancak mengambil tempahan.
 
Cuma, saya ingin kongsikan di sini bahawa bekerja di rumah ini bukan semata-mata untuk mencari pendapatan sampingan, tetapi juga untuk mengisi masa lapang dan secara tidak langsung juga mewujudkan satu platform untuk kita aktif, walaupun hanya dari rumah.
 
Kalau hanya untuk mencari pendapatan, kita mungkin akan terdedah kepada risiko stress dan seterusnya menjadi suram yang menyebabkan bekerja di rumah tidak seronok. Apabila tidak seronok, tidak mustahil akan timbul rasa menyesal, rendah diri dan sebagainya.
 
Memang hanya kita sahaja tahu apa yang kita hendak. Tetapi, jika kita ada satu "keluarga" yang dalam keadaan yang sama dengan kita ataupun "support group", kita mungkin akan lebih berfikiran terbuka tentang bekerja dari rumah, apa peluang dan potensi diri yang sebenar dan mungkin juga memberi pelbagai idea dan cetusan rasa untuk memulakan sesuatu yang baru.
 
Satu lagi yang paling penting adalah keikhlasan dan doa. Jangan pernah putus berdoa semoga Allah berikan kita yang terbaik.
 
Sebagai contoh, penghijrahan kami ke Korea dua tahun yang lepas. Pada waktu itu memang hobi jahitan saya yang mengambil tempahan terhenti begitu sahaja.
 
Saya termenung sendiri, aku ada bakat, ada alatan dan bahan, tetapi aku hendak jahit untuk siapa? Apa lagi aku boleh buat di negara asing ini? Boleh ke aku bahagikan masa untuk semua ini? Siapa yang sudi menjadi pelanggan nanti?
 
Tetapi rupanya perancangan Allah itu sentiasa hebat. Kita pun tidak tahu apa lagi lorong yang dibukaNya untuk kita. Yang penting, usaha!
 
Saya tidak sangka, beberapa kali saya bawa kek ke jamuan di sini, saya mendapat tempahan kek pula! Tidak pernah saya bayangkan yang saya akan membuat kek tempahan orang lain. Walaupun tidak kerap, tetapi Alhamdulillah, syukur sangat.
 
Bukan disebabkan duit, tetapi lebih dari itu. Saya yang hanya dahulunya suam-suam kuku sahaja membuat kek, itupun jarang kerana menempah dengan jiran-jiran satu taman yang merupakan pembuat kek tegar. Apabila kena hantar kek ke sekolah untuk hari jadi anak-anak, saya mesti menempah kek dari mereka termasuklah kek ulangtahun perkahwinan dan sebagainya.
 
Tetapi apabila berada di tempat orang, semuanya kena buat sendiri. Saya cuba beberapa kali dan ramai yang berpuas hati. Sejak itulah saya cuba yakinkan diri untuk menerima permintaan tempahan. Pada mulanya saya tolak, tetapi selepas diyakinkan, saya cuba. Alhamdulillah, syukur.
 
Waulaupun kejadian kek saya tidak indah dan bervariasi seperti pembuat kek yang lain, tetapi di negara orang ini, in shaa Allah kek yang tidak diragui bahan-bahannya seperti ini tetap mendapat sambutan.
 
Ini adalah di antara kek-kek yang saya pernah buat.
 
Jika ada yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang Akademi Bekerja Di Rumah, boleh email saya di tinicraft@gmail.com
 
Terima kasih.
 











 

Tuesday, November 17, 2015

MINION CUPCAKES KE SEKOLAH

Entri 88

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

13 oktober lepas adalah hari jadi Daniel. Saya tidak ada apa-apa sambutan istimewa pun seperti biasa. Memang anak-anak sudah terbiasa tiada majlis harijadi.
 
Setakat hantar kek sekolah, makan kek bersama keluarga di rumah dan juga 'a family day out' yang diakhiri dengan makan di luar.
 
Dapat menghabiskan masa seharian bersama keluarga adalah sesuatu yang mewah buat suami dek urusan kerja tidak tentu masa. Kadang-kadang sewaktu kami diluar pun, tangannya bekerja di telefon.
 
