Check this out

Sunday, January 17, 2016

SALJI MALU-MALU KUCING

Entri 103

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Selamat pagi dari bumi Seoul, bersuhu negatif. Sejuk menggigit.

Alhamdulillah syukur masih bernafas di bumi Allah dan masih lagi mampu menulis di sini setelah agak sepi seketika atas sebab kesihatan. Selagi namanya hidup, ada kalanya sihat, adakalanya sakit. Ada kalanya kita di atas, ada kalanya kita di bawah.

Beberapa hari lepas, anak-anak kembali teruja dengan kehadiran cik salju putih, walaupun sekejap dan sedikit sahaja. Setelah beberapa kali ramalan cuaca mengatakan salji akan turun tetapi tidak, anak-anak agak hampa.

Bukan pertama kali mereka melihat salji, namun setelah dua tahun berada di sini, musim sejuk pada kali ini agak kurang sejuknya dan saljinya. Aktiviti kebiasaan anak-anak pada musim sejuk tidak seperti sebelum ini dek ketiadaan salji.

Kadang-kadang saya sendiri pun rasa teruja melihat butiran putih turun bak kapas dan keadaan di dalam rumah pun akan menjadi lebih cerah dari biasa dek tempias pantulan warna putih dari luar rumah.

Ini adalah kawasan belakang rumah kami (backyard) tempat anak-anak bermain dan membuat aktiviti melukis dan mewarna.




Hanaa menjadi orang pertama keluar ke belakang rumah setelah cepat bersiap berbanding kakak dan abang.


Tasnim membuat aktiviti menyodok salji yang tidak berapa banyak itu untuk membuat snowman katanya.

Tiga anak-anak syurga saya, in shaa Allah. Melihat mereka riang bermain membuatkan hati kita tenang dan dapat melupakan kesibukan seharian.


Orang salji mereka yang agak kecil dek ketidakcukupan salji pada kali ini. Namun mereka tetap bersemangat seperti biasa.

Memandangkan ini adalah musim sejuk terakhir kami di bumi Seoul ini, saya berdoa agar ada lagi salju untuk anak-anak mengabadikan memori indah di bumi asing ini.


Saturday, January 16, 2016

MAKAN, A HALAL KOREAN RESTAURANT, ITAEWON

Entri 102

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto:KHUSHARTINI KAMARULZAMAN & FB MAKANKOREA

Pada entri kali ini, saya ingin bawakan salah satu restoren halal di Itaewon, Seoul iaitu Restoren Makan.

Saya masih lagi ingat pada waktu itu saya dan keluarga sedang makan di restoren hadapan dan melihat beberapa orang pekerja sedang mengubahsuai kedai ini dan menggantung papan tanda nama restoren ini iaitu MAKAN. Saya terdetik, eh restoren Malaysia ke Indonesia ni? 

Apabila restoren ini mula dibuka, kami juga tidak lepaskan peluang untuk mencuba. Rupanya kedai makanan korea halal! Kedai ini juga berdekatan dengan restoren makanan korea halal yang saya ceritakan sebelum ini iaitu EID.

Kali pertama mencuba, kami terus jatuh cinta. Pemilik kedai ini adalah seorang rakyat Korea yang sudah lama memeluk Islam dan pernah tinggal di negara Arab. Dia yang juga sangat fasih berbahasa Arab, merupakan seorang yang peramah dan murah dengan senyuman.

Anak-anak sangat selesa ke sini dan gemar makan nasi beras korea dengan bulgogi di sini. Dengan side dishes yang banyak, hidangan ini amat sempurna.

Ini adalah contoh menu yang kami biasa nikmati di sini.


Di antara menu lain yang ada di sini adalah seperti di bawah.


Ini adalah salah seorang pelanggan tetap di sini.



Jika anda berpeluang ke Itaewon, bolehla ke restoren Makan ini berdekatan dengan kawasan masjid.


Boleh dapatkan info lanjut di FB Makan, https://www.facebook.com/MakanKorea


Alamat:
52, Usadan-ro 10 gil, Yongsan-gu
Seoul, South Korea
Tel: 02-6012-2231

MENCARI PELUANG DALAM RUANG

Entri 101

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN


Tahun 2016 ini, saya kira tahun yang makin mencabar. Bukan sahaja saya terkesan, malah ramai di antara kita yang mula terasa hanyut dan lemas dalam sungai cabaran yang tidak putus-putus mengalir deras. Melihat berita di tanahair, saya turut berdebar-debar. Banyak kos sara hidup meningkat, kenaikan tambang kenderaan awam, cukai dan sebagainya.

Ramai yang terkesan dengan itu semua. Namun, dalam pada itu saya cukup kagum dengan beberapa usaha anak-anak muda masa kini yang masih tidak berputus asa dan bijak mencari peluang dalam ruang ini.

Kisah donat 10 sen, nasi lemak 90 sen, pandu lalu menu sarapan serta kopi di tepi jalan, nasi bajet dan sebagainya.

Macam mana mereka boleh lakukan itu semua dalam keadaaan kos yang serba mahal sekarang?

Saya ada mengikuti kisah di antara mereka di atas. Menjadikan saya lebih kagum dengan mereka, perkara yang pertama bagi mereka adalah niat berniaga itu sendiri. Niat, adalah perkara utama dan harus lurus.

Seperti kata anak muda donat 10 sen itu, dia tidak boleh tidur lena sekiranya mengambil untung lebih. Dia berniaga kerana niat nak tolong orang membeli kuih tanpa rasa terbeban dengan kos kehidupan masa sekarang.  Dia bermula dengan meminjam peralatan menggoreng dengan kawan dan sebagaiya untuk memulakan perniagaan.

Point yang besar di sini adalah semangat mereka kuat untuk memulakan sesuatu. Tidak hiraukan kata-kata orang, mereka terus bangun. Walaupun keuntungan itu sedikit, tetapi keberkatan itu jauh lebih mahal, lalu Allah mencukupkan. Alhamdulillah.

Semoga kita dapat belajar sesuatu dari kisah mereka semua.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...