Check this out

Friday, February 12, 2016

TIPS TRAVEL KE KOREA DENGAN ANAK KECIL

Entri 117

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Sememangnya, kita ibu-ibu akan sentiasa pening apabila membuat persiapan untuk pergi travel bersama anak-anak kecil.
 
Jika ada ruang untuk tangguhkan, kita akan tangguhkan. Tetapi jika peluang itu hanya datang sekali sahaja, mungkin kita tidak akan lepaskannya.
 
Ada rata-rata yang saya temui di sini, sanggup datang bersama anak kecil kerana mengikuti suami ada urusan kerja dan tak kurang juga yang memang datang melancong. Ada dapat tiket murah, mengambil peluang cuti lama dan sebagainya.
 
Gambar di bawah ini adalah hari ketiga kami tiba di Korea. Pada masa itu kami hanya menggunakan stroller biasa untuk Hanaa, si kecil yang berumur setahun lebih. Amat tidak selesa kerana tidak dapat menggunakan tangga atau escalator dan sebagainya.
 
Tetapi kerana terpaksa, kami keluar meredah sejuk dek mencari baju sejuk tebal yang masih tidak cukup untuk kami dan anak-anak.
 
Ini adalah pandangan di Namdaemun Market. Melalui beberapa maklumat carian di Google, kami menaiki teksi ke sana.
 
 
Semasa sibuk memerhatikan orang kiri dan kanan, ada beberapa "ahjumma" yang menegur saya.
 
Memang pada waktu itu tidak memahami satu pun bahasa Korea, tetapi saya boleh fahami dari segi gaya bahasa tubuh mereka.
 
Mereka mengatakan, bayi dalam stroller itu sejuk. Tidak cukup dengan hanya memakai baju sejuk tebal. Perlu selimut.
 
Saya masih tercari-cari kedai yang sesuai dan harga yang berpatutan. Pada masa itu, masih lagi tidak dapat setkan minda untuk tidak membuat kiraan tukaran wang Won kepada RM. Semuanya dirasakan mahal.
 
Kemudian, Fahmi yang pada masa itu masih belum matang merengek-rengek hendakkan mainan. Memandangkan kontena barang-barang kami masih belum sampai, jadi saya membuat keputusan untuk membeli sesuatu untuk mereka.
 
Semasa saya membawa anak-anak naik ke tingkat dua Alpha, tempat menjual alatulis dan mainan, suami menjaga Hanaa di bawah dek stroller yang tidak mesra tangga.
 
Selesai membeli barang mainan anak-anak, suami beritahu saya dia sudah ada selimut untuk Hanaa.
 
Rupa-rupanya, ada seorang pekerja Alpha itu memberikan dia selimut percuma sahaja kerana kesiankan Hanaa kesejukan.
 
Rasa terkejut, terharu pun ada.
 
 

Ok, berbalik kepada tips untuk travel bersama anak kecil tadi. Memandangkan ini sudah masuk tahun ketiga kami di sini, saya ingin kongsikan serba sedikit tips berguna untuk travel bersama anak kecil ke Korea. Untuk musim sejuk, persediaan perlu lebih sedikit untuk memastikan anak-anak tidak kesejukan.
 
TIPS TRAVEL KE KOREA DENGAN ANAK KECIL
 
1. Bawa "umbrella stroller"
 
Stroller seperti ini amat diperlukan di Korea kerana kita akan banyak berjalan dari satu tempat ke tempat yang lain. Selain ringan, ianya senang dilipat jika tidak digunakan dan senang dibawa di bahu sekiranya perlu. Kita juga akan banyak menaiki pengangkutan awam seperti bas, subway ataupun teksi. Selain itu, kita akan banyak menggunakan tangga. Jika anak tidur di dalam stroller, kami akan angkat stroller itu begitu sahaja kerana tidak mahu anak terjaga.
 
 
 
Ini pula di dalam subway. Sewaktu tiada tempat duduk, Hanaa masih boleh duduk dengan selesa sambil makan biskut! Kalau stroller besar, mungkin agak rumit untuk buka dan tutup dengan kerap ataupun agak berat untuk dibawa di bahu.
 

 
 
Oh ya, ada di sesetengah tempat, kita boleh menyewa stroller dengan harga yang sangat berpatutan. Jangan lupa ambil deposit apabila pulangkan stroller. Seperti di Nami Island, Hanok Village dan sebagainya, kami lebih suka untuk sewa stroller di situ yang mana lebih kukuh untuk melalui jalan berbatu dan berpasir. Ini gambar di Hanok Village Suwon. Kami menyewa stroller mereka sahaja.
 