Seperti tahun sebelum ini, kali ini saya juga menghantar kek ke sekolah. Cuma ini adalah pertama kali saya buat cupcake untuk dihantar ke sekolah.
 
Daniel kata dia mahukan Minion Cupcakes. Tapi saya seperti biasa tidak berani berjanji dek kemahiran membuat kek hanya suam-suam kuku je.
 
Setelah membuat carian di Google, saya telah dapat hasilkan cupcakes minion yang ringkas. Tapi yang kelakarnya, saya terlupa untuk buat mulutnya. :)
 
Saya menghantar kek ke kelasnya. Sewaktu membuka kotak kek, semua kawan-kawanya menjerit, minion!!!
 
Wah, usaha saya tidak sia-sia, mereka tetap nampak my-not-so-minion ini. Daniel tersenyum tersengih. Dan seperti biasa, saya tidak ajar anak-anak guna lilin, jadi kawan-kawannya dan cikgu hanya menyanyikan lagu "happy birthday" sekuat-kuatnya. Tetap meriah, Daniel gembira, saya bahagia.
 


 
Tambahan cookies ini untuk dimasukkan ke dalam goodies bags. Bukan senang nak hasilkan dua warna begini. Masa yang diambil agak lama kerana perlu diletakkan ke dalam peti sejuk dahulu beberapa jam.


 
Goodies bags!


Hanaa yang sudah kebosanan menunggu Abangnya keluar dari kelas untuk mengambil kek.


Abang Daniel nampak terkejut dengan kek minion dia ini. Dia tidak sangka saya buat untuknya dalam tidak berjanji itu. Alhamdulillah.


 

Saturday, November 7, 2015

MOTIVASI SURIRUMAH - NASI LEMAK CINTA

Entri 87
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Kadang-kadang kita kena kreatif untuk mencari kelainan dalam kehidupan harian kita.
 
Kalau asyik cara sama, rutin sama, mungkin kita akan terasa bosan dan tidak ada kekuatan semangat.
 
Jadi, kita sendiri perlu cari di mana dan apakah sumber kekuatan semangat kita.
 
Bagi saya sendiri, sebagai seorang surirumah yang sudah tentu-tentunya anak-anak dan suami akan bersarapan di rumah, saya kena pelbagaikan juadah menu pagi. Ringkas tidak mengapa, janji kita ikhlas.
 
Kepelbagaian ini mungkin dari segi menu itu sendiri ataupun cara penyediaan. Bukan sahaja untuk membuatkan orang di sekeliling kita tidak jemu, malah untuk menceriakan kita sendiri bagi menghadapi kerja-kerja seharian.
 
Semoga kita sentiasa ceria!

 
 
 
 
Nota: Nasi lemak ringkas bersama teh tarik sementara susu pekat masih ada berbaki. Di Korea ini, mereka tidak guna susu pekat :)

Wednesday, November 4, 2015

MENDIDIK ANAK-ANAK MELALUI MASAKAN

Entri 83

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Untuk makan malam semalam, saya masakkan Salmon Grilled untuk anak-anak. Tetapi Hanaa masih tak lalu makan. Makan tengahari tadi dia hanya makan epal dan kimbab kosong.

Kalau anak tidak lalu makan, saya adalah orang yang paling susah hati. Saya mesej suami, luahkan kerisauan. Suami saya kata tak apa, asalkan dia minum susu. Masalahnya, susu pun hanya dua kali sahaja dia minum berbanding hari biasa mungkin 5-6 kali di siang harinya.

Teringat ada tertengok video di Facebook semalam. Jadi saya pun buatlah dengan bahan yang ada. Tapi saya terfikir adakah Hanaa akan makan? Jadi, saya harus kreatif, ajak dia dan kakaknya buat bersama. 

Lagipun sudah menjadi rutin dalam salah satu aktiviti pendidikan anak-anak di sini, saja ajarkan mereka memasak. Bukan yang susah-susah pun, cukuplah sekadar mengisi masa lapang atau dalam erti kata lain membuat sesuatu yang mereka rasakan mereka sibuk dan berdikari.

