Check this out

Saturday, November 7, 2015

MOTIVASI SURIRUMAH - NASI LEMAK CINTA

Entri 87
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Kadang-kadang kita kena kreatif untuk mencari kelainan dalam kehidupan harian kita.
 
Kalau asyik cara sama, rutin sama, mungkin kita akan terasa bosan dan tidak ada kekuatan semangat.
 
Jadi, kita sendiri perlu cari di mana dan apakah sumber kekuatan semangat kita.
 
Bagi saya sendiri, sebagai seorang surirumah yang sudah tentu-tentunya anak-anak dan suami akan bersarapan di rumah, saya kena pelbagaikan juadah menu pagi. Ringkas tidak mengapa, janji kita ikhlas.
 
Kepelbagaian ini mungkin dari segi menu itu sendiri ataupun cara penyediaan. Bukan sahaja untuk membuatkan orang di sekeliling kita tidak jemu, malah untuk menceriakan kita sendiri bagi menghadapi kerja-kerja seharian.
 
Semoga kita sentiasa ceria!

 
 
 
 
Nota: Nasi lemak ringkas bersama teh tarik sementara susu pekat masih ada berbaki. Di Korea ini, mereka tidak guna susu pekat :)

Friday, November 6, 2015

MANIS DAN MAGISNYA DOA

Entri 86

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Alhamdulillah pagi yang ceria.
Selamat pagi dari Seoul.

Melihatkan keriangan anak-anak untuk ke sekolah, hati jadi senang. Dapat menghilangkan kepenatan awal pagi seorang ibu.

Masih tidak sabar menunggu mereka pulang walaupun sudah maklum "meriah" nya nanti.

Kalau kita sibuk ditempat kerja ataupun di mana sahaja, jangan lupa "jenguk" anak di sekolah.

"Jenguk" dalam erti kata seperti panggilan telefon ke rumah pengasuh itu memang sudah semesti kita buat, mungkin ada yang ambil peluang untuk bercakap dengan anak.

Jika anak sudah bersekolah mungkin boleh cuba selitkan nota cinta kepada anak-anak melalui bekalan makanan, beg, beg baju sukan dan sebagainya.

Saya banyak belajar dari Damia, a very sentimental kid. Hampir setiap hari dia balik, dia akan beri nota/surat/kad kepada saya. Dia ambil masa untuk siapkan pada waktu "playtime" atau waktu rehat.

Sangat ringkas seperti ucapan "Mom, I love you" atau ada juga berjela ucapan kenapa dia sayang saya. Untuk Hanaa juga ada, walaupun Hanaa masih belum boleh membaca.

Itu semua membuatkan saya sentiasa tidak sabar menanti mereka pulang. Semua ibubapa pun sama. Cara kita mungkin berbeza tetapi satu pasti sama, iaitu DOA.

Saya pasti, kita semua setiap kali teringat hal anak-anak, automatik sepintas DOA akan terucap.

DOA ibu bapa ini manis dan ada magisnya. Penuh mengharap.

Semoga urusan semua dipermudahkan di hari Jumaat yang penuh barokah.

Aamiinn.



Thursday, November 5, 2015

ISU PALING COMEL MESYUARAT DI SEKOLAH HARI INI


Entri 85

Teks:KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Hari ini, hari yang lebih sibuk dari biasa gara-gara mesyuarat ibu bapa yang dijadualkan di awal pagi. Sebelum ini, mesyuarat ibu bapa di sekolah diadakan di sebelah petang, jadi saya boleh merancang masa sebaiknya.

Selepas menghantar anak-anak ke bas sekolah pada jam 8.15 pagi, saya bergegas pulang ke rumah untuk siapkan Hanaa. Dia agak meragam kerana tidur lewat malam tadi. Teringat lagi kata-kata dia malam tadi.

"Mom, I can't go sleep because I'm so happy, see!" Ujarnnya sambil tersengih.