 
 
2. Guna lif
 
Apabila menggunakan subway, kita terpaksa menggunakan lif, escalator atau tangga. Ada tempat yang hanya ada tangga sahaja. Jadi perlu sesuaikan dengan keadaan. Seperti gambar di bawah ini, kami tidak terjumpa di mana bahagian lif. Kerana mengejar masa, kami terpaksa menggunakan escalator ini.
 
Jika anak tidak tidur, saya akan pegang dia dan melipat stroller. Tetapi memandangkan dia tidur, ini caranya. Tetapi perlu berhati-hati. Jika tidak yakin, jangan sesekali mencuba. Macam kes saya ini, ada orang "kuat"  ramai. :). Kalau saya seorang, saya sudah tentu tidak akan gunakan cara ini.
 


 
 
3. Baby carrier
 
Sebagai alternatif, anda boleh gunakan baby carrier jika anak masih ringan. Penting, seperti saya katakan tadi, di sini anda perlu banyak berjalan samaada untuk melihat permandangan ataupun membeli belah. Jalan pun banyak berbukit dan bertangga. Jika anak sudah berat, anda mungkin akan hadapi masalah sakit pinggang dan sebagainya kerana anda akan melalui hari yang panjang. Kita seharusnya akan  memaksimumkan aktiviti jika pergi travel ke sesuatu tempat. Takkan hendak duduk di hotel atau rumah rehat sahaja kan?
 

 
Sekali lagi, saya lebih sukakan stroller. Boleh juga gunakan untuk sangkut barangan shopping. Seperti gambar di bawah, kami di Noryangjin Fish Market. Kami tidak mahu Hanaa berlari-lari di kawasan sebegini, jadi stroller amat praktikal.
 

 
4. Bawa selimut di musim sejuk
 
Seperti saya ceritakan di atas tadi, tidak cukup dengan baju tebal dan sarung tangan sahaja. Perlu selimut untuk anak-anak kerana angin sangat sejuk. Lebih baik lagi jika stroller itu dilengkapi penutup seperti gambar satu lagi. Anak-anak boleh tahan sejuk angin, hujan, salji dan sebagainya.
 
Selimut biru di bawah ini juga Hanaa dapat percuma dari seorang "ahjumma". Kami sudah ada selimut pada waktu itu tetapi tersimpan di dalam beg kerana cuaca masih tidak berapa sejuk. Tetapi "ahjumma" itu berkeras juga memberi dua selimut yang baru sahaja dibelinya, masih di dalam plastik. Sepanjang di sini, Hanaa sudah dapat lebih dari lima selimut percuma. Alhamdulillah.
 


 

 
 
5. Air dan bekalan makanan
 
Musim sejuk terutamanya, anak-anak cepat lapar dan makan tidak kira masa. Mungkin kita sendiri pun cepat lapar. Memandangkan tidak semua makanan boleh dimakan di sini, ada baiknya bawa bekalan sendiri. Sekurang-kurangnya untuk kudap-kudapan anak-anak.
 
Seperti di bawah ini, sewaktu kami menaiki bas. Saya melipat stroller dan letak di tepi. Hanaa meminta biskut dan air. Kita pun tidak mahu anak-anak merengek sewaktu dalam perjalanan, jadi buat persiapan secukupnya.
 
 
Tetapi jangan terkejut sekiranya ada "ahjuma atau ahjushi" yang berikan pelbagai makanan untuk anak-anak kita seperti cheese stick, gula-gula, biskut dan sebagainya. Ambil sahaja untuk menghormati mereka, ucap "kamsahamnida" (terima kasih) dan terus simpan di dalam beg. Nanti apabila masa yang sesuai dan bukan di hadapan mereka, cuba baca kandungan bahan di dalamnya. Seperti kami  ini tidak faham apa-apa, kami tidak makan. Anak-anak pun sudah faham jika kita kata tidak Halal. Oh ya, ada juga yang bagi duit!
 
 
Jika ingin cuba "street food" yang dijual, terutamanya yang hanya ada pada musim sejuk, anda boleh cuba kuih ikan dan kek telur seperti ini.
 
Ini versi yang kami beli untuk Hanaa. Penjual meletakkan di dalam cawan kertas sebegini untuk senang dipegang.