Biasanya saya akan biarkan mereka potong sosej sendiri menggunakan pisau plastik ataupun pisau mentega sahaja, masih belum yakin untuk beri pisau betul memandangkan saya kena pantau tiga orang kanak-kanak.

Semasa membuat aktiviti masakan, perkara paling penting adalah saya ajar tentang keselamatan, kebersihan makanan dan tempat penyediaan, perihal makanan halal dan juga bahan-bahan yang digunakan.

Alhamdulillah, melalui aktiviti masakan juga anak-anak boleh belajar tentang kehidupan. "Art of Sharing", satu perkara yang amat penting apatah lagi yang ada ramai adik beradik. Sangat perlu.

Ok, berbalik kepada menu perantauan pada kali ini, Cheesy potato, senang sahaja cara-caranya.

 Alhamdulillah Hanaa makan banyak juga. Jom kita tengok bagaimana hendak memasak resepi ini.

Kita hanya perlukan:-

Kentang segar (kalau lembik susah nak potong nipis)
Garam
Minyak Zaitun (Olive oil)
Sosej / Kepingan ayam yang direbus (ikut kesukaan)
Shredded Cheddar Cheese (atau apa-apa keju yang ada)




Setelah basuh kentang bersih-bersih tanpa buang kulitnya, hiris nipis dan susun begini di dalam dulang pembakar. Letak sekata sedikit olive oil dan taburkan sedikit garam. Kemudian masuk oven dan bakar pada suhu 200-205c selama 20-25 minit. Biar kekuningan sedikit, tambah masa jika perlu. Setelah masak, keluarkan.


 
Tabur cheese sedikit utk lapisan pertama dan ditambah pula sosej dan tabur cheese sekali lagi. Masukkan semula ke dalam oven dengan suhu 200-205c selama 5-10 minit. Tambah masa jika cheese belum mencair.


 Siap! Sudah boleh dimakan, tunggu suam sedikit dulu ya.



Thursday, October 1, 2015

MENU PERANTAUAN, RINDU KAMPUNG HALAMAN

Entri 53
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Nasi lemak ikan tongkol (ikan aya), satu menu pilihan wajib di Terengganu. Balik bercuti hari raya pada Julai lepas, saya tidak lepaskan peluang untuk menikmati hidangan pagi tersebut.  
 
Pada waktu mula-mula mendirikan rumahtangga dulu dengan suami, anak jati Terengganu, saya terkejut apabila bapa mertua membeli sarapan pagi nasi lemak ikan tongkol, bukan ikan bilis.
 
Saya yang sememangnya peminat ikan tongkol, terus jatuh cinta akan menu ini. Selain dari nasi dagang Terengganu, hidangan ini juga membuatkan saya lupa akan diet saya selama ini. ;)
 
Gambar ini adalah sarapan kami minggu lepas. Suami amat teruja apabila sebuah pasaraya kecil di Itaewon ada menjual ikan tuna yang mana rasanya saling tak tumpah dengan ikan tongkol.
 
Kami dapati ikan tuna hanya dijual apabila masuk musim luruh sehingga musim sejuk. Tidak tahu kenapa, tetapi kami membuat rumusan sendiri, mungkin hanya ada pada musimnya sahaja.
 
Saat menyuapkan suapan pertama, air mata saya hampir menitis. Terharu dan juga terbit rasa rindu yang amat kepada kampung halaman. Saya tahu, suami pun sama tetapi dia tidak menzahirkan rasa rindunya dengan kata-kata, cukup hanya melihat seleranya menjamu hidangan tanahair ini.
 
"Abang nak makan sarapan ini, nak bawa bekal untuk tengahari dan malam nanti abang nak ini juga," saya masih ingat kata-katanya. 
 
 
 
 
Ini pula sebungkus hidangan ini untuk kawan baik saya yang juga anak Terengganu, berkahwin dengan orang Finland. Dia tinggal berdekatan rumah kami di sini dan kami selalu bertukar juadah masakan Melayu.
 
