Check this out

Monday, April 25, 2016

APABILA SAKIT DI NEGARA ORANG

Entri 139

Teks: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN
Foto: KHUSHARTINI KAMARULZAMAN

Alhamdulillah atas segala nikmat yang Allah berikan. 

Alhamdulillah dapat kembali lagi bersua bersama "teman bicara" saya. Setelah berhari-hari berehat, saya sudah semakin "gagah" untuk meneruskan rutin seperti biasa.

Ceritanya bermula apabila Tasnim tidak sihat pada hari Ahad lepas. Batuknya yang sudah beberapa hari berpanjangan menunjukkan tanda-tanda dia akan demam. 

Naluri ibu sememangnya betul. Pada hari Isnin, suhu badannya sedikit panas. Saya buat keputusan untuk bawanya ke hospital dan tidak ke sekolah.

Hanaalah orang yang paling gembira apabila Kakak tidak ke sekolah. Dia senyum sepanjang hari dan moodnya dalam keadaan ceria.

Alhamdulillah orang tidak ramai di hospital, kami terus berjumpa doktor. Syukur, Tasnim hanya demam batuk biasa dan paru-parunya juga clear. 

Waktu menunggu ubat agak mengambil masa, saya pula tidak mahu bertanya kerana sudah tahu tindakan saya itu tidak akan membantu.
Hanaa dan Tasnim ralit membaca sebuah buku berkenaan binatang-binatang yang mana buku tersebut sentiasa menjadi pilihan mereka apabila ke hospital. Tidak pernah bosan.

Sesekali telatah si Hanaa mencuri perhatian orang lain kerana dia akan "mengambil gambar" orang dia jumpa. Bermula dari dalam lif lagi, jururawat di kaunter, doktor yang memeriksa Kakak dan juga pesakit yang sedang menunggu giliran. Beberapa orang jururawat mengambil kesempatan menyuruh Hanaa "mengambil gambar" mereka.

Kelihatan dalam gambar di bawah ini kamera pink Hanaa dengan kartun terkenal Korea iaitu Pororo. Apabila dia tekan kameranya, terdengar bunyi "Smile...Kimchiiii".
 


Kakak Tasnim berehat dua hari di rumah, tidak ke sekolah. Saya kasihan setiap kali melihat anak-anak tidak sihat. Ibu-ibu lain pun sama kan. Hati sentiasa rasa tidak senang, risau jika suhu naik. Setiap kali bersolat, saya berdoa, biarlah saya menanggung semua sakit itu, bukan anak-anak.

Alhamdulillah, keesokan harinya Kakak sudah boleh ke sekolah seperti biasa dan saya pula mula rasa tidak sihat pada awal pagi itu. Saya ingat hanya batuk-batuk kecil. Saya sudah berniat tidak mahu ke hospital kerana saya tidak suka makan ubat. Kebiasaannya saya hanya makan madu dan minum honey lemon tea suam.

Jam 10 pagi, suami saya telefon dan menyuruh saya ke hospital kerana dia takut saya melarat dan akan berjangkit kepada Hanaa pula. Saya siapkan Hanaa dan memujuknya untuk ke hospital. Dia tidak berada dalam mood yang baik kerana Kakak sudah ke sekolah sewaktu dia belum bangun, dan sekali lagi dia perlu ke hospital menemani saya.

Hanaa kata, "I don't like going to the hospital, it is soooo boring".

Ya, mama tahu sayang, tetapi mama tiada pilihan. Tiada orang di rumah untuk tinggalkan kamu.

Pada saat saya keluar rumah, saya sudah rasa sejuk yang lain macam. Badan seolah-olah menggigil. Angin agak kuat di luar, menusuk ke tulang sum-sum. Mujur saya pakaikan Hanaa jaket tebal. Oh ya, dia sempat lagi mengambil gambar bunga Azalea di hadapan hospital. Saya layankan sahaja karenahnya kerana tidak mahu dia berubah mood.
 

Alhamdulillah rezeki saya lagi, walaupun tiada temujanji, saya terus dapat berjumpa dengan doktor. Alhamdulillah, Allah senangkan kerja saya. Setelah berjumpa doktor, saya dapat stok ubat. Demam, selsema, batuk, tonsil dan sakit kepala semua pakej sakit saya ada. Memang patut pun saya kena berjumpa doktor.

Sampai di rumah, saya agak pelik kerana ubat saya hanya untuk dimakan selepas sarapan dan makan malam. Namun saya fikir, mungkin ubat ini sudah agak "kuat". 

Selesai makan ubat, saya berbaring. Tiba waktu untuk anak pulang dari sekolah, saya hanya boleh bangun memasak ayam panggang dan nasi putih berulam timun. Hendak sahaja pesan makanan halal online, tetapi makanan berunsur biryani, saya tiada selera.

Apabila waktu petang, saya menggigil disebabkan suhu badan panas. Anak-anak selimutkan saya dan Fahmi basahkan tuala kecil untuk diletakkan di dahi saya. Kemudian mereka memicit-micit badan saya yang diselimuti tebal. Tasnim bawa air suam untuk saya minum berserta ubat yang saya minta. Hanaa memakaikan stokin kaki saya.

Demam kebah sekejap. Jam 12 malam, demam suhu panas itu datang lagi. Kepala saya berdengung. Seluruh badan sakit. Ya Allah peritnya demam kali ini. Paling teruk saya lalui sepanjang berada di Korea.

Setelah dua hari keadaan yang sama masih berlarutan, saya ke hospital kembali pada hari ketiga. Berjumpa doktor yang lain kerana doktor sebelum ini tidak bertugas. Rupa-rupanya ubat demam yang saya dapat sebelum ini tidak mencukupi, sepatutnya saya diberi 3-4 kali, bukannya 2 kali.

'Ala kullihal, semuanya aturan Allah. Perkara yang lainnya itu adalah penyebabnya sahaja. Saya belajar banyak perkara di atas kesakitan sementara pada kali ini.

Alhamdulillah setelah empat hari saya beransur sihat, hanya tinggal kesan sakit tonsil dan batuk-batuk kecil.


Saya kagum dengan anak-anak yang cuba sedaya upaya untuk menjaga saya dan mahu saya sembuh. Mereka tidak mahu saya sakit lagi.

Semalam, Hanaa pula tidak sihat. Selsema dan batuk serta badannya sedikit suam. Kasihan Hanaa, dia tidak suka ubat. Jadi, saya hanya suapkan dia madu. Semoga sakitnya tidak melarat dan Hanaa cepat sembuh, Aamiinn.

Doakan kami semua sihat-sihat sahaja ya? Saya juga doakan kalian semua sihat selalu!






No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...