Check this out

Sunday, September 13, 2015

HUJUNG MINGGU DAN KENANGAN

Entri 49

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Alhamdulillah hari ini cuaca panas masih lagi bersisa, sesekali terasa bayu bertiup nyaman mengirimkan salam musim luruh yang bakal tiba tidak lama lagi.

Saya ambil kesempatan untuk membasuh selimut/pelapik tilam tebal sebagai persediaan musim luruh seterusnya musim sejuk nanti. Lain rasanya jika kering dengan mesin pengering berbanding kering dengan cahaya matahari. Bau panasnya juga berbeza.

Seperti biasa, saya buka semua tingkap di dalam rumah untuk pertukaran udara, selagi boleh. Jika tidak, semuanya akan ditutup rapat apabila musim sejuk nanti.

Sesekali terhidu aroma masakan Korea dari rumah atas di Tingkat 2. Kedengaran juga seorang ibu berbicara dengan anaknya dari rumah yang sama. Mungkin dia juga dapat meneka saya pun sedang memasak dek semerbak tumisan bawang dan cili kering untuk sambal terung saya masih di atas dapur.

Hari ini, anak-anak masih lagi di rumah menghabiskan cuti di hujung minggu bermain, bergaduh, berlari dan sebagainya memeriahkan suasana ahad ini. Sesekali kedengaran suara Daniel memarahi Hanaa kerana memindahkan semua mainan Tea Party ke bilik abangnya. Hanaa hanya gelakkan si abang, lucu mungkin.

Tiba-tiba saya terdetik, Hanaa sudah besar dan akan menginjak ke umur 4 tahun pada tahun hadapan. Kemudian, dia  mungkin akan ke sekolah juga. Tidak lagi menemani Mama di rumah.

Saya akan sunyi.

Saya akan rindukan suasana hingar bingar di dalam rumah seperti ini. Tiada lagi yang akan berlari-lari, menjerit berebutkan barang permainan.

Sungguh cepat masa berlalu.
Hari berganti hari.
Minggu berganti minggu.
Musim berganti musim.

Saya akan rindu pada kenangan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...