Check this out

Wednesday, August 26, 2015

PENJUAL SUSU JALANAN DI SEOUL



Entri 20
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
 
Musim panas sudah sampai ke penghujungnya dan kadang-kadang Hanaa agak kebosanan di rumah seharian. Lalu ada harinya saya membawanya keluar berjalan-jalan di sekitar kawasan rumah kami. Melihat manusia lalu lalang, sibuk dengan urusan masing-masing. Gerak gaya jalannya pada kelajuan biasa, berbeza pada musim sejuk. Dek tidak tahan dengan kesejukan, boleh dikatakan semua orang berjalan laju untuk cepat-cepat sampai ke destinasi.
 
Ada suatu hari, saya bertanya sendiri. Siapa mereka ini, berpakaian seragam lengkap termasuk topi dan menolak sesuatu seperti berjualan. Laluan jalanan mereka berbeza, sepertinya mempunyai kawasan jualan sendiri. Sehinggalah pada satu ketika saya merapati salah seorangnya.
 
"Annyeonghaseyo!" Saya mengucapkan hello dalam bahasa Korea yang formal. Membalas teguran saya dengan perkataan yang sama, dia tersenyum. Memandangkan saya tidak tahu apa lagi untuk ditanya dalam bahasa Korea, saya hanya tersenyum dan mengintai jualannya. Penuh dengan pelbagai jenis susu berbeza perisa di dalamnya. Kemudian saya berlalu, terus teringatkan akan seorang kenalan yang pernah memberitahu bahawa kerajaan di sini amat menggalakkan rakyat mereka untuk meminum susu.
 
Mereka ini adalah penjual susu dari salah satu pengeluar susu terbesar di sini. Setiap penjual mempunyai kawasan jualannya sendiri, jadi tidak hairanlah kalau kita dapat lihat mereka yang berpakaian seragam sebegini ada di mana-mana. Satu langkah yang amat berkesan untuk sampai kepada pelanggan secara langsung. Memandangkan di sini rakyatnya suka berjalan, maka mekanisme ini amat sesuai.
 
Ini pakaian mereka di awal musim bunga dan musim luruh. Ditambah lagi baju tebal bila tiba musim sejuk.

 
 
 
Ini pula pakaian mereka di musim panas. Susu yang dibawa di dalam "peti" itu tetap sejuk dan nyaman untuk diminum.
 
 
 
Dan ini pula adalah "banana uyu" iaitu susu berperisa pisang. Harus dicuba jika datang ke Korea!
 
 
 
 

 
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...