Sebungkus nasi lemak ikan tongkol ini mungkin nampak biasa jika di Malaysia, tetapi cukup istimewa buat kami di perantauan di bumi Kimchi ini.
 
Syukur, Alhamdulillah.
 

Wednesday, August 26, 2015

NASI GORENG KIMCHI

Entri 19
 
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Menjadi kelaziman saya untuk memasak bekalan suami untuk makan tengahari di pejabat. Lokasi pejabatnya di tengah bandar Seoul menjadikan suasana di situ begitu sibuk dan tambahan pula tidak ada restoren makan halal di kawasan tersebut. Jadi, rutin harian saya adalah untuk memasakkannya bekalan. Syukur Alhamdulillah suami saya tidak cerewet bila tiba bab makanan. Dia hanya tidak mahu menyusahkan saya yang sibuk menguruskan anak-anak di waktu pagi. Jika sebelum ini saya sediakan nasi putih dan sedikit lauk pauk, tetapi sekarang dia hanya mahu saya masakkan nasi goreng. Rutin kerjanya tersangat sibuk sampai tiada masa untuk makan. Jadi dia mahu sesuatu yang senang di makan, tidak berkuah dan tidak bertulang kerana sudah terbiasa makan sambil membuat kerja di komputer.
 
Selain memasakkan nasi goreng selera Melayu, saya juga tidak lupa untuk mencuba nasi goreng ala Korea. Setelah mencuba beberapa kali, saya rasa saya sudah bersedia untuk berkongsi resepi Nasi Goreng Kimchi.
 
Resepi Nasi Goreng Kimchi oleh tini@seoulkitchen
 
Bahan-bahannya:
 
2 sudu besar minyak masak (saya gunakan minyak Canola)
1 ulas bawang putih
1/2 cawan kimchi yang di perah airnya dan dipotong kecil
2 cawan nasi putih
1 sudu besar kicap manis
Sedikit kicap sotong (sebagai pilihan)
Sedikit minyak bijan untuk memberi rasa
1/4 sudu kecil serbuk lada hitam
Sebiji telur hancur digoreng asing
Sedikit daun bawang
Satu biji cili padi (abaikan sekiranya kimchi sudah cukup pedas)
Garam dan gula secukup rasa
 
Cara-caranya secara ringkas:
 
1. Panaskan kuali dan masukkan minyak masak.
2. Tumiskan bawang putih
3. Masukkan kimchi dan kacau sehingga sedikit kering airnya. (juga cili padi jika perlu)
4. Masukkan nasi putih, kicap manis, garam, gula, lada hitam, kicap sotong dan kacau sebati.
5. Masukkan telur hancur, minyak bijan dan kacau sebati diikuti dengan daun bawang.
6. Siap dan hidangkan panas-panas.
 
Selamat mencuba.
 
 
 

 

Friday, August 21, 2015

JOM BUAT KIMCHI SENDIRI! (HOMEMADE KIMCHI)

Entri 12
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Kata gila Korea kan? Boleh makan kimchi tak? Kalau tak boleh makan, bukan peminat tegar namanya tu! Seperti semua orang tahu, Kimchi adalah makanan WAJIB orang Korea tidak kira musim atau ketika. Boleh dikatakan setiap kali makan, kimchi tidak akan di lupakan. Dan boleh dikatakan dalam setiap drama Korea, mesti kita akan perasan akan hidangan Kimchi. Kimchi merupakan makanan tradisional orang Korea yang mana ia merupakan sayur yang disediakan dengan cara pemerapan atau " fermentation".
 
