Check this out

Thursday, April 7, 2016

BELAJAR TENTANG HIDUP, TIADA PENGHUJUNGNYA

 
Entri 129
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
 
Kita selalu mendengar kata-kata "zaman belajarku sudah berlalu".
 
Bagi saya, menjadi seorang pelajar tidak pernah ada hujungnya. Setiap hari kita belajar.
 
Belajar memasak resepi baru, belajar menangani masalah rumahtangga, belajar menguruskan tekanan dan emosi, belajar menjahit, belajar bahasa dan sebagainya.
 
Apatah lagi belajar tentang kehidupan.
Lain waktu, lain ceritanya.
Lain cara, lain kisahnya.
Lain orang, lain peelnya.
 
Semuanya termasuk dalam proses pembelajaran.
 
Oh, ya! Saya terjumpa lencana khazanah lama sewaktu saya belajar di Amerika dulu. Pihak Malaysia Airlines (MAS) memberikan lencana ini di lapangan terbang sewaktu penerbangan pertama saya ke Amerika Syarikat.
 
Sudah 14 tahun berlalu, tetapi masih tersimpan elok dengan saya. Bukan sahaja lencana ini, tetapi kenangan di sana juga masih segar diingatan.
 
Bergelar pelajar di bumi asing, mana mungkin saya lupakan susah senangnya.
 
Setiap hari belajar perkara baharu, setiap hari juga saya mengenal erti kehidupan.
 
Sehingga hari ini, saya masih lagi bergelar pelajar.
 
Yang terbaru, saya belajar untuk tingkatkan kesabaran.
 
200 peratus berganda. 
 
 

HANOK VILLAGE SUWON - PART 2

Entri 128
 
Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
 
Maaf, sudah agak lama entri ini tertangguh. Gambar-gambar sudah lama berada di dalam deraf tetapi masih tidak boleh dipaparkan kerana belum menulis ceritanya.
 
Untuk bahagian kedua lawatan kami ke Hanok Village di Suwon ini, ianya secara kebetulan. Kami yang sudah kepenatan melawat bahagian sebelum ini (PART 1), mencari-cari jalan keluar.
 
Tetapi, lain pula ceritanya. Anak-anak terutamanya Fahmi agak ceria melompat apabila ternampak tempat yang seakan taman tema permainan.
 
Alang-alang sudah sampai dan anak-anak pun sudah teruja, kami membuat keputusan untuk singgah. Selepas mencari 'port' yang sesuai untuk menunaikan solat, kami menuju ke tempat ini.
 
Pelbagai permainan keluarga disediakan. Saya sertai anak-anak naik kuda berpusing. Sesekali seronok juga bermain permainan sebegini. Tidak sedar yang kita sudah berusia. Layankan sahaja demi anak-anak.
 
 







Tasnim dan Hanaa kelihatan memakai baju hasil dari airtangan saya, koleksi Tinicraft. Alhamdulillah, selain dari jimat, saya amat berpuas hati dapat menjahit pakaian anak-anak. Sama seperti zaman kanak-kanak saya, Ma lah yang jaihit baju saya.
 








Selepas dua jam, kami bergerak pulang kerana hari sudah beransur petang. Anak-anak sudah kepenatan. Alhamdulillah. Lawatan kami pada waktu itu lebih dari yang dijangkakan. Semoga kami ada rezeki lagi untuk kembali ke sini. In shaa Allah.


Wednesday, April 6, 2016

PISAU DIASAH MENJADI TAJAM

Entri 127

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN 

Subuh di sini sudah menginjak ke awal pagi iaitu jam 440 pagi waktu tempatan. Saya bangun awal pagi dan kebiasaanya tidak tidur kembali selepas Subuh. Tetapi hari ini saya kembali berbaring kerana tidak sedap badan.

Selepas sejam (terjaga banyak kali), saya menuju ke dapur untuk bersarapan. Ambil pisau untuk potong roti yang dibuat hari Sabtu lepas bagi menyediakan roti bakar. Tanpa saya sedari, saya menghiris jari sendiri. Sakitnya sangat ngilu.

Darah keluar menitik, saya bergegas mencari strip bandage di kabinet bilik air. Selepas sapukan gamat, saya balut jari. Agak pedih.

Saya buat secawan kopi dan duduk di meja sambil melihat jari telunjuk yang luka. 

Saya sudah lama tidak asah pisau di dapur. Tetapi sewaktu Abah dan Ma datang tempoh hari, Abah lah yang asah semua pisau.

Saya terfikir, hati kita pun kalau sudah lama tidak "diasah", akan tumpul juga. Allahu Akbar.

Sejak kepulangan Abah dan Ma ke Malaysia, saya banyak bermuhasabah diri.

Berbicara tenang dan selesa dengan orang tua, kita pasti dapat sesuatu darinya. Mereka kelihatan tidak terkejar-kejar akan hal dunia. Bangun tahajjud seperti biasa walaupun Subuh di sini awal dan waktu di sini awal sejam dari Malaysia.

Mengenang erti memberi dan menerima, mereka menunjukkan erti sebenar bahagia. 

Ya Allah banyak nya dosa yang sudah dilakukan tanpa saya sedari.

Hati dah tumpul, syaitan cucuk sedikit sudah tersungkur, tidak cuba melawan.

Alhamdulillah, syukur ya Allah kerana telah menyedarkan lamunan hidupku. Walaupun kebenaran pahit untuk diterima terhadap semua kekhilafan diri, namun terasa manisnya nikmat penyesalan.

Manisnya kerana Allah sedarkan kita sebelum lebih jauh lagi tenggelam.
Manisnya kerana Allah kejutkan kita dari hanyut kealpaan.
Manisnya kerana Allah beri peluang sebelum menutup mata. 

Hidup mesti diteruskan. 

Pisau sudah tajam, kerja menjadi lebih cekap, namun masih perlu berwaspada.
Hati sudah tajam, iman dan amal perlu diperelok dan sentiasa berwaspada akan tipu daya syaitan yang datang dalam pelbagai bentuk dan orang di sekeliling kita.

Semoga kita semua di bawah lindungan Allah SWT.

Aamiin.
 




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...