Check this out

Monday, October 19, 2015

MAKAN UBAT DALAM PISANG

Entri 64

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Beberapa minggu lepas, saya demam dan tidak banyak bergerak. Keletihan.

Damia, sudah menjadi kelazimannya apabila melihat saya terbaring lesu, dia akan datang dekat untuk picit kepala saya dan sebagainya.

Pulang dari sekolah pada hari berikutnya, dia kelihatan tidak bermaya. Dia memberitahu saya dia demam. Saya menyuruhnya mandi terlebih dahulu. Kemudian saya cek suhunya, 39c, tinggi!

Tanpa berlengah saya berinya ubat demam yang sudah ada dalam simpanan, selepas dia menjamah sedikit makanan. Kemudian, dia tidur.  Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan makan ubat.

Sesekali saya menjenguknya sambil buat kerja di dapur dan melayan si abang dan si adik.

Kemudian saya ingin berehat kerana kepala masih lagi berpusing kesan demam sebelumnya. Namun, terpandangkan Kakak yang sedang tidur, saya batalkan niat.

Saya ambil sebekas kecil air sejuk dan lumur di kepalanya dan letakkan tuala basah di badannya. Dia membuka matanya sedikit, "thank you Mom". Suaranya sedikit lemah.

Saya tanya dia jika teringin untuk makan sesuatu, saya akan masakkan. Tetapi dia hanya menggeleng dan sambung tidur.

Tiba-tiba saya teringatkan waktu kecil saya. Jika demam, susah makan ubat. Jadi, Ma akan serahkan tugas beri makan ubat kepada Abah. Saya tahu Abah seorang yang garang dan sudah pasti saya akan makan ubat dihadapannya.

Tapi, Abah tetap seorang ayah, nakkan anaknya sihat. Dia kena kreatif.

Dia masukkan ubat tablet ke dalam pisang, jadi senang untuk saya telan. Jika sebelumnya, saya akan muntah disebabkan tidak tahan depan pahit ubat. Jika ubat air, dia suruh saya tutup hidung dan cepat-cepat minum air setelah menelannya.

Kenangan makan ubat dalam pisang, saya masih ingat sampai sekarang. Saya amat menghargai pengalaman sedemikian yang unik bagi saya untuk dikenangkan. Apatah lagi berjauhan sebegini, saya rindukan memori menggamit perasaan.

Saya rindu Ma dan Abah. Semoga salam kami bertaut dalam doa-doa indah.


Nota: Alhamdulillah, gambar Kakak dah sihat.


 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...