Check this out

Monday, April 18, 2016

KOMUNIKASI GERAK HATI, RANCANGAN PENCIPTA

Entri 138


Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN


Saya telah berkomunikasi dengan rakan dari Malaysia melalui Whatsapp dua hari lepas.  Dia baru tiba dari Malaysia pada hari Jumaat dan akan pulang pada hari Selasa.

Jadualnya bersama kumpulan syarikat mereka agak padat sehinggakan saya tidak tahu bila saya akan berjumpa dengannya. Apabila dia keluar dari hotel, saya tidak dapat berkomunikasi dengannya kerana tiada WIFI.

Saya sudah beberapa hari tidak keluar kerana Tasnim tidak sihat. Batuk dan selsema. Cuaca di luar agak berangin dan hujan beberapa hari kebelakangan ini.

Namun semalam, kami keluar sekejap kerana ingin mencari kasut sekolah Tasnim yang sudah rosak. Kami ke Dongdaemun Shoe City dan Toys Street untuk mencari beberapa barangan persembahan Fahmi di sekolah nanti.

Setelah selesai urusan, kami berehat sebentar kerana anak-anak ingin makan bekalan dan minuman. Beberapa orang pelancong Muslim dari China berhenti di tempat kami sambil bercakap sesama sendiri sambil menunjuk kearah anak-anak kami.

Tasnim dan Fahmi yang tahu berbahasa Mandarin sedikit menegur mereka. Agak terkejut, mereka mula bercakap lebih banyak dan memeluk Hanaa, si kecil.

Kemudian, kami minta izin untuk berlalu dan menahan teksi untuk pulang. Beberapa minit di dalam teksi, suami beritahu ramainya orang Malaysia di seberang jalan. Mungkin kawan saya ada di situ dia mengagak kosong.

Saya kata, kawan saya sepatutnya mengikuti program indoor skating pada waktu itu, jadi tidak mungkin mereka akan berada di situ. 

Tetapi dalam hati saya terdetik dan berdoa "Ya, Allah. Permudahkanlah urusanku untuk bertemu kawanku di Korea ini."

Tiba-tiba suami saya teruja memberitahu bahawa nama syarikat kawan saya itu terpapar di depan bas pelancong yang di letak di bahu jalan. 

Secara automatik tangan suami mengarahkan pemandu teksi berhenti.

Meter belum bergerak lagi, pemandu itu membebel seorang. Setelah membayar dan keluar dari teksi, kami cepat-cepat berlalu kepada kumpulan orang Malaysia di situ.

Setelah bertanya beberapa orang, mereka memberitahu nama kawan saya itu berada di dalam bas kumpulan D. Saya bergegas ke dalam bas pelancong yang sudah mula dipenuhi orang. 

Pemandu bas itu tidak beri saya naik. Namun setelah bercakap beberapa patah perkataan Korea, dia diam sahaja dan mengiyakan untuk saya berjumpa dengan seseorang.

Alhamdulillah rezeki saya, kawan saya ada di situ!

Ya Allah besarnya kuasaMu Ya Allah. Komunikasi gerak hati kami bersama adalah rancanganMu.

Patutlah hati saya berdebar-debar apabila melihat kumpulan orang Malaysia tadi. Rupa-rupanya mereka telah mengubah beberapa program untuk disesuaikan dengan cuaca yang sentiasa bertukar-tukar dan kawan saya tidak dapat beritahu saya berkenaan pertukaran itu kerana hubungan WIFI yang terbatas.

Kami berpelukan di situ. Walaupun hanya sempat berborak selama 5 minit dek bas yang hendak bergerak, saya dan kawan amat berpuas hati kerana akhirnya kami dapat bertemu setelah lebih dua tahun tidak berjumpa.

Semoga Allah kekalkan hubungan persahabatan saya dan Kak Na, seorang insan yang banyak memberi motivasi dan semangat kepada saya dulu.

Alhamdulillah.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...