Sebenarnya, saya mula mendengar perihal kimchi sewaktu saya belajar di Arizona dulu. Pada waktu itu, rakan sekerja saya di perpustakaan, Jun yang berasal dari Korea memperkata tentang Kimchi. Dia tidak boleh tidak ada kimchi semasa makan. Ibunya akan sentiasa membuat pengeposan Kimchi dari Korea ke Amerika. Dia juga pernah sekali dengan penuh bersemangat membawa botol kimchinya ke perpustakaan di tempat kami bekerja secara sambilan semata-mata untuk memberi peluang kepada saya mencuba rasa kimchi. Setelah memastikan dengan Jun bahawa ianya adalah sayur semata, saya mencubanya. Ah, masam! Itu adalah pandangan pertama saya terhadap kimchi setelah merasainya buat pertama kali. Tetapi untuk tidak mengecewakan Jun, saya tetap menelannya.
 
Apabila tiba di Korea, saya melihat Kimchi di mana-mana. Saya mencubanya apabila ke restoren yang menyajikan ikan bakar atau pun sotong pedas. Kimchi adalah salah satu hidangan wajib dalam menu di restoren korea selain daripada Doenjang Jjigae "Korean soybeanpaste stew". Ajaibnya, rasa kimchi di Bumi Sonata ini sangat sedap! Saya terus jatuh cinta pada kimchi. Saya pernah mencuba "Mak Kimchi" iaitu dalam bahasa korea "mak" bermaksud "simple"yang dibeli di Emart, salah sebuah pasaraya di sini. Tetapi rasanya tidak segar dan tidak sesedap kimchi "homemade" seperti di restoren. Saya tidak berputus asa dan membuat keputusan untuk cuba membuat kimchi sendiri.
 
Selepas membuat beberapa carian di Google, saya menemui pelbagai versi resepi kimchi. Saya rasa resepi Mak Kimchi seperti di bawah adalah paling senang :-
 
How to make your own kimchi:-
 
Ingredients
  1. 2 medium size napa cabbages (about 8 pounds)
  2. 1-1/4 cups coarse sea salt (less if using finer salt)
  3. 6 cups water
  4. 1 Korean radish, mu (about 1-1/2 pounds)
  5. 1 tablespoon coarse sea salt
  6. 5 - 7 scallions, roughly chopped
Seasoning
  1. 1 cup gochugaru (Korean red chili pepper flakes)
  2. 1/3 cup saeujeot (salted shrimp), finely minced
  3. 4 tablespoons myulchiaekjeot (fish sauce)
  4. 1/4 cup minced garlic
  5. 2 teaspoons finely grated ginger
  6. 1 tablespoon sugar
  7. large bowls (preferably at least 7 - 8 quarts)
  8. large colanders
  9. kitchen gloves
  10. airtight container(s) or jar(s) - about 1-1/2 gallons
 
Kalau rasanya bahan-bahan tersebut anda ada, boleh klik laman web Korean Bapsang untuk mengikuti langkah demi langkah membuat kimchi berserta gambar yang sangat senang untuk diikuti.
 
Selepas proses "cutting,salting & mixing", campuran tersebut haruslah dimasukkan ke bekas kedap udara dan diletakkan di suhu bilik selama setengah sehingga satu hari untuk memastikan kimchi tadi betul-betul melalui proses "fermentation". Kemudian, bekas tersebut haruslah diletakkan di dalam peti sejuk dan boleh disimpan di dalam peti sejuk seberapa lama kita mahu. Pertama kali mencuba kimchi dari air tangan sendiri, suami saya kata "not bad", sedap! Kami berdua sangat teruja walaupun rasanya tidak sama seperti di restoren, tetapi sekurang-kurangnya kimchi tersebut menepati selera kami. Alhamdulillah, tidak sia-sia usaha membuat kimchi sendiri. Selain dapat menjimatkan wang, kimchi ini juga dapat dinikmati bila-bila masa sahaja di rumah, tidak perlu ke restoren semata-mata untuk menikmati kimchi.
 
Ini botol kimchi pertama saya. Kami dapat habiskannya dalam masa dua minggu sahaja. Daniel dan Damia amat sukakan kimchi, seperti saya. Jadi, membuat kimchi sendiri amat berbaloi!
 

 
 


 

Nota: Maaf, saya tidak ada banyak gambar langkah demi langkah semasa membuatnya dek tidak dapat memegang telefon semasa proses menyediakan campuran. :)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...