Oleh yang demikian, dia tidak ada mood yang baik pagi ini kerana dikejutkan awal lagi.

Kemudian saya bergegas ke sekolah dengan menolak stroller. Saya jangka dia akan tertidur, jadi memudahkan urusan saya di sekolah  nanti, namun tidak.

Matanya segar bugar tetapi tidak begitu memberi kerjasama. Dia menangis sekejap di perjalanan sehinggakan beberapa orang Korea berhenti melihat keadaannya di dalam stroller sewaktu kami menunggu lampu isyarat untuk melintas. Saya hanya buat tidak tahu sambil tunduk menenangkan Hanaa.

Setelah sampai di sekolah, dia sedikit tenang. Masuk ke kelas Abangnya, dia tersenyum. Mesyuarat hanya diadakan di dalam kelas pelajar sementara mereka ada pelajaran Physical Education (seperti Pendidikan Jasmani).

Setelah duduk, cikgu meminta ibu bapa menulis di nota kecil yang disediakan serta menampalnya ke papan putih di hadapan kelas. Ada dua kolum, "What is going  well so far  VS It is better if".

Kebanyakan ibu bapa menulis pendapat atau isu yang ingin diutarakan. Tapi saya hanya bertanya kepada cikgu terus apa yang saya ingin tahu. Memandangkan saya tiada isu serius untuk diutarakan, saya hanya memerhati perjalanan mesyuarat.

Selepas beberapa ketika, cikgu mula memberi penerangan dan menjawab isu yang ditulis. Namun dia memegang satu nota di tangannya, katanya akan diberi penerangan kemudian.

Saya tertanya-tanya juga, apa isunya. Saya cuba meneka, namun rupa-rupanya tekaan saya jauh tersasar.

Isu berus gigi!

Katanya, selepas makan tengahari, murid-murid diberi masa 10 minit untuk memberus gigi. Namun, ada di antara murid-murid yang leka berbual sehingga terlepas waktu itu dan bersegera ke kelas untuk meneruskan pelajaran.

Saya ingatkan isunya sudah selesai selepas penerangan itu, namun ibu bapa pelajar Korea mula bercakap dalam Bahasa Korea dan suasana sedikit "meriah". Ada muka ibu yang panik. Melihat keadaan itu, cikgu kelas membuat muka terkejut dan salah seorang daripada ibu-ibu tadi bersuara.

"Sorry, we are still talking about the brushing teeth". Ya, ada yang boleh berbahasa Inggeris, tetapi mereka tidak gunakannya semasa berbual sesama mereka. Bagus, namun tidak sopan jika berada di hadapan orang asing.

Melihat keadaan itu dan masa pun sudah terlambat, cikgu terpaksa membuat kesimpulan isu itu sendiri. Ibu bapa berkenaan perlu menasihati anak masing-masing sejauh mana kepentingan memberus gigi dan perlunya mereka mengurus masa dengan baik.

Kemudian mesyuarat bersurai.

Orang Korea amat mementingkan pemberusan gigi. Ada yang mementingkan untuk berus gigi sehingga empat kali sehari. Malah, kalau ada lawatan keluar dari sekolah pun, anak-anak dibekalkan berus gigi walaupun hanya setengah hari lawatan.

Sangat menarik bukan? Saya rasa isu hari ini sangat comel.

Semoga mesyuarat pada masa depan dapat bincangkan isu yang lebih dewasa.





Nota: Ini adalah gambar Nota dari mesyuarat tadi. Kerana saya tidak menggunakannya untuk menulis isu di dalam kelas, saya beri pada Hanaa. Namun dia minta saya pegang tangannya untuk menulis perkataan yang dia mahu. Sebelum meninggalkan kelas, dia menarik tangan saya untuk pass kan kepada Abang. Sweet Hanaa. Saya nampak muka Daniel terkejut dan kemudian tersenyum.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...