 
Ini pula versi yang saya buat sendiri di rumah. Bentuk tidak sama kerana tiada acuan seperti itu, tetapi rasanya sama. Jadi biasanya, saya akan cuba buat bekalan anak-anak supaya kami tidak perlu membeli makanan luar.


Ini pula kuih ikan. Kami panggil kuih ikan kerana bentuknya. Tidak ada ikan pun di dalamnya, hanya inti kacang merah. Sedap dimakan panas-panas.

 
 
Ini adalah gambar bersama anak-anak mencuba street food kuih telur, kuih ikan dan juga sup fishcake.
 
 
 
Ini pula gambar berbekal di Nami Island. Homemade roti dan kimbap.
 


 
 
6. Pakaian yang sesuai
 

Semasa berjalan di luar terutamanya di musim sejuk, pastikan anak-anak memakai pakaian yang sesuai. Bukan tebal semata, tetapi perlu berlapis-lapis untuk pengudaraan dan pernafasan yang cukup. Kita tidak mahu badan anak "masuk angin" yang akan menimbulkan masalah kesihatan dan sekaligus mengganggu percutian dan aktiviti bershopping.
 
Ini contoh pakaian yang saya pakaikan untuk Hanaa. Penting untuk tutup pusatnya. Kemudian saya sarungkan stokin, jeans dan sehelai baju di luarnya. Barulah diikuti dengan baju sejuk tebal, thermal socks, snowcap, gloves,neck warmer, mask, snow boot dan sebagainya.
 
 
 
 Ini contoh pakaian lengkap Hanaa sewaktu mengikuti Hwacheon Ice Festival tempohari.

 
 
Ataupun, saya guna kan rompers dan legging yang menutup terus kakinya. Kemudian sarungkan baju dan seluar biasa. Barulah diikuti dengan jeans dan baju sejuk tebal.
 
Jika tidak gunakan jeans, saya gunakan baju snowsuit sebegini terutamanya untuk aktiviti sledding ataupun main salji. Senang, sekali sarung sahaja. Baju di dalam pun tidak basah. Gloves juga saya gunakan yang bertali, senang. In shaa Allah tidak tercicir. (pernah ada beberapa kali pengalaman tercicir gloves)
 
 
 

 
Untuk anak-anak yang lebih besar, masih juga tiga lapisan pakaian. Di mulakan dengan baju dan seluar thermal, baju dan seluar sederhana tebal kemudian diikuti dengan baju sejuk tebal dan jeans serta aksesori yang lain.


 

Ini sahaja tips dan pengalaman yang saya dapat kongsikan pada masa ini. Semoga percutian anda ke Korea bersama anak-anak dipermudahkan.

8 comments:

  1. Kek telur tu nampak sedap, boleh share resepi?

    ReplyDelete
    Replies
    1. aah kak sedap.anak2 suka. ada juga orang tanya resepi, so tini kongsikan kat blog tadi. nanti akak cubalah.

      http://khushartinikamarulzaman.blogspot.kr/2016/02/resepi-gyeranbang-kuih-telur-street.html

      Delete
  2. Sy plan bwk twins pegi korea musim sejuk ni tpi sy dlm dilema...mampu ke x utk jge twins sepjg kt korea bersme suami saje...huhu..ape pndpt sis?mtk advice sket..hee

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau sis datang ada ahli keluarga lain membantu mungkin senang sikit.musim sejuk ni sangat mencabar.kesihatan anak2 perlu diutamakan.mcm kami kt sini cuba elakkan keluar rumah sbb sejuk di korea ni lain mcm.dgn angin skali.kalo lps snow tu jalan licin lg. Anak2 mmg kena bundle up betul2 tp agak kesian sbb sejuk.kalau saya ditempat sis saya dtg time spring.sejuk2 aircond gitu.

      Delete
    2. Kalau sis datang ada ahli keluarga lain membantu mungkin senang sikit.musim sejuk ni sangat mencabar.kesihatan anak2 perlu diutamakan.mcm kami kt sini cuba elakkan keluar rumah sbb sejuk di korea ni lain mcm.dgn angin skali.kalo lps snow tu jalan licin lg. Anak2 mmg kena bundle up betul2 tp agak kesian sbb sejuk.kalau saya ditempat sis saya dtg time spring.sejuk2 aircond gitu.

      Delete
  3. baju2 romper sejuk beli dimana

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya beli di korea ni kat costco,uniqlo dan kids clothing stores di namdaemun

      Delete
    2. Saya beli di korea ni kat costco,uniqlo dan kids clothing stores di namdaemun

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...